UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MAHAGURU ALAM


Wahai Pemuda-pemudi Harapan!


“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

(QS Al-‘Ashr: 1-3)

Mahaguru Alam

Pada hakikatnya anak-anakku, kalian merupakan mahaguru pada alam yang diciptakan untuk membawa manfaat kepada kehidupan insan. Mengajak dan membimbing orang lain kepada kebenaran dengan memperlihatkan contoh penuh hikmah. Selaku insan unggul, kalian seumpama nukleus yang mempunyai kekuatan untuk menarik elektron di sekelilingnya. Lebih kuat nukleus tersebut maka lebih banyak elektron mengelilingi orbitnya. Di mana keimanan yang mantap bertapak dalam jiwa akan segera merangsang dan mendesak jasad melaksanakan ubudiyah. Dengannya juga mampu mengajak orang lain melaksanakan ketaatan kepada Allah. Bagi memahami hakikat ini, mari kita singkap lembaran silam, ke satu zaman yang telah jauh berlalu tetapi tetap segar pengajarannya.

Kisah ini berlaku pada umat bani Israel ( Ashabul-Ukhdud )

Seorang ahli sihir raja yang telah tua, merasai dia telah hampir kepada ajalnya. Dia memohon raja mencarikannya seorang pemuda yang sesuai untuk diwariskan ilmu sihirnya.

Pemuda yang dihajatkan telah ditemui. Setiap hari pemuda itu diminta datang ke rumah ahli sihir untuk belajar berbagai-bagai teknik sihir. Di antara rumah ahli sihir dan kediaman anak muda itu terletak rumah seorang alim. Orang alim tersebut mengamalkan ajaran salah seorang nabi yang diutus Allah. Anak muda itu juga telah mendengar tentang ketinggian ilmu orang alim tersebut. Lantas dia turut tertarik untuk berguru kepada orang alim itu.

Pemuda yang dimaksudkan dalam kisah ini namanya Gulam. Setiap hari dalam perjalanannya ke rumah ahli sihir, dia akan singgah dahulu di rumah si alim. Setelah pulang dari rumah ahli sihir, Gulam mengambil kesempatan singgah di rumah si alim untuk belajar ilmu agama. Di awal tahap pengajiannya, dia telah melalui beberapa rintangan. Setiap hari sampai di rumah ahli sihir, Gulam sering terlewat kerana dia terlebih dahulu singgah di rumah si alim. Disebabkan yang demikian dia dimarahi ahli sihir. Begitu juga sewaktu pulang ke rumahnya sendiri, dia dimarahi oleh orang tuanya kerana lambat pulang. Gulam menceritakan keadaannya kepada gurunya, si alim. Si alim mengajarkan kepada Gulam, apabila ditanyakan oleh ahli sihir mengapa terlambat, jawabnya, “Saya terlewat, kerana lambat turun dari rumah.” Apabila ditanya orang tuanya mengapa lewat pulang, jawabnya, “Guruku ahli sihir menahanku.” Dengan memberi jawapan sedemikian, Gulam tidak lagi dimarahi oleh ahli sihir dan orang tuanya. Maka banyaklah ilmu sihir dan ilmu ketuhanan yang dapat dipelajarinya. Gulam juga nampaknya lebih tertarik dengan watak si alim yang bijaksana.

Selang tidak berapa lama, berlaku satu peristiwa yang menentukan kehebatan ilmu yang telah dipelajari Gulam. Suatu hari jalan biasa yang dilalui orang ramai telah dihalangi oleh seekor binatang buas. Ketika Gulam melintas jalan itu dia berkata di dalam hatinya, “Akanku uji, manakah ilmu yang lebih bermanfaat, ilmu ahli sihir atau ilmu orang alim?” Gulam lantas mengambil seketul batu dan berdoa, “Ya Allah, sekiranya ajaran orang alim yang benar di sisi Engkau berbanding ajaran ahli sihir, binasakanlah binatang buas ini. Dengan itu orang ramai yang menggunakan laluannya tidak lagi terhalang.”

Gulam dengan sekuat tenaganya melemparkan batu ke arah binatang buas tersebut.

Dengan izin Allah binatang buas itu dapat dimusnahkan. Jalan yang terhalang dapat digunakan semula. Juga terbuktilah kebenaran dan kehebatan ilmu si alim. Ini dapat memperkuatkan lagi keyakinan Gulam kepada kekuasaan Allah. Apabila Gulam menceritakan peristiwa itu kepada gurunya, si alim menasihatinya supaya merahsiakan hubungan mereka berdua. Orang alim menjangka berbagai-bagai ancaman akan dihadapi Gulam kerana tidak cenderung mengamalkan ajaran ahli sihir. Raja mereka yang terkenal zalim itu pula pasti akan berusaha menyusahkan Gulam. Apatah lagi sekiranya Gulam tidak setuju menjadi ahli sihir diraja, pasti dia akan diseksa.

Walau apapun rintangan yang dilalui Gulam, dia seolah-olah telah memperoleh kekuatan yang luar biasa. Gulam sanggup menghadapi ancaman dan seksa raja. Dia tetap mampu bertahan untuk memperjuangkan risalah tauhid. Berbagai-bagai cara dicuba oleh pihak raja untuk memusnahkan Gulam, namun tidak berhasil. Akhirnya Gulam sanggup menghadapi kematian secara mulia semata-mata untuk membuktikan kebenaran di sisi Allah.

Gulam membulatkan keyakinannya dan pasrah menyerahkan dirinya kepada Allah. Dia dengan berani menyatakan kepada raja, “Wahai raja! Anda tidak akan dapat membunuh saya kecuali mengerjakan apa yang saya beritahu. Kumpulkan seluruh penduduk negeri ini di suatu tempat. Letakkan saya di atas pangkin kayu. Panahlah saya menggunakan anak panah kepunyaan saya sambil mengucapkan: Dengan nama Allah, Tuhan anak muda ini (Gulam). Hanya dengan cara itu anda akan berjaya membunuh saya.”

Raja segera mengerahkan orang-orangnya melaksanakan langkah-langkah seperti yang diterangkan Gulam. Memang benar dengan izin Allah, Gulam menemui ajalnya. Namun kebenaran yang diyakininya tidak turut mati. Malah seluruh penduduk negeri itu telah turut beriman kepada Allah. Begitulah kehebatan anak muda pembawa risalah tauhid dalam kisah ashabul ukhdud. Gulam syahid membela keyakinan tauhid. Dengan keyakinannya yang kuat, dia rela meletakkan kematiannya sebagai peringatan dan perubahan kepada masyarakat setempat. Inilah hasil daripada pendidikan yang diterapkan oleh orang alim.



2 ulasan:

Qawiem Khairi berkata...

terima kasih ummu,
atas peringatan cerita ini,
subhanallah,
sungguh hebat pemuda yg bernama gulam,
moga diri ini mampu menjd sepertinya.

16 Mei 2011 pada 2:11 PTG  
Noraini Eslah berkata...

sama-sama mq,

ya, gulam itu mmg hebat, Allah takdirkan utk insan renungi pengorbanannya; dia telah berbahagia di sisi Allah!

utk kita yg hidup di zaman ini, mnjadi tugas kita pula mngajak org lain mmbuat kebaikan n tidak mncampurkan dgn yg tidak baik...

17 Mei 2011 pada 8:19 PG