Curahan rahmat Ilahi, mahabbah fillah dan ukhwah sejati umpama embun pagi yang mendinginkan jiwa alam.Tanpa semua ini, kehidupan di mayapada menjadi kering dan gersang.Ukhwah (persaudaraan)Islamiah merupakan ikatan kerohanian yang teguh, hasil tertanamnya iman dalam jiwa. Ianya mampu menerbitkan perasaan belas kasihan yang mendalam mengatasi sebarang ikatan lain, hatta ikatan darah dan keturunan. Hakikat ini telah Rasulullah SAW jelaskan dalam sabda baginda yang bermaksud;
"Perupamaan bagi orang-orang yang beriman itu dalam kasih-sayang, belas-kasihan, rahmat-merahmati mereka, umpama jasad. Jika satu anggota mengaduh sakit, akan turut semua anggota merasai sakit dan berjaga malam".
Imam Muslim dalam sahihnya ada meriwayatkan sabda Rasulullah SAW; "Sesungguhnya Allah Taala akan berkata pada hari kiamat: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranKu? Pada hari ini, Aku akan melindungi mereka di bawah lindunganKu. Iaitu hari di mana tiada lindungan lain kecuali lindunganKu".
Lantaran menyedari hasil dan ganjaran dari persaudaraan serta cinta-kasih kerana Allah inilah, masyarakat Islam di sepanjang sejarah kegemilangan bersungguh-sungguh saling bantu-membantu. Mereka saling memelihara hak saudaranya;
* Tidak menganiaya sesama saudara muslim.
* Tidak membuka aibnya.
* Tidak menyerahkannya kepada musuh.
* Mendoakan untuknya walaupun berjauhan.
* Sentiasa berwajah manis ketika bertemu.
* Saling kunjung-mengunjungi/ berziarah.
* Turut bersukacita dalam kegembiraan saudaranya. Begitu juga pada kesedihannya, bersimpati dan membantu meringankan keresahannya.
* Saling memberi hadiah.
* Menziarahinya ketika dia sakit.* Turut mengiringi jenazahnya.
Keadaan kehidupan di serata pelusuk dan penjuru dunia hari ini memberi cabaran yang besar terhadap ukhwah Islamiah. Dua cabaran utama ukhwah Islamiah ialah sifat materialistik dan individualistik. Kedua-duanya ini merupakan karat-karat jahiliyyah yang banyak meracuni ukhwah. Demi memastikan kesejahteraan hidup insan, sewajarnya kita sama-sama berusaha keras memastikan ukhwah dan mahabbah berada dalam keadaan sihat dan subur.
Bagaimana?
Pertama-tamanya, mestilah dibasmi segala gejala yang merosakkan ukhwah:
1. Berprasangka dan curiga terhadap saudara muslim - apa jua bentuk aduan yang memburuk-burukkan diri saudara muslim,mestilah diselidiki dahulu kebenarannya. Kesilapan dalam bertindak, akan meracuni dan membunuh ukhwah.
2. Memperolok-olokkan dan mencela sesama saudara muslim - mempersedakan dan memanggil dengan panggilan yang menyakitkan hati saudara muslim, sama juga seperti mencela diri sendiri. Kerana seseorang muslim itu merupakan cermin kepada saudaranya.
3. Mencari-cari kesalahan dan mendedahkan aib saudara muslim - tidak boleh juga mengumpat dan menyebut kelemahan di belakang saudara muslim. Tutupilah aibnya dan beri dia peluang bertaubat dan memperbaiki diri. Jangan hanya dengan satu kesalahan membunuh banyak lagi kebaikan yang dilakukan oleh saudara muslim.
Keduanya, ukhwah Islamiah mestilah dtaburi dan disirami baja yang berkesan untuk meningkatkan kesuburannya;
1. Taaruf - saling mengenali - mengetahui namanya, bangsanya, keluarganya, dan asal kediamannya.
2. Taaluf - rasa keterikatan dan kesatuan antara orang-orang beriman. Berpegang kepada ikatan agama Islam dan menghindarkan pepecahan.
3. Tafahum - saling memahami. Sentiasa peka dengan keadaan saudara muslim dan segera memberikan bantuan sebelum diminta.
3. Ta'awun - saling membantu dalam hal-hal kebaikan. Juga saling mengingatkan dan menghindari sebarang keburukan dan kemungkaran.
Yakinlah setiap diri muslim yang bersungguh-sungguh memelihara ukhwah akan sentiasa beroleh rahmat dan pertolongan Allah.
"Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa menutup aib seorang muslim, niscaya Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat. Allah selalu menolong seseorang hamba selama dia menolong saudaranya".(HR Muslim)
Sentiasalah berterusan menyuburkan ukhwah dengan kata-kata penyegar yang menyakinkan - beritahu saudara muslim kita bahawa kita sangat mengasihinya kerana Allah.
Juga sentiasalah saling mendoakan saudara muslim di luar pengetahuannya.
Ini bermakna, sewaktu kita berhadapan dengannya kita nyatakan perasaan kita terhadapnya. Manakala di luar kehadirannya, kita sentiasa mendoakan kebaikan untuknya. Dengan itu ukhwah Islamiah berjalan lancar pada setiap detik hayat kita.
Seperkara yang perlu kita fikirkan...UKHWAH ISLAMIAH adalah sesuatu yang tinggi kedudukannya di sisi Allah.
Maka sudah tentu ianya berlangsung dalam BATASAN SYARAK.
Bagaimana sikap kita, ...bukankah praktik ukhwah MESTI: LELAKI dan LELAKI. PEREMPUAN dan PEREMPUAN. Bagaimana bolehkah; LELAKI dengan PEREMPUAN?
Bersama-sama kita renungi seperti yang Allah kehendaki...
0 ulasan:
Catat Ulasan