UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HAMPIR KE PENGHUJUNG...


Putera-puteri harapan!
Ramadhan bulan ibadah yang penuh keampunan dan keredhaan, tidak sewajarnyalah hanya dipenuhi dengan persiapan menjelang Syawal. Sedangkan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan merupakan kemuncak ganjaran Ramadhan dengan keberkatan ‘Lailatul Qadar’.
Daripada Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh melebihi usahanya pada malam-malam yang lain. Rasulullah SAW menggalakkan menghidupkan malam lailatul qadar dengan memperbanyak ibadah malam.
Sabda baginda; “Sesiapa yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, niscaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
Dengan kesempatan sedemikian, wanita Islam solehah menumpukan sepenuh perhatian untuk taat kepada Allah. Pada saat inilah dia tidak berhenti berfikir mengingati kekuasaan Allah. Juga dengan hati yang tulus berterusan bermunajat memohon keredhaan Allah. Pada waktu sedemikian akan melimpah ruah nur dan hidayah dari Allah.

Putera-puteri Islam Harapan!
Ramadhan yang penuh barakah akan disusuli pula oleh Syawal yang dipenuhi keampunan serta keredhaan Allah. Tanggal 1 Syawal dinamakan Id (Hari Raya). Kerana pada hari itu kaum Mukminin telah selesai menunaikan kewajipan berpuasa Ramadhan kerana taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Syariat Islam menetapkan supaya bergembira menyambut kemenangan selesai berpuasa itu.
Dari Munabah r.a katanya; “Iblis sangat sedih apabila tiba hari raya, mereka berkumpul lalu berkata:’Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?’ Pemimpin iblis berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan umat Muhammad pada hari ini. Kamu semua mesti berkerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat!”
Telah diceritakan juga, pada pagi Aidilfitri, Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi untuk berseru dengan suara yang didengari seluruh makhluk kecuali manusia dan jin; “Wahai umat Muhammad keluarlah kepada Tuhan-Mu yang mulia. Dia akan memberikan pemberian yang agung dan mengampuni dosa yang besar.” Ketika mereka telah pergi ke masjid, Allah berkata kepada para malaikat: “Apakah balasan untuk pekerja setelah selesai kerja?” Para malaikat berkata: “Upahnya sesuai pekerjaannya.” Allah berkata kepada para malaikat: “Saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah menjadikan keredhaan dan keampunan-Ku sebagai pahala mereka.”
Putera-puteri Islam Sejati!
Sewajarnya wanita Islam yang bijaksana mampu mengatur langkah seimbang dalam menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan dan merebut ganjaran keredhaan Allah dalam kegembiraan Syawal. Agar nanti bukan sahaja pakaian taqwa di bulan Ramadhan yang selesai dijahit, malahan permaidani keredhaan juga dapat dihamparkan di Syawal yang barakah. Juga semestinya wanita Islam yang sedar terhadap petunjuk agamanya akan terselamat dari tergelincir ke lembah pembaziran. Roh Islam yang menguasai jiwa wanita yang bijaksana sentiasa memandunya mengambil jalan pertengahan dan tidak berlebih-lebihan maupun menunjuk-nunjuk. Apatah lagi terjerumus ke jurang riya’ dan bemegah.
Begitulah semestinya sifat wanita Islam solehah yang mampu membawa kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.
Akhirnya putera-puteriku,
Berikut beberapa perkara untuk diberi perhatian dalam kemeriahan yang semakin hampir...
1.      Jangan lupakan Ramadhan yang baru kita tinggalkan kerana tahun depan belum tentu kita akan bertemu lagi dengannya. Sesungguhnya orang yang soleh itu bersedih dengan pemergian Ramadhan.
2.      Jangan lupa bermuhasabah dan memeriksa semula apakah kita telah menghabiskan waktu sepanjang Ramadhan dengan sebaik-baiknya.
3.      Jangan lupa membayar zakat fitrah bagi menyempurnakan puasa Ramadhan.
4.      Jangan lupa dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang dilimpahkan Allah kepada kita dengan bertakbir, bertasbih, bertahmid, bersedekah dan membantu orang lain yang memerlukan pertolongan.
5.      Jangan lupa mengikut sunnah Rasulullah dalam berhari-raya seperti mandi sunat raya, berpakaian baru, memakai wangian, makan sedikit sebelum solat sunat raya, pergi dan pulang dari solat raya melalui jalan berbeza.
6.      Jangan lupa menjaga batas-batas syarak seperti pergaulan bebas, lelaki dan perempuan. Percakapan sia-sia dan muzik yang melalaikan.
7.      Jangan lupakan mereka yang tidak bernasib-baik dan tidak dapat berhari raya dengan gembira, seperti fakir miskin,anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, dan orang-orang tua yang terbiar sendirian.

Begitulah Putera-puteri Islam Sejati,
Jika batasan syarak dapat dipatuhi, Aidilfitri tidak sekadar menjadi perayaan adat, bahkan dapat membawa makna besar bagi umat Islam seluruhnya.

0 ulasan: