UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

DARI MANA KITA DATANG?


WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASIHI!

LIHATLAH DIRI KITA...

Peredaran bumi mengelilingi paksinya masih berjalan. Hayat alam dan kehidupan di atas muka bumi juga masih berlangsung. Apa buktinya? Hampir setiap detik masih berlaku kelahiran demi kelahiran manusia ke dunia. Diikuti pula oleh kematian demi kematian mengakhiri sesebuah kehidupan. Hidup dan mati silih berganti seumpama bergantinya malam dan siang. Setiap yang hidup akan mengalami mati. Begitulah hukum alam seperti mana kita semua maklumi. Tetapi...,pernahkah terlintas di fikiran kita...sebelum kita dilahirkan ke dunia, dari mana kita datang?

Bagi menjawab persoalan tersebut, mari kita teliti huraian berikut...

Seorang lelaki pernah bertanya Imam Jaafar Sadik berkaitan bukti wujud Allah.

Imam Jaafar: "Pernahkah engkau berlayar di laut?"

Lelaki: "Ya."

Imam Jaafar: Sewaktu berlayar, pernahkah berlaku ribut dan angin kencang?"

Lelaki: "Pernah!"

Imam Jaafar: "Selepas itu putus harapan pergantunganmu terhadap kelasi dan anak-anak kapal yang juaga terperangkap untuk menyelamatkan diri."

Lelaki: "Ya."

Imam Jaafar: "Pernahkah terbit dari benakmu bagaikan ada satu kuasa yang dapat menyelamatkan dirimu jika Dia mahu?"

Lelaki: "Ya"

Imam Jaafar : "Itulah Dia Allah."

Keadaan yang cuba dijelaskan oleh Imam Jaafar Sadik itu bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Israk ayat 67 yang bermaksud;

"Dan apabila kamu terkena bahaya di lauta, hilang lenyaplah makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah. Ketika itu hanya Allah jua yang kamu ingat."

Menurut tabiat semulajadinya manusia ini terdorong oleh perasaannya mengakui sebelum wujud diri ada sesuatu yang telah sedia ada. Tanpa dilihat oleh matanya juga terasa ada satu kuasa yang mengetahui tingkah lakunya. Juga tidak dapat disangkal oleh manusia itu sendiri, dia memerlukan kuasa itu untuk dijadikan pergantungan. Jelasnya manusia memerlukan Allah. Maka sudah tentu manusia datang dari Allah. Manusia merupakan salah satu makhluk ciptaan Allah. Secara tepat inilah jawapan bagi persoalan dari mana kita datang?. Kita datang dari Allah...

PERKARA INI BUKAN BARU UNTUK KITA, TETAPI PERLU SENTIASA KITA PERBARUI INGATAN TERHADAP HAL INI.

HATI TERKAWAL


Maha Suci Allah yang telah mengangkat darjat orang-orang yang mencintai-Nya, mencintai kitab-Nya dan RasulNya mengatasi kecintaan kepada yang lain. Atas dasar ini jugalah hati orang-orang yang bertaqwa ditaut dan dipereratkan untuk mampu melaksanakan usaha mencegah kemungkaran. Kalian tidak terkecuali dari seruan Allah dalam firman-Nya, “Dan sesiapa yang mengerjakan perbuatan baik, laki-laki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (QS An-Nahl: 97)

Anak-anakku,

Mari kita buat penelitian terhadap sebuah kisah yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Khasnya pada diri anak remaja golongan muda belia yang masih baru berhadapan dengan kehidupan di luar yang serba mencabar. Mencabar keyakinan dan keimanan yang baru saja berputik..

Aku sering merasai kesepian, kosong dan terasing. Tiada sesiapa yang peduli kewujudanku. Kedua-dua ibu bapaku sibuk dengan urusan masing-masing. Aku ibarat anak ayam kehilangan ibu. Terkapai-kapai di dunia yang hitam pekat.Kerana ingin dilihat hebat, aku terikut-rikut rentak anak-anak remaja yang mundar-mandir di jalanan. Masa kosong di luar waktu persekolahan aku isi dengan melepak. Aku mencari kawan-kawan yang senasib, terbiar lepas bebas tanpa kawalan dan kongkongan ibu bapa.

Aku terjerumus ke dalam dunia hitam, dunia syaitan…,dunia dadah! Aku telah mula menagih sejak mula berlajar di sekolah menengah, kemudiannya diteruskan lagi hingga menjejakkan kaki ke IPT. Ditambah lagi dengan ketagihan arak.

Sepandai-pandai melompat…, akhirnya jatuh ke tanah juga. Aku diberkas dan dimasukkan ke pusat pemulihan. Pada peringkat ini ibu bapaku seperti baru wujud dalam hidupku. Dengan wang ringgit yang mereka miliki, aku dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan swasta yang lebih menitik beratkan penerapan agama. Di situ barulah aku mengenali erti kasih sayang dan harga diri. Rupanya masih ada yang sudi membimbingku ke jalan kebenaran. Ibu bapaku turut menyedari kesilapan mereka mengasuhku dengan timbunan wang ringgit dan kekayaan.

Aku telah diperkenalkan dengan kawan-kawan senasib yang telah kembali ke pangkal jalan dan juga telah mantap pegangan agama. Mereka sentiasa memperingatkanku untuk tidak kembali menghampiri dunia ketagihan yang menghancurkan hidupku. Aku cuba membina benteng pertahanan jiwa dengan membanyakkan ibadah rohani dan solat-solat sunat. Semenjak itu aku sangat berhati-hati dalam memilih kawan. Cukuplah pengalaman dulu mengajarku, akibat berkawan dengan golongan yang tersesat, aku juga turut tersesat.

Pemudi-pemudi Islam yang dikasihi kerana Allah,

Begitulah masalah yang sering menghantui kebahagiaan hidup manusia akhir zaman kini. Bilamana iman dan taqwa tidak bertapak di hati, hidup dijalani sesuka hati. Umpama kapal yang berlayar di tengah samudera luas tanpa kemudi dan haluan. Apabila dipukul ribut ia akan hanyut dan karam. Sedangkan jiwa orang yang dipenuhi iman dan taqwa, hidupnya terjurus untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata. Juga merasakan Allah mengawasi tindak-tanduknya. Seiring itu dia selalu menghitung diri supaya tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah.

Awaslah anak-anakku!

Pengaruh kawan sangat besar kesannya kepada corak kehidupanmu, masa kini dan masa akan datang. Berpandulah kepada sabda Rasulullah SAW dalam memilih teman; “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Mendekati penjual minyak wangi, sama ada dia memberi kepadamu atau kamu membeli darinya, kamu pasti terhidu bau wangi. Sementara menghampiri tukang besi pula, kamu akan terasa percikan api dan bahang panas serta bau busuk darinya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Keadaan kawan sedemikianlah yang sebenarnya banyak mengawal dan menguasai jalan hidup yang kalian pilih dan lalui. Jauhilah dari berkawan dengan mereka yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsu. Kawan yang bersifat sedemikian memiliki ciri-ciri mudarat dan merugikan. Sebaik-baiknya pilihlah sahabat yang dapat menegur dan memperingatkanmu dengan jujur. Mereka juga akan membawa kebaikan kepada kehidupanmu di dunia dan di akhirat.

Seperkara lagi perlu diingat, setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andai kata sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan mungkar. Sewajarnya kita menentukan pilihan terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.

Pemudi-pemudi Islam harapan!

Berikut secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah SAW, tentang fungsi sahabat yang baik.

Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab.

Di pertengahan jalan, ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman akan terus-menerus berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya: “Usah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas.Tentu dia akan mandi.Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh.”

Disebabkan iman di hatinya masih lemah, dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkannya: “Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang pasti ditimpa bala dan cubaan.”

Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikan untanya kepada ‘Iyash: “Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-samaku.”

Sebaik-baik sahaja ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan diseksa. Hampir sahaja dia berjaya dipujuk oleh keluarganya untuk meninggalkan Islam. Terlihat sahaja pada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Seolah-olah beroleh tenaga baru untuk menyelamatkan diri dari belenggu kekufuran. Di situlah erti kekuatan persahabatan Islam yang sejati. Sahabat yang baik mampu menyelamatkannya dari bencana kufur.

Akhirnya anak-anak yang sangat ibu kasihi kerana Allah,

Dalam mencari kebahagiaan hidup di dunia ini, semua urusan kalian mestilah berpaksikan iman dan taqwa. Dari titik tolak ini kalian pasti terpimpin dan terkawal dalam apa jua keadaan. Juga tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruh dengan sebarang gejala buruk. Di sini jugalah bertapaknya kekuatan hati yang terkawal dan sentiasa menyedari pengawasan Allah dalam setiap detik kehidupan.

Sama-sama kita sudahi dengan doa:

“Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan musibah dalam agama kami dan janganlah Engkau jadikan dunia mengatasi kepentingan ilmu kami. Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak berfaedah, hati yang tidak khusyuk, amalan yang tidak diangkat dan doa yang tidak dikabulkan.” Amin.


CINTA HAKIKI-CINTA SEJATI



WAHAI SETIAP HATI YANG DICINTAI DAN MENCINTAI!

INILAH HAKIKAT CINTA YANG MESTI KITA BINA...



Bentuk Sebenar Cinta Ilahi.
Imam Fakhru Al-Razi berkata:
"Orang yang memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."

Rabiatul Adawiyah berkata:
"Kekasihku tiada yang menandingiNya,
Sekali pun Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata,
Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku.
Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untukNya."

Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati;
Laksana pohon dalam hati.
Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah.
Dahannya ialah makrifatullah.
Rantingnya takutkan kemurkaan Allah.
Daunnya adalah malu kepada Allah.
Buahnya ialah istiqomah.
Air dan bajanya adalah zikirullah.

Bukti dan Pengorbanan Cinta.
apabila tautan jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa bahagia.

Begitulah juga halnya bagi setiap diri yang teguh cinta dan kepatuhannya kepada Allah, dia akan sedaya-upaya berusaha memenuhi perintah Allah juga menjauhi laranganNya.

BERSYUKUR


Putera-puteriku yang dikasihi kerana Allah!


Mari kita teruskan bicara berkaitan rasa syukur yang kita mula bicarakan di awal tadi, cuba fikirkan begini...
Setiap kali seseorang memberikan suatu barang kepada kita, begitu mudah kita lafazkan ucapan terima kasih. Apatah lagi jika yang diberikan kepada kita sesuatu yang kita sukai atau sangat diperlukan, bertalu-talu kita luahkan penghargaan. Tetapi, sedarkah kita; Allah Yang Maha Pencipta, yang mengatur dan mentadbir seluruh alam ini dengan menyediakan berbagai nikmat yang tidak terhitung, sangat sedikit ungkapan pujian yang kita curahkan. Sewaktu terlalai, tergamak kita merasakan nikmat-nikmat tersebut kita perolehi hasil keupayaan ilmu kita sendiri. Astaghfirullah!... Kini sudah tiba masanya kita membina kesedaran berterusan sepanjang hayat semoga kita sentiasa bergerak di landasan kebenaran yang akan membawa kita sampai kepada matlamat keredhaan Allah. Semasa di dunia maupun di akhirat kelak.


Putera-puteri harapan!

Peruntukkan sedikit waktu untuk merenung dan berfikir tentang nikmat Allah kepada seluruh makhluk...

“Dan Dia telah memberikan kepadamu keperluanmu dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah,tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah”. (QS Ibrahim:34)

Antara nikmat-nikmat Allah yang mesti sentiasa diberi perhatian:
• Nikmat sebagai makhluk.
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda Yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Q.S. 76:1-3)
• Nikmat sebagai manusia.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya). (Q.S.95:4)
• Nikmat sebagai khalifah.


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?".


Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya". (Q.S.2:30)
• Nikmat sebagai Muslim dan nikmat Mukmin.
Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Q.S.5:3)


Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya (Q.S. 48:18)

Wallahu'alam.

BERTINDAKLAH!

Khusus buat Pemuda-pemudi Harapan!

Setiap hari yang baru datang mengunjungi hidup kalian,
fikirkanlah sebaik-baik langkah yang wajar kalian ambil demi membina masa depan yang diredai-Nya...



Pemuda-pemudi Harapan!

Sedarilah!


Imam Al-Ghazali ada memberi nasihat dan wasiat kepada golongan remaja.
“Ada tiga perkara yang apabila diberikan kepada pemuda sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan dunia dan akhirat, iaitu:

• hati yang sentiasa bersyukur

• lisan yang berzikir

• jasad yang sentiasa sabar


Dengan itu juga kita akan mampu memenuhi tawaran istimewa selaku muttaqin yang melaksanakan perjanjian menyerukan kebenaran kepada semesta alam. Semestinya untuk itu kita sentiasa mewarnai corak hidup kita berpandukan pesanan khusus untuk barisan muda daripada Hassan Al-Basri iaitu:

1. Mulakan harimu dengan ceria dan penuhkan dengan aktiviti mendekatkan diri kepada Allah dan mencintai Rasulullah. Juga mendampingi dan belajar daripada orang alim dan soleh.

2. Jangan biarkan diri terjerumus kepada perbuatan buruk yang merencatkan fungsi akal fikiran yang muda lagi bersih.

3. Jangan berlebih-lebihan dalam senda gurau dan bersantai kerana akan melalaikan tanggungjawab kepada Allah.

4. Sibukkan dirimu dengan aktiviti yang menumbuhkan akal, kecergasan dan menguatkan iman. Nescaya akan memetik kecemerlangan di hari tua dan kejayaan di akhirat.

5. Banyakkan membaca sirah Rasulullah SAW dan sejarah orang-orang soleh untuk mencontohi bagaimana mereka melalui hari-hari dalam kehidupan semenjak kanak-kanak, remaja dan tua. Jadikan ia sebagai panduan agar tersenarai sebagai anak muda soleh yang diredhai Allah.

wallahu'alam.

LIHAT, RENUNG dan FIKIR

Wahai setiap diri yang diperhati!

LIHAT, RENUNG dan FIKIR...







Wahai setiap diri yang dikasihi dan mengasihi;
Hayatilah ungkapan ini sehingga sebati dalam diri...

Rabiatul Adawiyah berkata:
"Kekasihku tiada yang menandingi-Nya,
Sekali pun Kekasihku tidak dapat kupandang dengan mata,
Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku.
Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untuk-Nya."

Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati;
Laksana pohon dalam hati.
Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah.
Dahannya ialah makrifatullah.
Rantingnya takutkan kemurkaan Allah.
Daunnya adalah malu kepada Allah.
Buahnya ialah istiqomah.
Air dan bajanya adalah zikirullah.

Bukti dan Pengorbanan Cinta.
apabila tautan jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa bahagia.

Wahai diri yang dikasihi, jika cinta Ilahi telah sebati dalam diri, pasti cinta kita menjadi sangat luhur dan murni, sehingga tiada lagi yang menghijab dan membatasi cinta dan pengabdiaan kita kepada-Nya.

JUJUR?

Pemuda-pemudi harapan yang gigih menyebar kebenaran,
Kalian sering mencari dan memerlukan satu perkara besar yang berfungsi sebagai perisai dalam perjuangan menggarap reda Ilahi; itulah dia KEJUJURAN!
Kejujuran apabila menguasai hati, akan menjadikan hati itu HATI YANG JUJUR. Jujur yang sangat kita perlukan ini bukan sekadar kejujuran terhadap sesama manusia. Paling utama jujur dalam mengambil hanya hak kita. Seiring meredhai hak orang lain. Ia mesti berlaku serentak!

Ikuti dengan teliti kisah berikut, agar dapat difahami hakikat yang Islam tuntut kepada kita.
Di sebuah rumah usang dalam deretan rumah yang berhampiran Masjid Haram, kelihatan seorang isteri sedang bergegas memastikan suaminya segera pergi ke masjid di awal subuh. Si suami seorang syeikh berusia sekitar 85 tahun. Dalam usia agak lanjut, ketara berat tanggungan syeikh tua itu. Di dalam rumah buruk serba dhaif itu turut dihuni empat anak perempuan, ibu mertua dan dua adik perempuan. Tambah menyayat hati, seisi rumah itu hanya mempunyai satu persalinan untuk dipakai bergilir-gilir bagi menunaikan solat. Justeru itu syeikh mesti pulang awal setiap kali selesai menunaikan solat fardhu. Ini membolehkan tanggungannya di rumah dapat bergilir-gilir menggunakan persalinan pakaian untuk solat. Begitulah yang berlangsung sekian lama. Ditambah lagi dengan kekurangan makanan. Sering mereka berpuasa dan berlapar.

Hinggalah pada suatu hari… dalam perjalanan pulang ke rumah, di pertengahan jalan syeikh terjumpa seutas tali pinggang seseorang yang tercicir. Dia sangat terkejut! Di dalam kantung tali pinggang itu ada wang emas yang banyak! Berdebar-debar hatinya. Apakah mahu disimpan? Dibelanjakan isinya? Dicari siapa tuannya? Atau diletakkan saja kembali di tempat yang ditemui tadi?

Dalam kecamuk perasaan yang begitu, hati nuraninya berbisik… mengapa begitu jauh layangan fikiranku? Harta itu bukan milikku. Ianya mesti diperlakukan seperti yang Allah tentukan.Umumkan pada orang ramai, siapa yang punya barang itu. Jika tidak ditemui hingga setahun pemiliknya, barulah harta itu halal bagi yang menjumpainya.

Setelah sampai di rumahnya, dalam keadaan dirinya bertarung memujuk bisikan hati sendiri, isterinya pula tambah merayu-rayu. Si isteri meminta sedikit dari apa yang ditemui sekadar mencukupkan keperluan yang mendesak.

Syeikh merenung wajah isterinya. Pujukan wanitalah yang sering membuat iman lelaki tergugat. Terasa bagaikan pecah kepalanya bertarung dengan pujukan demi pujukan isterinya. Digagahinya menyedarkan si isteri.

“Kau isteri yang baik. Sepatutnya mendorong aku memilih jalan kebaikan. Apakah kesabaran kita menanggung susah selama lebih 50 tahun, sanggup dicairkan hanya beberapa saat ini?”

Begitu gawat pertarungan perasaan yang dihadapi syeikh. Sekian lama dia ikhlas mendidik ahli keluarganya supaya sentiasa tabah dan mentaati Allah. Saat ini benar-benar besar ujian yang dihadapinya.

Keesokannya syeikh pergi ke masjid seperti biasa. Selesai solat, syeikh terkejut mendengar satu pengumuman seorang Khurasan yang kaya telah tercicir tali pinggangnya. Ditawarkan ganjaran bagi yang mengembalikan semula. Bila diamati oleh syeikh, ternyata orang itu tuan punya tali pinggang yang ditemui. Segera dia memberitahu orang kaya Khurasan itu dengan berhajatkan ganjaran 10 peratus daripada harta tersebut. Gelagatnya turut diikuti dan diperhati oleh seorang pemuda yang juga tertarik hati mendengar ganjaran yang mungkin diberikan. Si tuan punya tali pinggang enggan memberi ganjaran sebesar itu. Kata orang Khurasan itu, “Memadailah ganjaran yang di sisi Allah.”

Syeikh pulang ke rumah untuk berfikir lagi. Terus didesak oleh isterinya untuk meminta sekadar satu persen. Sudah mencukupi untuk menampung keperluan utama mereka. Sebaik syeikh menemui semula orang kaya itu, tetap disebutkan ganjaran yang diberikan, “Cukuplah atas apa yang Allah tentukan.” Mendengar kata-kata yang sedemikian syeikh yang berjuang dengan keimanannya itu lantas setuju. Lalu dia mengajak orang kaya Khurasan ke rumahnya untuk mengembalikan tali pinggang tersebut. Mereka turut diikuti pemuda yang sama memerhati hal itu.

Sesampai di rumahnya syeikh terus menyerahkan tali pinggang itu kepada yang empunya. Setelah dipastikan semua jumlah wang emasnya cukup, tidak terluak, orang Khurasan itu menyerahkan kembali harta tersebut kepada syeikh, “Ambillah yang menjadi hakmu. Cukuplah dengan ganjaran dari Allah.” Tercengang-cengang semua yang mengikuti peristiwa itu.

Syeikh itu memanggil seisi rumahnya berserta pemuda yang mengikutinya. Dibahagi-bahagikan semua harta yang direzekikan Allah kepada mereka. Semua mereka beroleh bahagian 100 dinar setiap seorang. Anak muda itu tersangat gembira, kerana dengan wang itu dia dapat melanjutkan pengajiannya. Begitu juga dengan anak dan isteri syeikh, semua mereka dapat membebaskan diri daripada himpitan kemiskinan.

Sesungguhnya semua itu adalah ganjaran dari kesabaran mereka seisi keluarga menanggung kesusahan dalam ketaqwaan kepada Allah. Teryata ketaatan dan kejujuran syeikh terhadap perintah Allah dapat menjamin kebahagiaan mereka seisi keluarga sepanjang hayat.

Pemuda-pemudi Islam yang gigih!
Anak-anakku yang diharapkan menyebarluaskan kebenaran,
Apapun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah, akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.

Sama-sama kita akhiri dengan doa:
“Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan-Mu kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Amin.

AKU DATANG



AKU DATANG

Ya Allah, Tuhanku
Rabbi Rabbul Izzati
kelahiran ini anugerah-Mu
dalam debur tangis kuraih erti hidup
tersujudku pada selarik belas kasih-Mu
tengadah meluhurkan hidayah-Mu
pasrah memikul amanah-Mu.

Ya Allah, Tuhanku
Rabbi Rabbul’Alamin
aku hanya setinta insan
berkhalifah di saujana bumi-Mu
menebar takwa berbunga ikhsan
mengabdi cinta ubudiyah
mimpikan janji syurga-Mu.

Ya Allah, Tuhanku
Arrahman Arrahim
tunjuki daku jalan-jalan-Mu
disuluhi hidayah-Mu
diharumi reda-Mu
aku pasrah lagi patuh
tanpa ingkar lagi mungkar
aku datang kepadaMu
Allahuakhbar!

Ummu Anas
11/7/10

(Puisi percubaan sy ini merupakan puisi pertama yg sy tulis setelah puluhan tahun trcicir dari cinta puisi...,ia telah disentuh halusi oleh sahabat2 seperjuangan berkarya sy)

MENULIS



Salam sejatera diiringi limpah rahmat Ilahi!

Mengapa Menulis?
Ingin mencipta karya tulis yang bersifat persuasif bertujuan mempengaruhi dan merubah fikiran pembaca. Perubahan yang dimaksudkan semestinya berunsur positif yang mampu membawa kebenaran dan manfaat kepada manusia seluruhnya.

Mulai Dengan Kesedaran
1. Matlamat penciptaan manusia bertepatan maksud firman Allah dalam surah Az-Zariyat, ayat 56:
“Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Bagi setiap muslim yang bertaqwa, seluruh aktiviti kehidupan sepanjang hayatnya dipenuhi dengan tujuan beribadah untuk mencari keredhaan Allah. Begitu juga dengan penglibatannya di bidang penulisan, adalah dengan tujuan memenuhi tugasnya sebagai khalifah Allah yang sentiasa berubudiyah.

Dengan itu kita mesti menyedari tuntutan yang Allah tegaskan dalam surah Al-Alaq ayat 1-5:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan, Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu amat pemurah, Yang mengajarkan (menulis) dengan pena, Yang mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”
Juga tersebut dalam firman Allah:
“Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan.”(QS Al-Qalam:1)

2. Seseorang Muslim tidak mencukupi sekadar menjadikan dirinya sendiri saja baik tanpa berusaha mengajak orang lain juga berbuat baik. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 1-3:
“Demi masa, manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenarandan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Dalam usaha penulisan inilah terbuka luas ruang untuk saling berpesan dan memperingati kepada perkara-perkara positif.

3. Usaha melaksanakan amar maaruf nahi mungkar mesti berlangsung secara berterusan kerana kemungkaran sifatnya menghilangkan keupayaan manusia untuk melakukan dan menerima kebenaran. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak kuasa dengan lidahnya dan jika juga tidak kuasa dengan hatinya, yang demikian selemah-lemah iman.”

Perlu kita sedari medan penulisan dapat menyelamatkan manusia dari kerosakan fikrah yang akhirnya menjerumuskan kepada kemurkaan Allah. Dalam keadaan hari ini dipenuhi maksiat dan kemungkaran, hasil tulisan dapat berfungsi sebagai salah satu bentuk mencegah keburukan dengan lidah(lisan). Dari itu usaha-usaha di medan penulisan bukan sekadar memenuhi hobi dan kecenderungan, malahan ia menepati tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Penulis Muslim Contoh
(dipetik dari buku Suri Tauladan Di Sepanjang Jalan Dakwah, oleh al-ustaz Mustafa Masyhur)
1. Bijak dalam memilih tajuk yang sesuai untuk tujuan berdakwah, menghuraikan tajuk itu dengan gaya bahasa yang baik dan jelas yang maknanya sampai ke hati dan akal manusia dan boleh memberi kesan yang dikehendaki.
2. Berpegang dengan kefahaman Islam yang betul dan jauh dari penyelewengan dan salah faham. Perlu sentiasa menyedari, berapa banyak dosa akan ditanggung jika pembaca-pembaca terpengaruh dengan fahaman yang salah.
3. Penulis Muslim yang berbakat dan berpeluang menglibatkan diri dalam bidang sebaran am, mestilah memanfaatkan sepenuhnya kebolehan yang dianugerahkan kepadanya untuk tujuan menyebarkan kebenaran kepada khalayak umum.
4. Cerpenis dan novelis Muslim hendaklah mengemukakan pendapatnya dan penyelesaian kepada masalah masyarakat semasa bagi semua peringkat, dari kanak-kanak, pemuda dam pemudi, orang dewasa lelaki dan perempuan dengan cerita yang mempunyai tarikan dan ada kesannya.
5. Bagi yang berkebolehan dalam penciptaan puisi dan syair juga nasyid, sebolehnya memberi sumbangan dengan mencipta nasyid-nasyid dan puisi yang menimbulkan semangat berjuang di kalangan pemuda dan remaja juga seawal usia kanak-kanak lagi kerana sudut ini begitu halus dalam mempengaruhi jiwa manusia.

Tips Untuk Memulakan Usaha Menulis

1. Banyakkan membaca apa saja bahan atau karya yang baik dan membina. Buku, akhbar, majalah maupun novel. Ini akan membentuk idea dalam minda kita tentang bagaimana kita harus memulakan gaya penulisan.
2. Sentiasa berfikiran positif dan terbuka dan sentiasa sedia menerima cadangan maupun pandangan dan teguran. Dengan meneroka pandangan orang lain, kita akan mudah meramalkan bentuk penulisan yang diminati dan digemari pembaca.
3. Rajin meneliti telatah kehidupan insan dan gemar menganalisa alam yang terbentang dan semua ini dapat meransang ilham.
4. Seperti juga bertutur, menulis akan menjadi jika kita dapat menguasai bahasa dengan baik. Cuba sedapatnya ikuti perkembangan bahasa dengan membaca dan meneliti majalah-majalah terbitan DBP seperti Dewan Bahasa, DewanSastera, Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Pelita Bahasa.
5. Tentukan kumpulan sasar yang ingin kita sampaikan bahan karya kita bersesuaian dengan kemampuan dan gaya olahan kita.
6. Bijak menguruskan masa; urus waktu tidur supaya tidak berlebihan. Bangun awal dan terus menulis dalam waktu yang tenang. Menulis berterusan setiap hari dan dijadualkan dengan menganggap menulis satu tanggungjawab, bukannya hobi. Elakkan membuang masa dengan banyak bersosial dan omongan kosong.
7. Sediakan secukupnya buku rujukan mengikut bidang tumpuan kita berkarya. Sediakan tempat selesa dan sesuai untuk menulis, menulis, dan menulis...
8. Bagi memastikan kegigihan kita berterusan, mesti bina semangat yang mantap dalam jiwa dengan sentiasa bermunajat.
9. Tingkatkan kemahiran dan ilmu penulisan dengan meluangkan masa mengikuti kursus-kursus penulisan. Perlu diingat, tidak ada yang disebut ‘born writer’ tanpa ilmu dan latihan.

Penulisan Persuasif Terancang
• Penulisan persuasif bertujuan mempengaruhi dan mengubah pemikiran pembaca tentang sesuatu isu. Ia mesti dirancang begitu rupa menepati ciri-ciri pemberitaan yang baik, pemikiran yang baik dan idea yang bernas juga dapat bertindak merubah keadaan.
• Pengolahannya mesti terancang begitu rupa menepati ruang lingkup dan tabiat khalayak pembaca dan kumpulan sasar. Dengan mengambil kira penggunaan bahasa yang santai dan membumi. Di samping menyerapkan gaya pendekatan hidup dan segar untuk menarik perhatian dan kesedaran pembaca.

Dengan menyedari pertolongan Allah sangat hampir kepada orang-orang yang menolong agama Allah, mulakanlah sekarang...menulis, menulis dan menulis...

Wallahu’alam

CINTA


CINTA UNTUK SIAPA?
Menemui hati-hati yang dirahmati dan dilimpahi kasih Ilahi,

Perlu difahami dan dihayati satu hakikat yang dicurahkan oleh Rabbul 'Izzati ke seluruh pelusuk alam dan buat semua insan...

Tahukah anda?
Sesungguhnya CINTA adalah limpahan kasih-sayang YANG MAHA PENCIPTA kepada semua makhluk CIPTAANNYA. Ini juga bermakna CINTA merupakan anugerah ALLAH kepada hambaNya (MANUSIA). Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Thaha ayat 39:
"Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih-sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu."

Ayat di atas menjelaskan peristiwa ketika Allah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s supaya memasukkan bayinya ke dalam peti dan dihanyutkan di Sungai Nil. Sehingga sampai ke istana Firaun yang sangat zalim yang dikenali sebagai musuh Allah. Dia juga merupakan musuh Nabi Musa a.s. Diiringi dan disusuli kakaknya yang menunjukkan kepada Asiyah isteri Firaun, siapa yang sesuai menyusui bayi Musa. Semuanya telah Allah atur begitu rupa menepati maslahat yang baik di sisiNya. Musa diasuh oleh Asiyah yang beriman, di istana Firaun. Dapat pula disusui oleh ibu kandungnya. Begitu besar rahmat Allah. Mengatur begitu rapi demi satu perencanaan besar, untuk tanggungjawab nubuwwah. Bakal menyebar kebenaran bagi seluruh alam...!

Hakikat Lebih Awal.
Pada penciptaan manusia yang pertama lagi; iaitu NABI ADAM a.s, terbukti CINTA itu FITRAH INSAN. Dikatakan demikian kerana pada mulanya Adam yang Allah ciptakan dan lantik sebagai khalifah Allah hidup sendirian. Ketika itu belum ada manusia lain selain dirinya. Dia berasa kesunyian dalam kemewahan hidup di syurga. Kemudian Allah menciptakan pula Hawa menjadi teman dan isteri bagi Adam. Mereka menjadi penghuni syurga buat beberapa ketika. Disebabkan mereka terpedaya dengan hasutan iblis, maka mereka dicampakkan ke dalam kehidupan dunia!. Begitulah bermulanya hidup manusia di mayapada ini. Namun mesti difahami, semuanya telah Allah atur sebaik-baiknya di dalam dakapan KASIH ILAHI lagi HAKIKI. Supaya dengannya kita sentiasa terpimpin ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat kelak.

Sudah Jatuh Cinta?
Sering kita mendengar orang berkata; TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
Kini apabila kita ketahui bahawa Allah Yang Maha Bijaksana mencipta dan mengatur seluruh isi alam ini untuk memudahkan kita menikmati limpahan kasihNya, akan terbukalah jalan untuk kita kenali dengan lebih dekat CINTA ILAHI.

Seterusnya kita menyedari pula, segala apa yang kita hajatkan datang dari sisiNya. Bukan dari yang selainNya. Maka akan terbitlah rasa kagum kita terhadap kebesaran dan keagungan Allah .

Cinta Berputik.
Paduan antara KENAL dan KAGUM inilah yang menerbitkan sepenuh rasa CINTA TULUS seorang hamba seiring ketaatan dan kepatuhan kepada Al-Khaliq. Kemudian kesetiaan cinta akan terbukti dengan melaksanakan amal soleh. Inilah cinta hakiki di atas landasan kasih Ilahi. Inilah juga piawaian cinta untuk seisi alam. Semuanya dipersembahkan kepada Rabbul 'Izzati.

Kata Ibnu Qayyim:
"Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada penciptanya kerana;
* Penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya.
* Penciptanya memberi rezeki.
* Penciptanya menghidup dan mematikan.

Cinta kepada Allah adalah;
* Kebahagiaan semua jiwa.
* Makanan setiap hati.
* Cahaya bagi akal dan mata."

Ibnu Taimiyah berkata:
"Hati manusia secara tabie berhajat kepada Allah kerana dua sebab;
1. Untuk beribadat.
2. Untuk berserah diri.
Hati tidak akan jadi baik, bersih, gembira dan tenang selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan sepenuh cintanya berpaut kepada Allah." Inilah cinta pertama dan utama.

Bentuk Sebenar Cinta Ilahi.
Imam Fakhru Al-Razi berkata:
"Orang yang memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."

Rabiatul Adawiyah berkata:
"Kekasihku tiada yang menandingiNya,
Sekali pun Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata,
Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku.
Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untukNya."

Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati;
Laksana pohon dalam hati.
Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah.
Dahannya ialah makrifatullah.
Rantingnya takutkan kemurkaan Allah.
Daunnya adalah malu kepada Allah.
Buahnya ialah istiqomah.
Air dan bajanya adalah zikirullah.

Bukti dan Pengorbanan Cinta.
apabila tautan jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa bahagia.

Begitulah juga halnya bagi setiap diri yang teguh cinta dan kepatuhannya kepada Allah, dia akan sedaya-upaya berusaha memenuhi perintah Allah juga menjauhi laranganNya.

Dia tidak akan ragu-ragu dalam memenuhi arahan-arahan berikut;
* Katakanlah(Muhammad): Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Ali-Imran:31)

* "Tidak beriman seseorang dari kamu, sebelum Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada orang lain."(HR Bukhari dan Muslim)

Anugerah Kualiti Cinta.
Semestinya kita yakini Allah berlaku benar di dalam janjiNya. Telah sedaya upaya kita buktikan ikrar cinta terhadap Allah. Iaitu apa jua bentuk ibadah kita adalah semata-mata untuk beroleh redha Allah.
Maka layaklah kita beroleh anugerah dan pengiktirafan;
* "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beraaml soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang."(QS Maryam: 96)

* Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda; "Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru..., Sesungguhnya Allah mencintai Fulan. maka cintailah dia! Maka seluruh penghuni langit mencintainya. Kemudian dijadikan orang-orang yang menyambut cintanya di bumi."

* Rasulullah juga bersabda; "Allah berfirman pada hari qiamat, 'Manakah orang-orang yang saling mencintai dengan keagunganKu? Pada hari ini Aku melindungi mereka di bawah lindunganKu, pada hari yang tiada lindungan selain perlindunganKu."(HR Muslim)

Begitulah hasilnya yang akan kita perolehi sekiranya kecintaan kepada Allah kita beri keutamaan. Segala kebaikan akan mewarnai jalan hidup kita. Semua tahap cinta yang kita lalui, akan mampu kita realisasikan praktiknya dalam batasan yang telah Allah tetapkan...

* Cinta ayah-ibu terhadap anak-anak akan berlangsung sepertimana yang Allah pertanggungjawabkan.

* Cinta anak terhadap ayah-ibu juga dalam rangka ketaatan yang Allah tetapkan.

* Cinta suami-isteri tertakluk kepada peraturan-peraturan dan hak yang Allah perintahkan.

* Cinta sesama saudara muslim semestinya demi mendapatkan keredhaan Allah.

Doa:
"Ya ALLah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMU cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Juga cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Allah! Jadikan aku mencintaiMu dengan sepenuh hatiku dan redha kepadaMu dalam segala usahaku.

Ya Allah! Setiap apa ayng aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang Engkau redhai. Setiap yang Engkau singkirkan daku dari apa yang aku cintai, jadikanlah ketenangan dalam hatiku.

Ya Allah! Jadikanlah cinta ku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai.
Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Amiin."