UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

ISI KANDUNG ISTIKHARAH CINTA

PENDAHULUAN : ANTARA DUA PILIHAN

BAHAGIAN PERTAMA : MENGHAYATI ERTI ISTIKHARAH
: MENGENALI CINTA

Bab 1: Apa Itu Cinta?

  • Bagaimana Bermula Cinta

  • Apa Gunanya Cinta

Bab 2: Cinta Itu Fitrah

  • Salahkah Jatuh Cinta

  • Cinta Pertama

Bab 3 : Perlukah bercinta?

  • Bercinta Usia Muda

  • Tips Mengurus Perasaan Cinta

Bab 4 : Tuhan Cinta Hamba-Nya

  • Cinta-Nya Mengasihani Hamba-Nya

  • Anugerah Kasih-Nya

Bab 5: Manusia Cintakan Tuhan

  • Tanda-tanda Cintakan Tuhan

  • Natijah Cintakan Tuhan

BAHAGIAN KEDUA : MEMILIH CINTA

Bab 6 : Ke mana Arah Cinta?

  • Hati Penentu Arah Cinta

  • Melaraskan Cinta

Bab 7 : Di mana Cinta Hakiki

  • Membuktikan Cinta

  • Pengorbanan Cinta

Bab 8 : Siapa Kekasih Sejati

  • Cinta Di Jalan Allah

  • Menyuburkan Persaudaraan Islam

Bab 9 : Mari Bercinta

  • Mengikat Cinta Sejati

  • Tips Memelihara Keserasian

  • Tips Memelihara Kemesraan

BAHAGIAN KETIGA : BERKAHWIN MENYEMPURNAKAN CINTA

Bab 10 : Haruskah Berkahwin?

  • Cinta Disusuli Pernikahan

  • Menerima Amanah dan Tanggungjawab

Bab 11 : Siapa Pilihan Hati?

  • Calon Ideal

  • Menyingkap Teladan

Bab 12 : Mencari Calon Serasi

  • Fikir dan Pilih

  • Pilihan Terbaik

  • Indah di Hati Jelita di Wajah

Bab 13 : Menentukan Calon Setaraf

  • Meraih Restu Keluarga

  • Menerima Jodoh Barakah

Bab 14 : Istikharah Cinta

  • Kenapa Perlu Istikharah

  • Langkah-langkah Istikharah

BAHAGIAN KEEMPAT: MEMELIHARA CINTA

Bab 15 : Menyediakan Tapak Semaian Cinta

  • Cinta Bermuala Di Hati

  • Tips Menyuburkan Kasih Di Hati

Bab 16 : Menanam Benih Cinta Berkualiti

Bab 17 : Mengawasi Pertumbuhan Tunas Cinta

Bab 18 : Ikhlas Membajai Cinta

  • Menahan dan Mengawal Pandangan

  • Membatasi Pergaulan

  • Tips Menundukkan Pandangan

  • Melaraskan Keikhlasan Cinta

Bab 19 : Indahkah Cinta Kita?

  • Takwa Mengindahkan Cinta

  • Tips Beroleh Cinta Bahagia

  • Tips Mengukuhkan Cinta

Bab 20 : Ikhlas Mengekalkan Cinta

  • Tips Menyegarkan Cinta

  • Perisai Cinta

  • Bekalan Cinta Rasulullah.

Bab 21 : Manisnya Buah Cinta

  • Mawaddah wa Rahmah

  • Bercinta Di Dunia, Bercinta Di Syurga



BAHAGIAN KELIMA : BERJAYA DALAM CINTA.

Bab 22 : Berterusan Koreksi Diri

  • Mensyukuri Nikmat Menyubur Cinta

  • Membina Rasa Syukur

Bab 23 : Terikat Pada Janji

Bab 24 : Setia Pada Cinta

Bab 25 : Hati Tulus Mengekalkan Cinta

Bab 26 : Ketaatan Menyempurnakan Cinta

  • Saling Lengkap- Melengkapi

  • Membina Komunikasi Positif

  • Kesetiaan Memilih Berkorban

PENUTUP : TERCAPAI MATLAMAT ISTIKHARAH CINTA

Manusia sering menghadapi dilema dan kesulitan dalam membuat pilihan.
Tersilap langkah, keputusan yang dipilih menjadikan situasi menjadi lebih sukar.
Tepat memilih pula, membuatkan hati menjadi teruja dan lega, sehingga kadangkala terlupa,
itu semua ilham daripada Tuhan yang Maha Esa.

Istikharah Cinta turut mengupas:

  • Mengenal pasti pilihan berkualiti menurut Islam

  • Tip mengurus, memelihara, dan menyuburkan keserasian cinta

  • Kisah menarik bagaimana Ummu Sulaim membuat pilihan dengan menolak pinangan Abu Thalhah

  • Pernikahan luar biasa Muslim bin Umran, saudagar terkaya di Kota

  • Landasan ikhlas menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi

“Ya Allah, aku memohon ketentuan pilihan menurut pengetahuan-Mu dan memohon penetapan dengan kekuasaan-Mu, juga aku memohon kurnia-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui apa-apa. Engkau yang Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, sekiranya dalam ilmu-Mu urusanku ini baik untuk aku dan agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, takdirkan untuk aku dan mudahkan serta berikan berkat kepada aku melaluinya. Sebaliknya, apabila dalam ilmu-Mu urusan ini buruk untuk aku dan agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, lalu jauhkan hal itu daripada aku dan jauhkan aku daripada urusan itu serta takdirkan untuk aku yang lebih baik daripada urusan itu walau di mana jua. Kemudian, puaskan hatiku dengan takdir-Mu itu.”

ISTIKHARAH CINTA

CINTA UNTUK SIAPA?


Menemui hati-hati yang dirahmati dan dilimpahi kasih Ilahi,

Perlu difahami dan dihayati satu hakikat yang dicurahkan oleh Rabbul 'Izzati ke seluruh pelusuk alam dan buat semua insan...

Tahukah anda?

Sesungguhnya CINTA adalah limpahan kasih-sayang YANG MAHA PENCIPTA kepada semua makhluk CIPTAANNYA. Ini juga bermakna CINTA merupakan anugerah ALLAH kepada hambaNya (MANUSIA). Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Thaha ayat 39:

"Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih-sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu."

Ayat di atas menjelaskan peristiwa ketika Allah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s supaya memasukkan bayinya ke dalam peti dan dihanyutkan di Sungai Nil. Sehingga sampai ke istana Firaun yang sangat zalim yang dikenali sebagai musuh Allah. Dia juga merupakan musuh Nabi Musa a.s. Diiringi dan disusuli kakaknya yang menunjukkan kepada Asiyah isteri Firaun, siapa yang sesuai menyusui bayi Musa. Semuanya telah Allah atur begitu rupa menepati maslahat yang baik di sisiNya. Musa diasuh oleh Asiyah yang beriman, di istana Firaun. Dapat pula disusui oleh ibu kandungnya. Begitu besar rahmat Allah. Mengatur begitu rapi demi satu perencanaan besar, untuk tanggungjawab nubuwwah. Bakal menyebar kebenaran bagi seluruh alam...!

Hakikat Lebih Awal.

Pada penciptaan manusia yang pertama lagi; iaitu NABI ADAM a.s, terbukti CINTA itu FITRAH INSAN. Dikatakan demikian kerana pada mulanya Adam yang Allah ciptakan dan lantik sebagai khalifah Allah hidup sendirian. Ketika itu belum ada manusia lain selain dirinya. Dia berasa kesunyian dalam kemewahan hidup di syurga. Kemudian Allah menciptakan pula Hawa menjadi teman dan isteri bagi Adam. Mereka menjadi penghuni syurga buat beberapa ketika. Disebabkan mereka terpedaya dengan hasutan iblis, maka mereka dicampakkan ke dalam kehidupan dunia!. Begitulah bermulanya hidup manusia di mayapada ini. Namun mesti difahami, semuanya telah Allah atur sebaik-baiknya di dalam dakapan KASIH ILAHI lagi HAKIKI. Supaya dengannya kita sentiasa terpimpin ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat kelak.

Sudah Jatuh Cinta?

Sering kita mendengar orang berkata; TAK KENAL MAKA TAK CINTA.

Kini apabila kita ketahui bahawa Allah Yang Maha Bijaksana mencipta dan mengatur seluruh isi alam ini untuk memudahkan kita menikmati limpahan kasihNya, akan terbukalah jalan untuk kita kenali dengan lebih dekat CINTA ILAHI.

Seterusnya kita menyedari pula, segala apa yang kita hajatkan datang dari sisiNya. Bukan dari yang selainNya. Maka akan terbitlah rasa kagum kita terhadap kebesaran dan keagungan Allah .

Cinta Berputik.

Paduan antara KENAL dan KAGUM inilah yang menerbitkan sepenuh rasa CINTA TULUS seorang hamba seiring ketaatan dan kepatuhan kepada Al-Khaliq. Kemudian kesetiaan cinta akan terbukti dengan melaksanakan amal soleh. Inilah cinta hakiki di atas landasan kasih Ilahi. Inilah juga piawaian cinta untuk seisi alam. Semuanya dipersembahkan kepada Rabbul 'Izzati.

Kata Ibnu Qayyim:

"Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada penciptanya kerana;

* Penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya.

* Penciptanya memberi rezeki.

* Penciptanya menghidup dan mematikan.

Ibnu Taimiyah berkata:

"Hati manusia secara tabie berhajat kepada Allah kerana dua sebab;

1. Untuk beribadat.

2. Untuk berserah diri.

Hati tidak akan jadi baik, bersih, gembira dan tenang selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan sepenuh cintanya berpaut kepada Allah." Inilah cinta pertama dan utama.

Bentuk Sebenar Cinta Ilahi.

Imam Fakhru Al-Razi berkata:

"Orang yang memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."

Rabiatul Adawiyah berkata:

"Kekasihku tiada yang menandingiNya,

Sekali pun Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata,

Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku.

Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.

Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untukNya."

Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati;

Laksana pohon dalam hati.

Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah.

Dahannya ialah makrifatullah.

Rantingnya takutkan kemurkaan Allah.

Daunnya adalah malu kepada Allah.

Buahnya ialah istiqomah.

Air dan bajanya adalah zikirullah.

Bukti dan Pengorbanan Cinta.

apabila tautan jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa bahagia.

Begitulah juga halnya bagi setiap diri yang teguh cinta dan kepatuhannya kepada Allah, dia akan sedaya-upaya berusaha memenuhi perintah Allah juga menjauhi laranganNya.

Dia tidak akan ragu-ragu dalam memenuhi arahan-arahan berikut;

* Katakanlah(Muhammad): Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Ali-Imran:31)

* "Tidak beriman seseorang dari kamu, sebelum Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada orang lain."(HR Bukhari dan Muslim)

Anugerah Kualiti Cinta.

Semestinya kita yakini Allah berlaku benar di dalam janjiNya. Telah sedaya upaya kita buktikan ikrar cinta terhadap Allah. Iaitu apa jua bentuk ibadah kita adalah semata-mata untuk beroleh redha Allah.

Maka layaklah kita beroleh anugerah dan pengiktirafan;

* "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beraaml soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang."(QS Maryam: 96)

* Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda; "Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru..., Sesungguhnya Allah mencintai Fulan. maka cintailah dia! Maka seluruh penghuni langit mencintainya. Kemudian dijadikan orang-orang yang menyambut cintanya di bumi."

* Rasulullah juga bersabda; "Allah berfirman pada hari qiamat, 'Manakah orang-orang yang saling mencintai dengan keagunganKu? Pada hari ini Aku melindungi mereka di bawah lindunganKu, pada hari yang tiada lindungan selain perlindunganKu."(HR Muslim)

Begitulah hasilnya yang akan kita perolehi sekiranya kecintaan kepada Allah kita beri keutamaan. Segala kebaikan akan mewarnai jalan hidup kita. Semua tahap cinta yang kita lalui, akan mampu kita realisasikan praktiknya dalam batasan yang telah Allah tetapkan...

* Cinta ayah-ibu terhadap anak-anak akan berlangsung sepertimana yang Allah pertanggungjawabkan.

* Cinta anak terhadap ayah-ibu juga dalam rangka ketaatan yang Allah tetapkan.

* Cinta suami-isteri tertakluk kepada peraturan-peraturan dan hak yang Allah perintahkan.

* Cinta sesama saudara muslim semestinya demi mendapatkan keredhaan Allah.

Doa:

"Ya ALLah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMU cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Juga cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Allah! Jadikan aku mencintaiMu dengan sepenuh hatiku dan redha kepadaMu dalam segala usahaku.

Ya Allah! Setiap apa ayng aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang Engkau redhai. Setiap yang Engkau singkirkan daku dari apa yang aku cintai, jadikanlah ketenangan dalam hatiku.

Ya Allah! Jadikanlah cinta ku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai.

Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Amiin."




SUCIKAN HATI


Pemuda-pemudi Islam sejati!

Semoga sentiasa dalam limpah rahmat, keberkatan serta redha Ilahi. Ibu doakan agar kalian tetap dan terus saling ingat-mengingati untuk menetapi kebenaran. Juga saling memperingatkan kepada kesabaran. Dengan yang demikian, kalian akan tergolong sebagai manusia yang bahagia dan beruntung.

Anak-anakku yang mendamaikan hati dan menyejukkan pandangan,

Dalam kesibukan kalian memenuhi rutin hidup harian, peruntukkan sedikit masa untuk menilai bentuk hati kalian. Adakah ianya dalam keadaan suci bersih dan sihat sejahtera?

Hayati maksud sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pemuda-pemudi harapan!

Adakah hati kalian menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”

(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,

  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,

Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.

Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,

“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:

Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,

engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,

bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,

ia membawamu kepada keburukan yang haram!

Hawa nafsu itu musuh bagimu,

meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,

Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.

Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:

  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,

“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:

  • sentiasa mengingati Allah SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi larangan-Nya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.

Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.

Ikhlaskan Niat

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Sedikit demi sedikit telah tersingkap tatacara untuk kalian mulakan peranan selaku khalifah Allah dalam rangka berubudiyah sepanjang hayat. Pada hakikatnya, kita perlu teliti dan hati-hati dalam melaksanakan ubudiyah, disebabkan setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan segala amal perbuatan kerana Allah semata-mata.

Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabdanya,

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kerana-Nya dan ditujukan untuk-Nya.” (HR Abu Dawud dan An-Nasai)

Perhatikan pula firman Allah berikut:

  • “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama yang lurus.” (QS Al-Bayyinah:5)
  • “Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan seseorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (QS Al-Kahfi: 110)

Landasan ikhlas dalam beramal ialah dengan memurnikan dan mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Ikhlas itu berpusat di hati dan dipengaruhi oleh bentuk hati setiap orang. Dari itu muslim yang ikhlas memiliki hati yang mampu mengalahkan dorongan nafsu. Juga mampu mendahulukan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia. Dia mementingkan keredhaan Allah daripada keredhaan manusia. Dia menjadikan niat, perkataan dan perbuatannya semata-mata untuk Allah. (solat, ibadah, hidup dan matinya untuk allah, rabb sekalian alam). Inilah yang dikatakan ikhlas.

Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan ikhlas ialah:

  • Menghendaki keredhaan Allah dalam beramal.
  • Membersihkan diri dari segala dosa.
  • Melakukan amal kerana Allah dan untuk akhirat.
  • Tidak ada niat buruk mencampuri amal seperti;

Ø inginkan harta dan memuaskan nafsu

Ø supaya disanjung dan menghindar celaan

Ø menyimpan dan melayani rasa dengki

Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah,

Hanya keikhlasan yang dapat mengawal diri dari desakan nafsu dan bisikan syaitan yang bersembunyi di dalam hati. Keadaan ini sangat berbahaya kerana akan menjerumuskan manusia ke dalam syirik sama ada yang kecil maupun besar. Sentiasalah menyedari Allah hanya menerima amal yang ikhlas. Dia menolak pelaku yang tertipu dengan amal yang tidak ikhlas. Ikhlas semata-mata kerana Allah sangat penting bagi setiap amalan kerana,

  • merupakan asas utama iman dan Islam
  • menentukan sama ada setiap amalan diterima atau ditolak berdasarkan syarak
  • menentukan nilai dan kualiti amalan di sisi Allah
  • meraih barakah dan pahala dari Allah

Kita dituntut mengikhlaskan niat sepanjang masa beramal - ikhlas sebelum memulakan amal, ikhlas semasa melakukan amal dan ikhlas sesudah melaksanakan amal.

Contohnya ketika kita mula melangkah menuntut ilmu, kita niatkan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah. Ketika kita sedang belajar juga diniatkan kerana Allah. Begitu juga setelah selesai dan tamat menuntut ilmu, diharapkan terus ikhlas semoga beroleh keredhaan Allah.


Cuba semak dan perbetulkan setiap langkah serta tindakan supaya tidak tersasar seperti keadaan berikut:

  1. Menuntut ilmu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kerjaya atau dipandang hebat dan mulia oleh masyarakat.
  2. Mengajar atau membincangkan ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan dari kalangan ilmuan. Juga untuk mempertajam pemikiran dan kepetahan berbicara.
  3. Menziarahi pesakit dengan harapan akan juga diziarahi ketika dia sakit nanti.
  4. Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya dikenali sebagai orang baik, berhati mulia dan disegani serta dihormati.

Siapa Ikhlas?

Anak-anakku,

Menjelaskan lebih lanjut sifat ikhlas dalam setiap tindakan, cuba renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis tazkirah. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?” Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang keterlaluan bagi mereka.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang.

Cuma seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya.

Apakah yang hebat pada diri pemuda ini yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke

syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap redha Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian.

Ikhlas itu begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih daripada segala kepentingan peribadi. Juga dari riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Dapatlah digambarkan dengan jelas suasana subur yang memudahkan lahirnya keadaan-keadaan berikut,

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu amalan diterima Allah dan layak mendapat keredhaan Allah. Akhirnya nanti memastikan tempat kembali di akhirat kelak. Syurga ataupun neraka.

Kata Fudhail bin ‘Iyadh:

Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’,

beramal kerana manusia adalah syirik,

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.

Dari itu anak-anakku,

Ikhlaskan hati kalian dalam mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta. Ikhlaslah dalam menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat. Juga ikhlas menerima Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam menyampai risalah Islam. Ikhlaslah mengambil al-quran sebagai pedoman hidup.

Seterusnya ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Ikhlaslah berubudiyah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah. Mulakan setiap langkah menuju keredhaan Allah daripada diri kalian sendiri. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan seangkatan di atas landasan kebenaran Islam. Terus maju berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Kemenangan dalam peperangan ini bakal menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Anak-anakku yang akan menang!

Kita tangguhkan dulu dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jadikanlah kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Jadikanlah juga dari keturunan kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukilah kami cara beribadat dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.” Amin.




MANTAPKAN ILMU



Mantapkan Ilmu

“Menuntut ilmu itu adalah diwajibkan kepada setiap muslim, lelaki dan perempuan.”

(HR Ibnu Majah)

Anak-anakku,

Dalam memenuhi tuntutan hadis di atas, pemuda-pemudi Islam yang bijaksana pasti mampu menghimpun kesempurnaan ilmu dan iman. Sedaya upaya membina akhlak ahli ilmu serta memakai amalan ahli iman. Sentiasa teliti menjaga akalnya sebagaimana dia menjaga jasadnya. Juga menyedari seseorang itu dinilai dengan keelokan hati dan lidahnya. Iaitu akal fikiran dan kebijaksanaannya. Dari sini timbul kesungguhan merangsang akal dengan menambah pengetahuan dalam pelbagai jenis ilmu. Agar memberi kekuatan yang mantap dalam usaha memberi bimbingan ke jalan kebenaran.

Pemudi-pemudi Islam sejati, sedarlah!

Menjadi kewajipan setiap pemuda-pemudi Islam, menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Ada ilmu agama dan ada pula ilmu dunia. Ilmu agama memperbaki diri dan hati. Meluruskan tingkahlaku dan mendorong kepada kebaikan dengan berkasih sayang sesama manusia. Manakala ilmu dunia sebagai alat menyingkap rahsia alam dan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan kemunduran.

Pemuda-pemudi Islam yang bijaksana sentiasa mementingkan usaha melengkapkan diri dengan kesempurnaan ilmu dunia dan akhirat. Ini lantaran jiwanya bersungguh-sungguh memperoleh perkara yang membawakan manfaat kepada diri sendiri dan manusia lain.

Pintu-pintu ilmu sentiasa terbuka luas di hadapan kita. Kita boleh memilih dan memasuki yang mana di sukai dan bersesuaian dengan kebolehan diri sendiri. Namun perlu diingat supaya memilih bidang yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Bidang yang dipilih itu juga memberinya laluan tepat dalam melaksanakan tugas utama wanita.

Pemudi-pemudi Islam sejati,

Di sudut fizikal dan jiwa, wanita tidak sama dengan lelaki. Oleh itu adalah tepat, bijak dan mudah melakukan sesuatu seperti yang telah Islam gariskan. Kepada wanita Islam , telah Allah letakkan tanggungjawab besar untuk mendidik generasi, membina pahlawan dan membentuk cendekiawan.

Walau apapun pengkhususan ilmu yang dipilih oleh wanita Islam, hendaklah dia menguasainya dengan bersungguh-sungguh. Pencapaiannya mestilah sesempurna mungkin menepati maksud sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu melakukan suatu pekerjaan, dia bersungguh-sungguh melakukannya.” (HR al-Baihaqi)

Anak-anakku,

Pemuda dan pemudi Islam yang diharapkan membawa kebaikan kepada manusia lain, sewajarnya kini kalian jelas bagaimana mengatur kehidupan dalam batasan akhlak mulia dan menjaga prinsip Islam. Tidaklah wajar bagi setiap mukmin dan mukminah untuk menjalani kehidupan hanya dengan pertimbangan fikiran sendiri sedangkan Allah telah menetapkan yang terbaik. Saling membantulah untuk melaksanakan ketaatan. Sebaliknya janganlah sekali-kali saling membantu melakukan kemungkaran. Yakinlah segala apa jua yang telah Allah tetapkan dalam syariat Islam adalah untuk kesejahteraan insan. Mengingkarinya akan membawa kepada fitnah dan terhumban ke dalam maksiat dan kesesatan. Nauzubillah!