UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BERHATI-HATILAH...


Barakah dan rahmat Ilahi untuk semua diri yang sentiasa berhati-hati...

Keyakinan dan ketaqwaan mulai menyelinap ke segenap urat nadi, aliran darah dan lintasan perasaan kita. Sewajarnya kita terus-menerus berhati-hati dalam mengawasi tingkah laku dan amal perbuatan.

Perlu sangat untuk sentiasa diingat, kekuatan iman bukan sahaja mampu menepis godaan syaitan yang sentiasa mengancam, malahan ia juga dapat mengimbangi antara ilmu dan ibadah.
Jika kekuatan iman diabaikan, dengan pantas dorongan nafsu meguasai akal dan perilaku. Hingga memesongkan manusia dari tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah.

Nafsu akan bertindak lebih pantas dari bisikan syaitan bilamana iman tidak diperkukuhkan. mari kita tinjau bagaimana tabiat dan kerenah nafsu, supaya dapat diusahakan cara mematahkan pengaruhnya;

1. NAFSU SENTIASA MENDORONG KEJAHATAN
Setiap orang mempunyai potensi menjadi baik, tetapi nafsu sangat bencikan kebaikan. Sebaliknya apa saja sifat buruk dan perbuatan jahat cukup serasi dengan nafsu. Oleh itu usaha membina sifat baik, sentiasa memerlukan kesungguhan yang kental. Contohnya sangat payah menahan marah dan bersifat sabar. Begitu juga dengan memaafkan kesalahan orang lain, bersangka baik, tidak berdendam dan tidak iri hati. Semuanya menjadi sukar kerana ada saja bisikan berlawanan yang datang dari nafsu.

2. NAFSU HANYA MAHU KESENANGAN.
nafsu suka kepada kesenangan, kemewahan, bermalas-malas dan bersedap-sedap mmebuang masa dengan sia-sia.Dengan itu nafsu tidak pernah memujuk hati menempuh jalan untuk ke syurga. Kerana jalan ke syurga penuh susah payah dan kesukaran. sebaliknya jalan ke neraka, sarat dengan hal bersenang-senang dan keseronokan.

3. NAFSU TIDAK TAKUT NERAKA.
Nafsu tidak akan berjaya ditundukkan sekadar dengan ancaman siksa neraka. Ia mesti juga lebih sentiasa diperingatkan bertalu-talu tentang kebenaran janji syurga.

4. NAFSU TIDAK PERNAH PUAS.
Sudah menjadi tabiat nafsu, kehendaknya tidak akan habis. Dapat sejengkal hendak sehasta. Dapat sehasta hendak sedepa. Bila kehendak nafsu dituruti, kita akan diperhambakannya. Kecuali kita menyedari hakikat yang berlaku dan berani mengatakan 'tidak' kepada desakan nafsu.

Sedarilah selalu...
Hawa nafsu sentiasa menanti peluang dari kelemahan iman. Dari itu jika berlaku kecuaian dalam beribadat, kembalilah kepada Allah dengan bertaubat dan beristighfar. Ketahuilah Allah tidak akan membiarkan kita tenggelam dalam perdayaan hawa nafsu selagi kita benar-benar mengharapkan rahmatNya.

0 ulasan: