*buat sekian kalinya tajuk ini dipaparkan lagi, supaya cinta kita kpd Yang Empunya Cinta tambah subur!
Khusus buat puteri-puteri Islam sejati;
Semoga Allah mengikat antara hati-hati kita dengan ikatan ukhwah fillah yang telah dijanjikanNya untuk beroleh limpahan kasihNya,
Rasulullah SAW bersabda; “Allah berfirman: cintaKu pasti akan mereka perolehi bagi orang yang saling mengasihi kerana Aku, saling mengunjungi kerana Aku, dan saling memberi kerana Aku”.
Anak-anakku,
Pada hakikatnya setiap diri Mukmin telah Allah tautkan dengan ukhwah fillah, asal saja kita memiliki hati
yang dipenuhi taqwa serta ikhlas. Ini bermakna ukhwah fillah merupakan sifat yang mengiringi keimanan. Tidak ada ukhwah tanpa keimanan dan tidak ada keimanan tanpa ukhwah. Ukhwah tanpa keimanan hanya merupakan pertemuan disebabkan kepentingan tertentu dan saling bertukar budi. Manakala keimanan tanpa ukhwah adalah keimanan yang kurang sihat dan memerlukan pengubatan.
Rasulullah SAW ada bersabda;
“Janganlah kamu saling memutus hubungan, Janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling berbenci-bencian, dan janganlah kamu saling berhasad-dengki. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seseorang Muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”.(HR Bukhari dan Muslim)
Ukhwah fillah (persaudaraan Islam) bukanlah sesuatu yang dapat dibeli dengan harta dan juga bukan warisan dari ibu-bapa. Ianya merupakan kesatuan roh yang disaluti cinta suci dan dilimpahi kasih Ilahi. Semua ini dalam bentuk rahsia yang Allah kehendaki. Tautan dan jaringan rahsia ini mampu menguasai dua hati mukmin yang belum pernah bertemu dan berkenalan sebelumnya. Mereka secara ajaib merasai tali persaudaraan yang mengikat antara satu sama lain. Tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menunggu untuk bertemu kembali. Mereka sama-sama merasai nikmat kesetiaan dan persaudaraan. Maha Suci Allah yang telah mempersaudarakan setiap hati mukmin dengan aqidah Islam. Ikatan ini begitu teguh terpelihara di sisi Allah. Tiada sesiapa pun dan apa jua kuasa pun yang dapat memutuskannya, selagimana individu terbabit mempertahankan keimanan dan ketaqwaan.
Perhatikan dengan teliti maksud hadis berikut;
“Roh-roh itu bagaikan bala tentera. Mana-mana askar yang berkenalan antara satu sama lain akan bersatu dan mana-mana yang tidak mengenali antara satu sama lain, akan pula berselisih”. (HR Bukhari dan Muslim).
Daripada Amru bin Jumuh r.a, Rasulullah SAW bersabda;
“Seorang hamba tidak akan mendapat keimanan yang benar sehingga dia cinta dan benci kerana Allah. Jika dia cinta dan benci kerana Allah, dia berhak mendapat perlindungan Alah”.
Puteri-puteri Harapan,
Sebagai saudara seagama dan seaqidah, kalian merupakan cermin antara satu sama lain. Sedia dimaklumi, setiap diri kita mempunyai kelemahan. Kita sering alpa pada kelemahan diri sendiri. Dari itu kita berhajatkan seseorang yang boleh memberitahu tentang kelemahan kita, demi memudahkan usaha membaiki diri. Dalam praktik situasi sensitif begini kita juga perlukan seorang saudara seaqidah yang ikhlas dan mewah mahabbah serta halus perasaannya. Juga memiliki tutur-kata yang sopan dan bijaksana dalam memberi nasihat. Watak sedemikian akan lahir dari saudara yang melaksanakan tanggungjawab sebagai saudara muslim dengan ikhlas semata-mata mengharap keredhaan Allah. Keadaan begini telah terbukti terlaksana di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Sayyidia Umar al-Khattab sentiasa meminta sahabat menegur dan memperingatkan beliau. Namun teguran tersebut berlangsung dalam sebaik-baik keadaan yang terkawal. Dalam suasana harmoni dan tidak sewenang-wenangnya di khalayak ramai. Ianya hanya antara yang menegur dan ditegur. Dari itu tidak menimbulkan salah faham dan tersinggung perasaan.
Anak-anakku,
Sentiasalah menyedari maksud firman Allah dalam hadis qudsi;
“Kecintaanku hanya untuk orang-orang yang saling menyintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban kerana Ku. Orang-orang yang menyintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu terhadap mereka”.(HR Ibnu Hibban dan lain-lain).
Begitulah ganjaran yang bakal diperolehi dari persaudaraan Islam sejati yang dibina di atas iman dan taqwa. Disuburkan pula dengan suasana yang baik (biah solehah). Alangkah besarnya bekalan yang didapati oleh seseorang itu dalam persaudaraan kerana Allah. Mereka hidup bahagia dalam suasana saling bekerjasama dan dilimpahi kasih-sayang Allah. Juga beroleh keampunan dan keredhaanNya.
Islam sangat mengambil berat tentang kelangsungan persaudaraan Islam, hinggakan ianya merupakan perkara utama yang Rasulullah SAW selesaikan sewaktu hijrah baginda ke Madinah. Setelah menanamkan iman mendalam kepada setiap muslim mukmin, Rasulullah mempersaudarakan mereka dengan ikatan persaudaran Islam (ukhwah Islamiah).
Puteri-puteri Islam Sejati!
Ukhwah Islamiah ini sifat keteguhannya juga sepertimana keimanan, ada masa kuat, ada masa lemah. Untuk mengekalkan fungsinya, wajarlah sentiasa disuburkan. Sehubungan ini Rasulullah SAW ada bersabda;
“Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kutunjukkan amalan yang apabila kamu lakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam sesamamu”.
Dalam hal ini, SEBARKAN SALAM dapat dijelas dengan tiga pengertian;
· Pertama: Ucapan salam bermaksud cinta dan kasih sayang. Apabila menyambut saudara muslim, tunjukkanlah wajah ceria. Hulurkan tangan dengan hangat dan penuh rasa kasih-sayang. Buang rasa berprasangka. Lebih segar dengan meluahkan kata-kata; ‘saudaraku, aku sangat mengasihimu’. Dijawab pula dengan berkata; ‘Semoga Allah mencintaimu yang demi Dia kamu mencintaiku’ Bukankah suasana begini sungguh indah!. Ianya menjadi limpahan kasih dan tautan hati. Akan harum mewangi kehidupan insan dalam redha Ilahi.
· Kedua: Ucapan salam bermaksud memberi salam kepada saudaramu pada awal pertemuan. Hal ini membuat dia merasa aman dan tenang kerana kamu berada bersamanya untuk menyenangkan dan membahagiakannya. Dengan salam bererti kamu tidak akan menyakiti dan membahayakannya. Ia juga bermakna tidak akan berdusta, berbuat jahat, mencaci dan berburuk sangka kepadanya.
· Ketiga: Ucapan salam itu juga bermaksud memberi banyak keberkatan dan kebaikan kepada saudaramu. Memberi jaminan untuk hanya membicarakan yang baik-baik sahaja. Kebaikan tersebut sentiasa diiringi keberkatan dari AllahSWT.
Puteri-puteri Harapan! yang menjadi tulang belakang ummah;
Bersungguh-sungguhlah berusaha untuk beroleh kedudukan yang telah Allah janjikan…
“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang tidak termasuk para Nabi dan juga para syuhada’, tetapi pada hari akhirat para nabi dan syuhada’ cemburu kerana kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka?”.
Rasulullah menjawab; “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dan bukan berdasarkan hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan”.
“Demi Allah, muka mereka itu bercahaya. Mereka berada di atas cahaya. Tidak merasa takut ketika orang lain merasa takut. Tidak berdukacita pada saat orang lain berdukacita”.
Kemudian Rasulullah membacakan firman Allah dalam surah Yunus ayat 62: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tidak merasa khuatir dan tidak pula bersedih hati”. (HR Abu Daud, Nasai dan Ibnu Hibban)
Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendokan ketaqwaan kalian.
0 ulasan:
Catat Ulasan