UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MERAWAT HATI

WAHAI SETIAP HATI YANG SENTIASA DIPERHATI!



Sentiasalah mencari penawar bagi merawat hati yang sentiasa diserang berbagai gejala tidak

sihat yang mudah merosakkan akhlak kita. Ketahuilah segala gejala yang menyerang hati dapat

dipulihkan dengan;

* ilmu yang benar,

* iman yang mendalam

* dan amalan yang berterusan.


1 RAWATAN SEGERA

* elakkan

* jauhkan

* tinggalkan

JANGAN MENGUMPAT

- ini akan...

* mengotorkan hati

* merosakkan hati

* mematikan hati


2. RAWATAN KHUSUS

* banyakkan berzikir dan mengingati Allah dengan tasbih (subhanallah), takbir (Allahuakhbar) dan tahmid (Alhamdulillah).

* banyakkan munajat dan tahajjud.

* sentiasa tekun bertaubat.

* sentiasa takutkan azab Allah di akhirat.

* sentiasa melawan hawa nafsu.

* sentiasa menilai dan menghisab setiap amalan sendiri.

* menyemak jika berlaku sebarang dosa besar yang menjerumuskan diri.


Sentiasalah berusaha untuk menjadi sebaik-baik contoh;

SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH DIA YANG MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA MANUSIA LAIN.

PANTASNYA MASA

Wahai setiap diri yang dikasihi kerana Allah...


Renungilah dengan teliti maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal r.a;

"Setiap hamba di hari kiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju kemana-mana, selagi dia belum disoal siasat tentang empat perkara:

* Umurnya - di manakah dihabiskan sewaktu hidup?

* Remajanya - bagaimaan dia menghadapi ujian ketika itu?

* Hartanya - dari mana diperolehi dan bagaimana membelanjakan?

* Ilmunya - apakah telah beramal dengannya?"


Begitulah soal-siasat yang akan dihadapi oleh setiap diri pada hari kiamat kelak.
Setiap orang tidak dapat melarikan diri dari persoalan bagaimana dia menggunakan umurnya sewaktu hidup di dunia. Terutama ketika usia remaja, ketika itu waktu yang paling banyak potensi berbanding sewaktu kecil mahupun setelah tua dan uzur.
Hakikatnya peredaran masa memang pantas!
Biar pun ada orang yang hidup hingga usia lanjut, disudahi dengan ajal maut juga.

Begitulah seperti yang tertulis dalam bait-bait syair Arab yang bermaksud;

Masa!

Kau terlalu pantas

Seminggu dirasa sehari

Sebulan bagaikan seminggu

Tanpa disedari

Tahun ke tahun

Seumur hidup

Dirasa dalam impian!

Hidup berakhir dengan mati

Panjang , pendek

Kesudahannya sama!


MASA BAGAI PEDANG



FIKIRKAN DENGAN TAJAM

PERHATIKAN DENGAN HATI-HATI

PASTIKAN TIDAK TERLUKA

...MASA ITU BAGAIKAN PEDANG!...

TAJAM DAN MENINGGALKAN KESAN.





HARI INI SEDIKIT...

Wahai setiap diri yang sentiasa di perhati!


Hati kita perlu disegarkan selalu...,walau hanya sedikit..., walau hanya dengan satu ayat....



SEWAJARNYALAH KITA BERSYUKUR DENGAN HATI,

LIDAH,

ANGGOTA BADAN.


DENGAN HATI:

KITA BERAQIDAH BERSIH TERHADAP ALLAH,

BERPERASAAN BAIK KEPADA SEMUA MAKHLUK.


DENGAN LIDAH:

KITA MENGUCAPKAN KATA PUJI-PUJIAN KEPADA ALLAH.

JUGA KATA-KATA YANG MENDEKATKAN MANUSIA KEPADA ALLAH.


DENGAN ANGGOTA BADAN:

KITA GUNAKAN UNTUK BERIBADAT MENTAATI ALLAH DAN MENJAUHI MAKSIAT.

DEKATI AKU TUHAN




DEKATI AKU TUHAN

SETINTA SETITIK INSAN

PEMBURU KASIIH ILAHI

SEKUJURKU DERITA SEPI

MAHA TERKECIL DIR I INI

DIGUGAH BERAT RESAH

AMPUNKAN AKU

DEKATI AKU


BERMULA DARI JAUH

KINI TETAP KURINDU

ESOK AKU TERUS MENUNGGU

KASIH CINTAMU RABBI

MENYUBUR HATIKU

MENGHALUS JIWAKU

TULUS MURNI

DALAM DAKAPAN REDHAMU


Ilham rasa Pa'al, Kota Kinabalu dan Ummu Anas, Johor Bahru.


Wahai semua yang kukasihi kerana Allah..., puisi ini ditulis oleh dua hati, dua diri..yang jauh ribuan batu antara dua daratan merentasi laut luas. Tidak pernah bersua wajah, hanya hati tertaut dalam kasih Ilahi...begitu takdir ketentuan Allah. Moga sentiasa segar dalam dakapan redha Ilahi.- ummu anas.

FIKIRKANLAH SELALU...

WAHAI SETIAP DIRI YANG DIPERHATI!

WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASIHI...

Wahai setiap diri yang dirindui,
Wahai setiap diri yang diharapkan meneruskan perjuangan!...

Wahai setiap diri yang menjadi tulang belakang...,
Wahai setiap diri yang saling berganding bahu menyeru kebenaran!...

Fahamilah maksud firman Allah;
"Wahai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok(akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al-Hasyr:18)


Wahai setiap diri yang melaksanakan amanah Allah!...

Ayat tersebut mengingatkan kita agar selalu menghitung diri yang diibaratkan sebagai pedagang di dunia ini;

Syariat Islam adalah modal kita. Keikhlasan, ketaqwaan dan istiqamah adalah strategi kita.

Pahala, keampunan dan hidayah Allah adalah keuntungan.

Keredhaan Allah adalah matlamat kejayaan.

Tempoh perjanjian perniagaan kita adalah sepanjang hayat kita di dunia.


Wahai pemburu kasih Ilahi!...


Sentiasalah fikirkan ahkikat hidup dan penciptaan diri kita untuk, apakah?...
Usah dibiarkan masa terbazir begitu saja walau hanya beberapa detik...! Sentiasalah menghitung diri dan memperelok amalan. Darinya nanti akan terbit iman yang mantap yang mampu menghadapi hari-hari esok yang lebih mencabar akal, jiwa dan tingkah laku.


Ingatlah pesanan Umar Al-Faruk r.a;

"Hisablah(hitunglah) dirimu sebelum kamu dihisab Allah.

Serta bersiap sedialah untuk menghadapi peperiksaan yang paling besar(hari kiamat)."


Wahai perindu syafaat rasul junjungan...!

Fikirkanlah sedalam-dalamnya...;


1. Gerak hatimu yang menimbulkan niat samaada ikhlas atau sebaliknya dalam mengerjakan sesuatu amal. Perhatikan adakah hatimu dikuasai riya, takabbur dan 'ujub.


2. Perkara yang memenuhi akalmu. Apakah yang difikirkan setiap detik dalam hidupmu? Adakah hanya memberi tumpuan urusan dunia dengan melupakan persiapan akhirat?


3. Kerja yang dibuat oleh tulang empat kerat, apakah melupakan amanah menegakkan kebenaran? Sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup insan sejagat.


4. Ibadah kepada Allah sudahkah ditunaikan tepat pada waktunya dan dengan khusyuk?
Peliharalah hubungan yang akrab dengan Allah SWT.


5. Rezekimu adakah dari sumber yang halal. Sudahkah menafkahkannya di jalan Allah. Awas dari sifat bakhil.


6. Dalam kesibukan harian, usah berlengah melaksanakan tanggungjawab terhadap orang tua dan kerabat. Juga sahabat handai, anak yatim dan masyarakat sekeliling.


Wahai semua yang dikasihi kerana Allah...

Mari sama-sama kita berdoa...;


"Ya Rabb! Ampuni bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan

kami dan matikanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbuat bakti." Amiin.


BERHATI-HATILAH...


Barakah dan rahmat Ilahi untuk semua diri yang sentiasa berhati-hati...

Keyakinan dan ketaqwaan mulai menyelinap ke segenap urat nadi, aliran darah dan lintasan perasaan kita. Sewajarnya kita terus-menerus berhati-hati dalam mengawasi tingkah laku dan amal perbuatan.

Perlu sangat untuk sentiasa diingat, kekuatan iman bukan sahaja mampu menepis godaan syaitan yang sentiasa mengancam, malahan ia juga dapat mengimbangi antara ilmu dan ibadah.
Jika kekuatan iman diabaikan, dengan pantas dorongan nafsu meguasai akal dan perilaku. Hingga memesongkan manusia dari tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah.

Nafsu akan bertindak lebih pantas dari bisikan syaitan bilamana iman tidak diperkukuhkan. mari kita tinjau bagaimana tabiat dan kerenah nafsu, supaya dapat diusahakan cara mematahkan pengaruhnya;

1. NAFSU SENTIASA MENDORONG KEJAHATAN
Setiap orang mempunyai potensi menjadi baik, tetapi nafsu sangat bencikan kebaikan. Sebaliknya apa saja sifat buruk dan perbuatan jahat cukup serasi dengan nafsu. Oleh itu usaha membina sifat baik, sentiasa memerlukan kesungguhan yang kental. Contohnya sangat payah menahan marah dan bersifat sabar. Begitu juga dengan memaafkan kesalahan orang lain, bersangka baik, tidak berdendam dan tidak iri hati. Semuanya menjadi sukar kerana ada saja bisikan berlawanan yang datang dari nafsu.

2. NAFSU HANYA MAHU KESENANGAN.
nafsu suka kepada kesenangan, kemewahan, bermalas-malas dan bersedap-sedap mmebuang masa dengan sia-sia.Dengan itu nafsu tidak pernah memujuk hati menempuh jalan untuk ke syurga. Kerana jalan ke syurga penuh susah payah dan kesukaran. sebaliknya jalan ke neraka, sarat dengan hal bersenang-senang dan keseronokan.

3. NAFSU TIDAK TAKUT NERAKA.
Nafsu tidak akan berjaya ditundukkan sekadar dengan ancaman siksa neraka. Ia mesti juga lebih sentiasa diperingatkan bertalu-talu tentang kebenaran janji syurga.

4. NAFSU TIDAK PERNAH PUAS.
Sudah menjadi tabiat nafsu, kehendaknya tidak akan habis. Dapat sejengkal hendak sehasta. Dapat sehasta hendak sedepa. Bila kehendak nafsu dituruti, kita akan diperhambakannya. Kecuali kita menyedari hakikat yang berlaku dan berani mengatakan 'tidak' kepada desakan nafsu.

Sedarilah selalu...
Hawa nafsu sentiasa menanti peluang dari kelemahan iman. Dari itu jika berlaku kecuaian dalam beribadat, kembalilah kepada Allah dengan bertaubat dan beristighfar. Ketahuilah Allah tidak akan membiarkan kita tenggelam dalam perdayaan hawa nafsu selagi kita benar-benar mengharapkan rahmatNya.

UKHWAH PENYUBUR SIFAT MULIA

Wahai putera-puteri harapan!


Kalian permata yang berkilauan...
Kalian harapan hari esok yang berupaya memperelok lagi warna kehidupan insan, dengan taqwa yang tinggi!

Penuhilah dunia dengan limpah kasih Ilahi. Usir was-was di hati. Usah membuka ruang-ruang untuk umpat- mengumpat serta mengadu domba. Semua perbuatan itu akan membunuh kasih sayang dan menyuburkan kebencian.

Berlalunya hari-hari tanpa kasih sayang, sungguh merupakan satu kerugian. Apabila perasan persaudaraan Islam telah hilang dari hati manusia, maka terhentilah semangat bantu membantu. Alam ini berhajat kepada hati, perasaan dan sentimen. Jadilah kalian sebagai hati kepada alam dan hidupkan ia dengan perasaan dan sentimen.

Lengkapkan kehidupan insan dengan persaudaraan Islam yang diikat dengan aqidah dan keyakinan kepada Allah. ianya melahirkan perasaan mendalam tentang belas kasiahn seperti yang tergambar di dalam maksud sabda Rasulullah SAW;
"Perumpamaan abgi orang-orang yang beriman di dalam kasih sayang, belas kasihan serta rahmat-merahmati sesama mereka, umpama satu jasad. Jika salah satu anggota mengaduh sakit, akan turut semua anggota merasai sakit dan berjaga malam."

Muslim dalam sahihnya, ada meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah Taala akan berkata di hari kiamat: Dimanakah orang-orang yang saling mengasihi kerana kebesaranKu? Pada hari ini Aku akan melindungi mereka di bawah lindunganKu. Ia hari di mana tiada lindungan lain selain lindunganKu."

Berikut disenaraikan beberapa langkah yang mesti dilaksanakan untuk memenuhi hak persaudaran Islam;

* nyatakan perasaan kasih terhadap seseorang saudara muslim yang dikasihi kerana Allah.

* tidak menganiaya sesama saudara muslim.

* tidak membuka aibnya.

* tidak menyerahkannya kepada musuh.

* mendoakan untuknya walaupun berjauhan.
* sentiasa berwajah manis dan berjabat tangan ketika bertemu.

* saling kunjung-mengunjungi.

* turut bersukacita di dalam kegembiraan saudaranya.

* saling memberi hadiah.

* memberi perhatian dan mendahulukan keperluan saudaranya.

* menziarahinya ketika sakit.

* turut mengiring jenazahnya.