UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HATI YANG INDAH


Dengan namaMu yang Maha Agung lagi Maha Tinggi,
Ku ziarahi hati-hati yang Engkau limpahi kasih Ilahi...,
Moga ini Engkau redhai sebagai amal soleh.

Wahai setiap hati yang sentiasa diperhati,
Sentiasalah melaraskan kedudukan hatimu di landasan iman dan taqwa;
"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".(QS AR-R'ad:28)

Hati...,sesuatu yang unik kewujudannya. Mempunyai bentuk yang nyata..., juga memiliki rasa.
Sebagai salah satu organ, juga sebagai salah satu sifat yang memenuhi perasaan. Bila dilihat sebagai organ, hati yang sehat akan mempengaruhi kesehatan jasad seluruhnya. Bila hati mengalami kecederaan atau diserang penyakit, kesihatan seluruh tubuh turut terganggu.
Bila disebut tentang hati yang bersaudara kembar dengan jiwa, ianya akan berkait rapat dengan perasaan. Hati yang baik dan sejahtera akan memberi perasaan tenteram dan membentuk watak mulia dan bersopan. Kedua-dua bentuk hati ini tetap punya kesan besar dalam kehidupan insan. Sehat hati, sehatlah jasad dan mulia peribadi.


Dalam memenuhi tanggungjawab berubudiyah serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah, kita perlu memiliki hati tulus dan ikhlas. Tulus tanpa sebarang kepentingan peribadi. Ikhlas semata-mata mengharap redha Allah. Inilah gambaran hati yang sungguh indah. Kebaikannya akan membawa manfaat kepada hidup insan lain.

Hati yang indah ini juga bermaksud hati yang ikhlas. Tanda-tandanya dapat dilihat;
1.Takutkan kemasyhuran.
Ibrahim bin Adham berkata: "Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar terhadap Allah".
Fudhahil bin'Iyad berkata: "Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah.Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah?".
Bisyr Al-Hafiy berkata: "Tidak akan merasakan manis kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah-tengah kalangan manusia".
2. Sentiasa khuatir amalan diri tidak Allah terima jika ada riyak menyusup tanpa disedari.
3. Beramal diam-diam secara sembunyi dari publisiti.
4. Tidak asyik dan mengharapkan pujian.
5. Tidak kedekut memuji orang lain yang berhak dipuji.
6. Melaksnakan tanggungjawab khalifah Allah tanpa mengharap pengiktirafan ketokohan juga sebarang jawatan kepimpinan.
7.Mencari keredhaan Allah, bukan redha manusia.
8. Redha dan marah kerana Allah semata-mata.
9. Sabar di sepanjang jalan hidup.
10. Merasa senang sekiranya ada orang lain yang turut bergabung keupayaan dalam melaksanakan amanah Allah.
11. Menghindari ujub dan bangga diri.
12. Terus-menerus menjalani proses pembersihan diri dan nafsu.Wahai hati-hati yang sentiasa hajatkan ketulusan hakiki,
Isi masamu memperkemas dan memantapkan keikhlasan;
1. Ilmu yang mendalam berkaitan pebinaan ikhlas dan praktiknya.
2. Bersahabat dengan orang-orang yang ikhlas.
3. Membaca sejarah orang-orang yang mukhlis.
4. Mujahadah melawan nafsu.
5. Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah dalam apa jua keadaan.

Merenungi hakikat ikhlas ini...,membuat diri kerdil ini merasai betapa Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah kepada setiap hambaNya. Bagi diriku... sepanjang jalan hidupku terasa seperti tercampak dan terbuang , namun alam yang luas Allah bentangkan sebagai rahmat. Asal saja mengambil Islam sepenuhnya sebagai sebaik-baik cara hidup. Justru hati diserahkan untuk dididik dan dibersihkan di dalam wadah amar maaruf nahi munkar, terasalah kini betapa Maha Suci kasih Allah Rabbul 'Izati.

Semoga kita semua kekal ke akhir hayat di dalam hidayahNya...
"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada RabbMu dalam redha dan diredhai. Maka oleh itu masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. Dan silalah masuk ke dalam syurgaKu".

BERSYUKUR UNTUK CEMERLANG


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan zatMu yang Maha agung lagi Maha Sempurna, hambaMu yang kerdil lagi dhaif memohon petunjuk dan inayah agar dapat menyebarluaskan kasih Ilahi. Juga mampu hingga ke akhir hayat meraih cinta dan redhaMu, ya Rabbi, ya Rabbul 'izati.

Wahai semua diri yang punya hajat di hati,

Sentiasalah mengingati; "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan akal fikiran agar kamu bersyukur".(QS An-Nahl: 87)

Dengan memerhati maksud ayat tersebut, terasa meresap suatu perasaan di sanubari kita...

Subhannallah! Alhamdulillah! Lailahailallah! Allahuakhbar!

MasyaAllah, Astagfirullah...! Selama ini kita sering mengeluh, merintih dan terkilan kerana tidak beroleh yang kita ingini... Tetapi sedikit sekali kita mensyukuri apa yang telah kita perolehi. Peringatan demi peringatan Allah beri kepada kita... dalam rangka kita menuju dan menghampirkan diri kepadaNya untuk memperolehi redhaNya.

Syukur yang mesti kita nyatakan tidak memadai dengan lafaz lisan sahaja, malah perlu dinyatakan dalam amal perbuatan dan cara hidup harian. Mentaati perintah Allah dan menghindari laranganNya adalah bukti syukur sebenar.

Syukur juga membuktikan penghargaan kita terhadap kebaikan dan pemberian Allah yang Maha Mulia kepada kita. Paling besar pemberianNya adalah dijadikanNya kita khalifah di muka bumi. Dijadikan pula dalam bentuk yang baik dan indah dengan potensi untuk terus cemerlang di dunia dan di akhirat. Ganjaran dari syukur itu akan menambah kebaikan kepada diri yang bersyukur; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatku maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".(QS Ibrahim:7)

Bersyukur di atas setiap kurnia Allah akan membentuk jiwa sentiasa tulus dan ringan melakukan kebaikan yang mendorong redha Allah. Manakala mengingkari nikmat atau tidak bersyukur akan membentuk sikap acuh tak acuh dan mengabaikan pemberian Allah. Sebagai contoh..., kita dikurniakan rupa dan fizikal yang elok, juga otak yang cerdas dan bijak. Tetapi kita leka dalam kekaguman juga sedikit sekali dimanfaat sebagai perkongsian dengan orang lain. Asyik dan kagum boleh menjerumuskan kita kepada lalai dan leka... Sedangkan bila kita mensyukurinya, kita akan sukacita berkongsi nikmat ilmu yang Allah beri...ini menjurus kepada manfaat bersama.


Renungi sebuah kisah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah dari sabda Rasulullah s.a.w;

Suatu ketika seorang lelaki berjalan-jalan di padang yang gersang, terdengar suara menyeru..."Curahkan airmu ke kebun Fulan". Lelaki itu mendongak ke langit, kelihatan sekumpulan awan bergerak menuju satu kawasan tanah yang kering dan keras. Seorang petani sedang menyangkul tanah kebunnya. Hujan turun mencurah-curah membasahi tanah kebun tersebut. Lelaki yang memerhati dan mengikuti arah awan dan hujan yang turun merasa anih, lantas bertanya,..."siapa namamu?". Petani itu menjawab; "Fulan".(sama seperti nama yang tersebut di langit tadi). Lelaki yang memerhati tambah merasa hairan...;"Tadi aku mendengar namamu disebut di langit dan memerintahkan awan menurunkan hujan dan mengairi kebunmu. Apakah sebenarnya yang telah kamu lakukan hingga diberikan kurnia begitu rupa?". Petani itu memberitahu; "Hasil kebun ini sepertiga kusedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk benih tanaman dan sepertiga untuk makanan keluargaku. Begitulah yang kuperbuat selama ini". Setelah mendengar penjelasan tersebut, fahamlah lelaki tadi bahawa sipetani sentiasa melahirkan rasa syukurnya terhadap kurniaan Allah. Dari itu apa yang telah dianugerahkan,Allah tambahkan lagi sebagai ganjaran kesyukurannya.

Bagaimana kita..? Moga Allah beri keupayaan untuk melatih hati dan jasad sentiasa mensyukuri nikmat-nikmatNya. Dalam masa yang sama menghindari keluhan-keluhan...juga tepis kekaguman yang melekakan. Dalam bersyukur sebaiknya terbina rasa terikat kepada kekuasaan Allah Rabbul'alamin.

38 tahun yang lalu...berlaku kenangan yang membuatku mengenali erti syukur!

Sedari kecil sebelum bersekolah, watak dan rupa-parasku sentiasa dibandingkan dengan sepupuku yang lain. Memang kusedari ketika itu, sepupu-sepupu perempuanku cantik dan berkulit cerah. Sedangkan aku nampak lasak dan kulit pun 'sauh-matang'. Sedih juga bila sering sangat dibanding-bandingkan. Tambahan ada yang menyebut aku tidak seputih dan secantik ibuku...Hingga terasa di hati..., mungkin sebab tak cantik ibu meninggalkanku diasuh oleh orang lain. Perasaan ini lama menguasai diriku, hinggalah...

"Kepada semua nama yang saya bacakan ini, sila datang ke bilik saya selepas ini. Semua pelajar lain harap pulang ke kelas masing-masing". Sebaik saja aku terdengar namaku termasuk yang di panggil ke bilik guru besar, hatiku jadi kecut dan dada berdebar-debar... Apa salahku dan kawan-kawan. Nak kata ada bersalah, nama yang disebut tadi, budak baik-baik semuanya. Ada 12 orang, kesemuanya dari kelas 5A. Dah jadi fobia budak-budak, bila disebut nama oleh guru besar, rasa ada buat salah dan akan dirotan. Jadi kami pun melangkah kebilik guru besar beriringan dan berbaris, macam anggota tentera menunggu arahan.

"Tahniah untuk kamu semua!. Tahun ini sekolah kita memperolehi pencapaian cemerlang dalam keputusan 'Peperikasaan Penilaian Sekolah Rendah'. 12 orang pelajar kita yang membawa kecemerlangan itu, 9 orang mendapat 3A dan 3 orang mendapat 4A". Penjelasan guru besar melegakan kami. Hilanglah perasaan bimbang dan gementar. Di wajah kami terpancar gembira yang tidak terkata... guru besar pun senyum lebar. Malahan itulah senyuman paling manis yang pernah kami lihat selama kami berhadapan dengan beliau. Dalam hatiku berbaur dua perasaan. Gembira dan sedih. Gembira diriku masih sebaris dengan kawan-kawan yang rapat dalam usaha dan ketekunan mengulangkaji bersama. Sedih kerana semua kawanku akan pulang ke rumah dan dapat memberitahu ibu mereka tentang kejayaan tersebut, sedangkan aku tak tahu bagaimana dapat bertemu ibu. Apatah lagi untuk memberitahu berita gembira itu. Aku keluar dari bilik guru mendahului kawan-kawanku dengan kaki longlai...

"Alhamdulillah...! Allah kabulkan doa saya, Ain memang pandai dan semua orang memang pandai asalkan kuat usaha dan tekun". Ustazah seperti menerpa dan memelukku di luar bilik guru besar. Airmataku tidak tertahan lagi...dalam hajat yang tidak kesampaian... masih ada yang sudi mengasihi. "Kenapa pula nangis...,kan patut gembira. InsyaAllah besok waktu rehat, ustazah nak belanja semua yang berjaya makan di kantin, dalam bilik makan guru-guru. Kita minta guru besar bacakan doa selamat, semoga semua kamu akan terus cemerlang di masa akan datang! Ustazah menepuk-nepuk bahuku dan mencubit mesra kedua-dua pipiku. Rasa seperti ada air dingin menyirami hatiku yang gersang ketika itu. Setiap kali aku merenung wajah ustazah, terasa meresap perasaan tulus dan kasih dari matanya. Redup dan damai hingga ke kalbu.

Bagaimana fenomena dan senario di dunia persekolahan kita hari ini?... Kadangkala hati ini terasa amat rindukan jiwa-jiwa yang mendidik dan tangan-tangan yang mencorak warna kesyukuran yang membawa kecemerlangan.

Moga hari esok kita masih diizinkan Allah untuk tetap bersyukur!.

Siapa UNTUNG, Siapa RUGI


Wahai setiap hati yang sentiasa diperhati!

Rabbul'alamin yang maha agung lagi maha tinggi tidak meninggalkanmu walaupun sedetik...

KepadaNya diletakkan seluruh pengharapan dan pergantungan.

Istimewa untuk semua yang kukasihi kerana Allah!

Masa berlalu begitu pantas, hari ini 22.05.09 genap sebulan, diri ini cuba menulis di halaman blog. Satu pengalaman terbaru bagi diri kerdil ini. Desakan rindu untuk sentiasa bertemu semua angkatan muda menjadi dorongan kuat untuk menerokai sesuatu yang masih asing buatku. Juga bagi memenuhi harapan teman-teman setia yang menggesa agar merakamkan seluruh pengalaman dan tribulasi hidup sewaktu remaja dulu dibandingkan dengan yang berlaku sekarang. Lebih mendesak lagi apabila menghitung usia yang menghampiri 1/2 abad..., moga yang tercatat bisa dijadikan pengajaran. Agar setiap cebis kasih-sayang yang dihadiahkan kepadaku dapat pula kusebarluaskan , demi meraih redha Ilahi!.

Wahai setiap diri yang Allah kasihi!... hayati maksud firmanNya; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Dan saling menasihati dalam mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati dalam menetapi kesabaran".(QS Al-Ashr:1-3)

Jika diteliti maksud ayat tersebut, fahamlah kita semua manusia itu dalam keadaan rugi, kecuali...

1. Orang beriman yang mengenali Tuhannya. Mengetahui tugas manusia beribadah sepanjang hayat untuk beroleh redha Allah.

2. Orang yang sentiasa beramal soleh dengan tujuan memperolehi keredhaan Allah.

3. Orang yang mengajak orang lain melaksanakan kebenaran.

4. Orang yang memperingatkan orang lain untuk tetap bersabar.

Begitulah wahai setiap diri yang sentiasa Allah kasihi!

Usaha untuk saling nasihat-menasihati akan dapat melindungi diri kita semua dari terjerumus ke dalam jurang kehancuran. Namun...yang perlu peringatan itu adalah jiwa. Sifatnya halus dan seni juga mudah tersentuh. Justru itu, ingat-mengingatilah dengan penuh kasih-sayang... Kerana sesungguhnya kasih-sayang Allah menyeluruh kepada semua insan... Seandainya kita mengasihi yang di bumi, maka kita akan dikasihani oleh yang di langit!

Setelah merenungi maksud firman Allah tersebut, fahamlah kita maksud untung dan rugi di sisi Allah bukan yang dikaitkan dengan wang ringgit, tetapi bentuk amalan yang menjurus kepada keredhaanNya. Rugi jika tidak beribadah. Untung jika beramal soleh. Keuntungan terus-menerus diperolehi oleh orang-orang yang beriman selagimana mereka sentiasa saling berpesan untuk tetap bersabar melaksanakan ubudiyyah. Bermakna orang-orang beriman tidak boleh berhenti dari beribadah. Beribadah yang dimaksudkan di sini, melakukan apa jua perbuatan baik menepati syarak untuk beroleh keredhaan Allah. Dengan lain perkataan, melakukan apa saja kebaikan yang Islam terima. Ambil contoh mudah, mendermakan sebahagian wang poket sendiri pun dikira ibadah. Tidak dikira sedekah/ibadah malah berdosa jika mendermakan wang yang diambil dari dalam laci kawan tanpa izinnya. Jadi ibadah itu mesti yang dibenarkan syarak. Tidak boleh berbuat kebaikan dari sumber yang haram. Inilah yang dimaksudkan; 'jalan tidak menghalalkan cara'. Perbuatan baik mesti dari sumber yang juga baik.

Usaha untuk saling ingat-memperingati dan saling berpesan sangat penting dalam kehidupan kita. Jika tidak, kita semua akan tersungkur di tepi jurang kehihupan dan akan lemas serta karam dilautan hawa nafsu...mungkin terpedaya dengan hasutan dan tipu daya syaitan!

Teringat sewaktu aku mula menjejakkan kaki di sekolah menengah aliran Inggeris di tengah kota Kuala Lumpur...lama dahulu...36 tahun yang lalu;

"Ain, awak pelajar baru di sini?". Seorang guru perempuan yang masih muda dan cantik merenung lembut dengan senyum simpul yang manis sekali. Cik Hawa namanya. Guru matapelajaran Bahasa Malaysia untuk murid tingkatan tiga dan lima. Itu pertama kali aku bertemunya. Itu pun bila disuruh oleh seorang ketua murid, yang juga pelajar Melayu. Bilangan pelajar Melayu di sekolah itu hanya kira-kira 1/3 daripada jumlah semua pelajar.

"Saya nak cakap perkara agak penting..." Cik Hawa menarik kerusinya lebih rapat ke meja, seolah-olah mendekatkan jarak pendengaran. Seperti ada perkara rahsia yang ingin dikatakannya; "Di sekolah ni hanya ada seorang ustazah, iaitu Cik Nah untuk semua tingkatan. Tingkatan satu hinggalah tingkatan enam. Oleh itu semua empat orang guru Melayu perlu membantu masalah agama Islam di kalangan pelajar-pelajar Melayu. Walaupun ini sekolah perempuan, tetap ada banyak masalah berkaitan agama Islam. Ada masa nanti akan saya terangkan lebih lanjut apa masalah sebenar. Buat masa ini sesama pelajar Melayu, harap dapat saling tegur-menegur jika ada masalah berkaitan amal-ibadat. Ada kes pelajar Melayu yang keliru dengan ajaran Islam...".Cik Hawa terpaksa berhenti setakat itu kerana loceng berbunyi menandakan sesi petang akan bermula. Kami terpaksa menangguhkan dahulu pertemuan petang itu.

Kakiku seakan menggigil waktu keluar dari bilik guru ketika itu...Jika tidak kuat semangat bantu-membantu dan ingat-memperingati di kalangan kami pelajar-pelajar Melayu yang beragama Islam...nauzubillah! Iman kami sangat tercabar ketika itu...terpaksa sembahyang di ruang bawah tangga, kerana tiada bilik sembahyang. Usiaku baru 13 tahun ketika itu. Setiap kali berdoa selepas solat zohor dan asar di sekolah sesi petang... airmata bercucuran, sedih mengenang nasib diri pelajar Melayu ketika itu. Kesatuan hati sesama muslim memang terasa luarbiasa. Perbezaan darjat antara kami ketika itu dapat diabaikan bilamana kepentingan agama menjadi keutamaan.

Setiap kali teringat peristiwa lampau sepajang 6 tahun di sekolah menengah aliran Inggeris, semangat juangku berkobar kembali...terbau keringat dan airmata yang tumpah dalam membentuk identiti pelajar Melayu yang beragama Islam. Hingga boleh solat dengan baik dan di izinkan menutup aurat di sekolah. Hanya itu yang kami perjuangkan ketika itu...Alhamdulillah, kini seizin Allah semuanya telah bertebaran membawa kebenaran...

Kembali kepada realiti remaja hari ini...agak berbeza masalah yang dihadapi. Namun hakikatnya tetap sama; untuk saling berpesan dalam menetapi kebenaran dengan kesabaran. Agar nanti generasi berikutnya... tetap beruntung!.

(utk makluman, anda boleh melayari www.haluan.org.my untuk artikel ummu anas di dalam catatan haluanita)

HATI YANG MENGUKIR, TANGAN YANG MEMBENTUK



Limpah kasih dan sayang Allah menyeluruh buat semua manusia.

Alhamdulillah, izin dan perkenan Allah mempertemukan kita dalam ukhwah dan mahabbah. Melepasi sempadan geografi, hanya dibatasi iman dan taqwa. Seminggu berlalu, banyak agenda hidup yang berlangsung dan terkesan di jiwa. Hujung minggu yang lalu jasad kerdil ini berada di negara seberang, berlari menyahut harapan untuk mengenali hati-hati yang mula menyemai benih ukhwah dan mahabbah. Walau pun hari itu diri ini tidak dapat merasai suasana indah 'hari ibu' di rumah sendiri, namun bermusafir banyak mendidik hati. Meluangkan masa menjelajahi alam yang dibentangkan untuk mendidik jiwa, memang memberi kesan luarbiasa. Baik untuk menerapkan nilai pengorbanan dan perjuangan. Apatah lagi hidup bukanlah dijadikan tanpa tujuan. Allah menetapkan; "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".(QS Al-Mulk:2)

Hujung minggu ini, di bandar kediaman sendiri, bersama putera-puteri tercinta meraikan 'hari guru' yang sememangnya setiap tahun disambut begitu meriah...Meskipun 'hari ibu', 'hari guru' dan 'hari bapa' ada tarikh yang ditetapkan untuk meraikan semuanya satu-persatu, pada hakikatnya semua itu perlu perhatian kita sepanjang masa. Tiada batasan masa jika ianya dilakukan demi menggarap redha Allah. Dalam kehidupan insan, mereka ini...ibu, ayah dan guru berperanan menentukan corak dan warna anak bangsa serta kecemerlangan ummat. Justru itu jiwa mereka wajar dimeriahkan, agar mereka melaksanakan peranan secara cemerlang. Hati mereka yang tulus akan mengukir kehalusan budi anak bangsa. Tangan mereka yang gigih akan membentuk akhlak mulia barisan pewaris agama.


Dalam keluangan waktu yang Allah beri ini, mari kita teliti catatan yang diwariskan oleh Imam Al-Ghazali kepada kita semua:

Adab-adab kpd ibu-bapa;

Dengar dan patuh permintaan ibu-bapa.

Tidak berjalan dihadapan ibu-bapa serta bangun kerana hormat.

Menyahut panggilan mereka dan tidak meninggikan suara terhadap ibu-bapa.

Tawadhuk dan tidak bermasam muka kepada keduanya.

Tidak bermusafir kecuali dengan izin keduanya.

Adab-adab seorang murid;

Bila bertemu beri salam dan meminta izin jika ingin bertanya sesuatu.

Jangan menunjuk rasa tidak puashati juga menonjolkan kelebihan ilmunya kepada guru.

Jangan banyak bertanya waktu guru letih dan bangun dari majlis.

Jangan buruk sangka terhadap guru.

Tidak berbual dan berbisik ketika guru mengajar.


Adab-adab seorang guru;

Sabar dalam menahan marah dan menanggung kesusahan.

Tawadhuk dan tidak meninggi diri di khalayak ramai.

Bersifat lemah-lembut dan kasih -sayang terhadap murid-murid.

Membimbing murid yang lemah dengan sabar.

Memberi perhatian kepada murid yang bertanyakan masalah dan tidak malu mengakui perkara yang tidak diketahui.

Membaiki diri sendiri dengan taqwa terlebih dahulu sebelum membaiki diri orang lain.

Setiap yang tercatat ini secara ringkas untuk semakan adab-adab yang sepatutnya lahir pada setiap diri kita, agar keseimbangan berfungsi. Meski pun masa berlalu dan zaman berubah, setiap yang diwarisi dari masa silam perlu dibuat perbandingan bersama yang dicapai hari ini. Dengannya dapat dinilai, sudut mana yang mesti dibaiki dan dikekalkan.

Mengenang semula nilai yang tertanam di jiwaku kesan dari usaha guruku...

Kira-kira pada usiaku 11 tahun, ustazah memanggilku datang ke bilik guru. Kawan yang menyampaikan pesan sengaja menakut-nakutkanku... kononnya ustazah ingin mendendaku. Berdebar-debar dadaku dan langkahku rasa terketar-ketar...mungkinkah sebab tulisan jawiku buruk sangat...

"Assalammualaikum ustazah...", debaranku kian hebat. Bila saja wajah ustazah merenung lembut kepadaku, perlahan-lahan debaranku reda dan terasa sejuk di hati.

"Ain tak sihatke hari ini?. Nampak muram dan pucat...", ustazah merenung penuh simpati sambil membetulkan skirt uniformku yang kelihatan sikit renyok.

"Lama saya tak berbual dengan Ain. Nampaknya Ain dah tinggi sekarang. Skirt ni pun dah nampak pendek". Ustazah bangun dan berdiri rapat denganku, seolah-olah mengukur ketinggianku dan membandingkan dengan ketinggiannya. Watak keibuannya yang gemar 'membelai' kami murid-muridnya setiap kali bertemu, telah berjaya menjinakkan hati kami.

"Ain dah besar gini, elok tukar uniform baju kurung. Nampak sopan dan lebih kemas".

Hatiku seperti melompat riang mendengar cadangan ustazah. Pak Usu memang telah berjanji akan membelikan uniform yang baru untukku pada gajinya awal bulan. Di suruhnya aku memilih samaada baju kurung atau skirt. Bila saja mendapat cadangan ustazah menyuruh tukar kepada baju kurung, aku rasa selesai masalah. Sebab sebelumnya hatiku berbelah bagi...baju kurung labuh sangat, skirt pendek sangat... Tak tau yang mana elok... Itulah akal 11 tahunku!

Bimbingan ustazah yang prihatin sedikit-sebanyak berkesan mendidik kepribadianku... Itu ustazahku kira-kira 38 tahun yang lalu. Bagaimana pula situasi yang berlaku hari ini...? Peranan dan tanggungjawab guru di sisi Allah tidak berubah. Malahan dalam keadaan gawat hari ini, keprihatinan dan rasa tangungjawab mesti ditingkatkan... Ini menjadi tanggungjawab bersama antara ibu, ayah, guru, anak dan seluruh anggota masyarakat.

Sempena hari ibu, hari guru dan hari bapa.

Wallahu'alam.

JIKA CINTAKAN DIA, contohilah dia.




Salam ukhwah dan mahabbah untuk semua yang dikasihi kerana Allah.

Salam persaudaraan untuk semua yang ingin dikenali demi menyebarluaskan kasih ilahi.

Cinta jika disebut dan dibicarakan akan menebarkan lapangan yang luas tanpa kesudahan...Apa pandangan anda semua? Dapatkah kita melarikan diri dari hakikat cinta?

Mari kita renung alam luas...Tidakkah keindahan alam yang luas seperti mengalirkan satu perasaan halus dan syahdu ke dalam hati kita...Keunikan dan keindahan alam seolah-olah hadiah paling istimewa dari KEKASIH untuk kekasih yang sangat dikasihi. Setiap kali diri ini merasa sunyi, lantas merenungi alam, perasaan inilah yang menguasai jiwaku...

Sewaktu remajaku aku agak lambat mengerti istilah cinta. Mungkin kerana watakku seperti anak lelaki, maklumlah aku dibesarkan oleh Pak Su yang belum berkahwin ketika itu. Kami tinggal bertiga dengan Nek Cik. Semasa di sekolah rendah, kebanyakkan kawan-kawanku budak lelaki. Di sekolah menengah baru aku ada ramai kawan perempuan, kerana sekolah itu sekolah menengah perempuan. Namun aku berkawan rapat dengan kawan yang juga berwatak 'tomboy'. Jadi aku kurang terlibat dengan kawan-kawan perempuan yang sudah ada 'pak we'. Sebenarnya ketika itu aku takut dimarahi Pak Su. Katanya ayahku telah berpesan supaya aku dididik menjadi anak yang solehah. Kalau boleh jadi ustazah. Sebenarnya paling aku takuti ketika itu sebatan tali pinggang Pak Su yang akan meninggalkan bekas di peha. Allah sentiasa melindungiku. Setiap kali airmataku mengalir, hatiku melaung memanggil ibu...!Ketika itu aku ingin memberikan cintaku pada ibu, sehinggalah...

Kira-kira di pertengahan tahun 1973, ketika itu aku di dalam 'remove class' - kelas peralihan, aliran Melayu ke aliran Inggeris. Seorang ustaz pelatih yang muda lagi kacak memberikan ucapan perpisahan kerana telah selesai menjalani latihan mengajar di sekolahku... Kebanyakan pelajar-pelajar perempuan 'meminati' ustaz itu, terutamanya yang di tingkatan tiga. Kami pelajar-pelajar tingkatan satu masih keanak-anakkan, tambahan aku dan kawan-kawanku kebanyaknya agak 'lasak'- kami melopong apabila ustaz itu berpesan...; "Kamu anak-anak perempuan mesti sentiasa menjaga maruah diri, jangan terpedaya dengan 'cinta monyet'. Belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak yang solehah. Kamu selamat dengan mencintai Allah". Riuh pelajar-pelajar perempuan bertanya berbagai soalan berkait dengan ucapan ustaz itu. Beberapa hari kemudian aku dan kawanku yang 'tom boy' itu pergi berjumpa ustazah untuk mendapat penjelasan lanjut berkaitan 'cinta monyet' dan bagaimana untuk mencintai Allah.

Antara penjelasan ustazah yang masih aku ingat...; " Cinta monyet itu cinta anak-anak remaja yang belum matang dan ianya hanya desakan perasaan semata-mata. Akan mengganggu fikiran dan tanggungjawab belajar. Banyak keburukan yang memalukan boleh terbit dari terikut-terikut tren 'cinta monyet', seperti 'kandas belajar' dan 'frust'. Lebih utama mentaati Allah dan mematuhi ibu-bapa. Untuk taat Allah kita mesti mencontohi Rasulullah".

'Berasap' juga kepalaku dan kepala kawanku yang 'tomboy' itu berusaha memahami penjelasan ustazah. Maklumlah kami berdua masih keanak-anakkan dan suka melawak. Namun cinta Allah telah memeliharakan kami. Cinta sejati guru mampu membimbing kami mencontohi cinta Rasulullah. Meskipun aku ketandusan cinta ayah-ibu, namun cinta alam yang luas tercurah telah menyuburkan jiwaku. Di situlah tersimpan khazanah cinta Ilahi.

Wahai anak-anak muda hari ini..., bagaimana persepsi anakanda semua terhadap cinta? Bagi diriku persepsiku terhadap cinta mudah saja...Cinta unggul - Cinta Ilahi, diletakkan sebagai piawaian. Apa jua cinta yang datang dilaraskan dengan cinta unggul, jika sifatnya menepati redha Allah, ianya akan seiring se jalan. Jika bercanggah dari redha Allah ianya terpaksa ditinggalkan. Tidak perlu sedih dan tak akan rugi. Cinta unggul telah menyeimbangkan kebahagian sepanjang hayat. Juga perlu diingat! Cinta ayah-ibu adalah cinta suci yang terpelihara selama-lamanya...


Cinta Rasulullah sentiasa merindui umatnya...

Cinta Allah menyeluruh kepada semua insan!

Sebarang respon dan teguran sangat diharapkan demi kebaikan bersama.


KITA BERSAUDARA

Kembali menemui semua yang dikasihi kerana Allah,

Sama-sama kita mulai dengan doa; "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah saja Yang Maha Mengasihani".(QS Al-A'raf:151)

Sememangnya menjadi lumrah anak-anak di awal remaja mudah berselisih faham dengan rakan sebaya, kerana masing-masing sedang membina identiti sendiri. Waktu ini, sangat penting peranan orang dewasa berlangsung demi membentuk pribadi terkawal mengikut acuan yang terbaik. Ibu-bapa, guru dan individu lebih dewasa wajar memerhati dan memberi bimbingan. Perlakuan tidak terkawal jika dibiarkan, akan menjadi sebati hingga membentuk watak kekal dan tabiat peribadi sewaktu dewasa nanti. Kumpulan sasar ini tercorak berdasarkan warna-warna yang berpaut dan menempel di laluan hidup mereka.

Kurenung kembali hari-hari yang telah berlalu lama dahulu...

"Ain. awak tak malu... Tiap-tiap hari masuk bilik guru, tanya-tanya nak tolong cikgu. Macam awak tu anak cikgu je...". Tiba-tiba saja Peah menolakku ke tepi longkang berhampiran bilik guru. Aku jadi berang, kutolak sidikit badan Peah. Dia membalas dengan menokku lebih kasar. Kakiku hilang pertimbangan, aku terduduk di tepi longkang. Uniform sekolah yang kupakai nampak terkesan debu. Hatiku menjadi panas dan meluap-luap mendesakku untuk bertindak membela diri. Mulutku pantas bertindak; "Apa kau susah, aku punya sukalah...kau dengki ke kalau cikgu sayang padaku?"

"Astagfirullah...apa dah jadi kamu berdua ni...", tiba-tiba muncul ustazah Zainon cuba meleraikan kami.

"Dia yang mulakan...ustazah". Kehadiran ustazah Zainon memberiku kekuatan luarbiasa. Peah menjadi kecil dalam penglihatku ketika itu. Ustazah Zainon adalah antara guru yang banyak memberiku perhatian dan bimbingan sewaktu aku di sekolah rendah. Hatiku tenteram dan rasa damai setiap kali aku bersamanya. Kekosongan hatiku yang menagih kasih seorang ibu, rasa terisi dengan layanan baik ustazah Zainon.

"Dia tu yang berlagak sangat...ustazah". Bulat mata Peah merenungku dengan sepenuh rasa geram dan sakit hatinya.

"Kamu berdua bertenang dulu...,tau tak kamu ni bersaudara!". Ustazah Zainon memegang bahu kami berdua dan memeluk kami dengan tangan kanan dan kirinya. Hati kami mulai rasa dingin dan tenteram. Ustazah Zainon menyambung kata-katanya; "Memang kamu berdua tak ada pertalian darah dan keluarga, tapi kamu berdua ni saudara seagama. Setiap orang Islam bersaudara. Tak boleh menyakiti badan dan hati sesama muslim. Berdosa." Wajah kami direnungnya silih berganti dengan renungan penuh kasih dan simpati.

Menitis airmataku bila mendengar ustazah Zainon menyebut; SETIAP ORANG ISLAM BERSAUDARA. Selama itu aku cuma tahu aku anak tunggal yang terpisah dari kedua ibu bapa. Aku merasa sangat sedih kerana diri ini hanya sebatang kara.

Peah lantas meraih menyalami tangan ku. Aku membalas dengan memeluknya. Berlinangan airmataku tidak dapat ditahan-tahan lagi. Keprihatinan pantas dari ustazah Zainon berjaya menghindarkan tumpahan warna hitam di kanvas putih hati kami ketika itu. Aku sangat terkesan dengan peristiwa itu yang hingga kini berupaya mengawal perasaanku setiap kali berkecil hati dengan tingkahlaku saudara seagama.

Saudara/i ku..., bagaimana pula keprihatinan terhadap mereka yang berada di sekeliling kita pada hari ini?. Saudara-mara, jiran-tetangga, sahabat-handai dan kawan karib...terutama golongan remaja...adakah kita telah menjalin ikatan ukhwah(persaudaraan) dan mahabbah(kasih-sayang) seperti yang di tuntut Islam. Setiap diri mukmin sewajarnya mengetahui dan menyedari ukhwah dan mahabbah adalah buah/hasil iman yang mendalam. Praktiknya mesti dilaksanakan dalam suasana hikmah dan akhlak mulia. Iman sebenar pasti melahirkan amal soleh; ianya bukan sekadar teori dan dakwaan. Tidak wajar setiap orang yang berilmu tidak terdorong untuk beramal. Amalan pula mesti dikawal oleh iman demi memastikan ianya semata-mata bertujuan meraih redha Allah.

Untuk renungan semua...

Pada suatu hari, Suhail bin Amru, Harits bin Hisyam, Abu Sufian dan pembesar Quraisy yang lain berdiri di pintu rumah Saydina Umar. Ketika itu Suhaib ar-Ruum dan Bilal bin Rabbah juga menunggu pelawaan masuk Umar. Saydina Umar lebih senang mendahulukan Suhaib dan Bilal masuk walaupun kedua-duanya tergolong miskin. Ternyata dalam Islam tidak ada perbezaan antara miskin dan kaya maupun antara warna kulit hitam dan putih. Setiap muslim dituntut untuk saling tolong-menolong kepada kebaikan, bukannya menolong kepada perkara-perkara yang dilarang Islam.

Anda dan saya mesti mulai sekarang! Walau hanya memberikan senyuman kepada orang lain...Awas! hanya senyuman yang Islam benarkan, untuk mengajak kepada kebaikan. Bukan senyuman untuk menggoda. Ada kalanya cuma praktikal untuk sesama wanita atau sesama lelaki. Mesti menepati syarak...Ayuh! Mulakan.

Wassalam.

Warna-warna Indah Mencorakkan Bahagia.

Salam sejahtera diiringi limpahan rahmat Ilahi.

Pengalaman hidup sewaktu kanak-kanak berbagai warna dan corak. Ada yang lucu, gembira, sedih juga ngeri...Apa jua yang kita alami pasti terpahat kekal dalam ingatan. Juga memberi kesan sepanjang perjalanan hidup kita. Gambarkan sekeping kanvas putih yang disimbah cat minyak. Jika tumpahan warnanya garang seperti merah, ungu, jingga dan hitam, pasti corak yang terhasil juga nampak pekat dan menakutkan. Sebaliknya percikan warna-warna lembut akan menghasilkan corak yang indah dan menarik. Begitulah juga kesan dan akibat yang kita alami sepanjang perjalanan hidup kita. Segala-galanya telah Allah takdirkan, ada hikmah di sebaliknya. Yang pasti Allah jadikan hidup dan mati untuk menguji ; siapa yang lebih baik amalnya.

Bagi diriku pengalaman pertama yang menggembirakanku...berlaku pada awal tahun 1967. Aku masuk darjah satu! Waktu itu aku dibawa berhijrah oleh Pak Usu ke Petaling, Selangor. Bagiku meninggalkan kampong yang suram dan kelam memberi harapan besar di hadapan. Kurasai kampong asalku sepi kerana sepanjang aku menjalani kehidupan sebagai anak kecil 1960-1966, aku tidak mengenali siapa ibuku sebenarnya. Apabila memasuki alam persekolahan kurasai seolah-olah terbentang jalan kebahagiaan di hadapanku...Aku akan jadi pandai! Aku mesti cari ibuku...aku rindukan ibu. Aku sangat berharap ibu mendoakan aku menjadi orang paling pandai. Tanpa kusedari niat itu mencorakkan warna-warna pilihan pada watak dan pribadiku. Ketika itu aku tidak mengerti apa-apa pun berkaitan niat seperti maksud hadis Rasulullah s.a.w; "Sesungguhnya segala amalan itu bermula dari niat. Setiap seorang itu beroleh dari apa yang diniatkannya. Barang siapa hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Barang siapa hijrahnya untuk maksud dunia yang dia hajati atau kerana wanita yang dia ingin nikahi, maka dia beroleh maksud yang dia niatkan hijrah itu"(HR Bukhari dan Muslim)

Memang terasa getir hidup tanpa ayah dan ibu di sisi. Segala hajat dan hasrat sangat terbatas. Apa jua kesulitan yang dialami terpaksa ditanggung dan disimpan sendiri. Setiap keluhan dan luahan hanya disambut oleh simpati, tapi ketandusan siraman kasih-sayang. Detik-detik yang dilalui dalam proses pembesaran terserah bulat dalam tawakkal - melakukan sebaik mungkin apa usaha dalam suasana yang telah Allah tetapkan. Semua yang kualami mematangkan diriku mendahului usia. Waktu bermain sangat terbatas. Aku berhibur dengan bahan bacaan. Aku berlajar mengasihi dan menyayangi daripada guru-guruku. Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, mengaturkan hidupku dalam suasana sangat terpelihara, aku sering diberi perhatian oleh ustazah terutamanya. Aku dikasihi seperti mereka mengasihi anak yatim, walau pun aku tahu kedua-dua ibu bapaku masih hidup.

Walaupun warna hidup yang kuperolehi agak suram, tapi corak yang tertera datang dari kelompok muslim mukmin lagi musleh( mengajak orang lain menjadi baik), maka terasa sinar bahagia menerangi setiap sudut hidupku.

Wahai anak-anak remaja Islam yang kukasihi dengan kasih-sayang Islam, jasa dari hanya beberapa guru yang sangat mengasihiku...kini telah memberi laluan untuk aku mengasihi seberapa ramai mungkin remaja muslim demi semata-mata untuk redha Ilahi. Ini adalah antara rahmat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga kita semua sentiasa diberkati.