BANTU-MEMBANTU MEMELIHARA KEHORMATAN
Salam sejahtera serta keberkatan yang berterusan untuk pemuda-pemudi harapan watan!
Sentiasa ibu rindui dan kasihi kerana Allah.
Maha Suci Allah yang menjuruskan hati kita semua diatas landasan iman dan Islam.
Anak-anakku, marilah kita mulakan dengan doa:
“Ya Allah! Kami terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas juga dalam agama nabi kami Muhammad SAW. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu yang benar. Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, kami memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”
Pemudi-pemudi Islam yang gigih memantapkan iman,
Kini kalian telah berada di barisan pewaris muda yang semestinya memulai peranan mencorakkan warna-warna kegemilangan generasi mendatang. Kalian sangat diharapkan meneruskan segala kekuatan generasi silam yang telah mewariskan penerusan perjuangan. Hindari kelemahan yang akan membawa kepincangan yang merugikan. Sewajarnya kedewasaan usia kalian terserlah bersama kedewasaan iman.
Anak-anakku sedarilah!
Seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan! Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan perdayaannya.
Menjaga Pandangan
Ingatlah firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30-31,
“Katakanlah kepada orang lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakan kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya.”
Pemuda-pemudi Islam sejati!
Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu Rasulullah SAW mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat maupun yang tidak menutup aurat.
Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya kearah lain.
Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Saydina Ali,
“Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).” (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)
Pemuda-pemudi harapan yang dididik iman dan Islam!
Sepanjang masa kita berhadapan dengan persekitaran yang mengancam ubudiyah dan ketaqwaan. Tambahan wujud pandangan-pandangan liar yang tidak dikawal. Keadaan ini boleh menjerumuskan setiap diri kepada hal-hal yang membinasakan. Nauzubillah!
Ingatlah selalu,
Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan itu akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran. Nauzubillah!
Ibnu Abas pernah berkata,
“Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya.”
Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.
Rasulullah SAW juga ada bersabda,
“Pandangan mata itu laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah.”
Wallahu'alam.
Ummu Anas.
2 ulasan:
Salam.Ummu
5 Oktober 2010 pada 6:15 PTGJazakillah atas perkongsian /santapan rohani yang cukup "mengenyangkan". Teruskan menarikan tinta agar semua beroleh mnfaat. Moga ALLAH kasih.
salam sayang.
wa'alaikum salam bintu arifin,
6 Oktober 2010 pada 8:01 PGjazakillah ats kunjungan n doa, moga Allah redhai kita...amin.
Catat Ulasan