UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SUSAH DAN SENANG TETAP UJIAN

Salam ukhwah dan mahabbah diiringi rahmat dan barakah Ilahi.

Musim cuti datang lagi. Subhanallah! Penyusunan dan rahmat dari Allah...dapat daku melapangkan masa bercuti dengan seisi keluarga. Sudah lama teringinkan sedikit kelapangan begini; seolah-olah Allah beri elaun dari tugas yang panjang...Apa pun keadaannya, aku perlu ingat, susah dan senang atau sihat dan sakit adalah ujian. Sepertimana maksud firman Allah;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".(QS Al-Mulk: 2)

Awal cuti mengiringi anak-anak ke rumah mertua. Memperlihatkan kepada mereka kehidupan mewah di kampung yang telah dinaik taraf menjadi kawasan bandaraya. Hebat dan menggerunkan! Hebat..., kerana saudara mara yang dahulunya hidup selaku 'orang kampung' kini mampu hidup cara 'orang bandar'. Punya pekerjaan sendiri, mengusahakan industri kecil makanan, pusat rawatan kecatikan juga kontraktor binaan. Pendek kata pelbagai industri kecil boleh diusahakan, asal saja tekun dan gigih. Hati rasa sedikit ngeri! Khuatir gaya hidup materialistik dan individualistik menguasai jiwa 'anak kampong' yang dahulunya kaya budi-bahasa dan mewah sikap gotong-royong serta melimpah ruah rasa kekeluargaan menjadi leka... Kini kesibukan mengejar projek sering mencuri waktu berziarah.
Anak-anak merengek-rengek; kata mereka kampung ayah dah rasa panas, nyamuknya makin ganas...!

Selang 3 hari bercuti di JK,terus menuju ke kampung ibuku di BJ. Tempat damai yang sering kurindui...Sentiasa terkenang hari-hari indah berlari mengejar kupu-kupu di dahan pokok kopi yang rendang. Dari atas titi yang telah dibesarkan, terlihat kelibat ibu duduk di atas tangga, menanti kepulangan cucu-cucu yang lucu. Rumah kampong serba sederhana dengan keindahan rimbunan pepohon serta bunga-bunga desa yang mengharum sentiasa menggamit hati kami sekeluarga. Namun kesibukan perjuangan hidup sering memendekkan waktu percutian kami. Tanpa disedari golongan tua terpaksa hidup dalam kesepian, demi kesejahteraan dan kecemerlangan generasi pelapis dan pewaris. Kita yang muda ini kadangkala lupa..., ganjaran syurga berada hampir di sisi keredhaan hati ayah-bonda. Terlalu jauh cita-cita dan terlalu luas jangkauan perjuangan, hinggakan rintihan sepi orang tua tidak lagi menyentuh hati besar kita.

Hidangan makan malam sekadar tumis air sayur-sayur kampong dan goreng ikan keli berlada sangat menyelerakan berbanding ayam goreng bertepung dari pasar malam yang hiruk-pikuk. Malah lebih 'berkat' kerana dimasak oleh tangan yang mendoakan kita. Bukankah hati kita tandus..., sebabnya termakan hidangan yang kekeringan kasih-sayang. Sebaiknya kita sering makan yang disediakan oleh tangan yang mengasihi kita; dengannya jiwa kita lunak dan mudah melakukan kebaikan.

Keindahan dan bersihnya panorama kampong sepatutnya sering kita renungi..., agar terlihat kebesaran kuasa Allah mencipta alam semesta. Syukur padaMu ya Rabbi, hajat anak-anak ingin melihat keunikan kelip-kelip di malam hari tertunai juga... Bagi anak-anak yang tidak pernah dibesarkan di kampong, memang merasa asing dengan keunikan serangga kelip-kelip atau kunang-kunang. Sejenis serangga kecil seperti lalat mengeluarkan cahaya waktu menggeserkan kedua kepaknya. Kelip-kelip jantan terbang berkumpulan di sekeliling pokok berembang, untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Lokasi yang menjadi tumpuan kelip-kelip banyak di tepi sungai yang ada pokok berembang. Begitulah menurut pendayung sampan yang bertugas memandu pelancung di lokasi pelancungan secara kecil di hujung kampong ibuku. Hutan paya bakau di pinggir sungai juga sudah ditanam semula dan dibinakan jeti untuk tujuan mengindah dan membaik pulih. Nampaknya sedikit demi sedikit kampong pendalaman itu menampakkan potensi industri pelancongan...

Setelah anak-anak melihat secara dekat kehidupan kedua-dua kampong; kampong ayah mereka JK dan kampongku BJ, dua tugasan mesti dipenuhi....menulis cacatan ke dalam buletin keluarga kami dan menjawab soalan 'apa akan dilakukan...jika saya yang akan memajukan kedua-dua kampong tersebut?'. Latihan ini untuk merangsang mereka memikirkan peranan dan tanggungjawab...,apabila mereka ditakdirkan menyertai barisan kepimpinan masa hadapan...!

Apa pun keadaannya...bumi yang terbentang luas ini adalah untuk kita renungi tujuan Allah menciptakannya. Segalanya untuk memudahkan kita beribadah sepanjang hayat. Sewajarnya kita mensyukuri segala nikmat tersebut. Nikmat keindahan, kesejahteraan, keamanaan dan kemakmuran... Kita perlu sentiasa menyedari sekiranya kita bersyukur terhadap nikmat-nikmat yang Allah beri, akan ditambahNya lagi nikmat kepada kita. Telah kita maklumi bersyukur yang Allah kehendaki adalah dengan mentaati perintahNya sekaligus menjauhi laranganNya. Dengan kata lain kita menjadi hamba Allah yang sentiasa melakukan kebaikan dan mengajak orang lain turut berlaku baik. Tidak boleh kita menyuruh orang berbuat baik, tetapi kita sendiri tidak melakukannya malahan berbuat kejahatan.

Sedarilah juga, kita sedang diuji dengan kesenangan. Sedangkan ada saudara seagama kita diuji dengan kesusahan, kemiskinan dan peperangan. Bagaimanapun bentuk ujian itu, kesusahan atau kesenangan, tetap perlukan pengorbanan dan keikhlasan. Juga diiringi kekuatan dan keteguhan iman. Kekuatan iman perlukan usaha khusus untuk membinanya. Sebagai remaja muslim yang sedar, membina kekuatan iman menepati slogan ini: 'Tegakkan Islam dalam dirimu, nanti Islam akan tegak di negaramu'. Umat Islam akan kuat bila kembali kepada ajaran dan cara hidup Islam. Ajaran Islam yang sebenar menuntut penganutnya membebaskan diri dari sebarang bentuk perhambaan kecuali menghambakan diri kepada Allah.

Apabila seseorang remaja menjadi hamba Allah SWT semata-mata, bererti dia menolak segala bentuk perhambaan yang lain. Samaada terhadap manusia, nafsu dan syaitan. Dengannya setiap remaja Muslim akan beroleh kekuatan untuk melepaskan cengkaman negatif seumpama pergaulan bebas, arak, dadah, rempit dan apa jua keburukan yang menjerumuskan kepada maksiat dan kemungkaran. Dengan itu remaja muslim akan terbentuk menjadi insan cemerlang yang terbilang dan berakhlak mulia. Berketerampilan dan menjadi tunggak kekuatan umat.

Ayuh! Kita mulakan langkah mengatasi setiap ujian kesukaran maupun kesenangan. Jadikan kesabaran sebagai penyegar semangat.
Wallahu'alam.

0 ulasan: