UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

NIKMAT

Antara nikmat-nikmat Allah yang mesti sentiasa diberi perhatian:

· Nikmat sebagai makhluk.
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda Yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Q.S. 76:1-3)

· Nikmat sebagai manusia.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya. (Q.S.95:4)

· Nikmat sebagai khalifah.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya". (Q.S.2:30)

· Nikmat sebagai Muslim dan nikmat Mukmin.
Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Q.S.5:3)

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya (Q.S. 48:18)

Kedua-dua nikmat ini merupakan nikmat terbesar antara seluruh nikmat-nikmat Allah.

2.Mengapa Islam dan Iman menjadi nikmat terbesar?
Hayati maksud Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redha Islam sebagai agamamu”.

Dengan Islam kita beroleh kebahagian, ketenangan dan ketenteraman. Melalui deen Islam kita beroleh pedoman hidup yang sempurna. Tanpa Islam segala-galanya tidak beerti, malahan bencana akan menimpa diri, anak-anak juga harta benda. Hidup manusia yang tidak beroleh petunjuk Islam sentiasa meraba-raba dalam kegelapan dan kekeliruan .

Manakala dengan Iman pula, kita dianugerahkan taufiq dan hidayah ke jalan ketaatan. Di samping itu kita sentiasa terpelihara dari sebarang kesesatan dan maksiat. Juga dilindungi Allah daripada halangan serta gangguan manusia, jin dan juga syaitan. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah dan menjauhi perbuatan keji. Di samping mengerjakan amal soleh supaya menepati ciri-ciri muslim yang teguh iman.

3. Mengapa kita perlu bersyukur?

Supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak disyukuri nikmat itu akan hilang.
Supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.
Sesungguhnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya apabila tidak disyukuri, nikmat akan hilang dan berpindah tempat. Dengan sentiasa bersyukur, nikmat akan bertambah kerana syukur merupakan pengikat nikmat.

4. Bagaimana membina rasa syukur dalam diri?
Pada hakikatnya bersyukur adalah menjaga diri dari perbuatan maksiat, zahir maupun batin. Secara sembunyi maupun secara terang-terangan. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan.

Dengan hati ; berbuat baik kepada semua makhluk.
Dengan lidah; melahirkan kesyukuran dengan puji-pujian.
Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang lelaki; “Bagaimana engkau pagi ini?”
Lelaki itu menjawab; “”Aku baik-baik saja”. Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaan itu sehingga tiga kali, hingga lelaki itu menjawab; “Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah”. Lalu Rasulullah berkata: “Inilah jawapan yang aku maksudkan dari kamu”.

Dengan anggota badan ; menggunakan nikmaat untuk taat kepada Allah.
Dengan mata ; menutupi cela orang Muslim lain yang terlihat oleh mata.
Dengan telinga ; menjauhi dari mendengar perkara buruk.

Juga dengan lain perkataan, antara tanda terbina rasa syukur ialah ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Yang Maha Berkuasa.

5. Perhatikan juga kesan/hasil yang diperolehi dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
Setiap usaha dan pemerhatian kita terhadap nikmat-nimat Allah tidak akan sia-sia, ianya akan menimbulkan kesan mendalam kepada watak, tingkah laku dan jiwa kita.

Antara kesannya;

Hati dan jiwa kita menjadi lembut dan mudah merasai dhaifnya diri di hadapan Allah juga mudah meletakkan pergantungan kepada Allah.
Menyedari Islam sebagai nikmat terbesar yang disertai ukhwah Islamiah, akan dapat menghindarkan hasad dengki dan permusuhan. Dengan itu hidup sesama umat Islam berlangsung dalam suasana harmoni.
Menyedari diri kita dipenuhi segala macam nikmat dan kurnia Allah, segenap anggota badan mudah terdorong melakukan ketaatan di samping menjauhi maksiat.
Puteri-puteriku yang sentiasa gigih mengumpul kekuatan,
Dengan menyedari pentingnya hakikat mensyukuri nikmat tersebut, akan memperdalamkan lagi makrifatullah kita terhadap Yang Maha Pencipta. Tersingkap rahsia belas ikhsan serta melimpah ruahnya nikmat Allah kepada seluruh hamba-hambaNya. Maka akan terserlahlah betapa besarnya hajat kita kepada Allah setelah menyedari fakirnya diri kita. Dengan ini akan bertambah subur cinta Ilahi yang berputik di hati. Inilah juga bekalan yang dapat mendorong kita mengagungkan Allah. MengkagumiNya, menyembahNya dan mentaati titah perintahNya serta bersyukur kepadaNya. Hasilnya kita akan beribadah bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya demi memperolehi keredhaanNya. Inilah bekalan yang kita hajati sepanjang perjalannan hidup yang bermatlamatkan kejayaan hakiki dan kebahgiaan akhirat.

0 ulasan: