UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HATI MENGAWAL SEMUA TINDAKAN

Wahai setiap diri yang diperhati!

Mari kita hayati maksud sabda Rasulullah bermaksud,

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kemudian perasaan kita akan lebih tergugah apabila kita memahami maksud firman Allah yang berbunyi,

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.” (QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,

  1. menuju jalan kebaikan
  2. menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Ini beerti orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah. Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu kita mesti bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu. Dengan lain perkataan, hati menjadi tempat kawalan seluruh tindakan jasmani dan akal. Jika hati lemah dalam mengawal ketiga-tiga unsur ini, hawa nafsu akan menguasai setiap tindakan dan syaitan mudah mengarah diri hamba Allah untuk mengingkari perintah Allah. Nauzubillah!

Renungi pula maksud syair Arab berikut,

Bila nafsu ditaati pada kenikmatnya

Diri digelar tidak berakal lalu tidak dihormati

Bila diri menuruti ajakan nafsu,

Ia pantas membawa keburukan yang haram!

Hawa nafsu itu musuh diri,

mengingkarinya adalah teman.

Sesungguhnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan kita kepada Allah. Nafsu pula sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang kita lakukan. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.

Alangkah baiknya seandainya iman dan takwa bertapak kuat dalam hati kita. Dengan itu kita akan beroleh kekuatan menangkis desakan nafsu dan menepis bisikan syaitan! Bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,

“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhan-nya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Membentuk Hati Ikhlas

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk dan diberikan peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia dan juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat kelak.

Ayuhlah! Bersegeralah kita menepis desakan nafsu sepanjang puasa sebulan penuh Ramadhan Al-Mubarak. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu mencegah berlakunya sebarang bentuk maksiat dan kemungkaran. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar, lebih-lebih lagi puasa Ramadhan dikhususkan bagi melatih diri mengikhlaskan segala amalan dilakukan semata-mata kerana Allah.

Seterusnya mari kita praktikkan langkah-langkah membesihkan hati;

1. Sentiasa mengingati Allah dengan zikrullah.

2. Kuat berpegang kepada cara hidup Islam.

3. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.

4. Sentiasa menjauhi larangan-Nya serta menghindari perkara sia-sia.

5. Bersihkan hati dari hasad dengki, marah dan menipu.

6. Tenang dan lapang hati melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah.

Selepas kita berusaha membersihkan hati kita dari unsur-unsur yang mengotorinya, seterusnya kita juga mesti pula mengikhlaskan segala amal perbuatan kerana Allah semata-mata. Dalam hal ini Rasulullah menjelaskan, “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kerana-Nya dan ditujukan untuk-Nya.” (HR Abu Dawud dan An-Nasai)

Mari kita perhatikan pula firman Allah yang berikut;

1. “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama yang lurus.” (QS Al-Bayyinah:5)

2. “Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan seseorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (QS Al-Kahfi: 110)

Melalui pemerhatian ini, kita akan memahami bahawa landasan ikhlas dalam beramal mestilah menepati ciri-ciri yang Allah tetapkan;

1. Memurnikan dan mengikhlaskan niat di hati, dengan melakukan amalan semata-mata kerana Allah.

2. Hati sentiasa bertekad mengalahkan dorongan nafsu.

3. Setiap amalan dilakukan untuk mendahulukan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia.

4. Sepanjang beramal sentiasa menghitung keredaan Allah daripada keredaan manusia.

Apabila berjaya kita penuhi ciri-ciri seperti di atas, maka niat, perkataan dan perbuatannya kita akan menepati niat semata-mata untuk memperolehi keredaan Allah. Sepertimana yang kita lafazkan setiap kali kita menunaikan solat; sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Rabb sekalian alam. Inilah yang dikatakan ikhlas.

Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan ikhlas ialah:

  • Menghendaki keredhaan Allah dalam beramal.
  • Membersihkan diri dari segala dosa.
  • Melakukan amal kerana Allah dan untuk akhirat.
  • Tidak ada niat buruk mencampuri amal seperti;

1. inginkan harta dan memuaskan nafsu

2. supaya disanjung dan menghindar celaan

3. menyimpan dan melayani rasa dengki

Sentiasalah kita beramal dengan ikhlas dan berdoa;

“Ya Allah! Bagi-Mu segala puji seagung kemulian-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu. Maha Suci Engkau ya Allah! Dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu”.

0 ulasan: