UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

JADILAH BINTANG

http://www.pink-world.co.uk/wp-content/uploads/stars.jpghttp://z.about.com/d/space/1/0/R/i/2005-36-a-full_jpg.jpg

Segala puji dan puja hanya milik Allah, penguasa semesta alam.
Hanya padaMu kami memohon dan meminta, juga kepada Mu kami berpaut dan bergantung harap.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan orang-orang yang sebelum kami.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri maaflahlah kami, ampuni kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami ya Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kudrat-iradatMu jua".

Wahai jiwaku dan semua jiwa yang mengharapkan petunjuk dan limpah kasih Ilahi,
Ketahuilah sesungguhnya menuntut ilmu merupakan satu tuntutan yang difardhukan kepada setiap kita yang waras akal-fikiran. Akan ditinggikan kedudukan dan di ganjari syurga di sisiNya. Terhadap perkara sebesarnya ini, sewajarnyalah kita ambil perhatian berat dan tidak diabaikan.
Sesungguhnya dunia ini ibarat lautan yang luas lagi dalam. Telah ramai insan yang tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Oleh itu penuhi dadamu dengan ilmu bermanfaat. Layarilah bahtera kehidupanmu berpandukan taqwa. Muatannya iman yang teguh. Layarnya tawakkal kepada Yang Maha Esa. Semoga kau selamat menuju ke pulau impian. Berjaya mendaki gunung harapan dan selamat mencapai kemenangan.

Ambillah pesanan yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada puteranya sebagai azimat;
"Hai anakku, pergaulilah para alim dan rapatilah mereka itu dengan kedua lututmu. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit".

Fikirkan juga akan kebenaran kata-kata Ibnu Mas'ud r.a; "Hendaklah kamu semua berusaha menuntut ilmu pengetahuan sebelum ianya dilenyapkan.Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang yang mengajarkannya. Seseorang itu tidak dilahirkan sudah menjadi pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu perlulah diusahakan dengan belajar".

Mari kita jadikan kesungguhan Ibnu Al-Jauzi sebagai contoh yang berkesan membina sikap cintakan ilmu...
"Saya dimasukkan ke sekolah sewaktu berumur 6 tahun. Sedangkan pelajar lain yang sedarjah dengan saya sudah berumur lebih tua. Saya tidak menghabiskan masa bermain atau bergurau dengan mereka. Sebaliknya saya menghadiri syarahan-syarahan di masjid. Hadis-hadis Rasulullah saya hafaz dan mencatitkannya semula apabila pulang ke rumah. Kanak-kanak lain menghabiskan masa bermain di tebing sungai, tetapi saya sentiasa membawa buku. saya akan membaca buku dari kulit ke kulit. Saya sangat mengambil berat supaya menghadiri kelas tepat pada waktunya. Meskipun saya dari keluarga susah dan kerap kali tidak makan seharian, saya tidak meminta-minta dari orang lain. Yang penting saya dapat terus mengikuti pelajaran. Saya tidak jemu membaca buku dan saya sangat gembira apabila memperoleh buku yang baru. Saya telah membaca lebih 20,000 buah buku semasa pengajian saya. Dengan membaca saya dapat mengetahui keberanian, kemurahan hati, keilmuan, daya hafazan, ketaqwaan dan semangat salaf al-soleh. Penelitian terhadap buku-buku juga telah menyedarkan saya tentang kecetekan ilmu sebahagian ulama' serta kelemahan semangat di kalangan pelajar".

Alangkah bahagianya, jika dapat kita contohi ketokohan Hassan Al-Basri...
Beliau merupakan pemidato handal yang diilhami dengan adab sopan yang luhur serta perasaan yang halus. Beliau bersifat tawadduk, tekun dan khusyuk serta sentiasa menyenangkan hati orang yang ditemuinya. Dia sentiasa mementingkan pembangunan diri. Juga bersungguh-sungguh mencari ahli ilmu untuk memperoleh pelajaran. Beliau sentiasa banyak bertafakkur dan bermuhasabah diri. Tidak menuturkan sesuatu kecuali perkara-perkara kebaikan. Beliau umpama bintang bergemerlapan di bidang ilmu dan sentiasa dikerumuni oleh para penuntut ilmu yang inginkan pengajarannya dalam berbagai bidang ilmu.

Wahai setiap diri yang cintakan ilmu,
Ilmu merupakan harta terbaik untuk dikumpulkan serta diwarisi. Kekayaan ilmu yang benar dan bermanfaat tidak akan menyesatkan. Malahan orang yang berilmu tidak akan mudah tertipu dalam mengatur kehidupan. Ilmu pengetahuan adalah pemimpin segala amalan yang baik. Ilmu pengetahuan juga merupakan kawan di waktu sendirian dan memberi penyelesaian waktu dalam kekusutan. Mengajarkannya kepada orang lain pula menjadi sedekah dan kebaktian.

Wahai jiwa yang sentiasa dahaga ilmu bermanfaat...'
Hayati satu-persatu maksud firman Allah SAW dan juga sabda Rasulullah SAW berkaitan kepentingan ilmu;
"Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran".(QS Az-Zumar:9)

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan". (QS Al-Fathir:28)

"Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang yang lain".(HR Abu Daud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Hibban).

"Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga".(HR Muslim)

Dari itu perlulah sentiasa kita sedari, sebagai pelajar muslim, kita membawa bersama, imej Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara diri agar dapat mempertahankan kepribadian Islam sejati. Pastikan kita mampu menjadi contoh yang baik dan membawa kebaikan kepada orang lain. Mari sama-sama kita berdoa:
Ya Allah, kurniakan kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, serta badan yang ringan bagi menyempurnakan perintahMu.
Ya Allah, kurniakan kami iman yang sempurna. Hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang benar-benar mantap.
Ya Allah kurniakan kami cara hidup yang unggul serta selamat dari mara bahaya dan petaka. Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikan kami ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak gentar atau mengharap orang lain selain Engkau.
Kembangkan lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan sesiapa saja yang bersama kami. Janganlah ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walau kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu". Amiin.

0 ulasan: