UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

JADILAH BINTANG ILMU


Salam ukhwah dan mahabbah lillah wafillah.
Kesejahteraan dan limpah rahmat Allah semoga tersebar kepada seluruh pemuda-pemudi harapan...
Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah;
Dunia ini ibarat lautan yang luas lagi dalam. Telah ramai insan tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Kerana itu penuhi dadamu dengan ilmu bermanfaat. Berpandukan ilmu, kalian tidak akan tersasar dari laluan hidup yang diredhai Allah. Ia juga akan sentiasa mendorong kalian cekal mendaki gunung harapan.
Ketahuilah anak-anakku,
Rasulullah SAW pernah bersabda;
"Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang yang lain."(HR Abu Daud, Tirmidzi,Nasai dan Ibnu Hibban)
Ingatlah! Ilmu merupakan harta terbaik untuk dikumpulkan serta diwarisi. Kekayaan ilmu tidak sedikit pun akan menyesatkanmu. Malahan orang berilmu tidak akan mudah tertipu dalam mengatur kehidupannya. Ilmu pengetahuan adalah pemimpin kepada segala amalan yang baik.
Ilmu pengetahuan juga merupakan kawan di waktu sendirian dan memberi penyelesaian waktu dalam kekusutan. Mengajarkannya kepada orang lain pula menjadi sedekah dan kebaktian.
Hayati maksud firman Allah SWT serta sabda Rasulullah SAW berkaitan keutamaan menuntut ilmu;
"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran"(Q.S Az-Zumar:9)
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan."(QS Al-Fathir,28)
"Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga."(HR Muslim)
Dari itu anak-anakku,
Ibu sangat berbesar hati, sekiranya kalian mengambil contoh dari sejarah hidup Hassan Al-Basri...
Beliau pemidato handal yang diilhamkan dengan adap sopan yang luhur serta perasaan yang halus. Dia bersifat tawadduk, tekun dan khusyuk serta sentiasa menyenangkan hati orang yang ditemuinya. Dia sangat mementingkan pembangunan diri dan bersungguh-sungguh mencari ahli ilmu untuk memperoleh pelajaran. Banyak bertafakkur dan bermuhasabah diri. Tidak menuturkan sesuatu kecuali perkara-perkara kebaikan. Beliau umpama bintang bergemerlapan di bidang ilmu dan sentiasa dikerumuni oleh para penuntut ilmu yang inginkan pengajarannya dalam berbagai bidang ilmu.
Ambillah pesanan yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada puteranya;
"Hai anakku, pergaulilah para alim dan rapatilah mereka itu dengan kedua lututmu. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit."
Fikirkan juga akan kebenaran kata-kata Ibnu Mas'ud r.a;
"Hendaklah kamu semua berusaha menuntut ilmu pengetahuan itu sebelum ia dilenyapkan . Lenyapnya ilmu pengetahuan, ialah dengan matinya orang yang mengajarkannya. Seseorang itu tidak dilahirkan sudah menjadi pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu perlulah diusahaakn dengan belajar."
Pemuda-pemudi harapan...
Sentiasa ibu doakan agar kalian menjadi pakar dalam apa jua bidang ilmu yang diceburi. Dengan itu nanti kalian menjadi sumber rujukan ilmu serta memimpin manusia ke jalan kebenaran. Juga sentiasa tunduk kepada kekuasaan dan kebesaran Allah. Amin...
ummu anas.

3 ulasan:

Seri Bunga berkata...

salam wbt ummi. Bersemangat setelah baca. mukmin hebat, jiwanya tak pernah lemah nk kejar ilmu utk manfaat diri dan agamanya..kan ummi?sebab itu,aqal perlu selari dengan ati..iAllah setiap amal akan jd amal soleh jika Allah dijadikan matlamat, ilmu dijadikan sandaran

p/s:trima ksih ummi!peringatan untuk Bunga..

6 Mac 2010 pada 4:37 PTG  
Noraini Eslah berkata...

wkmsalam anakda bunga,
ya..benar tepat!
ilmu yg dituntut itu wadahnya akal yg dikawal oleh hati yg bersih. Hati yg sentiasa mngharap redha Ilahi.
Truskn gigih anakda bunga mnimba ilmu n prsiakan diri mnjadi srikandi ummah!...

6 Mac 2010 pada 4:50 PTG  
Noraini Eslah berkata...

ops, maaf sikit silap ejaan...
persiapkan diri menjadi srikandi ummah!

6 Mac 2010 pada 4:52 PTG