UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

PILIHAN TERBAIK





Khusus buat pemudi-pemudi Islam harapan!

Wanita Islam yang bijaksana sentiasa terpimpin oleh ketaqwaan dalam membuat pilihan terbaik bagi masa hadapannya. Tidak salah baginya untuk mengimbangi antara haknya dengan hajat dan pengalaman luas dalam kehidupan kedua-dua ibu bapanya. Ada baiknya juga dia meminta nasihat dan pandangan mereka yang telah sekian lama mengurus kepentingan hidupnya.

Di samping itu dia tidak mengabaikan hak yang telah Allah tentukan baginya. Meskipun dia berhak menentukan dan memilih rupa paras serta kemampuan material yang dapat menawan hatinya, dia tetap mengutamakan pemilihan berdasarkan keteguhan beragama. Dia yakin kekuatan iman dan ketinggian taqwa akan menjamin kebahagiaan yang berkekalan hingga ke akhirat.

Sehubungan pemilihan terbaik dengan asas yang kukuh, bolehlah diambil contoh daripada kisah pinangan Ummu Sulaim binti Milhan. Dia merupakan wanita Ansar yang awal memeluk Islam. Sebelum memeluk Islam, dia telah berkahwin dengan Malik bin Nadhir. Dari perkahwinan ini lahir Anas bin Malik. Disebabkan keengganan Malik memeluk Islam, mereka telah bercerai. Malik pula kemudiannya telah meninggal dunia dalam keadaan masih kufur. Beberapa lama selepas itu Ummu Sulaim dipinang oleh Abu Thalhah yang masih belum memeluk Islam. Abu Thalhah merupakan seorang pemuda kaya dan tampan yang sangat digilai oleh gadis-gadis Yathrib (Madinah). Pada tanggapan Abu Thalhah, Ummu Sulaim akan melompat kegirangan mendengar lamarannya. Sedangkan di pihak Ummu Sulaim dia tidaklah dapat dikaburi oleh sifat lahiriah yang tidak diwarnai keimanan. Abu Thalhah terkejut oleh kata-kata yang diungkapkan Ummu Sulaim,

“Wahai Abu Thalhah, apakah kamu tidak tahu bahawa tuhan yang kamu sembah hanya sebatang pokok yang tumbuh di atas tanah. Ia diukir oleh seorang hamba Habsyi. Apakah kamu tidak malu sujud kepada kayu yang diukir oleh seorang hamba?”

Abu Thalhah berlagak sombong dengan menawarkan mahar (mas kahwin) yang tinggi dan kehidupan yang mewah.

Namun Ummu Sulaim tetap dengan keputusannya, “Wahai Abu Thalhah, orang sepertimu memang tidak wajar ditolak. Tetapi engkau lelaki kafir, sedangkan diriku seorang wanita Islam. Tidak dihalalkan aku berkahwin denganmu. Sekiranya engkau memeluk Islam, maka itu adalah maharku. Aku tidak meminta selain dari itu.”

Abu Thalhah datang semula pada hari berikutnya dan menawarkan mahar yang lebih tinggi dengan harta kekayaan lebih banyak. Ummu Sulaim tetap dengan keputusannya malah lebih tegas lagi kata-kata yang diungkapkannya,

“Tidakkah engkau tahu wahai Abu Thalhah, tuhan-tuhan yang engkau sembah yang diukir oleh hamba Habsyi itu apabila dinyalakan api kepadanya, ia akan terbakar?”

Ungkapan ini berjaya menggegarkan emosi Abu Thalhah. Dia tewas dalam mempertahankan tuhan palsu, hatinya tidak dapat membantah lagi. Lantas lidahnya berulang-ulang menyebut,

“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan dan pesuruh Allah.”

Dengan Islamnya Abu Thalhah seperti yang dijanjikan, Ummu Sulaim bersetuju menerima lamarannya. Disebabkan terlalu gembira di atas kesudian Ummu Sulaim, Abu Thalhah bercadang memberikan kekayaan yang banyak untuk Ummu Sulaim. Namun selaku mukminah yang teguh pendirian, Ummu Sulaim tetap dengan pendiriannya yang unggul,

“Wahai Abu Thalhah, aku setuju berkahwin denganmu semata-mata untuk dan kerana Allah. Aku tetap akan mengambil keIslamanmu sebagai mahar, tidak yang selainnya.”

Begitulah contoh unggul yang mampu dipraktikkan oleh Ummu Sulaim, yang selamanya patut dijadikan panduan dalam menentukan jodoh terbaik. Ummu Sulaim bukan sekadar beroleh pasangan yang secocok dan sepadan, malahan beroleh ganjaran yang barakah sepanjang hayatnya seisi keluarga juga seluruh keturunan darinya. Contoh seperti ini jugalah yang wajar diikuti seluruh wanita Islam seandainya hajat kepada yang dicintai itu diharapkan memberi manfaat kepada kehidupan sejagat. Sudah pasti kebahagiaan sedemikian lebih baik dari memperolehi “unta merah” (perumpamaan untuk harta yang terbaik).

Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam,

Semua yang cuba ibu bicarakan dipertemuan kali ini merupakan satu hakikat besar yang pasti sedang kalian hadapi. Berilah perhatian yang teliti kepada dasar iman dan taqwa yang menjadi pokok perbicaraan agar kalian meningkat ke puncak budi luhur.

Dengan mengambil setiap saranan yang Islam kemukakan, setiap pemuda-pemudi mukmin akan mampu menguruskan naluri yang berkocak dan membebaskannya daripada desakan nafsu dan bisikan syaitan. Malahan mampu mencontohi nabi dalam akhlaknya dan umpama salaf-salih di dalam pengawasan dirinya. Sedangkan Allah SWT juga sentiasa melindungi orang-orang yang bertaqwa serta menukarkan segala kerunsingan mereka menjadi kelapangan dan jalan keluar daripada kesempitan.

Justeru itu anak-anakku, sentiasalah memohon taufiq dan hidayah Allah semoga kalian beroleh rahmat dan keredhaan-Nya. Mari kita tangguhkan dengan doa: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.”



2 ulasan:

ash berkata...

semoga menjadi pengajaran dan pedoman buat kita semua

3 blog pilihan terbaik

14 November 2012 pada 2:54 PTG  
CIK TOM berkata...

semoga cik tom dpt menjadi isteri yg solehah dan dikurniakan suami yg soleh...amin..

3 Blog Pilihan Terbaik

26 November 2012 pada 7:16 PTG