UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BERSEDERHANA DI HATI AGAR NAFSU KALAH


Pemuda-pemudi Islam yang dikasihi kerana Allah!

Semoga keberkatan dari Allah menyuluh kalian untuk menyusuri jalan takwa.

Puji dan syukur kerana Allah sentiasa melimpahkan nikmat supaya kalian terus berada di landasan kebenaran.

Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam!

Seandainya kalian ingin tetap tergolong dalam barisan insan yang beruntung, penuhi hati kalian dengan kesederhanaan dalam segala urusan. Seiring pula dengan ilmu, iman dan amal yang sentiasa ditingkatkan. Setelah itu mudahlah untuk kalian menundukkan nafsu dan menepis bisikan syaitan.

Ambil perhatian dalam beberapa hal berikut:

1. Tuntutlah ilmu dengan tidak melalaikan beribadah, dan beribadahlah dengan tidak mengabaikan menuntut ilmu.

2. Tidak leka dalam kemewahan material apalagi hanyut dalam alam rohani. Seimbangkan pembahagian hak terhadap Rabb, diri sendiri, kaum keluarga dan masyarakat setempat.

3. Permudahkan dan berlaku adil kepada semua pihak. Tidak berat sebelah atau pilih kasih sehingga merugikan orang lain.

4. Sentiasalah menyebarluaskan berita gembira bukan menghindarkan diri dari bergaul dan beramah tamah. Apatah lagi melontar kecaman dan memfitnah orang lain.

5. Imbangi antara dunia dan akhirat. Tidak memencilkan diri dari kehidupan dunia, tetapi tidak pula terlalu rakus dengan kemewahan dunia seperti anjing berebut tulang.

Anak-anakku,

Jadilah kalian generasi yang ‘awwabun taibun’ – yang sangat takut dirinya bermaksiat kepada Allah. Mereka lebih takut kepada maksiat kalbu kerana ia lebih merbahaya dari maksiat fizikal. Maksiat kalbu yang dimaksudkan ialah; ‘ujub, riya’, sombong, angkuh,suka menonjol diri, berprasangka-buruk dan hasad dengki. Sifat-sifat tersebut boleh memusnahkan segala kebaikan yang dikerjakan seperti api menghanguskan kayu.

Pemuda-pemudi Islam harapan!

Keseimbangan di dalam hati sedemikian rupa hanya tercapai dengan keteguhan iman dan kemantapan ilmu. Paduan keseimbangan iman dan ilmu yang kemudiannya disuburkan lagi dengan praktik ibadah, akan menerbitkan kekuatan luar biasa yang berjaya menepis godaan syaitan dan dorongan hawa nafsu. Nafsu juga akan bertindak lebih pantas daripada bisikan syaitan jika tidak terbina keseimbangan dalam hati. Hanya hati yang sarat takwa dapat mengawal segala tindak tanduk hawa nafsu.

Sentiasalah menyedari, hawa nafsu sentiasa menunggu peluang lemahnya iman, kemudian pula jasad terdorong untuk melakukan dosa dan perlanggaran perintah Allah. Apabila berlaku yang demikan, lenyaplah keseimbangan dan kesederhanaan dalam hati dan nafsu akan menguasai diri anak Adam.

Anak-anak remajaku,

Untuk memastikan hati kalian tetap seimbang dalam kesederhanaan, usahlah lupa diri dengan semata-mata bersenang lenang dan berleka-leka. Hindarkan penyakit ‘wahan’ iaitu sikap takut mati dan cinta dunia. Tanpa wahan kalian akan sentiasa bersegera beribadah demi menjaga keseimbangan dan ksederhanaan hati dalam melayari hidup yang diredai Allah.

Renungilah dengan teliti maksud syair Arab berikut;

Jika mensia-siakan usia,

Tangisilah diri,

Seluruh hidup tidak beroleh laba.

Hidup bagai kapal pelayaran,

Semakin hari dan bulan,

Semakin jauh dari pelabuhan.

Hidup akan ditinggalkan,

Akhirnya kubur juga yang berdekatan.

Pemuda-pemudi harapan!

Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah...,

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang paling beriman.”(QS Ali-Imran:139)

Akhirnya mari sama-sama kita berdoa;

“Ya Allah!

Perbaikilah agamaku yang merupakan pelindung masalahku.

Pebaikilah duniaku yang menjadi penegak kehidupanku.

Pebaikilah akhiratku yang merupakan tempat penentuanku.

Amin!”

Ummu Anas.

Ibu yang sentiasa mendoakan ketakwaan kalian.

0 ulasan: