Yakinlah janji Allah adalah benar dan pasti!
Akhirat itu benar…, Syurga itu benar… dan Neraka itu benar!
Mati itu pasti akan datang menjemput kita mengadap Yang Maha Adil lagi Maha Perkasa.
Dari itu, marilah kita renungi dengan teliti persiapan menghadapi mati. Agar sempurna bekalan menuju redha Ilahi.
Anak-anakku,
Ketahui, suatu perkara yang sering kita lupa untuk mengingatinya, mungkin juga cuba untuk tidak mengingatinya ialah kematian. Kita begitu gerun, khuatir malah berasa sedih untuk mengira-ngira anggaran berapa lama lagi kita akan mati…. Mengapa demikian? Adakah kita terlalu mencintai kehidupan dunia? Kita khuatir akan kehilangan segala kesenangan dunia?
Renungi firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185;
“Tiap-tiap diri akan merasai mati.”
Ini bermakna, tiada seorang pun dapat melarikan diri dari kematian. Sering kita menerima perkhabaran tentang kematian seseorang…, kita menganggap seolah-olah kematian itu hanya untuk orang lain. Tidak ditujukan untuk kita? Ini tidak lain kerana kita terleka dengan kesenangan dunia. Tapi bagaimanapun tanggapan kita…, mampukah kita mengelak dari kematian? Pada hakikatnya kita perlu sentiasa sedar, mati akan datang pada bila-bila masa, secara tiba-tiba. Dari itu marilah kita bersedia untuk menemui Allah dengan hati bersih dari sebarang dosa.
Mari sama-sama kita teliti keadaan ini;
1. Bayangkan tiba-tiba kita jatuh sakit yang kuat dan aneh. Kita tentu akan segera berjumpa doktor.
2. Melalui penelitian doktor, penyakit yang kita hidapi sudah tenat dan akan membawa maut. Bagaimana perasaan kita? Masa hayat yang tinggal hanya sedikit.
3. Sudah tentu setiap detik yang kita lalui sangat berharga. Pasti kita akan bersegera membuat segala kebaikan dan taat mengerjakan perintah Allah dengan ikhlas.
4. Juga kita akan mengorbankan apa saja yang kita miliki, berupa harta benda, masa, tenaga dan jiwa raga di jalan Allah tanpa ragu-ragu.
5. Dalam keadaan sakit yang menanti ajal begitu, kita tidak akan terlintas untuk melakukan sebarang maksiat. Malah tidak terdorong langsung untuk melakukan sebarang dosa.
Sebenarnya kita sendiri tidak tahu berapa lamakah sebenarnya sisa hidup kita yang masih tinggal. Dari itu kita mestilah sentiasa bersegera melakukan amal soleh. Tanpa tangguh-tangguh lagi. Jika masih bertangguh-tangguh, dikhuatiri kita kembali ke hadrat Allah dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Jadikan diri kita termasuk golongan yang Allah sifatkan dalam firmanNya;
“Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan dan merekalah orang yang segera memperolehnya”.(QS Al-Mukminun: 61)
Rasulullah SAW sendiri menyifatkan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati. Lalu dia segera mempersiapkan diri untuk menghadapi saat itu. Dengan itu kita akam beroleh banyak manfaat dan menyediakan diri kita sebagai muslim yang suci dari segala noda dan dosa;
1. Menimbulkan rasa kecintaan dan redha terhadap segala ketentuan Allah.
2. Dapat membebaskan diri kita dari berhutang tanggungjawab yang telah Allah perintahkan.
3. Hati kita sentiasa merasa aman dan sejahtera. Serta dalam keadaan berbaik sangka dan ikhlas terhadap saudara muslim yang lain.
4. Kita mampu menepis godaan syaitan untuk melakukan maksiat kerana mengingati mati akan datang bila-bila masa dan secara tiba-tiba.
5. Meletakkan diri kita di jalan yang lurus lagi benar dan diredhai Allah.
Pemuda-pemudi Islam sejati!
Ingatlah suatu ketika dulu, sewaktu dilahirkan kita dalam keadaan menangis. Sedangkan orang-orang di sekeliling kita tertawa gembira menyambut kehadiran kita. Kini berusahalah pula agar kita dalam keadaan gembira dan Allah redha di saat kita mati. Sedangkan orang-orang di sekeliling kita menangis kerana kita meninggalkan mereka.
Jadikan saat kematian kita pada jalan Allah dalam keadaan kita suka menemui Allah dan Allah suka menemui kita. Dengannya kita beroleh satu kematian yang disifatkan sebagai kematian yang baik – husnul khatimah. Iaitu kematian yang terpuji bagi orang yang beriman menepati firman Allah;
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu.”(Al-Fajr:27-30)
Anak-anakku,
Alangkah bahagianya akhir kesudahan kita, andainya seruan Allah dalam ayat tersebut layak untuk kita…Untuk itu, bersegeralah kita hitung terlebih dahulu diri dan bermuhasabah terhadap amalan kita berpandukan sabda Rasulullah SAW;
“Setiap hamba pada hari kiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana jua selagi dia belum selesai disoal siasat mengenai empat perkara:
1. Umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?
2. Masa remajanya bagaimanakah dia menghadapi ujian waktu itu?
3. Hartanya bagaimana dia memperolehinya dan bagaimana dia membelanjakan?
4. Ilmunya apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?
(HR Muaz bin Jabal r.a)
Pemuda-pemudi Harapan!
Perhatikan cebisan riwayat berikut agar ianya tambah memperingatkan kita dalam masa seharian yang kita lalui…
Pada suatu hari Khalifah Sulaiman bin Malik(Bani Abasiyyah) telah pergi berjumpa dengan Abu Hazim untuk meminta nasihat. Walaupun di istananya sudah ada ulamak yang dibayar gaji, dia tetap juga berusaha memperolehi nasihat dari ulamak yang lain. Demikian antara yang ditanyakannya:
Khalifah: Mengapa kita sangat takutkan mati?
Abu Hazim: Kamu membangunkan dunia kamu. Tetapi dalam masa yang sama kamu merobohkan akhirat kamu.
Khalifah: Bagaimana keadaan mereka di akhirat nanti?
Abu Hazim: Bergantung kepada orangnya. Bagi yang kenal dengan Allah dan ikhlas, mereka itu seperti seorang anak tunggal kesayangan keluarga yang pulang ke pangkuan keluarga setelah lama berpisah. Tetapi bagi yang bermasalah, mereka itu seperti seorang hamba yang engkar dan lari dari tuannya, kemudian dapat ditangkap semula.”
Ayuh anak-anakku!
Bersegeralah membuat pembaharuan dalam menjalani kehidupanmu dan buatlah persiapan rapi untuk menghadapi matimu…. Kepada Allah jua tempat kembali.
Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.
0 ulasan:
Catat Ulasan