UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

PERBAIKI MASA TIDUR

Teristimewa untuk setiap diri yang Allah kasihi!

Moga dengan perhatian yang sewajarnya terhadap cara hidup kita,
kita akan beroleh kebahagiaan hakiki, di bawah limpah kasih Ilahi...

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Hendaklah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan amalan orang-orang yang soleh. Sesungguhnya bangun malam itu mendekatkan diri kepada Allah, menutup segala dosa, menghilangkan penyakit kepada tubuh badan dan menjauhi kekejian. (HRTarmizi)


Dalam kitab Miskatul Masabih ada disebutkan: Tidur pada waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah s.a.w. turut melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud pada malam hari. Ibn Qaiyim menambah: "Tidur pada awal dan akhir siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya),merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf . Sekeji-keji tidur ialah ketika pada awal hari(matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari(selepas asar)."


Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya: "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"Setengah ulama mengatakan: "Sesiapa yang tidur selepas asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri.




ORANG YANG PALING BIJAK

Abul Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Said bin Al-Musayyab bahawa Umar dan Ubay bin Kaab dan Abu Hurairah r.a masuk bertemu Nabi dan bertanya: "Ya Rasulullah, siapakah orang yang terpandai?

Rasulullah SAW menjawab: "Orang yang berakal." Kemudian mereka bertanya lagi: "Siapakah orang yang sangat banyak ibadat? Jawab Nabi SAW: :Orang yang berakal". Lalu mereka berkata: "Siapakah orang yang lebih utama (afdhal)?


Jawab Nabi SAW: "Orang yang berakal." Lalu mereka berkata: "Ya Rasulullah tidakkah orang yang berakal itu orang yang sempurna akhlaknya, jelas kata-katanya, murah tangannya dan besar kedudukannya?"

Baginda menjawab: "Itu semua perlengkapan kepuasan hidup di dunia sedang akhirat yang di sisi Tuhan itu untuk orang yang bertaqwa meskipun dia di dunia tiada berkedudukan, yakni orang yang bertaqwa ialah orang yang taat dan meninggalkan semua maksiat."

Wahai setiap hati yang Allah kasihi;
Hati fitrahnya perlu diperingatkan selalu,
Moga dengan catatan kecil ini hati tersentuh untuk tertingkat ketaqwaan.


Rasulullah SAW berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah, "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan sesuatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api neraka, mereka tidak takut."

Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."

Rasulullah menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada hari kiamat di tempat berkumpulnya para nabi. Manusia lain menyangka bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat. Apabila aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."

Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."


Rasulullah SAW menjawab, "Kaum itu telah menempuh jalan yang sukar hingga sampai kepada tingkatan para nabi:
* Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan peluang untuk sentiasa kenyang.
* Mereka memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian.
* Mereka memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas.
* Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah; redha dan syurga.
* Mereka meninggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab.
* Mereka sibuk bergaul dengan manusia pada zahir mereka, di hati mereka sibuk beribadah dan mengingati Allah.
Para nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Allah.
Kebahagiaan bagi mereka! Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."

Kemudian Rasulullah SAW menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata; "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barang siapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya hisab."

JANJI SETIA KEPADA ALLAH


Salam sejahtera diiringi limpah kasih Ilahi,
Setinggi puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Rabbul'alamin.
Dengan izin, perkenan dan limpah rahmatNya kita masih dapat mengecapi nikmat kehidupan. Juga masih berada di dalam nikmat Iman dan Islam. Itulah sebesar-besar nikmat yang memberikan kita rasa bahagia selama ini.

Untuk itu sewajarnya sentiasa kita nyatakan kesyukuran kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sedapatnya kita patuhi segala titah perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Juga selayaknya kita ikat JANJI SETIA kepada AllahSWT.

1. Apabila malam tiba, ketika mahu tidur, menyedari diri mungkin itulah pembaringan diri yang terakhir. Minta ampun kepada Allah dengan hati yang sungguh-sungguh dan perasaan sangat menyesal jika selama ini telah banyak menghabiskan masa membuat berbagai dosa dan kesalahan.

2. Apabila datang nikmat dan kesenangan dunia, musibah dan keburukannya, ingatlah pada hakikatnya tiada yang memberi manfaat dan memberi mudharat kepada kita kecuali Allah SWT. Serahkanlah hati dan tetapkan keyakinan, semua yang berlaku atas izin dan kehendak Allah. Bersabarlah dengan cobaan, bersyukur kerana diberi nikmat dan merendah diri dan hati mengharap rahmat dan redha Allah.

3. Apabila selesai solat, jangan bangkit sebelum berdoa. Memohon dengan perasaan gerun dan takut yang terbit dari lubuk jiwa. Sertai perasaan hina dan rendah diri semasa memohon diampuni segala dosa. Solat yang tidak disertai pengakuan dhaif diri di hadapan Allah, seolah-olah tidak beradap.

4. Apabila dimarahi orang, yakinkan diri bahawa keredhaan Allah lebih penting dari keredhaan manusia.

5. Apabila hati tergerak untuk menyebut keburukan manusia, atau mengumpat atau memburukkan orang lain, ingatlah segera bahawa kita juga mempunyai aib dan keburukan yang banyak. Jika Allah mendedahkannya maka akan tersebar kepada khalayak ramai. Malu dan takutlah di hadapan Allah untuk membuka aib orang. Bersyukurlah kepada Allah kerana tidak mendedahkan aib kita.

6. Jadikan hati kita bersih daripada sebarang penyakit dan kotoran. Ketaatan yang sedikit yang lahir dari hati yang bersih akan diredhai Allah dan beroleh ganjaran di akhirat. Amalan yang banyak dan lahir dari hati yang kotor, tidak diredhai Allah dan merugikan kita di dunia dan di akhirat.

7. Berusahalah bersungguh-sungguh agar umur yang Allah beri dapat dihabiskan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Apa jua yang dilakukan, menuntut ilmu, bekerja dan berkeluarga semata-mata untuk meraih redha Allah.

Jika hati tergerak untuk melakukan sebarang maksiat dan keingkaran yang pastinya akan mencacatkan janji setia ini, ...maka ingatlah kepada PEMBARINGAN MAUT-iaitu mati. Dengannya kita akan segera sedar dan segera berusaha meninggalkan maksiat.

Wahai hati-hati yang sentiasa diperhati,
Janji setia inilah yang menjadi rahsia kebahagiaan seseorang di dunia ini dan nanti menerangi alam kubur. Seterusnya memberi kejayaan peperiksaan terakhir(hisab) dan titian sirat.

Wallahu'alam.

HIDUP SEMPURNA




Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati,
Wahai setiap diri yang berhajat kebahagiaan hakiki,
Wahai hati yang mengasihi dan dikasihi,
Sama-sama kita mulai pagi ini dengan doa;
"Ya Allah, aku terjaga olehMu dalam nikmat,'afiat(keselamatan dari bencana),dan terjaganya rahsia dosa-dosaku, maka sempurnakanlah nikmatMu,'afiatMu dan penjagaanMu itu atasku dunia dan akhirat".Amin.

Saban hari kita lalui berbagai ragam kehidupan, sangat teruja iman dan taqwa kita...
dari itu jiwa perlu terus diperingatkan...
Mari kita renungi dialog yang berlangsung antara Rasulullah SAW dengan seorang hamba
Allah yang sangat ingin mencapai kesempurnaan dalam hidupnya, seperti berikut: Sebagaimana diriwayatkan oleh Khalid al-Walid r.a, pada suatu hari, datang seorang
badwi menemui Rasulullah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, aku datang untuk bertanya beberapa perkara mengenai kehidupan dunia dan akhirat?" Maka jawab Rasulullah, "Tanyalah apa saja yang kamu mahu...".
(berikut merupakan petikan soal jawab tersebut)

B: Ya Rasulullah, bagaimana saya boleh menjadi manusia yang paling berilmu?
R: Bertakwalah kepada Allah dan kamu akan menjadi manusia yang paling berilmu.

B: Saya ingin menjadi manusia yang terkaya di dunia...
R: Didiklah hati supaya sentiasa berasa cukup dengan harta dunia, kamu akan menjadi
manusia terkaya.

B: Saya ingin menjadi manusia terbaik di dunia...
R: Buatlah kebaikan pada orang lain, kamu akan menjadi manusia yang terbaik. Beramallah
seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika kamu tidak melihat-Nya, yakinlah bahawa dia
melihat kamu.

B: Saya ingin menjadi manusia yang paling adil...
R: Berbuat adil kepada orang lain sebagaimana anda mahu diri anda diperlakukan.

B: Saya mahu menjadi manusia yang paling dikasihi Allah...
R: Lakukan apa yang Allah sukai dan kamu akan menjadi manusia yang paling dikasihi-Nya

B: Saya mahu memiliki iman yang sempurna...
R: Iman yang sempurna dilihat melalui akhlak yang sempurna.

B: Saya mahu bersihkan semua dosa saya...
R: Bersihkan diri kamu daripada semua karat-karat jahiliah, dan kamu akan dibersihkan
dari semua dosa. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa agar diampunkan segala dosa.

B: Saya mahu dibangkitkan di akhirat dengan tubuh yang bercahaya...
R: Jangan zalimi diri kamu dan orang lain dan kamu akan dibangkitkan dalam keadaan yang
bercahaya.

B: Saya mahu Allah mengurniakan kasih-Nya ke atas saya...
R: Kasihilah orang lain dan kamu akan dikasihi di akhirat kelak.

B: Saya mahu menjadi manusia yang paling dihormati di dunia...
R: Jika kamu tidak menyakiti hati seorang mahkluk, kamu akan dihormati di dunia ini.

B: Saya mahu menjadi manusia yang terkuat di dunia...
R: Yakinlah kekuatan Allah dan kamu akan menjadi manusia yang terkuat.

B: Saya mahu doa saya diterima...
R: Tingallah apa yang Allah larang nescaya doa kamu akan dimakbulkan.

B: Saya tidak mahu mendapat kehinaan dari Allah di hari pembalasan nanti...
R: Jagalah kesucian dirimu dan maruah kamu dan jangan membuka aib orang lain.

B: Apakah yang boleh menghapuskan dosa-dosa saya?
R: Air mata keinsafan, merendah diri dan sabar ketika ditimpa musibah.

B: Apakah sikap yang keji pada pandangan Allah?
R: Panas baran dan sentiasa tergopoh-gapah

B: Apakah yang boleh menghindarkan kemarahan Allah di dunia dan di akhirat nanti?
R: Rahsiakan kebaikan dan kebajikan yang kamu lakukan dan berbuat baiklah kepada kaum
kerabat.

B: Apa yang boleh menghindarkan kita dari api neraka?
R: Bersabar ketika ditimpa bencana dan musibah.

DIRI YANG SELAMAT



Salam ukhwah dan mahabbah untuk setiap diri yang kurindui...
Samaada kita telah bertemu muka atau belum,
Hati kita telah tertaut dalam syiar yang Allah redhai..., satu-satunya deen yang menepati hajat semesta alam. Allah yang menciptakan segala-galanya dan Dialah jua yang layak menentukan semua kadar keupayaan. KepadaNya saja yang layak kita bergantung harap...

Ku imbas kembali kenangan lampau, sewaktu remaja...sangat banyak ujian dan dugaan mendatang. Dalam keadaan terkapai-kapai sebatang kara...jika tiada hidayah dan bimbingan kebaikan...nyaris saja diri ini hanyut tak berhaluan. Suasana yang baik dan terpelihara, kawan-kawan yang berakhlak mulia serta guru-guru yang dedekasi...semua itu memberi sumbangan dalam membina pribadi solehah. Syukur tertinggi buat rabbi, Rabbul'Izati.

Sepanjang jalan yang penuh tribulasi itu...ada beberapa peringatan yang masih terkesan di hatiku...
Mari kita kongsikan cebisannya bersama...
SATU KETIKA DZUN-NUN AL-MISRI BERTEMU SEORANG PEMUDA LALU MENASIHATINYA:
"Wahai pemuda,
Ambillah senjata celaan untuk dirimu dan gabungkan dengan menolak kezaliman, maka di hari kemudian engkau akan memakai jubah keselamatan.
Tahanlah dirimu dalam taman ketenteraman, rasa pedihnya fardhu-fardhu keimanan, maka engkau akan memperoleh kenikmatan syurga.
Teguklah cawan kesabaran dan persiapkan ia untuk kefakiran hingga engkau menjadi orang yang sempurna urusannya".

Kemudian sipemuda bertanya; "DIRI MANA YANG MAMPU MELAKUKAN ITU". Dzun-Nun menjawab:
DIRI YANG SABAR APABILA LAPAR.
DIRI YANG TERINGAT PADA JUBAH KEZALIMAN.
DIRI YANG MEMBELI AKHIRAT DENGAN DUNIA TANPA SYARAT
DIRI YANG BERPERISAIKAN KERISAUAN.
DIRI YANG MENGIRINGI KEGELAPAN DENGAN KEJELASAN.
Usah ditoleh lembah kegelapan, tinggalkan dan jauhinya...
Kemudian...lihatlah akhirat;
MERASA CUKUP DENGAN MAKAN SEDIKIT.
MENUNDUKKAN PASUKAN NAFSU, KEMUDIAN BERSINAR DALAM KEGELAPAN.
DIRI YANG MENINGGALKAN KEMEWAHAN DUNIA.
Inilah diri yang berkhidmat dan mengetahui hari mendatang(akhirat).
Semua ini dengan taufiq Allah Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri".

Wallahu'alam.

USAH PANJANG HARAPAN

Wahai hatiku dan sekalian hati yang dikasihi...,
Beri sedikit waktu untuk merenungi...al-haq yang perlu dihayati;

PANJANG HARAPAN sangat MERBAHAYA!
Panjang harapan adalah rasa hidup seperti kekal lama...yang menguasai hati. Lalu bekerja menurut kehendak perasaan.

Panjang harapan menarik dan memaut manusia untuk mengambil berat hal-hal dunia dengan sangat-sangat bertungkus lumus, siang dan malam. Pergerakkan jasad dan lintasan fikiran dikuasai sepenuhnya oleh hasrat dan keinginan duniawi yang tidak kenal puas-hati. Sering rasa suntuk masa untuk beramal ibadah. Meningkatkan sedikit amal kebajikan dirasai seolah-olah akan menjejaskan habuan dunia.
AWAS! PANJANG HARAPAN boleh meracuni UBUDIYYAH.

Rasulullah SAW bersabda; "Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah engkau tidak akan mati selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah mautmu datang esok".

Saydina Ali berkata; "Sangat aku takuti atas kamu adalah menurutkan hawa nafsu dan panjang harapan. Menuruti hawa nafsu menghalang kamu daripada menjunjung yang hak. Panjang harapan pula melalaikan akmu dari akhirat."

Ibnu Umar berkata; "Jika engkau masih hidup di waktu pagi, jangan menunggu sampai ke petang. Jika engkau hidup di waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi. Bersedialah dari masa hidup menanti mati. Sewaktu sihat, merasa-rasai sakit.

Salafussaleh berkata; "Kalaulah engkau dapat melihat kedatangan ajalmu, nescaya engkau akan membenci panjang harapan! Berapa banyaknya pendapatan setiap hari, tetapi belum mencukupi. Betapa banyak harapan untuk esok, tetapi tidak tercapai.

Wahai hatiku yang berhajat peringatan,
Sematkan di hati pesan Rasul junjungan:
1. "Anggaplah dirimu di dunia ini, sebagai seorang musafir ataupun sebagai seorang pengembara".
"Orang-orang yang pertama-tama terselamat dari kalangan umat ini adalah dengan zuhud dan yakin. Dan terakhir binasa adalah orang yang cintakan harta benda dan panjang harapan".

Moga semua hati yang tunduk dan patuh,
Berperananlah menepati ketentuan Rabb mu, berubudiyah setiap detik. Agar nanti jiwamu tenang dan hatimu luhur!
Bersegeralah wahai diri...
Ketahuilah dikau dalam perjanjian pijaman yang ketat terhadap Al-Khaliq.
Dari itu sentiasalah, menyemak dan meneliti bentuk dan warna hatimu.....
Sedapatnya menepati petunjuk Ilahi:
** "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Kami akam menambahkan
nikmat kepadamu, jika kamu kufur/mengingkari, maka ingatlah sesungguhnya azabKu amat pedih".(QS Ibrahim:7)

** Sabda Rasulullah; "Tiada akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya".
Wallu'alam.

JADILAH BINTANG

http://www.pink-world.co.uk/wp-content/uploads/stars.jpghttp://z.about.com/d/space/1/0/R/i/2005-36-a-full_jpg.jpg

Segala puji dan puja hanya milik Allah, penguasa semesta alam.
Hanya padaMu kami memohon dan meminta, juga kepada Mu kami berpaut dan bergantung harap.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan orang-orang yang sebelum kami.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri maaflahlah kami, ampuni kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami ya Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kudrat-iradatMu jua".

Wahai jiwaku dan semua jiwa yang mengharapkan petunjuk dan limpah kasih Ilahi,
Ketahuilah sesungguhnya menuntut ilmu merupakan satu tuntutan yang difardhukan kepada setiap kita yang waras akal-fikiran. Akan ditinggikan kedudukan dan di ganjari syurga di sisiNya. Terhadap perkara sebesarnya ini, sewajarnyalah kita ambil perhatian berat dan tidak diabaikan.
Sesungguhnya dunia ini ibarat lautan yang luas lagi dalam. Telah ramai insan yang tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Oleh itu penuhi dadamu dengan ilmu bermanfaat. Layarilah bahtera kehidupanmu berpandukan taqwa. Muatannya iman yang teguh. Layarnya tawakkal kepada Yang Maha Esa. Semoga kau selamat menuju ke pulau impian. Berjaya mendaki gunung harapan dan selamat mencapai kemenangan.

Ambillah pesanan yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada puteranya sebagai azimat;
"Hai anakku, pergaulilah para alim dan rapatilah mereka itu dengan kedua lututmu. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit".

Fikirkan juga akan kebenaran kata-kata Ibnu Mas'ud r.a; "Hendaklah kamu semua berusaha menuntut ilmu pengetahuan sebelum ianya dilenyapkan.Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang yang mengajarkannya. Seseorang itu tidak dilahirkan sudah menjadi pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu perlulah diusahakan dengan belajar".

Mari kita jadikan kesungguhan Ibnu Al-Jauzi sebagai contoh yang berkesan membina sikap cintakan ilmu...
"Saya dimasukkan ke sekolah sewaktu berumur 6 tahun. Sedangkan pelajar lain yang sedarjah dengan saya sudah berumur lebih tua. Saya tidak menghabiskan masa bermain atau bergurau dengan mereka. Sebaliknya saya menghadiri syarahan-syarahan di masjid. Hadis-hadis Rasulullah saya hafaz dan mencatitkannya semula apabila pulang ke rumah. Kanak-kanak lain menghabiskan masa bermain di tebing sungai, tetapi saya sentiasa membawa buku. saya akan membaca buku dari kulit ke kulit. Saya sangat mengambil berat supaya menghadiri kelas tepat pada waktunya. Meskipun saya dari keluarga susah dan kerap kali tidak makan seharian, saya tidak meminta-minta dari orang lain. Yang penting saya dapat terus mengikuti pelajaran. Saya tidak jemu membaca buku dan saya sangat gembira apabila memperoleh buku yang baru. Saya telah membaca lebih 20,000 buah buku semasa pengajian saya. Dengan membaca saya dapat mengetahui keberanian, kemurahan hati, keilmuan, daya hafazan, ketaqwaan dan semangat salaf al-soleh. Penelitian terhadap buku-buku juga telah menyedarkan saya tentang kecetekan ilmu sebahagian ulama' serta kelemahan semangat di kalangan pelajar".

Alangkah bahagianya, jika dapat kita contohi ketokohan Hassan Al-Basri...
Beliau merupakan pemidato handal yang diilhami dengan adab sopan yang luhur serta perasaan yang halus. Beliau bersifat tawadduk, tekun dan khusyuk serta sentiasa menyenangkan hati orang yang ditemuinya. Dia sentiasa mementingkan pembangunan diri. Juga bersungguh-sungguh mencari ahli ilmu untuk memperoleh pelajaran. Beliau sentiasa banyak bertafakkur dan bermuhasabah diri. Tidak menuturkan sesuatu kecuali perkara-perkara kebaikan. Beliau umpama bintang bergemerlapan di bidang ilmu dan sentiasa dikerumuni oleh para penuntut ilmu yang inginkan pengajarannya dalam berbagai bidang ilmu.

Wahai setiap diri yang cintakan ilmu,
Ilmu merupakan harta terbaik untuk dikumpulkan serta diwarisi. Kekayaan ilmu yang benar dan bermanfaat tidak akan menyesatkan. Malahan orang yang berilmu tidak akan mudah tertipu dalam mengatur kehidupan. Ilmu pengetahuan adalah pemimpin segala amalan yang baik. Ilmu pengetahuan juga merupakan kawan di waktu sendirian dan memberi penyelesaian waktu dalam kekusutan. Mengajarkannya kepada orang lain pula menjadi sedekah dan kebaktian.

Wahai jiwa yang sentiasa dahaga ilmu bermanfaat...'
Hayati satu-persatu maksud firman Allah SAW dan juga sabda Rasulullah SAW berkaitan kepentingan ilmu;
"Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran".(QS Az-Zumar:9)

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan". (QS Al-Fathir:28)

"Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang yang lain".(HR Abu Daud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Hibban).

"Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga".(HR Muslim)

Dari itu perlulah sentiasa kita sedari, sebagai pelajar muslim, kita membawa bersama, imej Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara diri agar dapat mempertahankan kepribadian Islam sejati. Pastikan kita mampu menjadi contoh yang baik dan membawa kebaikan kepada orang lain. Mari sama-sama kita berdoa:
Ya Allah, kurniakan kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, serta badan yang ringan bagi menyempurnakan perintahMu.
Ya Allah, kurniakan kami iman yang sempurna. Hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang benar-benar mantap.
Ya Allah kurniakan kami cara hidup yang unggul serta selamat dari mara bahaya dan petaka. Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikan kami ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak gentar atau mengharap orang lain selain Engkau.
Kembangkan lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan sesiapa saja yang bersama kami. Janganlah ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walau kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu". Amiin.