Menggarap Redha Ilahi
Pemuda-pemudi Islam sejati!
Sering kita dengar ungkapan yang berbunyi, “Tangan yang menghayun buaian akan menggoncang dunia.” Ungkapan yang tepat ini menggambarkan pengaruh kuat seorang ibu terhadap perkembangan dan pendidikan anak-anaknya. Malah begitu besar peranan seorang ibu dalam menentukan masa hadapan anaknya, bertepatan seperti kata penyair,
“Sang ibu itu samalah dengan sekolah,
jika anda pandai menyediakannya,
seumpama dia membangunkan umat yang baik keturunannya.”
Tugas seorang ibu bukanlah mudah. Sepanjang hayatnya dikorbankan demi kebahagiaan anak. Setiap perkara yang dilakukannya dalam membesarkan anaknya akan meninggalkan kesan ke atas peribadi anak itu. Dalam hal ini ibu mesti melengkapi diri dengan,
- iman yang mendalam
- ilmu yang luas
- ketaqwaan yang tinggi
Semua ini mesti diiringi keikhlasan dan semata-mata mengharapkan keredhaan allah. Di sinilah tersimpan rahsia kejayaan dalam membentuk anak menjadi individu cemerlang dan mampu memimpin masyarakat. Andai ibu tersilap langkah dalam peranan besar ini, buruk pula risiko yang akan dihadapi pada masa hadapan. Seorang penyair Arab ada mengungkapkan dalam bait-bait syairnya,
“Tidaklah sama tumbuhan yang subur
di dalam taman,
dengan tumbuhan yang tumbuh liar
di padang yang terbiar,
bolehkah diharapkan si anak
mencapai kesempurnaan,
jika menyusu dari pada wanita yang liar?”
Walaupun betapa besar dan beratnya tanggungjawab mendidik anak, namun persediaan fizikal, mental dan rohani seorang ibu telah Allah sediakan selengkapnya. Setiap ibu menjadi lambang wanita yang mewah dengan naluri kelembutan dan kasih sayang. Fitrah inilah yang membolehkannya memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada anak-anak. Keadaan demikian akan berlangsung di sepanjang hayat seorang ibu ketika susah maupun senang. Hidup seorang anak tidak lengkap dan sempurna tanpa wujud kasih seorang ibu. Sekadar ciuman serta pelukan seorang ibu sudah cukup membawa erti yang besar dan mendalam kepada diri seorang anak.
Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam,
Setulus hatimu…jawablah soalan ini,
Mengapa seorang ibu begitu istimewa?
Ya! Sudah tentu dia/ibu begitu istimewa. Dialah yang mengandungkan anak selama sembilan bulan. Melalui pelbagai kesakitan dan penderitaan serta dalam keadaan lemah. Ditambah lagi dengan perasaan cemas dan sakit ketika melahirkan anak yang memang sukar digambarkan. Setimpal dengan penanggungan tersebut, Allah SWT menjanjikan ganjaran mati syahid kepada ibu yang meninggal dunia semasa melahirkan anaknya. Sehubungan keistimewaan itulah Rasulullah SAW turut menganjurkan kepada umatnya supaya memberi keutamaan berbakti terhadap ibu. Darjat berbakti kepada ibu begitu istimewa, tiga darjat melebihi bapa. Secara tidak langsung, di sini kelihatan setiap diri wanita tidak rugi dengan berada satu darjat di bawah mentaati suami. Sebaliknya Islam akan mengangkat kedudukannya dua darjat lebih tinggi, jika dia menjadi ibu sejati! Manakala peranannya sebagai isteri dan ibu meletakkan ganjarannya setara dengan pejuang di medan perang. Meninggal dunia sewaktu bersalin pula dikira setaraf dengan mati syahid. Sememangnya seorang ibu sangat istimewa.
Ibnu Katsir di dalam tafsirnya telah meriwayatkan daripada Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya: Seorang didapati sewaktu tawafnya sedang mendokong ibunya. Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Adakah ini bererti aku telah membalas jasa ibuku?” Jawab baginda: “Tidak! Walau untuk satu kali penderitaan.” Begitu hebat nilai penderitaan seorang ibu dalam Islam.
Apabila dilihat penderitaan yang pernah dilalui oleh Siti Hajar bersama anaknya Ismail, terbukti betapa hebat pengorbanan seorang ibu demi kebahagiaan anaknya. Naluri seorang ibu tidak sampai hati mendengar tangisan anaknya. Lalu Siti Hajar merelakan dirinya berlari berulang kali di antara bukit Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anak yang kehausan.
Begitulah juga keadaan ibu kepada Imam Shafie yang mana dalam keadaan serba miskin dan uzur, rela melepaskan anaknya merantau jauh menuntut ilmu. Ikutilah kata-kata ibu Imam Syafie yang pasti mengharukan setiap hati insan yang tahu menilai kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu… pemuda-pemudi Islam yang diharapkan memberi ketenangan di hati dan menyejukkan pandangan…,
“Anakku! Tidak ada apa-apa yang mampu ibu berikan sebagai bekalanmu sepanjang perjalanan melainkan bungkusan dua helai jubah ini. Engkau usah bimbangkan ibu di rumah. Allah akan memelihara hamba-Nya yang lemah. Ibu sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar engkau tetap dalam perlindungan-Nya. Pergilah anakku! Allah bersamamu. InsyaAllah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan di kemudia hari kelak. Ibu rela dan redha melepaskanmu. Ingatlah bahawa Allah itu sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan!”
Telah Allah tentukan menjadi sunnah alam, fitrah seorang ibu dipenuhi belas kasihan, cinta kasih dan kelembutan yang sempurna. Keistimewaan ini membuatnya mampu lebih menyayangi serta mengambil berat hal anak berbanding seorang ayah. Hatta dalam keadaan anak menderhakainya, si ibu akan segera memaafkan apabila naluri keibuannya disentuh.
Anak-anakku,
Kalian pasti telah mendengar kisah Alqamah yang sukar mengucap kalimah syahadah sewaktu menghadapi sakaratulmaut. Masalah ini timbul disebabkan Alqamah telah melebihkan layanan terhadap isteri berbanding untuk ibunya. Ibu Alqamah berkecil hati terhadap nya.
Pada mulanya si ibu enggan memaafkan dosa si anak. Melihatkan keadaan yang sungguh menyeksa nyawa Alqamah yang sukar dilepaskan, Rasulullah SAW menyuruh sahabat-sahabatnya mengumpul kayu api untuk membakar Alqamah. Sungguh tersentak naluri keibuannya lalu ibu tua itu berkata: “Wahai Rasulullah! Dia anakku dan buah hatiku. Engkau hendak membakarnya dengan api? Dan di hadapan mataku! Bagaimana dapat ditanggung oleh hatiku!”
Kemudian Rasulullah SAW memujuk orang tua itu: “Apakah engkau suka Allah mengampuni dosanya? Jika suka, hendaklah engkau redha terhadapnya. Demi jiwaku yang ada digenggaman-Nya, tidak berguna sembahyangnya, puasanya dan sedekahnya selagi engkau murka terhadapnya.”
Lantas ibu tua itu mengangkat tangan ke langit dan berkata: “Aku bersaksi kepadamu ya Allah, Rasul-Nya dan setiap yang hadir pada hari ini, bahawa aku telah redha terhadap anakku Alqamah.”
Sebaik saja ibunya mengampuni Alqamah, barulah lidahnya dapat mengucapkan dua kalimah dan terus meninggal dunia.
Wahai semua pemuda-pemudi Islam,
Kita semua punya ibu. Usah sekali-kali kita mencuaikan hak seorang ibu. Tidak menghormati juga tidak memuliakannya. Ingatlah “syurga di bawah telapak kaki ibu.” Sentiasalah menepati firman Allah dalam surah Luqman ayat 14, “Kami telah berpesan kepada manusia untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan mencerai susunya dalam masa dua tahun. Hendaklah bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali.”
Rasulullah SAW juga memperingatkan kita dengan sabadanya, “Semua dosa lain Allah lambatkan balasan menurut kehendak-Nya sehingga hari kiamat. Melainkan dosa terhadap kedua-dua ibu bapa, Allah percepatkan balasannya pada kehidupan di dunia ini.”
0 ulasan:
Catat Ulasan