UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MELANGKAH KE TAHUN BARU DENGAN IKHLAS



Duhai hati yang sentiasa mentaati Ilahi...


Mari kita mulakan langkah di tahun baru 2012 dengan mengikhlaskan niat semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabdanya,

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kerana-Nya dan ditujukan untuk-Nya.” (HR Abu Dawud dan An-Nasai)

Perhatikan pula firman Allah berikut:

  • “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama yang lurus.” (QS Al-Bayyinah:5)
  • “Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan seseorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (QS Al-Kahfi: 110)

Landasan ikhlas dalam beramal ialah dengan memurnikan dan mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Ikhlas itu berpusat di hati dan dipengaruhi oleh bentuk hati setiap orang. Dari itu muslim yang ikhlas memiliki hati yang mampu mengalahkan dorongan nafsu. Juga mampu mendahulukan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia. Dia mementingkan keredhaan Allah daripada keredhaan manusia. Dia menjadikan niat, perkataan dan perbuatannya semata-mata untuk Allah. (solat, ibadah, hidup dan matinya untuk Allah, rabb sekalian alam). Inilah yang dikatakan ikhlas.

Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan ikhlas ialah:

  • Menghendaki keredhaan Allah dalam beramal.
  • Membersihkan diri dari segala dosa.
  • Melakukan amal kerana Allah dan untuk akhirat.
  • Tidak ada niat buruk mencampuri amal seperti;

Ø inginkan harta dan memuaskan nafsu

Ø supaya disanjung dan menghindar celaan

Ø menyimpan dan melayani rasa dengki

Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah,

Hanya keikhlasan yang dapat mengawal diri dari desakan nafsu dan bisikan syaitan yang bersembunyi di dalam hati. Keadaan ini sangat berbahaya kerana akan menjerumuskan manusia ke dalam syirik sama ada yang kecil maupun besar. Sentiasalah menyedari Allah hanya menerima amal yang ikhlas. Dia menolak pelaku yang tertipu dengan amal yang tidak ikhlas. Ikhlas semata-mata kerana Allah sangat penting bagi setiap amalan kerana,

  • merupakan asas utama iman dan Islam
  • menentukan sama ada setiap amalan diterima atau ditolak berdasarkan syarak
  • menentukan nilai dan kualiti amalan di sisi Allah
  • meraih barakah dan pahala dari Allah

Kita dituntut mengikhlaskan niat sepanjang masa beramal - ikhlas sebelum memulakan amal, ikhlas semasa melakukan amal dan ikhlas sesudah melaksanakan amal.

Contohnya ketika kita mula melangkah menuntut ilmu, kita niatkan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah. Ketika kita sedang belajar juga diniatkan kerana Allah. Begitu juga setelah selesai dan tamat menuntut ilmu, diharapkan terus ikhlas semoga beroleh keredhaan Allah.

Cuba semak dan perbetulkan setiap langkah serta tindakan supaya tidak tersasar seperti keadaan berikut:

  1. Menuntut ilmu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kerjaya atau dipandang hebat dan mulia oleh masyarakat.
  2. Mengajar atau membincangkan ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan dari kalangan ilmuan. Juga untuk mempertajam pemikiran dan kepetahan berbicara.
  3. Menziarahi pesakit dengan harapan akan juga diziarahi ketika dia sakit nanti.
  4. Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya dikenali sebagai orang baik, berhati mulia dan disegani serta dihormati.

0 ulasan: