UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MARI KITA MENELITI...


Pemuda-pemudi Harapan yang dikasihi kerana Allah;


Hayati firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 78: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati supaya kamu bersyukur.”

Seterusnya anak-anakku,

Bayangkan seandainya kanak-kanak yang dimaksudkan hilang pendengaran, sudah tentu dia akan mengalami kesukaran dalam hidupnya. Dia akan kurang pengetahuan dan tidak boleh bercakap kerana tidak mendengar sebarang bunyi. Sukar juga untuk kita menyampaikan maklumat kepadanya dengan bahasa isyarat.

Manakala kanak-kanak yang hilang penglihatan pula, dia dapat menggunakan pendengaran untuk belajar bercakap. Namun tidak dapat mengetahui bentuk atau warna sesuatu benda. Lebih bermasalah lagi kanak-kanak yang hilang akal atau terencat akal. Sepanjang hidupnya menjadi kelam.

Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa berfikir ,

Bagaimana pula hal keadaan kanak-kanak yang hilang ketiga-tiga persediaan hidupnya. Hilang pendengaran, penglihatan dan akal?

Ya…pasti hidupnya sangat susah. Tidak ada apa yang dapat diketahui dan tidak ada apa yang dapat disampaikan. Seolah-olah terputus dari hakikat kehidupan sebenar. Di samping itu, seiring nikmat dan kebahagiaan yang besar melalui persediaan hidup yang Allah anugerahkan, kita juga ada tanggungjawab besar iaitu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Berbalik kepada persoalan orang yang hilang nikmat hidup secara fizikal, kita cuba pula fikirkan…bagaimana jika hilang nikmat hidup berbentuk kejiwaan? Dengan lain perkataan, hilang perasaan di hati dan hatinya tidak dapat merasai hakikat kebenaran. Sudah tentu keadaannya akan menjadi lebih buruk. Perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-A’raf, ayat 179,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda) kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Begitulah anak-anakku, dengan pengamatan ini ibu berharap kalian dapat menilai betapa sebesarnya setiap nikmat yang Allah sediakan. Terutamanya nikmat pancaindera yang sepatutnya digunakan untuk mengenali Allah dan menghambakan diri kepada-Nya.

Ingatlah anak-anakku, sekurang-kurangnya darjat syukur yang mesti ada pada kita adalah untuk taat kepada Allah dan serentak dengan itu menjauhi maksiat. Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Al-Isra’, ayat 36, “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu dipertanggungjawabkan di sisi Allah.”

Allah tidak sedikit pun membebani hamba-hamba-Nya dengan tanggungjawab yang diberi. Sesungguhnya semua peranan yang perlu dilaksanakan sesuai dan setara dengan keupayaan yang Allah anugerahkan. Ketahuilah modal utama kehidupan kalian adalah segala anugerah tersebut yang berupa keupayaan pancaindera, kesihatan jasmani dan rohani juga kebebasan akal fikiran. Semua ini begitu tinggi nilainya sehingga tidak dapat dibayar dengan kebendaan. Hanya kita yang kurang menghitung apa yang telah diberikan Allah kepada kita. Keasyikan menyebut perkara-perkara yang tidak diberi kepada kita menjerumuskan kita untuk mengkufuri segala nikmat yang Allah anugerahkan. Seandainya kita sentiasa berfikir dan menggunakan akal, akan terlihatlah bahawa bumi dan langit diciptakan untuk memudahkan kita beribadah. Ayuh! Mari kita mulakan sekarang untuk menggunakan sebaik-baiknya setiap bekalan yang tersedia untuk beramal soleh.