UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BERCITA-CITA MENULIS?


Setinggi-tinggi puji dan puja hanya untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam.
Selawat dan salam untuk rasul junjungan Muhammad s.a.w. Para sahabat serta seisi keluarga baginda. Juga untuk seluruh pendokong dan pencinta deen Islam.

Syukur tidak terhingga di atas kurnia usia hingga detik ini dari Rabbul'Izzati. Sebesar-besar nikmat yang diperoleli; iman dan Islam. Dengan Islam kita berada dalam keadaan selamat dan terpelihara dari kesesatan. Dengan iman kita dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Setiap detik hayat semestinya dalam rangka mengabdi diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan. Ikhlas itu mesti semata-mata mengharap redha Allah. Usah dibiar rasa ingin dipuji manusia mengotori kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya.

Telah menjangkau masa hampir 2 bulan diri ini menjelajahi dunia menulis di alam maya...masih bertatih menyisih selaput kejahilan; masih berlajar dan menimba pengalaman. Setinggi-tinggi penghargaan untuk semua yang memberi kerjasama dan menunjuk ajar. Menjelajah di alam baru dalam usia 1/2 abad memang umpama si rabun berjalan bertongkat di malam hari..., teguran dan perhatian menjadi penyuluh yang sangat diharapkan. Lazimnya berjalan sambil meneroka akan menemui berbagai pemandangan menarik... Namun diriku tetap perlu menyedari tujuan asal untuk apa menulis di alam maya ini? Hasratku kuat ingin merakamkan pengalaman-pengalaman berkesan sepanjang jalan hidup yang berliku, agar dengannya dapat ditimbang dan dihisab apakah ianya menepati titah-perintah Allah. Juga sangat diharapkan sebarang teguran dan peringatan agar diri ini dapat membaiki kesalahan sebelum tiba detik kembali mengadapNya...

Alam persekolahan rendah bagiku terlalu pantas berlalu...(1967-1972).
Rasanya belum puas bermain teng-teng, batu selemban dan galah panjang sewaktu lebihan masa rehat dan di petang hari sebelum kelas tambahan. Satu bulan sebelum sesi persekolahan akhir tahun selesai, kami murid-murid darjah enam sudah tidak berlajar. Bebas dan sibuk dengan latihan-latihan menyediakan persembahan untuk hari penyampaian hadiah. Aku sendiri ketika itu sibuk berlatih berlakon untuk persembahan pentomin. Pentomin merupakan lakonan yang disertai deklamasi puisi dan sajak. Pelakon watak hanya melakonkan gerak-geri berdasarkan cerita yang disampaikan. Manakala suara latar mendeklamasikan puisi yang berkaitan jalan cerita yang dilakonkan. Persembahan pentomin memang sangat digemari ketika itu. Agak mudah latihannya, tidak perlu menghafal skrip. Orang yang mendeklamasi puisi sebagai suara latar disembunyikan di sebalik tabir. Hanya orang yang melakonkan watak yang kelihatan beraksi di atas pentas. Cuma perlu seiring suara puisi dengan gerak-geri watak. Aku sendiri sangat sukakan pentomin dan dapat menjayakan persembahan dengan baik ketika itu. Keadaan itulah yang membuat aku rapat denagan guru Bahasa Melayu yang ditugaskan melatih murid-murid yang berbakat dalam persembahan pentomin. Keadaan itu juga tiba-tiba membuat aku menulis cita-citaku...ingin menjadi pelakon bila dewasa! Gawat benar jadinya...

"Ain, ustazah panggil awak ke bilik guru",Kamal yang merupakan 'head boy' ketika itu, meyampaikan pesan 'keramat' untukku.
Berdebar dadaku...apalah agaknya yang akan ustazah bebelkan lagi. Aku sudah jarang-jarang menemui ustazah kerana sering asyik menghabiskan masa 'menelaah' novel-novel tebal...
"Ain sibuk lagi dengan latihan pentomin?? Petang semalam saya tertunggu-tunggu Ain datang untuk menguji peserta musabaqah sekolah rendah peringkat daerah...".
Aku rasa serba-salah bila ustazah merenung lembut dengan penuh pengharapkan ke dalam anak mataku... Aku tahu ustazah memang merasa kurang senang aku giat berlakon. Sedangkan aku sendiri begitu cenderung belakon pentomin. Menjadi dilema... Ustazah suka aku melibatkan diri kepada aktiviti keagamaan. Sedangkan aku mulai membina identiti berdasarkan kecenderungan.

"Betul ke Ain nak jadi pelakon bila dewasa nanti?",nampak riak-riak hampa di wajah ustazah. Seolah-olah cita-cita itu tidak bagus untukku teruskan.
"Saya rasa suka sangat berlakon..., tapi Pak Usu saya memang tak setuju. Katanya itu cita-cita yang sia-sia. Dia mahu saya jadi guru, seperti yang ayah saya hajatkan...", kuluahkan segala yang terbuku di hati.Maklumlah ustazah sudah lama mengenaliku, dan aku pun memang agak 'manja' dengannya. Cuma kebelakangan sejak meminati lakonan aku jarang menemui ustazah di bilik guru.

"Gini, Ain. Apa pun cita-cita yang kita pilih biarlah sesuatu yang diharapkan oleh ibu-bapa kita dan membawa kebaikan. Supaya Allah permudahkan dan diberkati. Elakkan dari mengecewakan ibu-bapa. Untuk Ain, harapan Pak Usu tu samalah juga dengan harapan ibu-bapa... Saya pun sentiasa mendoakan Ain jadi manusia berguna bila dewasa kelak...".Ustazah mengenggam kedua-dua tanganku dan diusapnya lembut. Hatiku tiba-tiba sayu melihat redup renungan matanya. Seolah-olah terpancar kasih sejati seorang ibu...

Telah kusimpan sebaik-baiknya pesanan ustazah itu; kusematkan di hati dan terpahat di akal. mengawal langkahku sepanjang jalan berikutnya...Aku meninggalkan sekolah rendah menuju alam sekolah menengah dengan sulaman cita-cita baru...INGIN MENJADI PENULIS.
Ini gara-gara berkenalan dengan
'seorang yang puitis'.
Siapa dia?...ceritanya nanti dulu...

Maafkan diri ini, nampaknya ada tugas yang perlu kusegerakan. Ditangguhkan dulu slot ini dengan mengharapkan keampunan Allah pada apa jua kesilapan. Moga Allah izin untuk disambung sedikit masa lagi...
Wassalam.

0 ulasan: