UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

IDOLA HATI



HATI-HATI MELETAKKAN IDOLA DI HATI

Mari kita mulakan dengan doa:

“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkilah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.”

DIPUJA DAN DITAATI

Persaksikanlah bahawa sesungguhnya tidak ada pengatur alam ini kecuali Allah dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad itu sebagai hamba dan utusan-Nya. Fokuskan hati kita kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikuti contoh kehidupan Ar-Rasul Muhammad SAW.

Mari kita peliharakan diri daripada terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah. Sedarilah tekanan hidup hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai murni serta norma yang tinggi. Sekali gus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak mulia yang juga mengembangkan sifat kejahilan dalam kalangan umat.

Apabila kita tinjau dalam realiti hidup remaja hari ini, menjadi fenomena yang lazim; remaja bergandingan dengan identiti “idola” mereka.

Awas!

Jika diteliti dari takrifnya, idola itu berasal daripada istilah latin “idol” yang bermaksud berhala, sembahan dan pujaan.

Adakah wajar kita berpegangan seperti ini? Sedangkan pada hakikatnya telah diserukan kepada manusia sepertimana maksud firman Allah:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 21-22)

Telah juga kita maklumi, sudah sebati dan serasi kebanyakan remaja kini ingin memiliki idola mereka sendiri. Kehidupan mereka seolah-olah tidak lengkap jika tanpa adanya idola. Antaranya diambil dari selebriti dunia hiburan dan dunia olahraga, di peringkat kebangsaan maupun antarabangsa. Apa saja watak dan tingkah laku idola pilihan remaja dicontohi secara menyeluruh. Ini meliputi cara dan gaya berpakaian, hobi, makanan, pergaulan dan kerjaya. Malahan ada yang sanggup mencontohi keterampilan yang melampau seperti berpakaian menjolok mata, mewarnakan rambut dan beranting-anting di hidung. Jelasnya remaja kini ketandusan peribadi contoh yang boleh diikuti dan diteladani.

Pada hakikatnya untuk seluruh remaja Islam, Allah telah sediakan contoh ikutan yang mesti diteladani dan dicintai. Beliau memiliki peribadi unggul dan telah terbukti sebagai selebriti di dunia dan di akhirat seperti maksud firman Allah:

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)

Melalui cara hidup Islam, Rasulullah SAW beserta sahabat-sahabat baginda telah memperlihatkan contoh unggul kepada kita. Sewajarnya kita sentiasa menyedari pengaruh idola sangat berkesan dalam kehidupan alaf baru kini. Ini disebabkan tabiat manusia suka meniru tabiat orang yang disukai dan diminatinya. Bayangkan, sudah tentu angkatan muda akan terjerumus ke lembah kerosakan sekiranya meniru idola yang tidak baik. Sedangkan semestinya tumpuan menyembah dan beribadah hanya ditujukan kepada Allah yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur alam ini. Dengan kata lain, konsep idola atau sembahan yang sebenar hanya layak ditujukan kepada Allah.

DIA YANG DISEMBAH

Mari kita melihat ke hadapan, tanggungjawab besar menanti. Sebagai pembimbing generasi untuk mewarisi risalah suci. Andaikan di kanan terbentang berbagai-bagai bentuk kekayaan yang dihajati setiap diri. Di kiri pula terkumpul segala bentuk perhiasan dunia yang sangat disenangi hati. Nah…yang mana mesti menjadi pilihan?

Sewajarnya iman yang telah sekian lama tertanam, menggugah jiwa kita untuk benar-benar meyakini bahawa Allah telah menetapkan matlamat hidup berdasarkan firman-Nya dalam surah Adz-Zariyat ayat 56:

“Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Dengan dasar inilah Rabiah Al-Adawiyah membina kehidupannya seperti yang ditegaskan dalam pendirian seutuh madahnya:

Kekasihku tiada yang menandingi-Nya.

Tiada ruang kosong di hatiku selain untuk-Nya.

Sekalipun kekasihku tidak dapat aku pandang

dengan mata, namun Dia tetap hadir

bersama degup jantungku.

Dia yang aku sanjung dan aku puja sekalipun ada

orang lain di sampingku.

Jiwa dan hatiku aku persembahkan hanya untuk-Nya.

Rabiah dengan sikap tegasnya sentiasa menyatakan bahawa hidupnya telah dipersembahkan kepada Allah SWT semata-mata, atas rasa kerinduan untuk bertemu Allah. Begitulah sepatutnya pendirian setiap pemuda-pemudi Islam harapan, di mana keredhaan Allah mengatasi segala keinginan. Mentaati perintah Allah mendahului segala matlamat. Juga mematuhi hukum syarak menguasai jalan kehidupan. Seiring dengan itu kita sepatutnya sentiasa berbangga dengan keperibadian Islam seperti yang telah terbukti dalam sejarah awal kegemilangan Islam.

KETAATAN MUTLAK

Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan betapa besar peranan setiap diri muslimah mukminah mujahidah yang saling memperteguhkan semangat juang para pondokong dan pencinta deen Allah. Justeru, perhatikan dengan teliti satu persatu peribadi muslimah contoh yang telah mengindahkan warna kegemilangan silam...

Sumaiyyah binti Khayyat merupakan syahidah muslimah yang pertama. Sumaiyah bersama suaminya Yasir dan anaknya Amar diheret ke tengah padang pasir yang gersang. Ketika sinar mentari begitu terik dan debu-debu sahara berterbangan, mereka dipakaikan baju besi yang tebal. Ditaburkan pasir yang panas dan ditindih dengan batu besar lagi pejal. Gambarkan betapa peritnya penyeksaan masa itu sehingga Amar dan Yasir melafazkan pengakuan palsu bertujuan melepaskan diri. Namun Sumaiyah terus berpegang dengan kesabaran. Beliau tetap teguh dengan pendirian untuk menegakkan kalimah – ‘Laila hailallah Muhammadur Rasulullah’. Lantas Abu Jahal menikamnya dengan tombak sehingga mengangkat roh Sumaiyyah menjadi wanita Islam pertama mendapat syahid. Semoga Allah meredhainya…

Selepas Sumaiyah, ramai lagi wanita Islam contoh yang telah sanggup menerima berbagai-bagai bentuk penyeksaan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah SWT penyeksaan dan penindasan tidak melemahkan iman mereka. Malah, mereka semakin sabar, redha dan menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya kebanggaan terhadap keunggulan Islam serta keyakinan terhadap kekuatan iman telah memampukan mereka menghadapi berbagai-bagai ancaman. Fenomena begini terjadi dalam setiap zaman selama muslimin dan muslimat melaksanakan tuntutan Islam secara menyeluruh. Kekuatan yang menyusulinya akan pula menyelamatkan muslim mukmin daripada terjatuh ke dalam lumpur keingkaran. Juga melindungi daripada menyeleweng ke dalam gelombang kebatilan.

Semua ini ditambah lagi dengan tidak meletakkan di hati sebarang idola selain Allah dan mengambil Rasulullah SAW sebagai “role model” (contoh ikutan). Hanya Allah yang layak disembah dan dipatuh. Hasilnya, wujud keadaan di dalam hati setiap wanita Islam sejati nyalaan bara iman yang tidak akan padam. Begitulah seperti yang dapat kita lihat pada keteguhan iman Asiyah isteri Firaun.

Meskipun Asiyah dihamparkan dengan berbagai-bagai kemewahan dan keindahan perhiasan dunia, namun hatinya tidak dapat diubah untuk mempertuhankan Firaun. Sehingga akhirnya Firaun mengancam untuk meragut nyawanya, dia tetap teguh dengan penyembahan kepada Allah yang Maha Esa. Azab dan penyeksaan pedih yang diberi suaminya dipandang ringan oleh Asiyah lantaran teguhnya kesetiaan kepada Maha Pencipta. Asiyah sentiasa mengulang-ulang doanya untuk menyuburkan pengharapannya kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga. Selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (QS At-Tahrim: 11)

Begitulah hasilnya, bila piala hati telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama kalian lakukan ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga perlu digembleng untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Perlu sentiasa disedari, kesejahteraan hidup umat sejagat mesti dimulai dengan meletakkan idola yang tepat pada tempat yang disyariatkan oleh Islam itu sendiri. Tersilap dalam konsep penyembahan dan pemujaan hanya akan mengganggu keharmonian alam.

Awas! Patuhi dan taati Allah dalam setiap langkah kita. Sedaya mungkin hati kita diarah mencontohi suara hati Rabiah Al-Adawiyah:

Ya Rabb! Aku mencintai-Mu kerana dua sebab;

Pertama cintaku kerana nikmat-Mu,

Kedua aku cintakan Engkau

Kerana memang patut Engkau dicintai.

Cinta pertama menyibukkan aku sentiasa mengenang-Mu

Cinta kedua membuat aku merasai

Engkau melihat dan menerima cintaku.

Kedua-dua cinta ini

Membuatku hanya memuja-Mu.

Hanya hak-Mu untuk disanjung dan dipuja.


0 ulasan: