UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

GERIMIS KASIH-Cerpen sulung tersiar di Mingguan Wanita,Sept 2010

GERIMIS KASIH

Oleh: Noraini Eslah(Ummu Anas)

“Shafiq, buka pintu sekejap…” Ibu mengetuk pintu bilik Angah yang dikunci dari dalam. Begitulah tabiat Angah bila meradang dia akan mengunci diri di dalam bilik. Walaupun berkongsi bilik dengan Uda, dia tetap menyimpan kunci sendiri.

Mahu tidak mahu, Uda terpaksa meletakkan satu lagi kunci bilik di ruang tamu. Ini untuk memudahkan seisi rumah membuka bilik tersebut, jika lama terkunci. Panggilan ibu tidak sedikit pun diendahkan, tiada kedengaran bunyi menandakan pintu akan dibuka.


Ibu tidak mampu menunggu lama. Kalau diikutkan kerenah anak seorang yang keras kepala ini, akan lewat pula ibu sampai di Ipoh. Sedangkan perjalanan akan diteruskan ke Pahang hari itu juga. Bagaikan perjalanan bas ekspress dua hala.

Demi kasih ibu yang tiada penghujungnya, ibu tetap melebarkan kasihnya kepada semua anak-anaknya. Tidak mengambil kira yang manja maupun yang kasar. Semuanya darah-daging ibu. Ibu ikhlaskan hati melayani kerenah mereka. Semata-mata mengharapkan perhatian Allah. Tercalar sungguh hati ibu. Pilu yang menusuk kalbu, semakin dalam menghiris perasaan ibu. Dengan pantas ibu masuk ke bilik. Mengemas bilik dan memasukkan sepasang pakaian untuk menginap satu malam di Bandar Pusat Jengka.
Terlebih dahulu perlu menghantar Uda ke UTP(Universiti Teknologi Petronas) di Tronoh, Perak. Kali ini ibu pergi diiringi Kak Long yang sudah cekap memandu untuk perjalanan jauh. Ibu tidak mahu menyusahkan ayah. Ibu faham kesibukan ayah menguruskan Pasar Mini Berjaya. Semasa memasukkan barang-barang Uda ke dalam bonet kereta, kepala ibu terasa sungguh berat. Pandangan mata berpinar-pinar. Bila menunduk terasa badan seperti ditolak. Ibu rasa macam hendak pitam. Ibu gagahi juga mengangkat barang-barang dengan pergerakkan yang diperlahankan. Sementara Kak Long dan Uda mengemas ruang tamu, ibu naik ke tingkat atas rumah mereka untuk memastikan Angah tahu ibu akan bertolak ke Ipoh.

“Ibu bertolak dulu Syafiq. Ayah balik nanti panaskan lauk dan nasi yang Kak Long sudah masak tadi.” Ibu memaklumkan dari luar pintu bilik dengan harapan Angah mendengar arahan ibu. Hati ibu berdarah disebabkan tabiat Angah yang tidak berubah walau sudah dewasa. Hanya memikirkan kepentingan dirinya sendiri sahaja. Hingga sanggup meremuk-redamkan persaan ibu…

Ayah berat mulut

Rimas sungguh perasaan ibu melihat anak bujang yang malas begitu. Berkali-kali ibu ajukan kepada ayah supaya ditegurkan tabiat Angah. Tapi ternyata ayah ‘berat mulut’. Ayah tidak suka menyuruh dan mengarah. Jika sukarela sendiri membantu ayah, pasti dihargai. Angah juga tidak manja dan mesra dengan ayah.

Sedari kecil sudah dihantar bersekolah aliran agama di Kelantan. Diserahkan sepenuhnya kepada pengawasan Pak Su yang merupakan ustaz. Juga atas cadangan ibu. Sebab Angah yang pendiam dan degil, serasi dengan Pak Su. Angah bagaikan menjadi anak Pak Su. Lebih-lebih lagi dia bersekolah di sekolah yang Pak Su mengajar. Begitu lama Angah berjauhan dari ibu, terasa sungguh rindu ibu. Besar harapan ibu ingin Angah pulang ke Johor Bahru, tempat kelahirannya. Lantas ibu mencadangkan Angah membantu perniagaan ayah atau menjadi guru sebuah sekolah menengah swasta di Kampung Maju Jaya, Senai.
Pengetua sekolah adalah saudara ‘dua pupu’ dengan ibu. Dia ada menelefon bertanya seandainya ibu ada kenalan yang sesuai dicadangkan mengajar di sekolahnya. Justru itu sewaktu ibu bersarapan sebelum bertolak menghantar Ucu, ibu bersuara kepada Angah. Memandangkan Angah mempunyai diploma dalam bidang Pengurusan Teknologi (Perakaunan). Ibu rasa lebih baik Angah membantu perniagaan keluarga atau mengajar di sekolah swasta. Tapi… bukan itu rancangan Angah.

“Ibu…, takkanlah kelulusan Angah ni patut diguna mengurus kedai runcit ayah. Atau cuma jadi guru kemahiran hidup di sekolah menengah swasta di Kampung Maju Jaya, Senai.” Rungut Angah sewaktu ibu memberi cadangan.

Sudah lebih enam bulan Angah menganggur di rumah. Tidak ada sebarang tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Maupun surat temuduga untuk sebarang pekerjaan. Rutin harian Angah penuh dengan berkurung di bilik membaca pelbagai novel remaja dan dewasa.

Apabila masuk waktu solat fardhu, akan berjemaah di masjid taman kediaman mereka sahaja. Juga membantu Pak imam mengajar anak-anak jiran mengaji. Protes Angah dipaparkan pula pada raut wajahnya yang masam mencuka dan jelingan tajam. Seakan-akan ‘naik darahnya’ mendengar cadangan ibu.

Hanya ada kelulusan diploma, lirikan mata Angah memandang ibu, sudah seperti tuan punya ladang yang sangat luas. Ibu hampir tidak percaya pada apa yang terpapar di depan mata. Terasa ngilu parut luka yang melintang di bawah perut ibu. Parut kesan pembedahan sewaktu melahirkan Angah. Jika anak patuh hajat ibu, tidaklah terasa sakit kesan melahirkan. Malah terasa sejuk perut ibu yang mengandung…Berkaca-kaca mata ibu, suam dan perit rasanya. Berkali-kali ibu beristighfar, menahan pedih di hati. Hati ibu tersentak. Seperti ada aliran arus pilu menyelinap ke ruang hati ibu. Sudahlah ayah sukar bermesra dengan anak-anak. Ini pula anak-anak yang ibu didik dengan kasih-sayang dan ramah mesra menyiat-nyiat perasaan ibu.

Berleka-leka yang disukai. Mendengar cadangan ibu bagai dikerah meredah hutan belantara. Bagaikan dipaksa menebas belukar. Sedangkan ibu mengharapkan anak yang dikasihi menjadi anak yang soleh. Memilih pekerjaan mulia. Mengajar atau berniaga.

Hujan air mata

Ketika bersolat sunat Dhuha, basah tempat sujud ibu dihujani airmata yang tumpah tanpa dapat dikawal derasnya. Sebaik menyudahkan solat dan memberi salam ke kanan dan ke kiri, ibu merebahkan badan di atas sejadah. Begitulah lazimnya ibu. Setiap kali menghantar Ucu pulang ke UiTM Pahang, cawangan Jengka. Pasti ibu berehat di bilik solat kolej kediaman siswi. Seusai solat sunat, ibu akan melelapkan mata. Dengan harapan jasadnya kembali segar sepanjang perjalanan pulang yang jauh. Lebih-lebih lagi kali ini, ibu terasa badannya sangat lemah. Rasa tidak terdaya untuk ibu naik ke aras tiga kolej kediaman siswi. Ditambah lagi jika mengangkat barang-barang Ucu, khuatir gejala semput ibu datang semula.

Semasa Ucu mendaftar semester satu dahulu, ibu diserang semput kerana terlalu letih menguruskan keperluan Ucu. Dua hari ibu berehat di Temerloh semata-mata untuk memastikan kesihatannya memuaskan.

Selepas itu ibu pergi ke KTD(Kolej Teknologi Darul Naim) di Kelantan untuk menziarahi Angah yang berada di semester akhir pengajiannya. Begitulah ibu, sedapatnya dia meluangkan masa memberi sokongan moral yang kuat kepada anak-anak tersayang. Meskipun kesihatannya sendiri sering terganggu.

Namun kali ini jasad ibu benar-benar lelah. Diasak jiwa yang resah. Hati juga berkecamuk. Tidak dapat ibu bendung dengan berdiam diri. Telah ibu curahkan dalam rukuk dan sujud. Terungkai luruh dalam derai airmata. Deras membanjiri sejadah. Tekanan yang terperangkap di kepala telah dilepaskan. Kesugulan di hati telah diluahkan. Terasa ringan dan lapang jiwa. Ibu melelapkan mata buat melepaskan lelah dari kamar hati… Jelas wajah Angah di depan mata ibu. Muka bundar dengan dahi lebar. Mata hitam galak seperti bercelak. Hidung sederhana mancung. Rambut ikal hitam berkilat. Berkulit kuning langsat tanpa jerawat di pipi.

Pandangan mata redup dan mudah tersenyum. Wajah itulah dulu yang sering mengubat rindu ibu kepada adik kesayangannya yang telah meninggal dunia. Wajah Angah memang seiras wajah adik tengah kesayangan ibu. Di mata ibu kedua-dua mereka banyak persamaan. Sebagai ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kini mengapa wajah itu melukai hati ibu...?

Melapah-cincang lumatkan harapan ibu. Tidak berwatak sebenar seperti adik tengah ibu. Juga tidak ramah dan pengasih seperti Pak Su, adik bongsu ibu. Ibu cuma ada dua orang adik lelaki. Mereka telah kematian bapa sedari kecil. Sewaktu Pak Su di darjah enam, ibu mereka pula meninggal dunia bersama adik tengah ibu. Disambar ombak ganas sewaktu menyertai rombongan berkelah.
Semenjak itu ibu dan Pak Su sangat rapat. Susah-senang mereka tanggung bersama. Hinggalah Pak Su sudah berumah tangga, dia masih rapat dengan ibu. Banyak membantu ibu mendidik anak-anaknya. Tambahan pula Pak Su mudah mesra dengan anak-anak remaja.

Bantuan Pak Su

Wajah Kak Long dan Angah menerpa silih berganti. Sekejap jelas, sekejap samar. Ibu menenyeh-nenyeh matanya. Terasa bahu ibu ditepuk lembut dan lengan ibu diusap-usap. Sedikit demi sedikit, terserlah pandangan mata ibu. Jelas semula.

“Ibu masih penat?”. Lembut sapaan dari wajah manis berlesung pipit di kedua-dua pipi dan bertahi lalat di penjuru kanan bibir bawah. Wajah ayu mendamai jiwa, anak gadis harapan ibu.

Kak Long memang banyak membantu ibu menguruskan adik-adik. Juga menjadi teman setia ibu berkongsi sebarang masalah. Sedih dan gembira mereka lalui bersama. Sakit pening ibu pun banyak yang Kak Long bantu uruskan. Beruntung ibu mempunyai anak perempuan yang ringan tulang.

Begitulah juga yang ibu harapkan terhadap Angah. Lebih-lebih lagi Angah merupakan anak lelaki tertua. Sepatutnya menjadi contoh kepada adik-adiknya. Angah yang diharapkan meneruskan perniagaan keluarga. Tetapi Angah tidak sedikit pun menunjukkan minat berniaga. Dengan ayah sendiri pun jarang sekali Angah berbual mesra.
Angah lebih rapat dengan Pak Su. Malah lebih taatkan Pak Su berbanding ayah sendiri. Apa saja yang Pak su suruh, Angah patuhi. Karena sikap Angah yang begitu, semalam sewaktu dalam perjalanan menghantar Uda dan Ucu ke kolej, segera ibu menelefon Pak Su. Meminta Pak Su memujuk Angah mengubah tabiat malasnya. Sudah habis ikhtiar ibu. Kerana itu ibu sangat mengharapkan sokongan moral dari Pak Su yang mengerti permasalahan ibu.

“Eh…Shafiqah…Lama ibu tertidur tadi? Kepala ibu masih pening dan berdenyut-denyut.” Ibu bangun perlahan-lahan sambil memegang kepalanya. Entah mengapa dada ibu juga terasa sengal dan berdebar-debar. Nafasnya pula pendek-pendek. Seperti akan diserang semput rasanya. Bertambah risau ibu.

“Tidak lama sangat pun. Tapi tadi Pak Su dan Angah ada menelefon…”.Pantas tangan Kak Long mmembantu ibu melipat telekung dan sejadah.


Belum sempat Kak Long menghabiskan kata-katanya, ibu menyampuk; “Pak Su dan Angah menelefon? Ibu tak perasan tadi…”

“Ya. Mula-mula Angah, kemudian Pak Su pula…” Kak Long memberi tahu, mereka menelefon sewaktu ibu tertidur.

“Alhamdulillah.” Terpacul kata-kata syukur ibu. Resah gelisah hati ibu telah Allah leraikan…

Pak Su mengajak Angah mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Pengkalan Chepa tempat Mak Su mengajar. Seorang guru Bahasa Inggeris diperlukan. Sekolah itu ada dua guru Bahasa Inggeris. Seorang daripadanya telah pulang bertugas ke Sabah. Seorang lagi ialah Mak Su sendiri. Mak su pula dijangka akan mulai cuti bersalin awal Februari. Sedangkan sesi persekolahan akan bermula tiga minggu saja lagi.
“Mak Su telah mencadangkan nama Angah untuk menjadi guru sementara. Jika sesuai dan serasi bolehlah selanjutnya Angah fikirkan untuk menyambung pelajaran di bidang perguruan. Sebab itulah Pak Su segera menelefon Angah dan Ibu”,ujar Kak Long panjang lebar.

“Angah dicadangkan menjadi guru Bahasa Inggeris? Setujukah dia?” Berkerut dahi ibu mendengar penjelasan apa yang telah berlaku semasa ibu tertidur tadi.

“Kata Angah, dia berminat juga. Hendak cuba dahulu. Sebab ada peluang sambung belajar”. Kak Long cuba menjelaskan dengan tenang supaya ibu tidak salah faham. Semalam Angah menolak cadangan ibu. Hari ini Angah menerima pula cadangan Pak Su dan Mak Su.

“Ibu izinkan Angah menerima cadangan Pak Su?” Kak Long cuba mendapatkan kepastiaan dari ibu.

Rasanya kalau Pak Su yang cadangkan ibu tidak membantah. Tambahan pula Pak Su satu-satunya adik yang ibu masih ada di dunia ini. Selama ini pun, ibu dan ayah telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Pak Su membimbing anak-beradik Kak Long.
Cuma Kak Long dan Uda yang jarang mengunjungi keluarga Pak Su. Mereka lebih senang membantu ayah dan ibu di Pasar Mini Berjaya di pekan Ulu Tiram. Pasar mini ini ayah warisi dari ibu bapanya kerana dia anak tunggal.

Sentiasa ibu nyatakan kepada anak-anak, ayah berharap salah seorang anaknya berminat mengembangkan perniagaan keluarga. Tetapi Angah seperti acuh tak acuh sahaja. Dia lebih berminat untuk menyambung pelajaran. Juga seperti mencari jalan untuk terus berjauhan dari ayah. Tambah bingung ibu.

“Ibu setuju saja jika Angah sudah buat keputusan dengan niat yang baik. Jadi guru memang baik, satu tugas mulia”.Terasa terlerai kekusutan di kotak fikiran ibu. Dada ibu yang terasa sesak dan sebak tiba-tiba terasa lapang dan tenang.

Di sudut hati ibu berdoa; ‘Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anakku penenang hati dan penyejuk pandangan. Jadikanlah mereka sebaik-baik manusia yang membawa kebaikkan kepada manusia lain’.

Perlahan-lahan daun pintu bilik sembahyang Kolej Kediaman Siswi A terbuka. Wajah bujur sirih Ucu muncul mencari ibu dan Kak Long. Kelihatan riak muram di wajah lembut anak manja ibu. Begitulah biasanya apabila akan ibu tinggalkan di asrama, wajah manja itu sentiasa menagih simpati. Ibu rela Ucu menuntut di daerah yang jauh, berlatih untuk hidup lebih matang. Anak bongsu maupun anak sulung, tetap akan memikul tanggungjawab yang sama di hadapan Allah. Sebagai anak soleh dan solehah yang taat Allah dan patuh kepada ibu-bapa. Juga melakar jasa sepanjang hayat. Tiga beranak itu berjalan beriringan ke kereta Proton Saga berwarna biru muda metalik, model terbaru. Kereta sulung Kak Long yang Allah rezekikan berkat kegigihannya membantu perniagaan ayah.

Tidak Allah sia-siakan setiap kepatuhan kepada kedua ibu-bapa. Pasti beroleh ganjaran baik selagi di dunia lagi. Begitu juga sekiranya melakukan kedurhakaan terhadap ibu-bapa juga Allah segerakan mudaratnya selagi di dunia lagi. Hal itu yang sangat ibu khuatiri berlaku terhadap anak-anaknya. Ibu sangat khuatir Angah terlepas pandang hal ini. Telah juga ibu bincangkan dengan Pak Su hal ini.

Tentu sebagai ustaz, Pak Su ada cara yang sesuai untuk merungkaikannya. Besar sungguh harapan ibu, iginkan Angah menjadi anak yang soleh. Namun kini kerisauan itu telah terlerai. Syukur ibu punya seorang adik yang ikhlas membantu. Pak Su faham penanggungan ibu.

Ibu mahukan anak lelakinya melakar contoh yang baik untuk adik-adiknya. Juga menjadi anak soleh yang menyejukkan pandangan dan menteramkan hati kedua ibu-bapa. Kini hati ibu berbunga harap. Angah akan menyertai barisan pendidik yang berperanan mencorakan warna masyarakat masa hadapan… Gerimis halus mengiringi langkah ibu yang perlahan, tapi mantap. Menyelinap ke dasar hati yang berbunga harap. Mekar seiring persetujuan Angah menerima cadangan Pak Su.

***
Begitulah isi cerpen tersebut, syukur hasil edit sifu Azmah Nordin utk cerpen pertama sy yg dibengkelkan di blog sastera hanya 99% di edit oleh pihak majalah Mingguan Wanita, hanya pd susunan paragraf dan hanya beberapa patah prkataan yg diganti. Terima kasih juga kpd pihak majalah Mingguan wanita yg telah bermurah hati menyiarkan cerpen sulung sy dari bengkel sastera ini.-noraini eslah.


2 ulasan:

Qayyim Miswan berkata...

tahniah kerana tersiar di Mingguan Wanita.

13 Oktober 2010 pada 12:14 PG  
Noraini Eslah berkata...

tq qayyim kerana sudi brkunjung n membaca...kisah ini mgkin untuk anda?!

n diharapkan anda jg trpanggil utk mngolah kisah lebih indah...

13 Oktober 2010 pada 12:54 PTG