UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SIAPA IKHLAS?


Siapa Ikhlas?

Menjelaskan lebih lanjut sifat ikhlas dalam setiap tindakan, cuba renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis tazkirah. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?” Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang keterlaluan bagi mereka.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang.

Cuma seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya.

Apakah yang hebat pada diri pemuda ini yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke

syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap redha Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian.

Ikhlas itu begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih daripada segala kepentingan peribadi. Juga dari riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Dapatlah digambarkan dengan jelas suasana subur yang memudahkan lahirnya keadaan-keadaan berikut,

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu amalan diterima Allah dan layak mendapat keredhaan Allah. Akhirnya nanti memastikan tempat kembali di akhirat kelak. Syurga ataupun neraka.

Kata Fudhail bin ‘Iyadh:

Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’,

beramal kerana manusia adalah syirik,

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.

Ikhlaskan hati kalian dalam mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta. Ikhlaslah dalam menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat. Juga ikhlas menerima Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam menyampai risalah Islam. Ikhlaslah mengambil al-quran sebagai pedoman hidup.

Seterusnya ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Ikhlaslah berubudiyah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah. Mulakan setiap langkah menuju keredhaan Allah daripada diri kalian sendiri. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan seangkatan di atas landasan kebenaran Islam. Terus maju berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Kemenangan dalam peperangan ini bakal menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita tangguhkan dulu dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jadikanlah kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Jadikanlah juga dari keturunan kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukilah kami cara beribadat dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.” Amin.

ISTIMEWA MAAL HIJRAH 1432

BERGERAKLAH! BINA CITA-CITA BARU

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Taufiq, hidayah, rahmat dan keberkatan sangat-sangat diharapkan, moga sentiasa Allah limpahkan. Kita berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada gangguan syaitan yang terkutuk. Kita yakini Allah sebaik-baik pelindung bagi orang-orang beriman. Dia mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya iman.

Semoga Allah merestui junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda sebagaimana Allah merestui Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Allah sangat berhak dipuji dan diagungkan.

Mensyukuri Kebahagiaan Hakiki

Anak-anakku yang ibu rindui dan kasihi dengan kasihsayang Islam,

Bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan hayat yang sihat. Kesyukuran yang utama dan sentiasa mesti kita rasai adalah mensyukuri nikmat berada dalam agama Islam. Jika sebaliknya yang berlaku…Nauzubillah! Kita di dalam kawah kesesatan dan kehancuran! Tidakkah kalian ngeri, bila heboh diperkatakan dewasa ini…golongan remaja diancam gejala berbahaya iaitu murtad dan menukar agama. Astaghfirullah!.

“La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazh zhalimin”- Tiada Ilah (Tuhan yang disembah) yang hak selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (QS Al-Anbiya’: 87)

Ketahuilah anak-anakku, gejala tersebut berlaku disebabkan insan muslim sudah jauh terpesong dari hakikat Islam dan iman. Kabur tentang ikatan dan hubungannya dengan Allah rabbul ‘alamin. Juga keliru dalam memilih jalan hidup yang telah dicontohkan oleh Ar-Rasul SAW. Bagi meluruskan pegangan kalian, mari kita teliti ke dalam diri sendiri.

Ingatlah kembali gambaran sewaktu kecil kalian. Kanak-kanak yang baru lahir tidak mengetahui sesuatu apapun, kemudian Allah bekalkan dengan pendengaran, penglihatan dan akal. Semua persediaan ini sesuai dengan keperluannya dalam meneruskan kehidupan.

Hayati firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 78: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati supaya kamu bersyukur.”

Seterusnya anak-anakku,

Bayangkan seandainya kanak-kanak yang dimaksudkan hilang pendengaran, sudah tentu dia akan mengalami kesukaran dalam hidupnya. Dia akan kurang pengetahuan dan tidak boleh bercakap kerana tidak mendengar sebarang bunyi. Sukar juga untuk kita menyampaikan maklumat kepadanya dengan bahasa isyarat.

Manakala kanak-kanak yang hilang penglihatan pula, dia dapat menggunakan pendengaran untuk belajar bercakap. Namun tidak dapat mengetahui bentuk atau warna sesuatu benda. Lebih bermasalah lagi kanak-kanak yang hilang akal atau terencat akal. Sepanjang hidupnya menjadi kelam.

Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa berfikir ,

Bagaimana pula hal keadaan kanak-kanak yang hilang ketiga-tiga persediaan hidupnya. Hilang pendengaran, penglihatan dan akal?

Ya…pasti hidupnya sangat susah. Tidak ada apa yang dapat diketahui dan tidak ada apa yang dapat disampaikan. Seolah-olah terputus dari hakikat kehidupan sebenar. Di samping itu, seiring nikmat dan kebahagiaan yang besar melalui persediaan hidup yang Allah anugerahkan, kita juga ada tanggungjawab besar iaitu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Berbalik kepada persoalan orang yang hilang nikmat hidup secara fizikal, kita cuba pula fikirkan…bagaimana jika hilang nikmat hidup berbentuk kejiwaan? Dengan lain perkataan, hilang perasaan di hati dan hatinya tidak dapat merasai hakikat kebenaran. Sudah tentu keadaannya akan menjadi lebih buruk. Perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-A’raf, ayat 179,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda) kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Begitulah anak-anakku, dengan pengamatan ini ibu berharap kalian dapat menilai betapa sebesarnya setiap nikmat yang Allah sediakan. Terutamanya nikmat pancaindera yang sepatutnya digunakan untuk mengenali Allah dan menghambakan diri kepada-Nya.

Ingatlah anak-anakku, sekurang-kurangnya darjat syukur yang mesti ada pada kita adalah untuk taat kepada Allah dan serentak dengan itu menjauhi maksiat. Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Al-Isra’, ayat 36, “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu dipertanggungjawabkan di sisi Allah.”

Allah tidak sedikit pun membebani hamba-hamba-Nya dengan tanggungjawab yang diberi. Sesungguhnya semua peranan yang perlu dilaksanakan sesuai dan setara dengan keupayaan yang Allah anugerahkan. Ketahuilah modal utama kehidupan kalian adalah segala anugerah tersebut yang berupa keupayaan pancaindera, kesihatan jasmani dan rohani juga kebebasan akal fikiran. Semua ini begitu tinggi nilainya sehingga tidak dapat dibayar dengan kebendaan. Hanya kita yang kurang menghitung apa yang telah diberikan Allah kepada kita. Keasyikan menyebut perkara-perkara yang tidak diberi kepada kita menjerumuskan kita untuk mengkufuri segala nikmat yang Allah anugerahkan. Seandainya kita sentiasa berfikir dan menggunakan akal, akan terlihatlah bahawa bumi dan langit diciptakan untuk memudahkan kita beribadah. Ayuh! Mari kita mulakan sekarang untuk menggunakan sebaik-baiknya setiap bekalan yang tersedia untuk beramal soleh.

wallahu'alam.

KHUSUS BUAT KALIAN

Barisan Pemuda-Pemudi Harapan...!


Dengan izin dan penyusunan-Nya jua,
ibu ziarahi hati kalian dengan membawa bingkisan istimewa ini....,
memandangkan kebelakangan ini hadir beberapa persoalan khusus dari kalian berkaitan isu pergaulan remaja hari ini.

Ada juga di antara persoalan tersebut bagaikan perkara baru bagi ibu..., dalam menjawabnya ibu tidak terus menbicarakan isu tersebut, tetapi ibu jelaskan secara umum dan berkaitan isu pokok yg berpunca dari ikatan hati terhadap Yang Maha Pencipta. Selepas ini, ibu harap bagi sebarang isu berbangkit dan perlu kita bincangkan dengan lebih terperinci, sebaiknya kita kongsikan di dalam kotak komen. Dengan ini mungkin sesiapa lain yang sudi berkongsi pendapat, sangat dihargai...

Mari kita mulakan penelitian kita...


Maha Suci Allah yang menjuruskan hati kita semua diatas landasan iman dan Islam.

Anak-anakku, marilah kita mulakan dengan doa:

“Ya Allah! Kami terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas juga dalam agama nabi kami Muhammad SAW. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu yang benar. Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, kami memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”

Pemudi-pemudi Islam yang gigih memantapkan iman,

Kini kalian telah berada di barisan pewaris muda yang semestinya memulai peranan mencorakkan warna-warna kegemilangan generasi mendatang. Kalian sangat diharapkan meneruskan segala kekuatan generasi silam yang telah mewariskan penerusan perjuangan. Hindari kelemahan yang akan membawa kepincangan yang merugikan. Sewajarnya kedewasaan usia kalian terserlah bersama kedewasaan iman.

Anak-anakku sedarilah!

Seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan! Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan perdayaannya.

Menjaga Pandangan

Ingatlah firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30-31,

“Katakanlah kepada orang lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakan kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya.”

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu Rasulullah SAW mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat maupun yang tidak menutup aurat.

Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya kearah lain.

Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Saydina Ali,

“Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).” (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Pemuda-pemudi harapan yang dididik iman dan Islam!

Sepanjang masa kita berhadapan dengan persekitaran yang mengancam ubudiyah dan ketaqwaan. Tambahan wujud pandangan-pandangan liar yang tidak dikawal. Keadaan ini boleh menjerumuskan setiap diri kepada hal-hal yang membinasakan. Nauzubillah!

Ingatlah selalu,

Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan itu akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran. Nauzubillah!

Batasi Pergaulan

Menurut Ibnu Abas, kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu:

1. pada pandangannya,

2. pada hatinya,

3. pada ingatannya.


Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu;

1. pada lirikan matanya,

2. pada hatinya,

3. pada kelemahannya.

Rasulullah ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.

Rasulullah juga turut mengingatkan bahawa, pandangan mata itu

laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah kelak.

Batasi Pergaulan

Selama ini dalam pergaulan kita sesama handai taulan dan karib kerabat dipenuhi kemesraan, murah dengan senyuman, saling bersalaman dan bermaafan serta lembut dalam tutur kata. Namun pada sudut lain, syariat Islam meletakkan batas pergaulan yang ketat diantara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Misalnya, senyum dan bertegur sapa tidak boleh berlebihan. Berhati-hatilah ketika melemparkan senyuman, kerana senyuman wanita kepada lelaki bukan muhrim bukan dikira sedekah tetapi pendorong kepada perlakuan sumbang. Hal ini sangat perlu diberi perhatian dan kawalan. Jelingan dan kenyitan mata akan mempelawa hati mendorong perlakuan lebih berani. Berpegang tangan dan berdua-duaan di tempat terang dan juga sunyi boleh mengundang berlakunya maksiat. Perkara sedemikian perlu pengertian dan kefahaman jelas, supaya orang lain tidak terdorong untuk turut melaku dosa.

Dengan batas-batas pergaulan tersebut kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang. Kemesraan antara seorang lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kalian kepada perbuatan sumbang.

Dari itu, sama sekali sewajarnya sentiasa sebati dalam ingatan kita, wanita dan lelaki bukan muhrim tidak boleh bergaul bebas. Jika berdua-duaan di tempat sunyi dan tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan berpeluang membisikkan kata-kata jahat. Justeru Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong kepada perlakuan sumbang dan zina.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud memberi penjelasan, bahawa dalam semua bahagian anggota anak Adam ada bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian itu dan tanpa dimungkiri:

  • Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
  • Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah perkataan.
  • Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan langkah.
  • Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan keras.
  • Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu.” (HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i dan Abu Daud)

Waspadalah anak-anakku,

Tidak ada istilah “ringan-ringan” dalam soal dosa. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.

Untuk itu renungilah syair Arab ini:

Betapa buruk pemuda

yang memiliki pekerti mengorbankan adab

kerana nafsu sendiri,

kehinaan dituruti, padahal diri mengetahui

kehormatan tercemar

dan kehinaan disenangi.

Wahai kedua mata,

kau nikmati pandangan

lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati

hatilah yang memaksakan kehendaknya,

kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta!

***Ibu sangat2 menunggu respon dan perkongsian pendapat dari kalian...

SOLAT BEKALAN SEWAKTU SEPI


Pemuda-pemudi Islam Harapan!

Telah dimaklumi bahawa solat fardhu lima waktu sehari semalam adalah tiang agama Islam. Setiap muslim yang mendirikannya bermakna dia telah mendirikan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agamanya. Solat juga merupakan amalan paling afdal dan paling agung menepati sabda Rasulullah s.a.w, seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Apakah amalan paling afdal/utama? Baginda menjawab; Solat (sembahyang) pada waktunya”.


Dengan mengerjakan solat tepat pada waktu yang ditentukan akan meletakan diri setiap muslim sentiasa berhubung terus kepada Allah. Juga sentiasa di dalam rahmat dan keredhaan Allah kerana dengan bersolat seseorang hamba diampuni dosa dan kesalahannya. Perhatikan dengan teliti maksud sabda Rasulullah s.a.w;

“Apakah pandangan kamu, sekiranya ada sebuah sungai di hadapan rumah salah seorang kamu, lalu dia mandi di dalamnya setiap harisebanyak lima kali, apakah masih lekat sebarang kotoran pada tubuhnya?. Para sahabat menjawab; Tidak akan ada lagi sebarang kotoran. Kata baginda lagi; Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu, Allah menghapuskan segala kesalahan hambaNya”. (HR Abu Hurairah r.a.)


Daripada Uthman bin Affan r.a katanya; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang muslim yang menunaikan solat fardhu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan ruku’nya melainkan ia menjadi kafarah(penghapus dosa) bagi dosanya sebelum itu selagi mana dia tidak melakukan dosa besar dan ini adalah untuk selama-lamanya”.


Anak-anakku yang gigih membersihkan jiwa…,
Pada hakikatnya dalam setiap ibadah yang diperintahkan ke atas setiap muslim, terkandung banyak keistimewaan yang dapat dijadikan bekalan mengatasi berbagai rintangan hidup.Di dalam ibadah solat itu sendiri terkandung hikmah yang perlu kita teliti satu persatu, antaranya:

1. Solat umpama jambatan hati yang menghubungkan kita dengan Allah. Kita menghampirkan diri dengan Allah dalam solat dengan harapan memohon hidayah peningkatan iman.Dalam solat kita dapat meluahkan segala penanggungan dan dapat pula bermunajat. Dengan itu hilanglah segala kerunsingan.

2. Solat menjadi sumber yang mampu mengalirkan tenaga yang sentiasa baru ke dalam jiwa. Pembahagian lima waktu solat fardhu membolehkan kita terus menerus beroleh bekalan baru pada setiap suasana; aman damai, sibuk, sihat maupun sakit. Di mana jua kita berada meskipun dalam perjalanan dan bermusafir.

3. Apabila kita mulai berdiri untuk menunaikan solat dengan khusyuk dan rendah diri kepada Allah, jasad dan akal kita mendapat kerehatan dan bebas dari kesibukan dunia. Jiwa kita pula bertambah tenang setiap kali membaca ayat-ayat Allah dalam setiap rakaat solat. Hati juga menjadi tenteram setelah memohon ampun dari Allah di hujung solat.

4. Setiap muslim yang menunaikan solat dengan hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan dilimpahi nur, hidayah, sakinah dan rahmat serta kesejahteraan. Hati menjadi tabah dan teguh menghadapi sebarang cabaran hidup. Solatnya menjadi perisai menghadapi fitnah, kemungkaran, hasutan syaitan juga desakan nafsu. Dia sentiasa merasai Allah bersama-samanya di mana jua berada.

5. Setiap kali kita ruku’ dan sujud di dalam solat, kita berada pada situasi mengagungkan serta memuliakan Allah. Setiap mukmin hanya tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah. Sentiasa pasrah kepada Allah dan tidak takut kepada sesiapa pun. Sewaktu sujud, hamba berada paling hampir dengan Tuhannya dan merasai suasana penuh kemesraan.

6. Apabila duduk tasyahhud, kita bersimpuh penuh pasrah. Kemudiannya kita berdoa memohon diperkenankan Allah segala permintaan kita. Selesai solat kita keluar menghadapi urusan hidup dengan jiwa yang tenang dan tenteram. Juga jasad yang sihat dan segar.

7. Dengan terus menerus mendirikan solat kita merasa baru saja berbicara dan berdiri di hadapan Allah, dan akan menghadapNya lagi di waktu solat berikutnya. Dengan sentiasa memelihara solat tepat pada waktunya, kita juga sentiasa bernaung di bawah peliharaan Allah. Hampir dengan Allah dan terpelihara dari gangguan syaitan. Keadaan sedemikian memberi dorongan yang kuat untuk kita sentiasa tunduk dan patuh serta bertawakkal kepada Allah.


Begitulah anak-anakku,
Sebahagian daripada bekalan yang terkandung di dalam solat lima waktu yang sangat kita hajatkan untuk menyucikan jiwa, menepis tarikan duniawi dan menghindari segala penyelewengan.

Rasulullah s.a.w sendiri tatkala menghadapi sesuatu masalah, baginda terus menunaikan solat sunat. Dengan cara itu baginda memperoleh kedamaian,ketenangan dan penyelesaian. Baginda juga sangat menggalakkan umatnya supaya sentiasa melakukan qiyamullail (ibadah malam) dengan melakukan solat-solat sunat. Juga menjadi kebiasaan baginda memanjangkan waktu sujudnya di dalam solat tahajjud.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Seorang hamba itu akan lebih hampirkepada Tuhannya di kala dia sujud”.
Di sinilah letaknya kedudukan paling tinggi seorang hamba Allah; apabila dia benar-benar hampir dengan Tuhannya. Akan dirasai perhambaan hakiki dengan merendahkan diri semata-mata kerana Allah.


Pemuda-pemudi Islam yang diharapkan menjadi sebaik-baik insan yang membawa kebaikan…,
Perhatikanlah dengan baik pesanan Rasulullah s.a.w;
“Tunaikanlah sembahyang dua rakaat dalam kegelapan malam, demi menghadapi kesunyian kubur”.
Berkaitan dengan pesanan ini Rasulullah s.a.w juga bersabda;
“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan”.

Rasulullah s.a.w juga turut menjelaskan hubungan kubur dengan manusia;
“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari siksanya, maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah”.


Pemuda-pemudi Islam sejati!
Perteguhkanlah keyakinan dan kesungguhan kalian menghimpun bekalan yang banyak yang terkandung dalam ibadah solat; merangkumi yang wajib dan sunat. Perkemaskan perlaksanaan solat-solatmu untuk menambahbaik bekalan serta ganjaran yang Allah sediakan.Perbanyakkan solat-solat sunat, terutama diwaktu tengah malam. Supaya dengannya kita mampu meraih ganjaran yang dapat melepaskan kita dari siksaan kubur yang sangat gelap lagi sepi.

Untuk hari-hari yang sedang kita hadapi, bekalan solat itu hendaklah kita gunakan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati titah perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Kita benar-benar mengharapkan kejayaan di dunia serta kejayaan di akhirat. Justru itu kita mestilah sentiasa saling memperingati kepada kebenaran dengan kesabaran. Juga semoga hakikat dan fungsi bekalan yang kita himpun benar-benar terlaksana dalam praktik hidup sepertimana maksud firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Q.S.Al-Baqarah:153)


PILIHAN MENEPATI SYARAK



Pilihan Menepati Syarak

Ikuti dengan teliti perbualan berikut, untuk kita menilai bagaimana membuat pilihan pakaian dalam rangka menepati syarak.

Ain: Mari kita ke gerai di hujung tu Syikin. Nampak banyak tergantung bermacam-macam jenis tudung.

Syikin: Yalah saya pun nak beli tudung. Harap-harap ada yang sesuai. Jom ke sana!

Syikin: Tudung-tudung ni memang banyak dan bermacam-macam warna. Tapi kita mesti hati-hati pilih. Takut nanti tak menepati syarak menutup aurat.

Ain: Yang warna hijau muda ni nampak lebar dan labuh tapi tipis kainnya. Nanti bila dipakai nampak jarang pula.

Syikin: Yalah kalau tipis dan masih nampak bahagian dalam, tu macam tak pakai tudung. Tak boleh gitu Ain. Ni yang kita kena hati-hati.

Ain: Islam tidak menentukan warna apa yang mesti kita pakaikan?

Syikin: Soal warna, Islam membolehkan kita pilih ikut kesesuaian dan kebiasaan umum. Asal saja tidak keterlaluan dan menarik perhatian. Ada sesetengah orang lelaki yang ada penyakit dalam hati dan bernafsu ganjil boleh membahayakan bila terlihat wanita memakai warna yang mengancam.

Ain: Sampai gitu sekali! Bahaya tu…Patutlah dalam Islan wanita diwajibkan menutup aurat.

Syikin: Betul Ain, bukan saja untuk menjaga kehormatan wanita, malahan pandangan mata lelaki juga terpelihara. Tidaklah nanti lelaki terdorong melakukan dosa.

Liyana: Amboi asyik betul kamu berdua ni…banyak beli baju ke?

Ain: Eh…Liyana, nak beli tudung juga?

Liyana: Saya nak beli baju…terlanjur dah ada jual banyak. Taklah nanti bila hampir nak raya, berebut-rebut nak beli.

Syikin: Kalau gitu, saya pun nak cuba fesyen yang agak sesuai…Ain, Liyana, awak berdua tolonglah saya pilih yang patut.

Liyana: Kenalah pilih yang tak menjolok mata. Walaupun disebut busana muslimah dengan tudungnya sekali, kena pilih betu-betul…tepat seperti yang Islam gariskan.

Ain: Kita kena pakai jubah je ke Liyana?

Liyana: Taklah gitu, Islam tidak menetapkan fesyen apa yang perlu kita pilih. Yang dikira menutup aurat itu bila terlindung bentuk badan. Tak kiralah fesyen apapun. Jubah atau baju kurung. Atau apa nama sekalipun dikira menutup aurat bila seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan ditutup. Yang penting tidak jarang dan melekat ketat, menampakkan susuk badan.

Sabda Rasulullah SAW, dari Aisyah r.a: “Wahai Asma’ seseorang wanita itu apabila telah baligh, maka seluruh tubuhnya tidak boleh dilihat melainkan ini dan ini (Rasulullah mengisyaratkan muka dan tapak tangan).” (HR Abu Daud).

Syikin: Macam saya ni sesuai pakai baju kurung yang bercorak kecil dan berwarna lembut…Tak mengapakan? Bukannya nampak menarik sangat kan?

Ain: Tu tak mengapa Syikin. Islam pun menyuruh kita supaya nampak bersih, kemas dan rapi. Kalau nampak berserabut, nanti memburukkan imej Islam pula. Kita diharuskan berhias secara sederhana tapi tidaklah keterlaluan.

Sabda Rasulullah SAW,

“Allah itu cantik dan suka yang cantik. Dia bersih dan suka yang bersih.”

Liyana: Tengok ni, kalau jubah yang biru muda ni nampak kemas dan sesuai dengan saya kan Syikin, Ain?

Ain: Yalah Liyana…cantik juga dan nampak formal pula. Sesuai untuk awak yang dah mula bekerja.

Syikin: Betul tu Liyana, awak pun mampu dengan harganya. Patut sangat pilih yang berpadanan dengan kemampuan, sebagai mensyukuri dan memanfaatkan rezeki yang Allah beri.

Ain: Macam kami yang masih menuntut lagi ni kenalah berjimat-cermat. Kalau mampu, elok beli baju yang bagus. Tidaklah sampai orang mengaibkan kita.

Liyana: Nampaknya dah cukup yang kita pilih-pilih ni Ain, Syikin. Pilih baju dan tudung pun ambil masa lama juga.

Ain: Ya Liyana, tapi tak apa, teliti dan berhati-hati tu baik supaya apa yang kita buat jadi contoh yang baik juga.

Syikin: Betul Ain, wanita yang menutup aurat mesti faham ini tuntutan Islam yang wajib. Bukan sekadar mengikut trend dan fesyen. Kita mesti jaga akhlak dan peribadi supaya tidak menjatuhkan imej Islam.

Ibnu Taimiyah pernah berkata,

“Asas kebahagiaan wanita dalam agama dan dunianya ialah berpada-pada dan sederhana. Inilah keadaan sebenar bagi wanita Islam yang faham tuntutan Islam. Lantas pakaiannya bersih, cantik, teratur dan sesuai menepati syarat yang menunjukkan dia mensyukuri nikmat Allah tanpa berlebihan dan bermegah-megah.”

Akhirnya pemuda-pemudi Islam yang gigih mengukuhkan iman,

Sentiasalah menyedari hakikat yang Rasulullah SAW maksudkan dalam sabda-Nya,

“Ada tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang merosakkan. Tiga perkara yang menyelamatkan adalah: Taqwa kepada Allah di saat terang-terangan dan sembunyi, bersikap adil tatkala marah dan redha, dan kesederhanaan di saat miskin dan kaya.

Tiga perkara yang merosakkan adalah: Kekikiran yang berlebihan, hawa nafsu yang disenangi, dan ketakjuban seseorang terhadap dirinya sendiri.”


HATI SEMPURNA



Istimewa untuk seluruh putera-puteri Islam di segenap sudut dan pelosok bumi tercinta...,

Salam sejahtera dengan penuh kasih sayang dan kerinduan kerana Allah.

Sentiasa ibu doakan agar kalian meletakkan puncak tertinggi kecintaan hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Meletakkan sepenuh ketaatan serta kepatuhan kepada titah perintah Allah. Juga menjadikan Ar-Rasul Muhammad SAW sebagai contoh

dan ikutan sepanjang hayat.

Putera-puteri Islam harapan!

Ke arah mana jua pun kalian hadapkan pandangan mata dan pandangan hati, ketahuilah Allah berada bersama-sama kalian. Dengan itu anak-anakku, tumpukan segenap jiwa dan raga kalian kepada bersegera melaksanakan suruhan-Nya serentak menjauhi larangan-Nya. Sentiasalah ingat kepada ikrar kalian: “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.”

Dengan yang demikian akan kalian perolehi hati yang sempurna dan sejahtera. Juga berjaya memenuhi fitrah dan keperluan hati bagi insan yang bernyawa.

Ibnu Taimiyah berkata, “Hati manusia secara tabii berhajat kepada Allah kerana dua sebab iaitu untuk beribadat dan untuk berserah diri. Hati tidak akan menjadi baik dan berjaya, tidak selesa dan gembira, tidak bersih dan tenang, selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan

sepenuh cinta berpaut kepada Allah. Keadaan ini benar-benar menepati maksud sebaris dari doa yang terkandung di dalam surah Al-Fatihah,

“Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.”

Anak-anakku,

Yakinlah… apabila telah kita ikhlaskan seluruh hidup ini untuk berubudiyah (mengabdi diri/ beribadah) kepada Allah, akan tersingkaplah hijab dari hati dan akan sempurna sifat insaniah kita;

  • mengenali diri
  • menemui rahsia kewujudan
  • merasai kebahagiaan rohani

Begitulah juga yang dimaksudkan dengan “kemanisan iman.” Ianya hanya akan dirasai setelah kita mengenali Allah dan mengutamakan Allah daripada segala yang lain.

Kata Ibnu Qayyim, "Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada Penciptanya kerana;

· penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya

· penciptanya memberi rezeki

· penciptanya menghidup dan mematikan cinta kepada Allah adalah;

· kebahagiaan semua jiwa

· kehidupan segala roh

· makanan setiap hati

· cahaya bagi akal dan mata"

Imam Fakhru Al-Razi berkata, "Orang yang memahami faedah beribadat akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."

Hal demikian berlaku kerana hati yang sihat sejahtera menyedari,

1. Beribadat merupakan perkara sempurna yang memberi kebaikan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

2. Ibadat merupakan amanah terbesar seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 72:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah mempelawakan amanah (tugas beribadah) kepada isi langit dan bumi serta bukit-bukau, semuanya enggan memikul bebannya dan merasa takut hendak memikul, tetapi manusia sanggup memikulnya.”

Melalui kenyataan ini dapat difahami memenuhi amanah juga merupakan kesempurnaan yang digemari oleh hati yang sejahtera dan sempurna. Bukankah lazimnya jika satu pihak menunaikan amanah terhadap pihak yang lain, kedua-dua pihak akan saling memenuhi amanah. Cuba renungi kisah berikut...

Seorang sahabat Rasulullah SAW menceritakan;

“Pada suatu ketika, aku terlihat seorang Arab desa datang ke masjid lalu segera masuk untuk menunaikan solat. Sedangkan untanya tidak ditambat dan dibiarkan begitu saja.

Dia sendiri agak lama solat dan duduk berdoa di dalam masjid. Kami semua hairan melihatkan telatahnya.

Apabila dia keluar dari masjid didapati untanya sudah tidak ada. Lalu katanya, “Aku telah menyempurnakan amanah-Mu ya Allah, maka di manakah amanahku?”

Tidak lama kemudian datang seorang lelaki memulangkan unta lelaki tersebut.

Dari kisah ini dapat dilihat satu pengajaran yang menarik - bila lelaki tersebut memelihara amanah Allah, maka Allah memelihara pula amanah lelaki itu. Keadaan sedemikian menjelaskan lagi maksud sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas,

“Peliharalah amanah Allah dengan baik nescaya Allah memelihara kamu.”

Putera-puteri Islam sejati!

Begitulah hasil yang bakal kita perolehi dari hati yang sejahtera dan sempurna.

Apabila ibadah telah disempurnakan, bererti kita berpindah dari alam tipu daya dan khayalan ke alam kehidupan sebenar yang membahagiakan. Juga mengeluarkan diri dari kesibukan yang memenuhi naluri makhluk kepada matlamat keredhaan Allah. Dengan yang demikian akan terasa semakin mendalam kemanisan iman. Disitulah letaknya keistimewaan hati yang sempurna. Ayoh bangun dan realisasikan!

Wassalam.

Ummu Anas.


HATI JUJUR


Ikuti dengan teliti kisah berikut, agar dapat difahami hakikat yang Islam tuntut kepada kita, berkaitan jujur terhadap hak kita, dan hak orang lain.

Di sebuah rumah usang dalam deretan rumah yang berhampiran Masjid Haram, kelihatan seorang isteri sedang bergegas memastikan suaminya segera pergi ke masjid di awal subuh. Si suami seorang syeikh berusia sekitar 85 tahun. Dalam usia agak lanjut, ketara berat tanggungan syeikh tua itu. Di dalam rumah buruk serba dhaif itu turut dihuni empat anak perempuan, ibu mertua dan dua adik perempuan. Tambah menyayat hati, seisi rumah itu hanya mempunyai satu persalinan untuk dipakai bergilir-gilir bagi menunaikan solat. Justeru itu syeikh mesti pulang awal setiap kali selesai menunaikan solat fardhu. Ini membolehkan tanggungannya di rumah dapat bergilir-gilir menggunakan persalinan pakaian untuk solat. Begitulah yang berlangsung sekian lama. Ditambah lagi dengan kekurangan makanan. Sering mereka berpuasa dan berlapar.

Hinggalah pada suatu hari…, dalam perjalanan pulang ke rumah, di pertengahan jalan syeikh terjumpa seutas tali pinggang seseorang yang tercicir. Dia sangat terkejut! Di dalam kantung tali pinggang itu ada wang emas yang banyak! Berdebar-debar hatinya. Apakah mahu disimpan? Dibelanjakan isinya? Dicari siapa tuannya? Atau diletakkan saja kembali di tempat yang ditemui tadi?

Dalam kecamuk perasaan yang begitu, hati nuraninya berbisik; mengapa begitu jauh layangan fikiranku? Harta itu bukan milikku. Ianya mesti diperlakukan seperti yang Allah tentukan.Umumkan pada orang ramai, siapa yang punya barang itu. Jika tidak ditemui hingga setahun pemiliknya, barulah harta itu halal bagi yang menjumpainya.

Setelah sampai di rumahnya, dalam keadaan dirinya bertarung memujuk bisikan hati sendiri, isterinya pula tambah merayu-rayu. Si isteri meminta sedikit dari apa yang ditemui sekadar mencukupkan keperluan yang mendesak.

Syeikh merenung wajah isterinya. Pujukan wanitalah yang sering membuat iman lelaki tergugat. Terasa bagaikan pecah kepalanya bertarung dengan pujukan demi pujukan isterinya. Digagahinya menyedarkan si isteri.

“Kau isteri yang baik. Sepatutnya mendorong aku memilih jalan kebaikan. Apakah kesabaran kita menanggung susah selama lebih 50 tahun, sanggup dicairkan hanya beberapa saat ini?”

Begitu gawat pertarungan perasaan yang dihadapi syeikh. Sekian lama dia ikhlas mendidik ahli keluarganya supaya sentiasa tabah dan mentaati Allah. Saat ini benar-benar besar ujian yang dihadapinya.

Keesokannya syeikh pergi ke masjid seperti biasa. Selesai solat, syeikh terkejut mendengar satu pengumuman seorang Khurasan yang kaya telah tercicir tali pinggangnya. Ditawarkan ganjaran bagi yang mengembalikan semula. Bila diamati oleh syeikh, ternyata orang itu tuan punya tali pinggang yang ditemui. Segera dia memberitahu orang kaya Khurasan itu dengan berhajatkan ganjaran 10 peratus daripada harta tersebut. Gelagatnya turut diikuti dan diperhati oleh seorang pemuda yang juga tertarik hati mendengar ganjaran yang mungkin diberikan. Si tuan punya tali pinggang enggan memberi ganjaran sebesar itu. Kata orang Khurasan itu, “Memadailah ganjaran yang di sisi Allah.”

Syeikh pulang ke rumah untuk berfikir lagi. Terus didesak oleh isterinya untuk meminta sekadar satu persen. Sudah mencukupi untuk menampung keperluan utama mereka. Sebaik syeikh menemui semula orang kaya itu, tetap disebutkan ganjaran yang diberikan, “Cukuplah atas apa yang Allah tentukan.” Mendengar kata-kata yang sedemikian syeikh yang berjuang dengan keimanannya itu lantas setuju. Lalu dia mengajak orang kaya Khurasan ke rumahnya untuk mengembalikan tali pinggang tersebut. Mereka turut diikuti pemuda yang sama memerhati hal itu.

Sesampai di rumahnya syeikh terus menyerahkan tali pinggang itu kepada yang empunya. Setelah dipastikan semua jumlah wang emasnya cukup, tidak terluak, orang Khurasan itu menyerahkan kembali harta tersebut kepada syeikh, “Ambillah yang menjadi hakmu. Cukuplah dengan ganjaran dari Allah.” Tercengang-cengang semua yang mengikuti peristiwa itu.

Syeikh itu memanggil seisi rumahnya berserta pemuda yang mengikutinya. Dibahagi-bahagikan semua harta yang direzekikan Allah kepada mereka. Semua mereka beroleh bahagian 100 dinar setiap seorang. Anak muda itu tersangat gembira, kerana dengan wang itu dia dapat melanjutkan pengajiannya. Begitu juga dengan anak dan isteri syeikh, semua mereka dapat membebaskan diri daripada himpitan kemiskinan.

Sesungguhnya semua itu adalah ganjaran dari kesabaran mereka seisi keluarga menanggung kesusahan dalam ketaqwaan kepada Allah. Teryata ketaatan dan kejujuran syeikh terhadap perintah Allah dapat menjamin kebahagiaan mereka seisi keluarga sepanjang hayat.

Puteri-puteri Islam yang gigih bertakwa dan diharapkan menyebar luas kebenaran!

Apapun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah, akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.

Sama-sama kita akhiri dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan-Mu kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Amin.


MEMELIHARA KEHORMATAN DIRI

BANTU-MEMBANTU MEMELIHARA KEHORMATAN

Salam sejahtera serta keberkatan yang berterusan untuk pemuda-pemudi harapan watan!

Sentiasa ibu rindui dan kasihi kerana Allah.

Maha Suci Allah yang menjuruskan hati kita semua diatas landasan iman dan Islam.

Anak-anakku, marilah kita mulakan dengan doa:

“Ya Allah! Kami terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas juga dalam agama nabi kami Muhammad SAW. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu yang benar. Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, kami memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”

Pemudi-pemudi Islam yang gigih memantapkan iman,

Kini kalian telah berada di barisan pewaris muda yang semestinya memulai peranan mencorakkan warna-warna kegemilangan generasi mendatang. Kalian sangat diharapkan meneruskan segala kekuatan generasi silam yang telah mewariskan penerusan perjuangan. Hindari kelemahan yang akan membawa kepincangan yang merugikan. Sewajarnya kedewasaan usia kalian terserlah bersama kedewasaan iman.

Anak-anakku sedarilah!

Seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan! Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan perdayaannya.

Menjaga Pandangan

Ingatlah firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30-31,

“Katakanlah kepada orang lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakan kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya.”

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu Rasulullah SAW mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat maupun yang tidak menutup aurat.

Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya kearah lain.

Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Saydina Ali,

“Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).” (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Pemuda-pemudi harapan yang dididik iman dan Islam!

Sepanjang masa kita berhadapan dengan persekitaran yang mengancam ubudiyah dan ketaqwaan. Tambahan wujud pandangan-pandangan liar yang tidak dikawal. Keadaan ini boleh menjerumuskan setiap diri kepada hal-hal yang membinasakan. Nauzubillah!

Ingatlah selalu,

Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan itu akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran. Nauzubillah!

Ibnu Abas pernah berkata,

“Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya.”

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.

Rasulullah SAW juga ada bersabda,

“Pandangan mata itu laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah.”

Wallahu'alam.

Ummu Anas.