UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

IMAN DAN TAQWA MEMELIHARA FITRAH



Anak-anakku yang gigih berusaha meraih redha Ilahi,

Terbentang di hadapan kalian perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30,

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Berpandukan ayat tersebut, dapat difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) ciptaan Allah SWT. Ianya menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Juga dengan lain perkataan pelaksanaan sempurna selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Semestinya kita berpegang teguh dengan prinsip ini sepanjang hayat kita. Fahami penjelasan Rasulullah SAW dalam sabdanya,

“Kamu mesti berpegang dengan sunnah hingga sekalipun sampai ke akhir zaman yang wujud dua golongan penyeru. Ada penyeru yang berada di ambang neraka dan ada segolongan lagi penyeru ke jalan kebaikan. Sahabat-sahabat Rasulullah bertanya: Bila terjadi yang demikian, apa yang mesti kami lakukan? Sabda baginda: Kamu mestilah berjalan dalam jemaah. Kalau tidak ada jemaah, kamu gigit sunnahku ini dengan geraham hingga kamu mati.”

Anak-anakku yang tekun beribadah,

Perlulah sentiasa diingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti berkaitan pegangan kita terhadap akidah Islam.

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
  • Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
  • Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Yakinlah anak-anakku,

Hakikat iman kepada Allah SWT, merupakan hakikat terbesar dalam kehidupan insan. Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi.

Iman mendalam dan taqwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan taqwa saling mendorong kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Wallahu'alam.


0 ulasan: