Mari kita mulakan dengan doa:
“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkilah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.”
DIPUJA DAN DITAATI
Persaksikanlah bahawa sesungguhnya tidak ada pengatur alam ini kecuali Allah dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad itu sebagai hamba dan utusan-Nya. Fokuskan hati kita kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikuti contoh kehidupan Ar-Rasul Muhammad SAW.
Mari kita peliharakan diri daripada terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah. Sedarilah tekanan hidup hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai murni serta norma yang tinggi. Sekali gus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak mulia yang juga mengembangkan sifat kejahilan dalam kalangan umat.
Apabila kita tinjau dalam realiti hidup remaja hari ini, menjadi fenomena yang lazim; remaja bergandingan dengan identiti “idola” mereka.
Awas!
Jika diteliti dari takrifnya, idola itu berasal daripada istilah latin “idol” yang bermaksud berhala, sembahan dan pujaan.
Adakah wajar kita berpegangan seperti ini? Sedangkan pada hakikatnya telah diserukan kepada manusia sepertimana maksud firman Allah:
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 21-22)
Telah juga kita maklumi, sudah sebati dan serasi kebanyakan remaja kini ingin memiliki idola mereka sendiri. Kehidupan mereka seolah-olah tidak lengkap jika tanpa adanya idola. Antaranya diambil dari selebriti dunia hiburan dan dunia olahraga, di peringkat kebangsaan maupun antarabangsa. Apa saja watak dan tingkah laku idola pilihan remaja dicontohi secara menyeluruh. Ini meliputi cara dan gaya berpakaian, hobi, makanan, pergaulan dan kerjaya. Malahan ada yang sanggup mencontohi keterampilan yang melampau seperti berpakaian menjolok mata, mewarnakan rambut dan beranting-anting di hidung. Jelasnya remaja kini ketandusan peribadi contoh yang boleh diikuti dan diteladani.
Pada hakikatnya untuk seluruh remaja Islam, Allah telah sediakan contoh ikutan yang mesti diteladani dan dicintai. Beliau memiliki peribadi unggul dan telah terbukti sebagai selebriti di dunia dan di akhirat seperti maksud firman Allah:
“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)
Melalui cara hidup Islam, Rasulullah SAW beserta sahabat-sahabat baginda telah memperlihatkan contoh unggul kepada kita. Sewajarnya kita sentiasa menyedari pengaruh idola sangat berkesan dalam kehidupan alaf baru kini. Ini disebabkan tabiat manusia suka meniru tabiat orang yang disukai dan diminatinya. Bayangkan, sudah tentu angkatan muda akan terjerumus ke lembah kerosakan sekiranya meniru idola yang tidak baik. Sedangkan semestinya tumpuan menyembah dan beribadah hanya ditujukan kepada Allah yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur alam ini. Dengan kata lain, konsep idola atau sembahan yang sebenar hanya layak ditujukan kepada Allah.
DIA YANG DISEMBAH
Mari kita melihat ke hadapan, tanggungjawab besar menanti. Sebagai pembimbing generasi untuk mewarisi risalah suci. Andaikan di kanan terbentang berbagai-bagai bentuk kekayaan yang dihajati setiap diri. Di kiri pula terkumpul segala bentuk perhiasan dunia yang sangat disenangi hati. Nah…yang mana mesti menjadi pilihan?
Sewajarnya iman yang telah sekian lama tertanam, menggugah jiwa kita untuk benar-benar meyakini bahawa Allah telah menetapkan matlamat hidup berdasarkan firman-Nya dalam surah Adz-Zariyat ayat 56:
“Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Dengan dasar inilah Rabiah Al-Adawiyah membina kehidupannya seperti yang ditegaskan dalam pendirian seutuh madahnya:
Kekasihku tiada yang menandingi-Nya.
Tiada ruang kosong di hatiku selain untuk-Nya.
Sekalipun kekasihku tidak dapat aku pandang
dengan mata, namun Dia tetap hadir
bersama degup jantungku.
Dia yang aku sanjung dan aku puja sekalipun ada
orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku aku persembahkan hanya untuk-Nya.
Rabiah dengan sikap tegasnya sentiasa menyatakan bahawa hidupnya telah dipersembahkan kepada Allah SWT semata-mata, atas rasa kerinduan untuk bertemu Allah. Begitulah sepatutnya pendirian setiap pemuda-pemudi Islam harapan, di mana keredhaan Allah mengatasi segala keinginan. Mentaati perintah Allah mendahului segala matlamat. Juga mematuhi hukum syarak menguasai jalan kehidupan. Seiring dengan itu kita sepatutnya sentiasa berbangga dengan keperibadian Islam seperti yang telah terbukti dalam sejarah awal kegemilangan Islam.
KETAATAN MUTLAK
Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan betapa besar peranan setiap diri muslimah mukminah mujahidah yang saling memperteguhkan semangat juang para pondokong dan pencinta deen Allah. Justeru, perhatikan dengan teliti satu persatu peribadi muslimah contoh yang telah mengindahkan warna kegemilangan silam...
Sumaiyyah binti Khayyat merupakan syahidah muslimah yang pertama. Sumaiyah bersama suaminya Yasir dan anaknya Amar diheret ke tengah padang pasir yang gersang. Ketika sinar mentari begitu terik dan debu-debu sahara berterbangan, mereka dipakaikan baju besi yang tebal. Ditaburkan pasir yang panas dan ditindih dengan batu besar lagi pejal. Gambarkan betapa peritnya penyeksaan masa itu sehingga Amar dan Yasir melafazkan pengakuan palsu bertujuan melepaskan diri. Namun Sumaiyah terus berpegang dengan kesabaran. Beliau tetap teguh dengan pendirian untuk menegakkan kalimah – ‘Laila hailallah Muhammadur Rasulullah’. Lantas Abu Jahal menikamnya dengan tombak sehingga mengangkat roh Sumaiyyah menjadi wanita Islam pertama mendapat syahid. Semoga Allah meredhainya…
Selepas Sumaiyah, ramai lagi wanita Islam contoh yang telah sanggup menerima berbagai-bagai bentuk penyeksaan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah SWT penyeksaan dan penindasan tidak melemahkan iman mereka. Malah, mereka semakin sabar, redha dan menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya kebanggaan terhadap keunggulan Islam serta keyakinan terhadap kekuatan iman telah memampukan mereka menghadapi berbagai-bagai ancaman. Fenomena begini terjadi dalam setiap zaman selama muslimin dan muslimat melaksanakan tuntutan Islam secara menyeluruh. Kekuatan yang menyusulinya akan pula menyelamatkan muslim mukmin daripada terjatuh ke dalam lumpur keingkaran. Juga melindungi daripada menyeleweng ke dalam gelombang kebatilan.
Semua ini ditambah lagi dengan tidak meletakkan di hati sebarang idola selain Allah dan mengambil Rasulullah SAW sebagai “role model” (contoh ikutan). Hanya Allah yang layak disembah dan dipatuh. Hasilnya, wujud keadaan di dalam hati setiap wanita Islam sejati nyalaan bara iman yang tidak akan padam. Begitulah seperti yang dapat kita lihat pada keteguhan iman Asiyah isteri Firaun.
Meskipun Asiyah dihamparkan dengan berbagai-bagai kemewahan dan keindahan perhiasan dunia, namun hatinya tidak dapat diubah untuk mempertuhankan Firaun. Sehingga akhirnya Firaun mengancam untuk meragut nyawanya, dia tetap teguh dengan penyembahan kepada Allah yang Maha Esa. Azab dan penyeksaan pedih yang diberi suaminya dipandang ringan oleh Asiyah lantaran teguhnya kesetiaan kepada Maha Pencipta. Asiyah sentiasa mengulang-ulang doanya untuk menyuburkan pengharapannya kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga. Selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (QS At-Tahrim: 11)
Begitulah hasilnya, bila piala hati telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama kalian lakukan ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga perlu digembleng untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.
Perlu sentiasa disedari, kesejahteraan hidup umat sejagat mesti dimulai dengan meletakkan idola yang tepat pada tempat yang disyariatkan oleh Islam itu sendiri. Tersilap dalam konsep penyembahan dan pemujaan hanya akan mengganggu keharmonian alam.
Awas! Patuhi dan taati Allah dalam setiap langkah kita. Sedaya mungkin hati kita diarah mencontohi suara hati Rabiah Al-Adawiyah:
Ya Rabb! Aku mencintai-Mu kerana dua sebab;
Pertama cintaku kerana nikmat-Mu,
Kedua aku cintakan Engkau
Kerana memang patut Engkau dicintai.
Cinta pertama menyibukkan aku sentiasa mengenang-Mu
Cinta kedua membuat aku merasai
Engkau melihat dan menerima cintaku.
Kedua-dua cinta ini
Membuatku hanya memuja-Mu.
Hanya hak-Mu untuk disanjung dan dipuja.
KEMBALI KEPADA FITRAH
Terbentang di hadapan kita perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam.
Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Berpandukan ayat tersebut, dapat difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) ciptaan Allah SWT. Ianya menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Juga dengan lain perkataan pelaksanaan sempurna selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Semestinya kita berpegang teguh dengan prinsip ini sepanjang hayat kita.
Fahami penjelasan Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Kamu mesti berpegang dengan sunnah hingga sekalipun sampai ke akhir zaman yang wujud dua golongan penyeru. Ada penyeru yang berada di ambang neraka dan ada segolongan lagi penyeru ke jalan kebaikan. Sahabat-sahabat Rasulullah bertanya: Bila terjadi yang demikian, apa yang mesti kami lakukan? Sabda baginda: Kamu mestilah berjalan dalam jemaah. Kalau tidak ada jemaah, kamu gigit sunnahku ini dengan geraham hingga kamu mati.”
Perlulah sentiasa diingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti berkaitan pegangan kita terhadap akidah Islam.
Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:
- Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
- Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
- Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
- Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
- Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
- Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
- Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
- Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
- Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
- Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
- Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
- Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
- Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
Yakinlah hakikat iman kepada Allah SWT, merupakan hakikat terbesar dalam kehidupan insan. Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi.
Iman mendalam dan taqwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan taqwa saling mendorong kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.
Sentiasalah ingat firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.” (QS Az-Zumar: 10-11)
Akhirnya sentiasalah berdoa:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.”
Wallahu’alam.
Ummu anas.
0 ulasan:
Catat Ulasan