UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BANGUNLAH BERSOLAT MALAM



Ketahuilah, sesungguhnya setiap rumah muslim yang dihiasi dan dihidupkan dengan qiyamulail adalah rumah yang didatangi dan diselubungi malaikat. Dicurahi rahmat dan dilimpahi kebahagiaan sejati. Alangkah baik sekiranya setiap anggota dan penghuni rumah bangun untuk beribadah malam. Juga saling mengejutkan antara satu sama lain.

Tidak dinafikan untuk memulakan praktik bangun beribadat malam perlukan kesungguhan yang tinggi. Mari sama-sama kita mulai dengan sedapatnya melaksanakan disiplin berikut;

1. Berniat ikhlas – ingin bangun beribadah malam semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.

2. Membulatkan keazaman – bersungguh-sungguh ingin beribadah malam untuk memperoleh hidayah dan rahmat Allah.

3. Memperbaharui taubat – menyedari setiap hari diri tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan dosa, dengan itu ingin bangun memohon keampunan Allah pada waktu yang Allah ampuni dosa dan kesalahan.

4. Menjauhi maksiat di siang hari – bila diri melakukan sebarang maksiat, hati menjadi kotor dan keras dan membuatnya sukar menerima peringatan.

5. Jika dapat, tidur sebentar selepas solat zohor, supaya kurang letih dan berasa segar pada waktu malam.

6. Masuk tidur awal setelah selesai solat isyak, supaya mudah bangun waktu sepertiga malam atau pada waktu dinihari.

7. Bersungguh-sungguh memohon pertolongan dan kekuatan dari Allah untuk mampu bangun beribadah malam demi mengharapkan limpah rahmat Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah jua.


Seandainya diberitahu kepada kita sebuah gedung pakaian yang baru dibuka sedang membuat tawaran hadiah percuma pada waktu dan hari tertentu, pasti kita menunggu-nunggu untuk pergi ke gedung tersebut. Bagaimana pula dengan tawaran ganjaran yang telah dinyatakan oleh Allah Rabbul ‘Alamin, yang Maha Kaya. Tidakkah kita lebih pantas bergerak dengan segera demi ganjaran yang lebih lumayan?


Marilah kita kita gagahi diri bangun mendirikan beberapa rakaat solat tahajjud dengan penuh khusyuk, beberapa

sujud yang panjang, doa-doa yang ikhlas, tasbih dan airmata keinsafan. Semoga dengan curahan rahmat dan

kasih Allah dapat kita rasai nikmat qiyamulail.


0 ulasan: