Wahai Setiap Diri Yang Sentiasa Diperhati....
Perlulah sentiasa diingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti berkaitan pegangan kita terhadap akidah Islam.
Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:
- Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
- Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
- Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
- Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
- Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
- Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
- Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
- Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
- Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
- Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
- Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
- Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
- Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
Yakinlah selama-lamanya...
Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi. Dengan cara sedemikan, tindak tanduk kita akan terjurus lurus dan mampu memberikan contoh ikutan kepada sesiapa saja rakan yang hampir dengan kita. Secara tabii, persekitaran, pemikiran dan pergaulan akan saling mempengaruhi dan tiu meniru antara satu sama lain.
Wallahu'alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan