UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HIDUPKU BERPADA-PADA DEMI KEUNGGULAN ANAKMU


Mari kita buka hati dan fikiran merenungi dan menghayati kisah berikut...

”Apakah alasan dan kata-kata terbaik untuk aku jelaskan tentang duit peninggalan suamiku selama ini?” Berputar-putar fikiran Ibu Rabi’ah memikirkan bagaimana akan dijelaskan tentang wang yang telah ditinggalkan suaminya 28 tahun yang lalu. Satu jangka masa yang sungguh panjang dan berbagai-bagai perkara telah berlaku.

Ibu Rabi’ah terkenang kembali masa lampau. Wang tersebut telah diamanahkan oleh suaminya supaya digunakan pada waktu kesempitan sahaja. Namun, sebaliknya wang itu telah habis digunakan untuk anaknya Rabi’ah menuntut ilmu. Tidak berbaki sama-sekali. Mengapa begitu sekali yang telah dilakukannya? Apa jawapannya nanti jika suaminya terus mendesak inginkan wang tersebut?

Kini anaknya Rabi’ah telah menjadi seorang alim yang tiada tolok bandingnya. Lebih istimewa anaknya telah menjadi periwayat hadis yang sukar ditandingi. Juga menjadi guru kepada Imam Malik. Dengan kemuliaan yang begitu besar, hatinya telah puas. Tidak mengapa wang dan harta habis demi kekayaan ilmu yang berkekalan. Manakala orang alim yang beramal sudah tentu melebihi ahli ibadat. Umpama cahaya bulan purnama yang mengatasi cahaya bintang-bintang yang lain! Para alim ulama itu adalah orang-orang yang mewarisi para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak meninggalkan sedirham pun tetapi yang mereka tinggalkan ialah ilmu. Barang siapa yang mempelajari ilmu, sudah tentu dialah yang paling beruntung.

Ibu Rabi’ah masih melayan fikirannya, tiba-tiba muncul Abu Abdur Rahman di muka pintu.

“Wahai ibu Rabi’ah! Ada berita gembira untuk kamu.”

“Berita apa, wahai Abu Abdur Rahman?”

“Kita telah berjaya memperoleh satu barang paling berharga di muka bumi ini!”

“Apakah barangnya, wahai Abu Abdur Rahman?”

“Barang yang aku maksudkan ialah seorang anak soleh. Aku telah menyaksikan kehebatan ilmu anak kita itu. Tidakkah engkau terdengar orang menyebut ketinggian ilmu Rabi’ah al-Rayi Abu Abdur Rahman? Allah telah mengangkatnya lebih tinggi daripada yang aku sangkakan. Setiap ucapan dan syarahnya sudah tersebar di merata tempat. Bersyukurlah kita kepada Allah kerana dikurniai dengan anak yang soleh.“

Sekarang tibalah masa yang sesuai bagi ibu Rabi’ah untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada suaminya. Dia mula menyusun kata,

“Wahai Abu Abdur Rahman, manakah yang dikau senangi...wang sebanyak tiga puluh ribu dinar atau anak kita yang soleh?”

Spontan Abu Abdur Rahman menjawab, “Sudah tentu anak yang soleh lebih aku inginkan, daripada wang yang banyak.”

Ibu Rabi’ah memberanikan diri, “Sebenarnya wang 30,000 dinar yang dikau tinggalkan itu sudah habis aku gunakan untuk memberi pelajaran untuk anak kita itu.”

Sambil tersenyum simpul Abu Abdur Rahman memujuk isterinya,

“Kalau itulah yang engkau khuatirkan…aku sebenarnya sangat berterima-kasih di atas segala usahamu. Mengapa tidak dijelaskan awal-awal lagi? Demi Allah! Menghabiskan wang yang begitu banyak untuk memberi pelajaran kepada anak bukanlah pengorbanan yang sia-sia. Allah akan kurniakan balasan pahala yang berlipat kali ganda. Wanita sepertimu sebenarnya muslimah sejati. Engkaulah seorang ibu mithali. Seandainya semua ibu bersikap sepertimu dalam mendidik anak, pasti generasi mendatang akan berjaya membawa kebaikan…”

Beraraklah sudah mendung yang menyuramkan hati ibu Rabi’ah. Segala penanggungan dan kepayahan mendidik anaknya selama 28 tahun ditinggalkan suami telah terbayar oleh pengertian yang cukup mendalam. Tidaklah lagi ibu Rabi’ah terkilan terhadap wang yang sudah habis dibelanjakan untuk keperluan anak tunggalnya menuntut ilmu. Meskipun selama ini dia telah mengekang kehidupannya dengan bersederhana sekadar keperluan.

Wahai setiap diri ...!

Bangunlah! Kini masa di bahu kalian pula untuk memikul amanah berjuang demi kegemilangan generasi mendatang. Setelah dibentangkan lembaran sejarah silam, binalah keazaman dalam diri untuk menambah kecintaan kepada ilmu dan keinginan menguasainya. Ambil dan contohi sifat amanah yang telah barisan serikandi itu semua wariskan. Dengan itu kalian akan mampu menganjurkan kemajuan bagi umat Islam sepanjang zaman.

Sama-samalah kita berdoa:

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami orang-orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunan kami. Ya Allah! Beri ampunlah bagi kami dan kedua-dua ibu bapa kami dan orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” Amin.


2 ulasan:

Unknown berkata...

Terkesan. benar-benar suatu yang datang daripada hati.

15 Januari 2012 pada 6:03 PTG  
Noraini Eslah berkata...

jazakallah,iqbal syarie...
semoga Allah merahmati ibu yg mengasuh kita n ayah yg membimbing kita...

16 Januari 2012 pada 11:50 PTG