Pemuda-Pemudi Islam harapan!
Kalian harapan watan, selaku pewaris yang mencontohi setiap langkah anbia. Berilah perhatian serius kepada usaha memperelok akhlak. Justeru diri kalian menjadi contoh dalam usaha mengajak remaja lain kepada kebenaran.
Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.”
Sayidatina Aisyah r.a. apabila ditanya bagaimana tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah adalah al-quran.”
Sehubungan dengan itu juga, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Membangun Akhlak Al-Quran
Dalam catatan sejarah Islam, Rasulullah SAW dan para sahabatnya biasa disebut sebagai “al-quran yang berjalan.” Ini bermaksud daripada peribadi baginda dan para sahabatnya terserlah pengaruh dan kesan didikan al-quran. Rasulullah SAW dengan bimbingan wahyu Allah melalui mukjizat al-quran telah berjaya membentuk satu generasi yang bersih hati dan pemikirannya. Juga murni pegangan dan perjalanan hidupnya di atas landasan Ilahi dan bebas dari sebarang unsur yang menyimpang. Semuanya tertumpu kepada panduan al-quran dan hadis. Di situlah sumber kekuatan yang telah menghasilkan sejarah gemilang untuk seluruh umat.
Generasi tersebut yang diberi jolokan “generasi al-quran yang unik” berjaya memiliki akhlak unggul kerana mereka mengambil al-quran sebagai rujukan dengan sepenuh hati. Ikhlas menerima perintah Allah yang terkandung di dalam al-quran dan bersungguh-sungguh menzahirkannya dalam amal perbuatan. Juga benar-benar meyakini al-quran sebagai pemisah di antara hak dan batil.
Anak-anakku,
Dalam usaha kita mencontohi akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW, sewajarnya kita mengambil didikan al-quran sepertimana yang dilakukan oleh barisan sahabat baginda yang mengamalkan dasar “belajar untuk melaksanakan terus” bukan sekadar “belajar untuk mengetahui” sahaja.
Semoga dengan itu secara beransur-ansur kita mampu melatih diri untuk menerapkan akhlak mulia yang telah Rasulullah SAW laksanakan:
- Jujur – berlaku benar dalam perbuatan dan tidak berdusta dalam perkataan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kejujuran itu akan menghantar kepada kebajikan, dan kebajikan itu akan menghantar ke syurga. Dan seseorang sentiasa berkata benar dan jujur hingga tercatat di sisi Allah sebagai orang yang benar dan jujur. Dan sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan, yang akhirnya akan menghantar ke dalam neraka. Dan seseorang sentiasa berdusta hingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (HR Bukhari dan Muslim)
- Malu – yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah malu dalam melakukan sebarang bentuk keburukan. Di samping itu merasai Allah sentiasa memerhati dan mengetahui setiap perlakuan hamba-hamba-Nya. Apabila perasaan malu berada dalam sesuatu hal dan keadaan, ianya akan menambah baik semuanya.
- Dermawan – berinfaq dan bersedekah di jalan Allah dengan hati yang ikhlas, Allah hitung sebagai pinjaman yang akan dibayar dengan ganjaran berlipat kali ganda. Sepertimana maksud firman Allah, “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.” (QS Al-Hadid: 11)
- Adil dan Saksama – berlaku adil dalam semua keadaan dan terhadap semua manusia, merangkumi kawan dan lawan maupun orang-orang kafir. Ini bertepatan maksud firman Allah, “Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil meskipun ia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji Allah yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.” (QS Al-An’am:152)
- Menepati Janji – “Hendaklah kamu menepati janji, sesungguhnya manusia itu akan dipertanggungjawabkan tentang janjinya.” (QS Al-Isra’: 34)
- Sabar – bersabar dalam melakukan ketaatan, bersabar meninggalkan maksiat dan bersabar menghadapi takdir Allah. Dengan bersabar, seseorang akan menjadi orang yang baik dan sentiasa berbuat baik.
- Saling Bantu-Membantu – dalam melakukan kebaikan dan taqwa. Sepertimana maksud firman Allah, “Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah.”
- Bersifat Kasih-Sayang – Sabda Rasulullah SAW, “Perupamaan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang dan tolong-menolong adalah laksana satu tubuh. Apabila menderita salah satu anggota tubuh, maka seluruh tubuhnya turut berjaga dan merasakan sakitnya.”
- Kuat dan Tabah – Mukmin yang kuat adalah lebih Allah sukai daripada mukmin yang lemah. Sedapatnya mesti sentiasa berusaha memperoleh kebaikan dan elakkan dari merasa lemah. Jangan menjadi “pak turut”, hanya mengikuti kebanyakan manusia. Sekiranya manusia lain dalam kebaikan, hendaklah dicontohi. Namun sekiranya wujud suasana kejahatan, hendaklah menjauhi kejahatan yang berlaku.
Perlu juga diketahui, sistem akhlak Islam bersifat syumul (menyeluruh) dan lengkap. Ini bermaksud akhlak Islam itu luas merangkumi tabiat individu, masyarakat dan negara. Setiap Muslim diwajibkan mematuhi dan memelihara akhlak Islam kerana ianya tertakluk kepada larangan dan perintah. Setiap pelanggaran terhadap perintah Allah diancam dengan seksa dan azab. Manakala bagi yang mematuhi sistem akhlak Islam akan beroleh ganjaran dan pahala. Semua ini untuk menjamin kesejahteraan hidup insan, kerana Islam juga bersifat universal.
Akhlak Mulia Melembutkan Hati
Pemuda-pemudi harapan!
Mulailah mengorak langkah sekarang. Jadilah angkatan muda yang sentiasa punya semangat tinggi dan keperibadian kreatif. Tidak larut dalam lumpur maksiat dan hanyut dalam arus perdayaan syaitan. Jadilah barisan muda yang membimbing tangan rakan muda seluruhnya kepada keredhaan Ilahi. Peranan sedemikian merupakan penerusan dari tugas para rasul yang menyeru manusia untuk mengambil deen Allah sebagai cara hidup yang Allah redhai. Dalam hal dan tugas ini akhlak yang mulia yang menjadi modal utama. Oleh itu iringi segala keadaan dengan kebaikan. Walaupun keburukan yang dihadapi, tetap mesti diiringi dengan kebaikan.
Telah terbukti dalam usaha-usaha Rasulullah SAW menarik perhatian manusia-manusia yang jahil untuk menerima kebenaran Islam, akhlak mulia lagi terpuji lebih berkesan menarik perhatian orang daripada kata-kata yang manis. Sayidatina Khadijah sewaktu meyakinkan Rasulullah SAW sekembalinya dari mendapat wahyu di Gua Hira’, berkata,
“Bergembiralah, demi Allah selama ini dirimu telah menghubungkan silaturrahim, berkata benar, membantu orang yang berhajat juga banyak lagi sifat dan akhlak baik yang menjadi bukti kepada kebenaran atas kebenaran.”
Disebabkan kemuliaan pekerti Rasulullah SAW kepada sesiapa sahaja walaupun musuh, telah berlaku secebis peristiwa yang memaparkan bagaimana niat jahat orang yang sangat membenci Rasulullah SAW dapat ditundukkan oleh akhlak baginda. Orang itu telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW sewaktu baginda tawaf. Orang yang dimaksudkan ialah Fadhalah bin Umair. Ketika dia menghampiri Nabi Muhammad, baginda bertanya: Wahai Fadhalah, apakah yang tersembunyi di hatimu? Fadhalah menjawab: “Tidak ada apa-apa yang tersembunyi di hatiku, hanya zikir kepada Allah. Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata Fadhalah. Baginda membaca astaghfirullah lalu meletakkan tangan ke dada Fadhalah. Berkat kemuliaan baginda, Fadhalah segera tenang dan hilang rasa benci terhadap Rasulullah. Fadhalah sendiri mengaku: Demi Allah! Tidaklah baginda mengangkat tangannya dari dadaku, kecuali Allah telah menjadikan di hatiku perasaan cinta yang mendalam kepada baginda.
Begitulah anak-anakku,
Bagaimana hati yang berniat jahat dapat ditundukkan dan dilembutkan dengan kebaikan dan keyakinan kepada pertolongan Allah. Rasulullah SAW ada bersabda; “Allah memurnikan agama ini untuk-Nya. Tidak ada yang mengelokkanmu melainkan watak pemurah dan akhlak mulia. Maka hiasilah agamamu dengan kedua-duanya.”
Sewajarnya anak-anakku, kalian juga meyakini pertolongan Allah sentiasa hampir kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh berusaha menyebarkan kebaikan demi meraih keuntungan di dunia dan kejayaan di akhirat. Justeru, lintasilah halangan “wahan” – takut mati dan cinta dunia. Melangkahlah ke tahap pembangunan dan perjuangan! Sebar luaskan sebaik mungkin tingkah laku penuh hikmah dalam bergaul dengan manusia.
Akhlak Mulia Merubah Hidup
Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam,
Sedarilah satu hakikat yang mewarnai kehidupan insan di mayapada ini. Allah telah ciptakan kejadian manusia dengan sebaik-baiknya serta disediakan pula dua potensi dalam setiap diri. Potensi untuk menuju taqwa dan potensi untuk melakukan fujur atau kejahatan. Berkaitan hakikat ini, perhatikan maksud firman Allah dalam Surah Asy-Syam ayat 8-9, “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya.”
Mari kita singkap lembaran kisah silam untuk menjelaskan hakikat itu. Tersebut sebuah kisah dalam kalangan Bani Israil, terdapat seorang wanita cantik yang menjadi pelacur. Dia sentiasa menghias dirinya dan duduk di dalam bilik yang menghadap jalan. Sesiapa yang lalu di hadapan rumah wanita itu pasti akan melihatnya dan akan tertarik kepadanya. Suatu hari, lalu seorang abid (ahli ibadah) lalu di hadapan rumah wanita tersebut. Apabila terlihat sahaja wanita tersebut, si abid lantas tertarik kepadanya. Abid berdoa agar Allah menghilangkan perasaan jahatnya tetapi terlalu sukar untuk dia melawan perasaan itu. Hinggakan sanggup si abid menjualkan beberapa helai pakaiannya bagi memperoleh wang untuk diberikan kepada wanita pelacur itu sebagai bayaran. Lalu beliau pergi mendapatkan wanita tersebut untuk memenuhi desakan nafsunya.
Di sini si abid telah diperbudakkan oleh nafsunya. Dia sanggup menuruti arahan fujur (kejahatan). Di tahap ini si abid telah mula mengotori jiwanya. Maka dia berada dalam keadaan rugi.
Setelah si abid berada di dalam bilik si pelacur, dihulurkan tangannya memegang tangan wanita tersebut. Tiba-tiba, gementar tubuhnya dan pucat lesi wajahnya. Dia segera tergambar akan musnahlah segala amal ibadahnya selama ini. Wanita pelacur itu turut terkejut melihat perubahan pada si abid, “Mengapa engkau tiba-tiba berubah laku?”
Si abid menjawab, “Aku takut kemurkaan Allah. Aku nak keluar dari sini.” Pelacur itu bertambah hairan, “Belum pernahkah engkau melakukan yang demikian sebelum ini?” Si abid tegas dengan keputusannya, “Belum, aku akan tetap keluar!” Dia segera keluar dari rumah wanita itu sambil bercucuran air mata dan meletakkan tanah di atas kepalanya. Wanita itu terpegun melihat gelagat si Abid. Malah timbul rasa keinsafan di hatinya.
Pelacur itu menyedari selama ini dia telah lama melakukan dosa terkutuk itu sedangkan dirinya merasa senang tanpa memikirkan kemurkaan Allah. Sebaliknya si abid baru sahaja sekali melakukan kesilapan, begitu sekali takutnya kepada Allah. Sepatutnya si pelacur lebih wajar untuk takutkan Allah kerana telah melakukan dosa-dosa besar. Akhirnya pelacur itu memilih jalan untuk bertaubat. Ditutup pintu rumahnya dan dia menumpukan hidupnya untuk bertaubat dan beribadat.
Di sini desakan taqwa telah berjaya mengalahkan desakan fujur. Iman yang kuat bertindak mengarah nafsu takutkan Allah. Sekali gus iman dan taqwa si abid menonjolkan akhlak mulianya yang mampu menundukkan nafsu liar si pelacur.
Selang tidak berapa lama kemudian, wanita itu bertekad untuk mencari si abid, dengan harapan beliau sudi berkahwin dengannya. Setelah sampai di kediaman si abid, wanita itu membuka tutup mukanya untuk memudahkan abid mengenalinya. Apabila mendapat tahu ada wanita ingin menemuinya, abid keluar dari tempatnya beribadat. Sebaik saja terpandang wajah wanita itu, abid teringat semula peristiwa lalu. Dia menjerit sekuat-kuat hatinya, tidak mahu perkara tempoh hari berulang lagi. Kemudian dia jatuh pengsan dan terus meninggal dunia.
Si abid sebenarnya tergolong sebagai seorang yang beribadah kerana Allah dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Inilah seperti yang disebutkan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa cinta kerana Allah, memberi sesuatu kerana Allah dan menahan atau enggan memberi pun kerana Allah, maka dialah orang yang telah mencukupkan imannya.” Juga si abid telah bulat tekadnya untuk tidak mengalah kepada hawa nafsu. Sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW, “Tiga perkara sesiapa memilikinya nescaya dia akan merasai manisnya iman iaitu orang yang lebih kasih kepada Allah dan Rasul melebihi orang lain, mengasihi orang lain semata-mata kerana Allah dan benci hendak kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, seperti benci dicampakkan ke dalam kawah neraka”.
Alangkah terkejut dan sedih wanita itu melihat kematian yang tidak diduga. Dia begitu berharap si abid berkahwin denganya untuk memulakan hidup baru. Wanita itu terus merayu, “Adakah abid mempunyai saudara lelaki yang sudi berkahwin denganku?” Mereka menjawab; “Ada seorang saudara lelaki abid, tetapi dia sangat miskin.” Wanita itu merayu lagi, “Tidak mengapa dengan kemiskinan itu…saya mempunyai wang untuk keperluan berumah tangga. Saya hajatkan lelaki yang baik.” Setelah itu wanita tersebut berkahwin dengan saudara lelaki abid. Rumah tangga mereka diberkati Allah dengan kelahiran tujuh orang anak lelaki yang kesemuanya soleh. Di sini terbukti beruntung orang yang mengambil langkah membersihkan jiwanya. Wanita tadi juga telah meletakkan hidupnya menepati hakikat kecintaan kepada Allah. Perasaan takutnya setelah menginsafi dosa-dosanya, mewujudkan pergantungan yang kuat kepada Allah.
Sesungguhnya menjadi sunnatullah setiap kebenaran dapat mengalahkan kebatilan. Akhlak mulia berupaya merubah kehidupan, daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya petunjuk yang membahagiakan, di dunia dan di akhirat.
Dari itu anak-anakku,
Berpegang teguhlah dengan pedoman al-quran; “Serulah manusia ke jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Sesungguhnya Rabbmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS An-Nahl:125)
Berdoalah selalu: “Ya Allah! Tunjukkan daku kepada akhlak yang mulia. Tiada yang menunjukkan jalan kepada akhlak mulia itu melainkan Engkau. Dan hanya Engkau jua yang menjauhkan daku dari akhlak yang buruk.” Amin.