UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

Mukmin Yang Kuat Lebih Disukai Allah


Pemuda-pemudi Harapan!


Renungi dan hayati hakikat ini...

“Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada semua daripada mereka adalah baik, berlumba-lumbalah kamu ke atas manfaat dan mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah bersikap lemah atau malas.” (HR Muslim)

Al-Imam an-Nawawi menjelaskan, maksud al-qawi bermakna kuat.

Ini bermakna kuat dalam perkara-perkara yang mendorong amalan berbentuk ukhrawi. Iaitu kuat mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran.

Pada masa mutakhir ini para ulama memberi penafsiran, al-quwwah bererti kekuatan.

Kekuatan yang dimaksudkan ialah:

  • Kekuatan keimanan yang mendalam di hati.
  • Kekuatan ilmu yang dapat memandu ke arah keimanan dan amalan yang soleh dan sahih.
  • Kekuatan psikologi yang dapat membangun semangat setiap mukmin untuk melaksanakan kebaikan.
  • Kekuatan fizikal yang mendorong pantas bertindak melaksanakan ketaatan kepada al-khaliq.

Seandainya telah melakukan ketaatan berdasarkan kemampuan setiap diri, sentiasalah menyemak, membaiki dan berdoa. Akhirnya serahkan segalanya kepada perhitungan Allah.

“Cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadap dirimu.” (QS Al-Israk: 14)

TANGANNYA MENGGEGAR DUNIA


Sering kita mendengar disebut beberapa ungkapan yang menggambarkan keunggulan wanita;
  • “Di sebalik setiap lelaki unggul dan agung, ada wanita yang menjadi tulang belakangnya.”
  • “Sesungguhnya wanita yang menghayun buaian dengan tangan kanannya mampu menggegar dunia dengan tangan kirinya.”
Pemudi-pemudi harapan!
Wanita Islam mampu memberi sumbangan yang sangat besar sekiranya akal dan fikirannya sentiasa ditumpukan untuk membina peribadi bijaksana dan akhlak mulia. Serta terus-menerus mengkaji dan menambah ilmu hinggalah ke akhir hayat. Para salafussoleh dan ulama-ulama terdahulu, memandang bahawa ilmu akan hidup dan berkembang jika kita berterusan mempelajari dan mendalaminya. Kebanyakan ilmu akan kering dan layu apabila ahlinya berhenti membaca dan mengkaji dan matinya pakar ilmu itu.
Imam Ibnu Al-Barri berkata, “Kamu sentiasa menjadi alim (berilmu), selagi mana kamu menjadi pelajar. Apabila kamu merasa cukup, kamu telah menjadi jahil.”
Imam Malik berkata, “Tidak wajar bagi seorang yang berilmu, meninggalkan pembelajarannya.”
Ditanya kepada Ibnu Mubarak, “Sampai bilakah kamu menuntut ilmu?”
Ibnu Mubarak menjawab, “Hingga ke akhir hayat. Boleh jadi ada kalimah yang belum ku tulis lagi.”
Ditanya kepada Imam Sufian, “Siapakah di antara manusia yang paling berhajatkan ilmu?”
Imam Sufian menjawab, “Orang yang paling alim di kalangan mereka.”
Mengambil kira pandangan tersebut, kita perlu secara berterusan menyegarkan semula ilmu yang dimiliki dengan sentiasa mengisi waktu membaca dan meneliti. Sesungguhnya ketokohan barisan muslimah dalam pelbagai bidang ilmu telah sedia ada semenjak zaman awal Islam lagi.
Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a merupakan contoh unggul dan rujukan utama dalam lipatan sejarah yang agung itu. Beliau merupakan ahli fekah wanita yang pertama dalam Islam. Imam Al-Zuhri berkata, “Jika dihimpunkan ilmu ‘Aisyah kepada ilmu semua isteri Nabi Muhammad SAW dan semua ilmu wanita Islam yang lain ketika itu, maka ilmu ‘Aisyah melebihi semua mereka.”
Pandangannya yang tepat dan akalnya yang tajam bukan setakat dalam hal-hal agama saja, bahkan dia`menjangkau dalam meriwayatkan syair, sastera, sejarah, perubatan dan apa jua ilmu yang terdapat pada zamannya. Ulama muslimin, Urwah bin Al-Zubair berkata,
“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih alim dalam bidang fiqh, perubatan dan syair melebihi ‘Aisyah.”
Ummul Mukminin Sayyidah ‘Aisyah r.a adalah seorang yang sangat bersungguh-sungguh mengkaji dan dan sangat cinta kepada ilmu pengetahuan. Setiap kali beliau mendengar sesuatu perkara, dia pasti akan bertanya dan mengkajinya sehingga benar-benar mengetahui dan memahaminya. Kehidupannya bersama Rasulullah SAW menjadikan dia satu wadah yang dipenuhi dengan ilmu. Dalam sebarang perhimpunan tokoh-tokoh ilmu sezaman sahabat-sahabat Rasulullah SAW, ‘Aisyah akan turut sama menyertai perbincangan mereka. Dia juga membantu memperbetulkan dan menunjukkan sebarang kesilapan.
Di samping ilmu yang luas, ‘Aisyah r.a juga seorang yang fasih lidahnya dan ucapannya sungguh bermutu. Apabila beliau berucap di khalayak, beliau mampu menguasai pendengaran umum dan menarik perhatian ramai. Ini membuatkan pengikut-pengikut sahabat Rasulullah SAW menyebut, “Telah dilihat dan didengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali juga Khulafa’ selepas mereka tetapi ucapan ‘Aisyah lebih baik dan fasih.”
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat utama baginda sering bertemu’Aisyah untuk mendengar kata putus tentang masalah agama dan pelbagai perkara yang rumit di dalam al-quran.
Barisan ilmuan muslimah sezaman ‘Aisyah dan selepas beliau muncul dalam barisan yang berterusan. Tidak terputus, malah semakin ramai. Ilmuan yang seangkatan dengan beliau seperti Asy-Syifa’, Raudhah, Nasibah binti Kaab, Asma’ As-Salehan, Hafsah binti Umar dan ramai lagi contoh-contoh yang masyhur. Bahkan begitu ramai bilangan wanita berilmu, hampir tidak terhitung jumlah mereka. Terus-menerus bertambah, mendalami kepakaran pelbagai bidang ilmu. Semua mereka berperanan menyumbang kepada kegemilangan Islam.
Wahai barisan serikandi harapan!
Bangun dan sedarlah… di bahu kalian juga terpikul amanah untuk berjuang demi keredhaan Allah. Setelah dibentangkan lembaran sejarah silam, binalah keazaman dalam diri untuk menambah kecintaan kepada ilmu dan keinginan menguasainya. Ambil dan contohi sifat amanah yang telah mereka wariskan. Dengannya diharapkan supaya kalian mampu menganjurkan kemajuan bagi umat Islam sepanjang zaman.
Wallahu’alam.

NIKMAT


Antara nikmat-nikmat Allah yang mesti sentiasa diberi perhatian:

· Nikmat sebagai makhluk.
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Q.S. 76:1-3)

· Nikmat sebagai manusia.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya. (Q.S.95:4)

· Nikmat sebagai khalifah.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memuji-Mu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya". (Q.S.2:30)

· Nikmat sebagai Muslim dan nikmat Mukmin.
Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Q.S.5:3)

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya (Q.S. 48:18)

Kedua-dua nikmat ini merupakan nikmat terbesar antara seluruh nikmat-nikmat Allah.

2.Mengapa Islam dan Iman menjadi nikmat terbesar?
Hayati maksud Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atasmu dan Aku redha Islam sebagai agamamu”.

Dengan Islam kita beroleh kebahagian, ketenangan dan ketenteraman. Melalui deen Islam kita beroleh pedoman hidup yang sempurna. Tanpa Islam segala-galanya tidak beerti, malahan bencana akan menimpa diri, anak-anak juga harta benda. Hidup manusia yang tidak beroleh petunjuk Islam sentiasa meraba-raba dalam kegelapan dan kekeliruan .

Manakala dengan Iman pula, kita dianugerahkan taufiq dan hidayah ke jalan ketaatan. Di samping itu kita sentiasa terpelihara dari sebarang kesesatan dan maksiat. Juga dilindungi Allah daripada halangan serta gangguan manusia, jin dan juga syaitan. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah dan menjauhi perbuatan keji. Di samping mengerjakan amal soleh supaya menepati ciri-ciri muslim yang teguh iman.

3. Mengapa kita perlu bersyukur?

Supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak disyukuri nikmat itu akan hilang.
Supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.
Sesungguhnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya apabila tidak disyukuri, nikmat akan hilang dan berpindah tempat. Dengan sentiasa bersyukur, nikmat akan bertambah kerana syukur merupakan pengikat nikmat.

4. Bagaimana membina rasa syukur dalam diri?
Pada hakikatnya bersyukur adalah menjaga diri dari perbuatan maksiat, zahir maupun batin. Secara sembunyi maupun secara terang-terangan. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan.

Dengan hati ; berbuat baik kepada semua makhluk.
Dengan lidah; melahirkan kesyukuran dengan puji-pujian.
Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang lelaki; “Bagaimana engkau pagi ini?”
Lelaki itu menjawab; “”Aku baik-baik saja”. Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaan itu sehingga tiga kali, hingga lelaki itu menjawab; “Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah”. Lalu Rasulullah berkata: “Inilah jawapan yang aku maksudkan dari kamu”.

Dengan anggota badan ; menggunakan nikmaat untuk taat kepada Allah.
Dengan mata ; menutupi cela orang Muslim lain yang terlihat oleh mata.
Dengan telinga ; menjauhi dari mendengar perkara buruk.

Juga dengan lain perkataan, antara tanda terbina rasa syukur ialah ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Yang Maha Berkuasa.

5. Perhatikan juga kesan/hasil yang diperolehi dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
Setiap usaha dan pemerhatian kita terhadap nikmat-nimat Allah tidak akan sia-sia, ianya akan menimbulkan kesan mendalam kepada watak, tingkah laku dan jiwa kita.

Antara kesannya;

Hati dan jiwa kita menjadi lembut dan mudah merasai dhaifnya diri di hadapan Allah juga mudah meletakkan pergantungan kepada Allah.
Menyedari Islam sebagai nikmat terbesar yang disertai ukhwah Islamiah, akan dapat menghindarkan hasad dengki dan permusuhan. Dengan itu hidup sesama umat Islam berlangsung dalam suasana harmoni.
Menyedari diri kita dipenuhi segala macam nikmat dan kurnia Allah, segenap anggota badan mudah terdorong melakukan ketaatan di samping menjauhi maksiat.

Dengan menyedari pentingnya hakikat mensyukuri nikmat tersebut, akan memperdalamkan lagi makrifatullah kita terhadap Yang Maha Pencipta. Tersingkap rahsia belas ikhsan serta melimpah ruahnya nikmat Allah kepada seluruh hamba-hamba-Nya. Maka akan terserlahlah betapa besarnya hajat kita kepada Allah setelah menyedari fakirnya diri kita. Dengan ini akan bertambah subur cinta Ilahi yang berputik di hati. Inilah juga bekalan yang dapat mendorong kita mengagungkan Allah. Mengkagumi-Nya, menyembah-Nya dan mentaati titah perintah-Nya serta bersyukur kepada-Nya. Hasilnya kita akan beribadah bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya demi memperolehi keredhaan-Nya. Inilah bekalan yang kita hajati sepanjang perjalannan hidup yang bermatlamatkan kejayaan hakiki dan kebahgiaan akhirat.

Wallahu’alam.