Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Muhammad SAW,
Sentiasalah menyedari hakikat Allah memperteguhkan kecintaan kita kepada-Nya dan kepada Ar-Rasul selagi mana kita bersungguh-sungguh mengikuti sunnah Rasulullah. Kesungguhan itu juga akan membawa kita memperoleh darjat iman yang tinggi serta takwa yang mendalam. Kita telah sedia maklum takwa merupakan sebaik-baik bekalan yang sangat kita perlukan demi menggarap redha Ilahi serta kebahagiaan hakiki.
Dengan mengikuti sunnah Rasulullah juga membuktikan kecintaan kita kepada baginda. Serentak dengan itu memperkemaskan lagi bekalan kita sepanjang hayat.
Dari itu mari kita teliti bekalan yang akan kita perolehi dari mengikuti sunnah Rasulullah;
1. Rasulullah sentiasa meletakkan hatinya berhubung dengan Allah dalam semua keadaan. Baginda sentiasa memerhatikan setiap bentuk ciptaan Allah serta memuji-muji nikmat Allah.
Begitulah juga sepatutnya diri kita, sentiasa ingatkan Allah dalam keadaan susah maupun senang. Sentiasa pula bertasbih dan berzikir sebagai tanda syukur dan memuji Allah. Tidak lupa beristigfar untuk memohon keampuan Allah. Rasulullah sendiri sentiasa beristigfar siang dan malam sebagai contoh untuk kita ikuti.
2. Rasulullah sentiasa berdoa dalam semua urusan hidupnya agar sentiasa Allah permudahkan dan diberkati.
Kita juga sepatutnya demikian. Dalam apa jua urusan hidup, bermula sebelum lagi kelahiran seseorang bayi, sudah berdoa memohon jodoh yang baik dan keturunan yang baik. Sehingga akan mengakhiri hayat, tetap berdoa agar mati dalam keadaan redha meredhai.
Begitu juga dalam segala urusan lain, kecil dan besar semuanya diiringi doa. Hinggakan keluar masuk tandas juga disertai doa.
3. Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dengan tarikan dunia. Tidak terpengaruh dan tidak terpedaya tipuan nafsu dan hasutan syaitan. Sehingga sanggup menganiaya orang lain.
Kita semestinya mempamerkan kepribadian Islam yang unggul dan istimewa. Beserta watak kesopanan yang tidak melukai hati sesiapa pun.
4. Rasulullah memperlihatkan contoh munajat dengan beribadah malam hari. Dalam sunyi malam ketika semua leka dibuai mimpi, kita dianjurkan bangun meraih limpah kurnia Allah.
Begitulah juga semestinya kita seandainya benar mencontohi sunnah baginda. Tidak teragak-agak lagi untuk mempraktikan ketaatan dan kepatuhan. Lantas bersegera merebut rahmat Allah.
5. Rasulullah juga diutus Allah sebagai rahmat untuk seluruh alam. Baginda memperlihatkan watak rahmah dan kasih sayang kepada semua makhluk Allah. Hinggakan berlaku belas terhadap haiwan.
Di sudut ini dalam mencontohi Rasulullah, hendaklah kita berlaku sopan sewaktu berbicara dengan orang lain. Beri perhatian dengan hikmah sewaktu orang lain bertutur dengan kita. Jangan berbisik berdua sewaktu ada orang ketiga sedang memperhatikan. Ini supaya tidak mendukacitakan hati sesiapa jua.
Bersegeralah mulakan langkah mencontohi Rasulullah dalam mempraktikan sunnah. Untuk membicarakan secara terperinci, sunnah nabawi memang luas…namun yang lebih utama untuk dijadikan bekalan sepanjang hayat adalah pelaksanaan secara beransur-ansur serta berterusan. Mulanya sedikit dahulu, tetapi berterusan dan ditingkatkan.
Barangsiapa tidak mengikuti sunnah Rasulullah, dia akan mudah terjerumus ke lembah kelalaian dan kelekaan. Sama seperti hidupnya haiwan sekadar memenuhi keperluan makan dan minum juga desakan hawa nafsu semata-mata. Oleh itu mari kita perkemaskan lagi langkah kita dengan lebih tekun merujuk sunnah Rasulullah di dalam kitab-kitab hadis. Agar nanti terbit perubahan watak yang baik dalam tingkah laku kita bertepatan dengan matlamat Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak.
Kita tangguhkan dahulu dengan lafaz doa;
“Ya Allah! Bagi-Mu segala puji seagung kemulian-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu. Aku telah rela dengan Allah sebagai Tuhanku dan dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-ku.
Maha Suci Engkau ya Allah! Dan segala puji bagiMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu”.
Amin.
0 ulasan:
Catat Ulasan