Maha Suci Allah yang telah mengangkat darjat orang-orang yang mencintai-Nya, mencintai kitab-Nya dan RasulNya mengatasi kecintaan kepada yang lain. Atas dasar ini jugalah hati orang-orang yang bertaqwa ditaut dan dipereratkan untuk mampu melaksanakan usaha mencegah kemungkaran. Kalian tidak terkecuali dari seruan Allah dalam firman-Nya, “Dan sesiapa yang mengerjakan perbuatan baik, laki-laki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (QS An-Nahl: 97)
Anak-anakku,
Mari kita buat penelitian terhadap sebuah kisah yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Khasnya pada diri anak remaja golongan muda belia yang masih baru berhadapan dengan kehidupan di luar yang serba mencabar. Mencabar keyakinan dan keimanan yang baru saja berputik..
Aku sering merasai kesepian, kosong dan terasing. Tiada sesiapa yang peduli kewujudanku. Kedua-dua ibu bapaku sibuk dengan urusan masing-masing. Aku ibarat anak ayam kehilangan ibu. Terkapai-kapai di dunia yang hitam pekat.Kerana ingin dilihat hebat, aku terikut-rikut rentak anak-anak remaja yang mundar-mandir di jalanan. Masa kosong di luar waktu persekolahan aku isi dengan melepak. Aku mencari kawan-kawan yang senasib, terbiar lepas bebas tanpa kawalan dan kongkongan ibu bapa.
Aku terjerumus ke dalam dunia hitam, dunia syaitan…,dunia dadah! Aku telah mula menagih sejak mula berlajar di sekolah menengah, kemudiannya diteruskan lagi hingga menjejakkan kaki ke IPT. Ditambah lagi dengan ketagihan arak.
Sepandai-pandai melompat…, akhirnya jatuh ke tanah juga. Aku diberkas dan dimasukkan ke pusat pemulihan. Pada peringkat ini ibu bapaku seperti baru wujud dalam hidupku. Dengan wang ringgit yang mereka miliki, aku dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan swasta yang lebih menitik beratkan penerapan agama. Di situ barulah aku mengenali erti kasih sayang dan harga diri. Rupanya masih ada yang sudi membimbingku ke jalan kebenaran. Ibu bapaku turut menyedari kesilapan mereka mengasuhku dengan timbunan wang ringgit dan kekayaan.
Aku telah diperkenalkan dengan kawan-kawan senasib yang telah kembali ke pangkal jalan dan juga telah mantap pegangan agama. Mereka sentiasa memperingatkanku untuk tidak kembali menghampiri dunia ketagihan yang menghancurkan hidupku. Aku cuba membina benteng pertahanan jiwa dengan membanyakkan ibadah rohani dan solat-solat sunat. Semenjak itu aku sangat berhati-hati dalam memilih kawan. Cukuplah pengalaman dulu mengajarku, akibat berkawan dengan golongan yang tersesat, aku juga turut tersesat.
Pemudi-pemudi Islam yang dikasihi kerana Allah,
Begitulah masalah yang sering menghantui kebahagiaan hidup manusia akhir zaman kini. Bilamana iman dan taqwa tidak bertapak di hati, hidup dijalani sesuka hati. Umpama kapal yang berlayar di tengah samudera luas tanpa kemudi dan haluan. Apabila dipukul ribut ia akan hanyut dan karam. Sedangkan jiwa orang yang dipenuhi iman dan taqwa, hidupnya terjurus untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata. Juga merasakan Allah mengawasi tindak-tanduknya. Seiring itu dia selalu menghitung diri supaya tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah.
Awaslah anak-anakku!
Pengaruh kawan sangat besar kesannya kepada corak kehidupanmu, masa kini dan masa akan datang. Berpandulah kepada sabda Rasulullah SAW dalam memilih teman; “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Mendekati penjual minyak wangi, sama ada dia memberi kepadamu atau kamu membeli darinya, kamu pasti terhidu bau wangi. Sementara menghampiri tukang besi pula, kamu akan terasa percikan api dan bahang panas serta bau busuk darinya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Keadaan kawan sedemikianlah yang sebenarnya banyak mengawal dan menguasai jalan hidup yang kalian pilih dan lalui. Jauhilah dari berkawan dengan mereka yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsu. Kawan yang bersifat sedemikian memiliki ciri-ciri mudarat dan merugikan. Sebaik-baiknya pilihlah sahabat yang dapat menegur dan memperingatkanmu dengan jujur. Mereka juga akan membawa kebaikan kepada kehidupanmu di dunia dan di akhirat.
Seperkara lagi perlu diingat, setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andai kata sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan mungkar. Sewajarnya kita menentukan pilihan terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.
Pemudi-pemudi Islam harapan!
Berikut secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah SAW, tentang fungsi sahabat yang baik.
Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab.
Di pertengahan jalan, ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman akan terus-menerus berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya: “Usah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas.Tentu dia akan mandi.Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh.”
Disebabkan iman di hatinya masih lemah, dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkannya: “Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang pasti ditimpa bala dan cubaan.”
Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikan untanya kepada ‘Iyash: “Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-samaku.”
Sebaik-baik sahaja ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan diseksa. Hampir sahaja dia berjaya dipujuk oleh keluarganya untuk meninggalkan Islam. Terlihat sahaja pada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Seolah-olah beroleh tenaga baru untuk menyelamatkan diri dari belenggu kekufuran. Di situlah erti kekuatan persahabatan Islam yang sejati. Sahabat yang baik mampu menyelamatkannya dari bencana kufur.
Akhirnya anak-anak yang sangat ibu kasihi kerana Allah,
Dalam mencari kebahagiaan hidup di dunia ini, semua urusan kalian mestilah berpaksikan iman dan taqwa. Dari titik tolak ini kalian pasti terpimpin dan terkawal dalam apa jua keadaan. Juga tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruh dengan sebarang gejala buruk. Di sini jugalah bertapaknya kekuatan hati yang terkawal dan sentiasa menyedari pengawasan Allah dalam setiap detik kehidupan.
Sama-sama kita sudahi dengan doa:
“Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan musibah dalam agama kami dan janganlah Engkau jadikan dunia mengatasi kepentingan ilmu kami. Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak berfaedah, hati yang tidak khusyuk, amalan yang tidak diangkat dan doa yang tidak dikabulkan.” Amin.
0 ulasan:
Catat Ulasan