UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

UMAT CONTOH


Pemuda-pemudi Islam sejati!

Secara tabii, kalian sewaktu kecil suka meniru perlakuan orang yang lebih besar dan dewasa. Boleh jadi dorongan ini timbul dengan tujuan diri kecil ingin dilihat besar! Begitu juga dalam masyarakat, setiap orang adalah jasad yang mempunyai hubungan antara satu sama lain. Setiap orang memberi kesan sama ada positif atau negatif. Seandainya contoh buruk yang dipaparkan, maka masyarakat menjadi lemah. Manakala contoh baik pula membina masyarakat yang teguh. Dalam hal ini, Islam telah menggariskan peranan umat Islam sebagai penyeru kepada yang makruf (kebenaran) dan mencegah dari yang mungkar (melanggar perintah Tuhan).

Hayati dengan teliti maksud ayat-ayat berikut:

Allah berfirman, “Hendaklah ada dalam kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Mereka itu adalah orang-orang yang berjaya.” (QS Ali-Imran: 104)

Juga firman-Nya lagi, “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (QS Ali Imran:110)

Begitulah istimewanya peranan masyarakat Islam, sebagai ejen perubahan umat manusia seluruhanya. Khasnya kalian selaku barisan anak muda Islam, bertanggungjawab mencegah apa jua bentuk kerosakan. Betapa pun beratnya tugas ini, kalian usah dikaburi perasaan putus asa disebabkan banyak ranjau dan duri. Apa jua halangannya, dengan pertolongan Allah kalian akan dapat mengatasinya. Dalam kerja mulia ini kalian perlu mempunyai sifat ikhlas dan taqwa yang tinggi. Ini akan memampukan kalian membina masyarakat yang sejahtera.

Menyingkap kembali masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Muhammad SAW, tergambar keadaan yang sangat dahsyat. Penyembahan berhala, meminum arak, berzina, berjudi, membunuh anak-anak perempuan dan berperang hanya kerana perkara-perkara kecil. Walaupun begitu, masyarakat tersebut telah berubah menjadi masyarakat yang baik, berkasih sayang serta mengutamakan hak sesama saudara muslim. Semua itu diasaskan dengan akidah tauhid dan pengabdian diri kepada Allah. Sekiranya kita juga mengambil contoh generasi yang telah dibentuk oleh Rasulullah SAW, pasti dengan pertolongan Allah kita akan berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Masyarakat yang mulai hilang pedoman pula akan dapat diselamatkan daripada terjerumus ke jurang kehancuran. Kalianlah wahai pemuda-pemudi Islam, pewaris yang sepatutnya menjadi ejen perubahan generasi kini.

Bergeraklah wahai Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah satu hakikat yang sedang berlaku di hadapan kalian;

“Sesungguhnya umat ini telah ditimpa satu keadaan yang mengancam kedudukannya dan menggoncang bangunannya. Pada zahirnya seolah-olah ia sedang dilanda ombak penyakit, hina dan lemah serta menjadi buruan orang-orang yang tamak. Ia tidak berdaya untuk mempertahankan diri dari pencerobohan budaya.”

Ada tiga cara mengatasi penyakit masyarakat:

1. Mengenal pasti punca dan jenis penyakit.

2. Sabar menanggung sakit.

3. Bersedia untuk diubati oleh pakar sehingga sembuh dari semua gejala serta beroleh kejayaan.”

(Dipetik dari kata-kata pejuang yang telah pergi)

Dari itu anak-anakku, bergeraklah! Bina cita-cita baru demi kebahagiaan hari esok.

Contohilah perjuangan Rasulullah SAW yang telah mengembangluaskan syiar Islam ke serata pelusuk dunia semata-mata sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ali bin Abi Talib r.a,

“Kiranya dengan usahamu Allah memberi petunjuk kepada seseorang, adalah lebih baik kepadamu daripada binatang-binatang ternakan yang banyak.”

Rasulullah SAW juga ada bersabda,

“Sesiapa yang menyeru kepada jalan petunjuk-Nya, adalah baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang menjadi pengikutnya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.”


1 ulasan:

Noraini Eslah berkata...

terima kasih,
atas ziarah n info, semoga beroleh keberkatan. amin!

28 Februari 2012 pada 11:56 PG