UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SENTIASALAH INGAT!

Wahai semua diri yang diperhati!....

Sentiasa melimpah ruah rahmat dan nikmat Ilahi menyuburkan kehidupan insan.
Ingat dan sedarilah! Kita memikul amanah besar yang hebat!...
Tidak terpikul oleh bukit bukau dan gunung ganang!
Semuanya tunduk di bawah Yang Maha Berkuasa.
Di tangan kita terletak tanggungjawab itu...;

Pertama:
Mematuhi erti perhambaan kepada Allah.

Setiap Muslim mesti faham, hidupnya di dunia ini untuk menepati maksud firman Allah dalam surah Adzariyat ayat 56;
"Dan(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu."

Kehidupan ini seluruhnya mestilah menepati perlaksanaan ubudiyah(beribadah kpd Allah) dan setiap amal perbuatan khusus untuk beroleh keredhaan Allah. Apa jua perbuatan yang diniatkan kerana Allah dan menepati syarak dikira sebagai ibadah.

Segala perlakuan ibadah tidak memadai dilaksanakan untuk kepentinga diri sendiri sahaja. Malah mesti di luaskan skopnya meliputi seluruh alam. Menepati pula peranan manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Usaha-usaha di sudut ini mesti pula mengisikan kaedah amar maaruf nahi munkar. Dalam erti kata lain membawa manusia sejagat menghambakan diri semata-mata kepada Allah, juga mengeluarkan manusia dari perhambaan selain Allah.


Kedua:
Manusia semua rugi, kecuali...

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Asr, ayat 1-3;
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Setiap diri mesti dilengkapi dengan iman dan amal soleh. Kemudian secara kolektif, saling ingat-memperingatkan untuk melakukan kebaikan dengan penuh sabar. Begitulah yang sentiasa dituntut ke atas setiap diri muslim mukmin...jika keberuntungan hidup yang dihajati.


Ketiga:
Wajib menghilangkan kemungkaran.

Perhatikan dengan teliti maksud sabda Rasulullah SAW;
"Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya,
jika tidak kuasa, ubah dengan lidahnya,
jika tidak juga kuasa, ubah dengan hatinya,
yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

Perlu juga disedari, kemungkaran itu kesannya akan melenyapkan keupayaan setiap manusia menerima hakikat kebenaran. Sekaligus menghindarkan manusia dari beribadah kepada Allah. Justru itu wajib dihilangkan kemungkaran, bagi membolehkan manusia menepati tuntutan hidup beribadah.


Wahai barisan pemuda-pemudi harapan watan!


Dengan tertanam ketiga-tiga asas kekuatan tersebut, akan terbina kekuatan dalaman yang tangkas dan berupaya membawa perubahan! Di sini bermulanya kesatriaan dalam jiwa remaja. Mampu berkorban dan menanggung bebanan. Sejarah silam telah membuktikan lahirnya contoh-contoh pemuda hebat ! Mereka itu...Nabi Ismail, Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim.... dan juga barisan sahabat-sahabat Rasulullah SAW, kesemuanya pemuda-pemuda bertaqwa. Sejarah akan terus terlakar dan berulang-ulang... hingga ke akhir zaman. Mulakan dan teruskan segera...melakar sejarah ketaqwaan!

0 ulasan: