UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

KESAN BESAR IMAN

Istimewa untuk semua yang dikasihi kerana Allah!

Dengan segenap hati dan jiwa kita, mari kita renungi satu perkara yang sangat penting dalam setiap denyutan nadi kita...

Segala persoalan hidup di dunia ini mesti berasas dan berpaksikan iman.

Iman mesti diikrarkan dengan lisan, diyakini di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan anggota badan. Ketiga-tiga hal ini mesti berlaku serentak, bagi membuktikan sempurnanya iman dalam diri kita. Kesemuanya saling berkaitan tidak boleh terpisah. Kecacatan salah satunya, akan mencacatkan iman. Ada kalanya iman meningkat, adakalanya iman menurun.
Bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW;
"Iman itu bisa bertamabah atau berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan kalimah Laa ilaaha illallah."

Manakala hati sebagai tempat bersemayamnya iman itu pula tidak tetap wataknya...sentiasa saja berbolak-balik. Hati ini yang dalam bahasa Arab disebut qolbu, berasal dari perkataan qolaba, bermaksud terbolak-balik. Oleh itu Rasulullah SAW sendiri telah mengajarkan kita, supaya sentiasa berdoa;
"Ya Allah, wahai zat yang maha membolak-balikkan, tetapkanlah hatiku di dalam deenMu dan di dalam ketaatan kepadaMu."

Memandangkan keadaan dan sifat iman demikian rupa, kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan iman kita pada satu-satu masa tertentu. Mesti ada dua perasaan, harap dan cemas. Harap akan Allah menetapkan iman kita dalam kedudukannya yang tinggi sehingga kita dipanggil kembali ke sisiNya. Cemas agar kita tidak dimatikan dalam keadaan iman yang rendah dan lemah.

Iman juga menjadi sumber tenaga yang memberi kita kekuatan untuk bergerak membawa kebaikan, kebenaran dan keindahan hidup kepada insan sejagat. Serentak bergerak mencegah kejahatan, kebatilan maupun kerosakan di atas muka bumi.

Iman juga menyuluh hati dan jiwa melaksanakan ketaatan kepada Allah dalam sembunyi atau terang-terangan. Inilah asal mulanya terbit taqwa. Iman mengubah watak individu menjadi baik dan kebaikan seluruhnya menjalar dalam kehidupan bermasyarakat. Yang kaya menjadi dermawan. Yang miskin mampu bersabar. Yang berkuasa menjadi adil. Yang alim bertamabh taqwa. Yang kuat menjadi penyayang. Yang pintar merendah diri. Hinggalah yang jahil menjadi pembelajar yang tekun. Begitulah kuatnya kesan iman dalam kehidupan.

Sejarah Islam sepanjang 15 abad telah mencatatkan kaum muslimin meraih kemenangan dan kegemilangan. Pendokong deen Islam mampu membawa kemakmuran dan keadilan serta mengembangkan pelbagai macam ilmu pengetahuan. Semua ini berlaku selama mana iman telah mewarnai seluruh hidup dan pergaulan. Namun apabila iman hanya menjadi ucapan lisan dan tidak lagi menguasai jiwa dan fikiran, kekuatan tersebut lenyap, sedikit...demi sedikit...

Renungi kata-kata, Abul Hassan Ali An-Nadwi;
'Saat kejayaan adalah saat wujudnya iman, dan saat keruntuhan adalah saat hilangnya iman. Sebagaimana iman menciptakan keajaiban dalam jiwa, seperti itu juga iman menulis cerita keajaiban di alam nyata. Gelora dalam jiwa pun menjadi prestasi sejarah.'

2 ulasan:

assalam Makcik..

izzat dah ada email samothing kat mail Makcik..
mungkin izzat salah alamat.

ape ye email makcik?

balas di comment blog izzat ye makcik.

31 Mac 2010 7:59 PTG  
Ummu Anas berkata...

Wkmsalam izzat..,Ooo...patut makcik trtunggu2,tapi tak dpt respon izzat. ni alamat email makcik;

bintul.eslah@gmail.com

31 Mac 2010 9:58 PTG