UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HATI YANG BERSIH





Anak-anakku,
Jangan menjadi “pak turut”, hanya mengikuti kebanyakan manusia. Sekiranya manusia lain dalam kebaikan, hendaklah dicontohi. Namun sekiranya wujud suasana kejahatan, hendaklah menjauhi kejahatan yang berlaku.
Perlu juga diketahui, sistem akhlak Islam bersifat syumul (menyeluruh) dan lengkap. Ini bermaksud akhlak Islam itu luas merangkumi tabiat individu, masyarakat dan negara. Setiap Muslim diwajibkan mematuhi dan memelihara akhlak Islam kerana ianya tertakluk kepada larangan dan perintah. Setiap pelanggaran terhadap perintah Allah diancam dengan seksa dan azab. Manakala bagi yang mematuhi sistem akhlak  Islam akan beroleh ganjaran dan pahala. Semua ini untuk menjamin kesejahteraan hidup insan, kerana Islam juga bersifabegitu rupa dapat melembutkan hati. Kemudian akan memampukan kalian melaksanakan tugas besar selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Dari itu, mulailah mengorak langkah sekarang. Jadilah serikandi  yang sentiasa punya semangat tinggi dan keperibadian kreatif. Tidak larut dalam lumpur maksiat dan hanyut dalam arus perdayaan syaitan. Jadilah barisan yang membimbing tangan para pemudi seluruhnya kepada keredhaan Ilahi. Peranan sedemikian merupakan penerusan dari tugas para rasul yang menyeru manusia untuk mengambil deen Allah sebagai cara hidup yang Allah redhai. Dalam hal dan tugas ini akhlak yang mulia yang menjadi modal utama. Oleh itu iringi segala keadaan dengan kebaikan. Walaupun keburukan yang dihadapi, tetap mesti diiringi dengan kebaikan.
Telah terbukti dalam usaha-usaha Rasulullah SAW menarik perhatian manusia-manusia yang jahil untuk menerima kebenaran Islam, akhlak mulia lagi terpuji lebih berkesan menarik perhatian orang daripada kata-kata yang manis. Sayidatina Khadijah sewaktu meyakinkan Rasulullah SAW sekembalinya dari mendapat wahyu di Gua Hira’, berkata,
Bergembiralah, demi Allah selama ini dirimu telah menghubungkan silaturrahim, berkata benar, membantu orang yang berhajat juga banyak lagi sifat dan akhlak baik yang menjadi bukti kepada kebenaran atas kebenaran.”
Disebabkan kemuliaan pekerti Rasulullah SAW kepada sesiapa sahaja walaupun musuh, telah berlaku secebis peristiwa yang memaparkan bagaimana niat jahat orang yang sangat membenci Rasulullah SAW dapat ditundukkan oleh akhlak baginda. Orang itu telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW sewaktu baginda tawaf. Orang yang dimaksudkan ialah Fadhalah bin Umair. Ketika dia menghampiri Nabi Muhammad, baginda bertanya: Wahai Fadhalah, apakah yang tersembunyi di hatimu? Fadhalah menjawab: “Tidak ada apa-apa yang tersembunyi di hatiku, hanya zikir kepada Allah. Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata Fadhalah. Baginda membaca astaghfirullah lalu meletakkan tangan ke dada Fadhalah. Berkat kemuliaan baginda, Fadhalah segera tenang dan hilang rasa benci terhadap Rasulullah. Fadhalah sendiri mengaku: Demi Allah! Tidaklah baginda mengangkat tangannya dari dadaku, kecuali Allah telah menjadikan di hatiku perasaan cinta yang mendalam kepada baginda.
Begitulah anak-anakku,
Bagaimana hati yang berniat jahat dapat ditundukkan dan dilembutkan dengan kebaikan dan keyakinan kepada pertolongan Allah. Rasulullah SAW ada bersabda; “Allah memurnikan agama ini untuk-Nya. Tidak ada yang mengelokkanmu melainkan watak pemurah dan akhlak mulia. Maka hiasilah agamamu dengan kedua-duanya.”
Sewajarnya anak-anakku, kalian juga meyakini pertolongan Allah sentiasa hampir kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh berusaha menyebarkan kebaikan  demi meraih keuntungan di dunia dan kejayaan di akhirat. Justeru, lintasilah halangan “wahan” – takut mati dan cinta dunia yang telah mengotori hati. Melangkahlah ke tahap pembersihan hati dan menyeru kebaikan! Sebar luaskan sebaik mungkin tingkah laku penuh hikmah dalam bergaul dengan manusia.
Anak-anakku,
Sentiasalah memperkemas iman dan taqwa supaya rasa malu dan takut dapat mengawal jiwa. Serentak qalbu bersih daripada sebarang keingkaran. Qalbu yang suci bersih  akan sentiasa merasa malu untuk bertindak di luar batasan Islam. Sama ada terang-terangan maupun tersembunyi. Malu terhadap Allah mengatasi malu kepada manusia. Dengan itu akan mudah memelihara diri daripada desakan nafsu dan bisikan syaitan.
Ulamak Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari godaan syaitan dan nafsu, menggariskan 10 dasar muhasabah harian:
·         Qiyamullail – membina kekuatan luar biasa.
·         Solat subuh berjemaah – beroleh jaminan perlindungan dari Allah.
·         Tadabbur dan berwirid dengan al-quran hingga berlinang air mata.
·         Pastikan sumber makanan dan rezeki yang diperoleh dari sumber yang jelas dan halal. Tujuan makan dan minum untuk mendapat tenaga beribadah.
·         Bersihkan diri dari sifat malas, Islam tidak suka pengangguran. Bersihkan rezeki yang diperoleh dengan infaq dan sedekah.
·         Sewaktu berada di khalayak, kawallah pandangan supaya tidak tergoda atau menggoda. Juga tidak terdorong kepada perkara syubhah.
·         Setiap tingkah-laku mesti dikuasai akhlak Islam. Sebaiknya menjadi contoh yang membawa kebaikan kepada manusia lain.
·         Setiap saat dan sepanjang hayat digunakan untuk menuntut dan menambah ilmu bermanfaat.
·         Bulatkan tekad untuk sentiasa menjalani kehidupan Islam serta sentiasa mengutamakan kepentingan Islam.
·         Ingati juga hak jasad: kesihatan dan ketangkasan fizikal mesti dijaga. Makan dan minum secara sederhana, juga elakkan dari aktiviti dan kerja yang terlalu meletihkan.
Begitulah anak-anakku,
Hakikatnya, muhasabah diri mesti berlangsung setiap saat dalam denyutan nadi kita. Tidak hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja.  Dengannya jiwa kita bebas dari belenggu yang mematikan semangat dan merosakkan qalbu. Nantinya jelas terpancar dalam raut wajah dan tindakan tanda-tanda hati suci bersih.