Ikuti dengan teliti kisah berikut, agar dapat difahami hakikat yang Islam tuntut kepada kita, berkaitan jujur terhadap hak kita, dan hak orang lain.
Di sebuah rumah usang dalam deretan rumah yang berhampiran Masjid Haram, kelihatan seorang isteri sedang bergegas memastikan suaminya segera pergi ke masjid di awal subuh. Si suami seorang syeikh berusia sekitar 85 tahun. Dalam usia agak lanjut, ketara berat tanggungan syeikh tua itu. Di dalam rumah buruk serba dhaif itu turut dihuni empat anak perempuan, ibu mertua dan dua adik perempuan. Tambah menyayat hati, seisi rumah itu hanya mempunyai satu persalinan untuk dipakai bergilir-gilir bagi menunaikan solat. Justeru itu syeikh mesti pulang awal setiap kali selesai menunaikan solat fardhu. Ini membolehkan tanggungannya di rumah dapat bergilir-gilir menggunakan persalinan pakaian untuk solat. Begitulah yang berlangsung sekian lama. Ditambah lagi dengan kekurangan makanan. Sering mereka berpuasa dan berlapar.
Hinggalah pada suatu hari…, dalam perjalanan pulang ke rumah, di pertengahan jalan syeikh terjumpa seutas tali pinggang seseorang yang tercicir. Dia sangat terkejut! Di dalam kantung tali pinggang itu ada wang emas yang banyak! Berdebar-debar hatinya. Apakah mahu disimpan? Dibelanjakan isinya? Dicari siapa tuannya? Atau diletakkan saja kembali di tempat yang ditemui tadi?
Dalam kecamuk perasaan yang begitu, hati nuraninya berbisik; mengapa begitu jauh layangan fikiranku? Harta itu bukan milikku. Ianya mesti diperlakukan seperti yang Allah tentukan.Umumkan pada orang ramai, siapa yang punya barang itu. Jika tidak ditemui hingga setahun pemiliknya, barulah harta itu halal bagi yang menjumpainya.
Setelah sampai di rumahnya, dalam keadaan dirinya bertarung memujuk bisikan hati sendiri, isterinya pula tambah merayu-rayu. Si isteri meminta sedikit dari apa yang ditemui sekadar mencukupkan keperluan yang mendesak.
Syeikh merenung wajah isterinya. Pujukan wanitalah yang sering membuat iman lelaki tergugat. Terasa bagaikan pecah kepalanya bertarung dengan pujukan demi pujukan isterinya. Digagahinya menyedarkan si isteri.
“Kau isteri yang baik. Sepatutnya mendorong aku memilih jalan kebaikan. Apakah kesabaran kita menanggung susah selama lebih 50 tahun, sanggup dicairkan hanya beberapa saat ini?”
Begitu gawat pertarungan perasaan yang dihadapi syeikh. Sekian lama dia ikhlas mendidik ahli keluarganya supaya sentiasa tabah dan mentaati Allah. Saat ini benar-benar besar ujian yang dihadapinya.
Keesokannya syeikh pergi ke masjid seperti biasa. Selesai solat, syeikh terkejut mendengar satu pengumuman seorang Khurasan yang kaya telah tercicir tali pinggangnya. Ditawarkan ganjaran bagi yang mengembalikan semula. Bila diamati oleh syeikh, ternyata orang itu tuan punya tali pinggang yang ditemui. Segera dia memberitahu orang kaya Khurasan itu dengan berhajatkan ganjaran 10 peratus daripada harta tersebut. Gelagatnya turut diikuti dan diperhati oleh seorang pemuda yang juga tertarik hati mendengar ganjaran yang mungkin diberikan. Si tuan punya tali pinggang enggan memberi ganjaran sebesar itu. Kata orang Khurasan itu, “Memadailah ganjaran yang di sisi Allah.”
Syeikh pulang ke rumah untuk berfikir lagi. Terus didesak oleh isterinya untuk meminta sekadar satu persen. Sudah mencukupi untuk menampung keperluan utama mereka. Sebaik syeikh menemui semula orang kaya itu, tetap disebutkan ganjaran yang diberikan, “Cukuplah atas apa yang Allah tentukan.” Mendengar kata-kata yang sedemikian syeikh yang berjuang dengan keimanannya itu lantas setuju. Lalu dia mengajak orang kaya Khurasan ke rumahnya untuk mengembalikan tali pinggang tersebut. Mereka turut diikuti pemuda yang sama memerhati hal itu.
Sesampai di rumahnya syeikh terus menyerahkan tali pinggang itu kepada yang empunya. Setelah dipastikan semua jumlah wang emasnya cukup, tidak terluak, orang Khurasan itu menyerahkan kembali harta tersebut kepada syeikh, “Ambillah yang menjadi hakmu. Cukuplah dengan ganjaran dari Allah.” Tercengang-cengang semua yang mengikuti peristiwa itu.
Syeikh itu memanggil seisi rumahnya berserta pemuda yang mengikutinya. Dibahagi-bahagikan semua harta yang direzekikan Allah kepada mereka. Semua mereka beroleh bahagian 100 dinar setiap seorang. Anak muda itu tersangat gembira, kerana dengan wang itu dia dapat melanjutkan pengajiannya. Begitu juga dengan anak dan isteri syeikh, semua mereka dapat membebaskan diri daripada himpitan kemiskinan.
Sesungguhnya semua itu adalah ganjaran dari kesabaran mereka seisi keluarga menanggung kesusahan dalam ketaqwaan kepada Allah. Teryata ketaatan dan kejujuran syeikh terhadap perintah Allah dapat menjamin kebahagiaan mereka seisi keluarga sepanjang hayat.
Puteri-puteri Islam yang gigih bertakwa dan diharapkan menyebar luas kebenaran!
Apapun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah, akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.
Sama-sama kita akhiri dengan doa:
“Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan-Mu kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Amin.
3 ulasan:
subhanallah..mulianya hati..kerana terdidik dengan sabar...andai sentiasa merasa muraqobah Allah, akhlaq terjaga, iman terpelihara..kan ummi?
20 Oktober 2010 pada 3:46 PGjazakillah ummi atas perkongsian
-love from plymouth-
luv u hana...may Allah bless u,
20 Oktober 2010 pada 8:48 PGummi rindu pd hana...
hari ni ...airmata ummi deras sukar brhenti; seorg sahibah karib sgt dgn ummi telah Allah jmput pulang...
innalillahi wainnailaihirojiuun...
hana juga rndu ummi..rndu yg makin lama makin berganda..
20 Oktober 2010 pada 10:41 PTGmay Allah grant us maghfirah, rahmah wa jannah ya ummi..
masa dia dah smpi..mgkin juga kita yg mnyusul selepasnya..berbhagia la dia menemui Robb dan Illah yg satu itu..ummi jgn nangis lg, teruskan berdoa..smoga rohnya ditempatkan dalam golongan ahli2 syurga
innalillah..
igfirly ya Allah..
Catat Ulasan