UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

KESAN BESAR IMAN

Istimewa untuk semua yang dikasihi kerana Allah!

Dengan segenap hati dan jiwa kita, mari kita renungi satu perkara yang sangat penting dalam setiap denyutan nadi kita...

Segala persoalan hidup di dunia ini mesti berasas dan berpaksikan iman.

Iman mesti diikrarkan dengan lisan, diyakini di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan anggota badan. Ketiga-tiga hal ini mesti berlaku serentak, bagi membuktikan sempurnanya iman dalam diri kita. Kesemuanya saling berkaitan tidak boleh terpisah. Kecacatan salah satunya, akan mencacatkan iman. Ada kalanya iman meningkat, adakalanya iman menurun.
Bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW;
"Iman itu bisa bertamabah atau berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan kalimah Laa ilaaha illallah."

Manakala hati sebagai tempat bersemayamnya iman itu pula tidak tetap wataknya...sentiasa saja berbolak-balik. Hati ini yang dalam bahasa Arab disebut qolbu, berasal dari perkataan qolaba, bermaksud terbolak-balik. Oleh itu Rasulullah SAW sendiri telah mengajarkan kita, supaya sentiasa berdoa;
"Ya Allah, wahai zat yang maha membolak-balikkan, tetapkanlah hatiku di dalam deenMu dan di dalam ketaatan kepadaMu."

Memandangkan keadaan dan sifat iman demikian rupa, kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan iman kita pada satu-satu masa tertentu. Mesti ada dua perasaan, harap dan cemas. Harap akan Allah menetapkan iman kita dalam kedudukannya yang tinggi sehingga kita dipanggil kembali ke sisiNya. Cemas agar kita tidak dimatikan dalam keadaan iman yang rendah dan lemah.

Iman juga menjadi sumber tenaga yang memberi kita kekuatan untuk bergerak membawa kebaikan, kebenaran dan keindahan hidup kepada insan sejagat. Serentak bergerak mencegah kejahatan, kebatilan maupun kerosakan di atas muka bumi.

Iman juga menyuluh hati dan jiwa melaksanakan ketaatan kepada Allah dalam sembunyi atau terang-terangan. Inilah asal mulanya terbit taqwa. Iman mengubah watak individu menjadi baik dan kebaikan seluruhnya menjalar dalam kehidupan bermasyarakat. Yang kaya menjadi dermawan. Yang miskin mampu bersabar. Yang berkuasa menjadi adil. Yang alim bertamabh taqwa. Yang kuat menjadi penyayang. Yang pintar merendah diri. Hinggalah yang jahil menjadi pembelajar yang tekun. Begitulah kuatnya kesan iman dalam kehidupan.

Sejarah Islam sepanjang 15 abad telah mencatatkan kaum muslimin meraih kemenangan dan kegemilangan. Pendokong deen Islam mampu membawa kemakmuran dan keadilan serta mengembangkan pelbagai macam ilmu pengetahuan. Semua ini berlaku selama mana iman telah mewarnai seluruh hidup dan pergaulan. Namun apabila iman hanya menjadi ucapan lisan dan tidak lagi menguasai jiwa dan fikiran, kekuatan tersebut lenyap, sedikit...demi sedikit...

Renungi kata-kata, Abul Hassan Ali An-Nadwi;
'Saat kejayaan adalah saat wujudnya iman, dan saat keruntuhan adalah saat hilangnya iman. Sebagaimana iman menciptakan keajaiban dalam jiwa, seperti itu juga iman menulis cerita keajaiban di alam nyata. Gelora dalam jiwa pun menjadi prestasi sejarah.'

MENGAPA MERASA LEMAH?

Wahai setiap diri yang dikasihi kerana Allah....

Di mana jua kalian berada ketika ini, hati kecilku terdetak untuk berkongsikan secebis lintasan rasa, yang pasti pernah kita semua rasai...

Ada seketika dalam menjalani rutin harian hidup,
kita lalui saat lemah daya juang...dan rasa sangat perlu pada sokongan.
Mengapa?!

Kerana...;
1. Manusia terdedah kepada rasa lemah.
Renungi maksud sabda Rasulullah SAW:
"Setiap anak Adam(manusia) berbuat keliru, dan sebaik-baik orang yang berbuat keliru adalah yang bertaubat."
Disebabkan manusia sangat cenderung terjerumus ke dalam dosa dan maksiat, maka Allah sediakan petunjuk dan jalan keluar dari masalah kelemahan dan kesalahan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh atau taubat nasuha.

2. Hati manusia sifatnya selalu berbolak-balik.
Pada asalnya fitrah hati manusia itu bersih, kerana potensi mudahnya berbolak balik...sebentar teguh, sebentar goncang. Maka hati itu perlu dimantapkan dengan petunjuk ayat-ayat Allah.

3. Iman kuat jika ibadah bertambah. Iman lemah jika maksiat dilakukan. Kekuatan iman menerbitkan kesegaran, manakala lemah iman mematikan semangat.
hayati maksud firman Allah dalam suah Al-Anfal ayat 2:
"Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Rabb mereka bertawakkal."

4. Iman mantap jika berada dalam suasana beribadah.
Manusia semestinya sentiasa menyedari hakikat keujudannya seperti maksud firman Allah dalam surah Az-Zariyat, ayat 56:
"Dan ingatlah tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah dan menyembahKu."

Dengan menyedari hal ini manusia dapat mengatur setiap tindakan dan amal perbuatan berlangsung dalam keadaan yang sentiasa baik untuk beroleh keredhaan Allah. Namun sifat alpanya yang menyeret manusia kepada lalai dan kelekaan.


Semua keadaan tersebut dapat diatasi dan diluruskan dengan...;

1. Meletakkan seluruh pergantungan harapnya kepada Allah SWT. Aduan dan peringatan diharapkan dari Allah. Luahan rasa dan tangisannya pertama-tamanya dipersaksikan kepada Allah dalam ruku dan sujudnya, bertahajjud dan bermunajat. Diiringgi doa yang tidak putus-putus.

2. Sentiasa mencontohi sunnah Rasulullah SAW, tanpa menambah dan menguranginya.

3. Memilih teman-teman yang soleh untuk mendengari nasihat dan melihat contoh kebaikan mereka.

4. Menjauhi dan memotong semua sebab akibat yang menjerumuskan diri dan hati kepada kelalaian dan keingkaran. Seumpama mengunjungi tempat-tempat pergaulan bebas yang dengan mudah membuka peluang berlakunya dosa.

Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati...
Ingatlah!
Iman yang benar kepada Allah akan membersihkan, mensucikan dan membahagiakan jiwa serta menghindarkan kegundahan hati. Jika iman kian mantap, mudahlah berlapang dada menerima ketentuan Allah dan ikhlas menerima takdirNya. Sebaliknya hidup akan bertambah tertekan sekiranya iman sentiasa turun dan berkurang.

Wallahu'alam.

SENTIASALAH INGAT!

Wahai semua diri yang diperhati!....

Sentiasa melimpah ruah rahmat dan nikmat Ilahi menyuburkan kehidupan insan.
Ingat dan sedarilah! Kita memikul amanah besar yang hebat!...
Tidak terpikul oleh bukit bukau dan gunung ganang!
Semuanya tunduk di bawah Yang Maha Berkuasa.
Di tangan kita terletak tanggungjawab itu...;

Pertama:
Mematuhi erti perhambaan kepada Allah.

Setiap Muslim mesti faham, hidupnya di dunia ini untuk menepati maksud firman Allah dalam surah Adzariyat ayat 56;
"Dan(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu."

Kehidupan ini seluruhnya mestilah menepati perlaksanaan ubudiyah(beribadah kpd Allah) dan setiap amal perbuatan khusus untuk beroleh keredhaan Allah. Apa jua perbuatan yang diniatkan kerana Allah dan menepati syarak dikira sebagai ibadah.

Segala perlakuan ibadah tidak memadai dilaksanakan untuk kepentinga diri sendiri sahaja. Malah mesti di luaskan skopnya meliputi seluruh alam. Menepati pula peranan manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Usaha-usaha di sudut ini mesti pula mengisikan kaedah amar maaruf nahi munkar. Dalam erti kata lain membawa manusia sejagat menghambakan diri semata-mata kepada Allah, juga mengeluarkan manusia dari perhambaan selain Allah.


Kedua:
Manusia semua rugi, kecuali...

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Asr, ayat 1-3;
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Setiap diri mesti dilengkapi dengan iman dan amal soleh. Kemudian secara kolektif, saling ingat-memperingatkan untuk melakukan kebaikan dengan penuh sabar. Begitulah yang sentiasa dituntut ke atas setiap diri muslim mukmin...jika keberuntungan hidup yang dihajati.


Ketiga:
Wajib menghilangkan kemungkaran.

Perhatikan dengan teliti maksud sabda Rasulullah SAW;
"Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya,
jika tidak kuasa, ubah dengan lidahnya,
jika tidak juga kuasa, ubah dengan hatinya,
yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

Perlu juga disedari, kemungkaran itu kesannya akan melenyapkan keupayaan setiap manusia menerima hakikat kebenaran. Sekaligus menghindarkan manusia dari beribadah kepada Allah. Justru itu wajib dihilangkan kemungkaran, bagi membolehkan manusia menepati tuntutan hidup beribadah.


Wahai barisan pemuda-pemudi harapan watan!


Dengan tertanam ketiga-tiga asas kekuatan tersebut, akan terbina kekuatan dalaman yang tangkas dan berupaya membawa perubahan! Di sini bermulanya kesatriaan dalam jiwa remaja. Mampu berkorban dan menanggung bebanan. Sejarah silam telah membuktikan lahirnya contoh-contoh pemuda hebat ! Mereka itu...Nabi Ismail, Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim.... dan juga barisan sahabat-sahabat Rasulullah SAW, kesemuanya pemuda-pemuda bertaqwa. Sejarah akan terus terlakar dan berulang-ulang... hingga ke akhir zaman. Mulakan dan teruskan segera...melakar sejarah ketaqwaan!

SENTIASA LAKUKAN KEBAIKAN

Salam sejahtera dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Rabbul Izzati...

Pemuda-pemudi harapan!
Renungilah dengan teliti, satu hakikat yang sangat penting bagi kalian...

"Barangsiapa melakukan kebaikan sebesar zarah sekalipun, niscaya akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah, niscaya dia akan melihat balasannya"(QS Al-Zalzalah: 7-8)

Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah,

Dengan pertimbangan akal yang waras lagi matang, pastinya kita berhajat untuk melihat hasil kebaikan dari perlakuan kita. Justru itu kebaikan jugalah yang mesti kita usahakan. Kebaikan yang kita usahakan ini pula sentiasa berlangsung dalam apa jua keadaan, samaada susah maupun senang. Semua ini akan mudah kita lakukan sekiranya kita dasarkan kepada 3 sikap asas;

1. POSITIF
* fikiran positif
* perasaan positif
* keyakinan positif
* tindakan positif
* penyelesaian positif
* peluang positif
* kawan positif

Segala yang positif ini akan mempengaruhi seluruh gaya hidup kita. Nantinya akan mendorong kita melakukan kebaikan. Setiap perbuatan baik itu pula menjuruskan kita memperolehi ganjaran baik.


2. KREATIF

* tidak mudah terikut-ikut
* tidak cerewet
* sentiasa ceria
* kepekaan tinggi terhadap yang dirasa, difikir dan diucapkan
* berpandangan jauh
* melawan halangan
* tinggi semangat dan keyakinan diri
* banyak pengalaman/suasana hidup yang telah dilalui
* tidak berputus asa.

Sikap kreatif dapat mengeluarkan kita dari kongkongan rasa kecewa yang terikat pada hanya satu tindakan dan persepsi. Dengan langkah kreatif kita akan sentiasa segar mengenal pasti berbagai cara dan alternatif lain bagi menghadapi apa jua bentuk kegawatan suasana . Tidak bosan untuk menerapkan berbagai kaedah sehingga selesai kemelut. Dalam masa yang sama kita turut cenderung melakukan yang baik dan terbaik. Maka nanti pasti hasilnya juga akan jadi yang baik.


3. PERANAN KHALIFAH

Dengan sentiasa mengingati kita telah diamanahkan tanggungjawab memakmurkan alam, setiap langkah yang diambil perlu terkawal. Tidak menjurus kepada keburukan. Semua yang dilakukan mesti dalam batas perbuatan baik. Demi hasil yang juga baik dan menjadikan orang lain melakukan kebaikan.


Pemuda-pemudi harapan!
Buktikanlah kenyataan ini tepat...,agar nanti kalian sentiasa ringan melakukan kebaikan. Walau ketika ditimpa musibah. Juga sentiasa bersegera mensyukuri nikmat di waktu melimpah ruah rezeki dan kebaikan.

Wallahu'alam.





MADAH IMAM SYAFIE


Salam rindu diiringi kasih Ilahi;

Istimewa untuk pemuda-pemudi harapan di serata pelusuk bumi tercinta...

Disebabkan kerinduan ibu kepada kalian,
Sedikit masa yang terluang sewaktu melepaskan lelah ini...ibu paparkan sedutan dari beberapa madah imam as-Shafie. Moga dengannya kalian beroleh bahan peringatan yang sangat berguna. Terutama sewaktu bermenung sendirian dan fikiran menerawang mencari-cari pedoman...

Imam Shafie sungguh bijak mengungkapkan madah bagi tujuan menyampaikan isi ajaran Islam yang menyentuh hati dan perasaan. Mengandungi maksud begitu halus dan mendalam. Di kesempatan ini ibu paparkan beberapa antaranya,...moga dapat kalian gunakan untuk bermuhasabah;

* Perhiasan ilmuan itu adalah takwanya, keelokan akhlak mulianya dan kecantikan murah hatinya.

* Tidaklah berjaya seseorang itu dalam menuntut ilmu, melainkan dia berada dalam kekurangan.

*Tidak ada aib yang lebih buruk bagi seseorang ilmuan, selain daripada kesukaannya terhadap perkara yang tidak disukai Allah.

* Ilmu itu bukannya yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.

*Barang siapa ingin hatinya diterangi oleh cahaya Ilahi, hendaklah dia banyak menyendiri, mengurangkan makan, tidak bergaul dengan orang yang buruk perangainya.

* Orang yang berakal adalah orang yang diikat oleh akhlaknya daripada segala perbuatan tercela.

* Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman terhadap teman sahabatnya, dan menjadi musuh kepada musuh sahabatnya.

* Tidak ada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabat dan tidak ada kesedihan yang menyamai perpisahan dari sahabat.

* Barang siapa menasihati saudaranya secara diam-diam, bererti dia menginginkan kebaikan bagi sauadranya.

JADILAH BINTANG ILMU


Salam ukhwah dan mahabbah lillah wafillah.
Kesejahteraan dan limpah rahmat Allah semoga tersebar kepada seluruh pemuda-pemudi harapan...
Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah;
Dunia ini ibarat lautan yang luas lagi dalam. Telah ramai insan tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Kerana itu penuhi dadamu dengan ilmu bermanfaat. Berpandukan ilmu, kalian tidak akan tersasar dari laluan hidup yang diredhai Allah. Ia juga akan sentiasa mendorong kalian cekal mendaki gunung harapan.
Ketahuilah anak-anakku,
Rasulullah SAW pernah bersabda;
"Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang yang lain."(HR Abu Daud, Tirmidzi,Nasai dan Ibnu Hibban)
Ingatlah! Ilmu merupakan harta terbaik untuk dikumpulkan serta diwarisi. Kekayaan ilmu tidak sedikit pun akan menyesatkanmu. Malahan orang berilmu tidak akan mudah tertipu dalam mengatur kehidupannya. Ilmu pengetahuan adalah pemimpin kepada segala amalan yang baik.
Ilmu pengetahuan juga merupakan kawan di waktu sendirian dan memberi penyelesaian waktu dalam kekusutan. Mengajarkannya kepada orang lain pula menjadi sedekah dan kebaktian.
Hayati maksud firman Allah SWT serta sabda Rasulullah SAW berkaitan keutamaan menuntut ilmu;
"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran"(Q.S Az-Zumar:9)
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan."(QS Al-Fathir,28)
"Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga."(HR Muslim)
Dari itu anak-anakku,
Ibu sangat berbesar hati, sekiranya kalian mengambil contoh dari sejarah hidup Hassan Al-Basri...
Beliau pemidato handal yang diilhamkan dengan adap sopan yang luhur serta perasaan yang halus. Dia bersifat tawadduk, tekun dan khusyuk serta sentiasa menyenangkan hati orang yang ditemuinya. Dia sangat mementingkan pembangunan diri dan bersungguh-sungguh mencari ahli ilmu untuk memperoleh pelajaran. Banyak bertafakkur dan bermuhasabah diri. Tidak menuturkan sesuatu kecuali perkara-perkara kebaikan. Beliau umpama bintang bergemerlapan di bidang ilmu dan sentiasa dikerumuni oleh para penuntut ilmu yang inginkan pengajarannya dalam berbagai bidang ilmu.
Ambillah pesanan yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada puteranya;
"Hai anakku, pergaulilah para alim dan rapatilah mereka itu dengan kedua lututmu. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit."
Fikirkan juga akan kebenaran kata-kata Ibnu Mas'ud r.a;
"Hendaklah kamu semua berusaha menuntut ilmu pengetahuan itu sebelum ia dilenyapkan . Lenyapnya ilmu pengetahuan, ialah dengan matinya orang yang mengajarkannya. Seseorang itu tidak dilahirkan sudah menjadi pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu perlulah diusahaakn dengan belajar."
Pemuda-pemudi harapan...
Sentiasa ibu doakan agar kalian menjadi pakar dalam apa jua bidang ilmu yang diceburi. Dengan itu nanti kalian menjadi sumber rujukan ilmu serta memimpin manusia ke jalan kebenaran. Juga sentiasa tunduk kepada kekuasaan dan kebesaran Allah. Amin...
ummu anas.