Barisan Pemuda-Pemudi Harapan...!
Maha Suci Allah yang menjuruskan hati kita semua diatas landasan iman dan Islam.
Anak-anakku, marilah kita mulakan dengan doa:
“Ya Allah! Kami terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas juga dalam agama nabi kami Muhammad SAW. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu yang benar. Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, kami memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”
Pemudi-pemudi Islam yang gigih memantapkan iman,
Kini kalian telah berada di barisan pewaris muda yang semestinya memulai peranan mencorakkan warna-warna kegemilangan generasi mendatang. Kalian sangat diharapkan meneruskan segala kekuatan generasi silam yang telah mewariskan penerusan perjuangan. Hindari kelemahan yang akan membawa kepincangan yang merugikan. Sewajarnya kedewasaan usia kalian terserlah bersama kedewasaan iman.
Seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan! Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan perdayaannya.
Menjaga Pandangan
“Katakanlah kepada orang lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakan kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya.”
Pemuda-pemudi Islam sejati!
Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu Rasulullah SAW mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat maupun yang tidak menutup aurat.
Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya kearah lain.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Saydina Ali,
“Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).” (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)
Pemuda-pemudi harapan yang dididik iman dan Islam!
Sepanjang masa kita berhadapan dengan persekitaran yang mengancam ubudiyah dan ketaqwaan. Tambahan wujud pandangan-pandangan liar yang tidak dikawal. Keadaan ini boleh menjerumuskan setiap diri kepada hal-hal yang membinasakan. Nauzubillah!
Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan itu akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran. Nauzubillah!
1. pada pandangannya,
2. pada hatinya,
3. pada ingatannya.
Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu;
1. pada lirikan matanya,
2. pada hatinya,
3. pada kelemahannya.
Rasulullah juga turut mengingatkan bahawa, pandangan mata itu
laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah kelak.
Batasi Pergaulan
Dengan batas-batas pergaulan tersebut kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang. Kemesraan antara seorang lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kalian kepada perbuatan sumbang.
Dari itu, sama sekali sewajarnya sentiasa sebati dalam ingatan kita, wanita dan lelaki bukan muhrim tidak boleh bergaul bebas. Jika berdua-duaan di tempat sunyi dan tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan berpeluang membisikkan kata-kata jahat. Justeru Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong kepada perlakuan sumbang dan zina.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud memberi penjelasan, bahawa dalam semua bahagian anggota anak Adam ada bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian itu dan tanpa dimungkiri:
- Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
- Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah perkataan.
- Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan langkah.
- Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan keras.
- Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu.” (HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i dan Abu Daud)
Waspadalah anak-anakku,
Tidak ada istilah “ringan-ringan” dalam soal dosa. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.
Untuk itu renungilah syair Arab ini:
Betapa buruk pemuda
yang memiliki pekerti mengorbankan adab
kerana nafsu sendiri,
kehinaan dituruti, padahal diri mengetahui
kehormatan tercemar
dan kehinaan disenangi.
Wahai kedua mata,
kau nikmati pandangan
lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati
hatilah yang memaksakan kehendaknya,
kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta!
2 ulasan:
Salam, ummi,
2 Disember 2010 pada 1:07 PGTerima kasih atas post ummi.. dan buku-buku ummi amat mudah dihayati, syukur alhamdulillah.
Saya mempunyai tabiat (habit) membawa bahan bacaan ke mana saja saya pergi dan membacanya semasa menunggu waktu kelas atau sebelum pensyarah masuk mengajar. Kawan-kawan pun suka untuk ambil tahu bahan yang saya baca, dan kebanyakannya tertarik untuk meminjam buku hasil tulisan ummi.
Ummi, doakan kami, anak-anak yang lahir dalam fitrah islam dan kalimat ikhlas ini supaya diperteguhkan iman dan cinta terhadap sesama saudara..teruskan membimbing kami, anak-anak yang dahagakan kebenaran..May Allah be with you, ummi :)
Salam ukhwah dan mahabbah,
3 Disember 2010 pada 5:47 PGSama-sama norashikin, ats doa itu...moga anakda beserta rakan2 lain jg sntiasa dlm naungan Allah.
Terima kasih jg atas sokongan anakda mmbaca dua buku ummi yg masih baru dlm arena pnulisan. Insya-Allah buku ke 3 akn mnyusul januari 2011;bila sda terbit akn ummi siarkan gambarnya di blog ini.
entri ummi kali ini cuba nak jelaskan ttg spatutnya remaja perlu sgt hati2 mnjaga batas prgaulan, terutama dlm hal berkaitan gambar dan foto yg sgt pantas trsebar...jaga aurat di situ...usah biarkan syaitan memperdayakan kita! dari itu jgn senang brgambar n mmberi gambar kpd rakan2 llaki, kecuali utk tujuan yg syarie; e.g utk mngenali bakal jodoh. itu pun mmadai foto paras rupa atau gambar bramai2...
wallahu'alam.
Catat Ulasan