Anak-anakku,
Jangan menjadi “pak turut”, hanya mengikuti kebanyakan
manusia. Sekiranya manusia lain dalam kebaikan, hendaklah dicontohi. Namun
sekiranya wujud suasana kejahatan, hendaklah menjauhi kejahatan yang berlaku.
Perlu juga diketahui, sistem akhlak Islam bersifat syumul
(menyeluruh) dan lengkap. Ini bermaksud akhlak Islam itu luas merangkumi tabiat
individu, masyarakat dan negara. Setiap Muslim diwajibkan mematuhi dan
memelihara akhlak Islam kerana ianya tertakluk kepada larangan dan perintah.
Setiap pelanggaran terhadap perintah Allah diancam dengan seksa dan azab.
Manakala bagi yang mematuhi sistem akhlak Islam akan beroleh ganjaran dan
pahala. Semua ini untuk menjamin kesejahteraan hidup insan, kerana Islam juga
bersifabegitu rupa dapat melembutkan hati. Kemudian akan memampukan kalian
melaksanakan tugas besar selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Dari itu,
mulailah mengorak langkah sekarang. Jadilah serikandi yang sentiasa punya
semangat tinggi dan keperibadian kreatif. Tidak larut dalam lumpur maksiat dan
hanyut dalam arus perdayaan syaitan. Jadilah barisan yang membimbing tangan
para pemudi seluruhnya kepada keredhaan Ilahi. Peranan sedemikian merupakan
penerusan dari tugas para rasul yang menyeru manusia untuk mengambil deen Allah
sebagai cara hidup yang Allah redhai. Dalam hal dan tugas ini akhlak yang mulia
yang menjadi modal utama. Oleh itu iringi segala keadaan dengan kebaikan.
Walaupun keburukan yang dihadapi, tetap mesti diiringi dengan kebaikan.
Telah terbukti dalam usaha-usaha Rasulullah SAW menarik
perhatian manusia-manusia yang jahil untuk menerima kebenaran Islam, akhlak
mulia lagi terpuji lebih berkesan menarik perhatian orang daripada kata-kata
yang manis. Sayidatina Khadijah sewaktu meyakinkan Rasulullah SAW sekembalinya
dari mendapat wahyu di Gua Hira’, berkata,
“Bergembiralah, demi Allah selama ini dirimu telah
menghubungkan silaturrahim, berkata benar, membantu orang yang berhajat juga
banyak lagi sifat dan akhlak baik yang menjadi bukti kepada kebenaran atas
kebenaran.”
Disebabkan kemuliaan pekerti Rasulullah SAW kepada sesiapa
sahaja walaupun musuh, telah berlaku secebis peristiwa yang memaparkan
bagaimana niat jahat orang yang sangat membenci Rasulullah SAW dapat
ditundukkan oleh akhlak baginda. Orang itu telah merancang untuk membunuh
Rasulullah SAW sewaktu baginda tawaf. Orang yang dimaksudkan ialah Fadhalah bin
Umair. Ketika dia menghampiri Nabi Muhammad, baginda bertanya: Wahai Fadhalah,
apakah yang tersembunyi di hatimu? Fadhalah menjawab: “Tidak ada apa-apa yang
tersembunyi di hatiku, hanya zikir kepada Allah. Nabi Muhammad tersenyum
mendengar kata-kata Fadhalah. Baginda membaca astaghfirullah lalu meletakkan
tangan ke dada Fadhalah. Berkat kemuliaan baginda, Fadhalah segera tenang dan
hilang rasa benci terhadap Rasulullah. Fadhalah sendiri mengaku: Demi Allah!
Tidaklah baginda mengangkat tangannya dari dadaku, kecuali Allah telah
menjadikan di hatiku perasaan cinta yang mendalam kepada baginda.
Begitulah anak-anakku,
Bagaimana
hati yang berniat jahat dapat ditundukkan dan dilembutkan dengan kebaikan dan
keyakinan kepada pertolongan Allah. Rasulullah SAW ada bersabda; “Allah
memurnikan agama ini untuk-Nya. Tidak ada yang mengelokkanmu melainkan watak
pemurah dan akhlak mulia. Maka hiasilah agamamu dengan kedua-duanya.”
Sewajarnya anak-anakku, kalian juga meyakini pertolongan
Allah sentiasa hampir kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh berusaha
menyebarkan kebaikan demi meraih keuntungan di dunia dan kejayaan di
akhirat. Justeru, lintasilah halangan “wahan” – takut mati dan cinta dunia yang
telah mengotori hati. Melangkahlah ke tahap pembersihan hati dan menyeru
kebaikan! Sebar luaskan sebaik mungkin tingkah laku penuh hikmah dalam bergaul
dengan manusia.
Anak-anakku,
Sentiasalah memperkemas iman dan taqwa supaya rasa malu dan takut dapat
mengawal jiwa. Serentak qalbu bersih daripada sebarang keingkaran. Qalbu yang
suci bersih akan sentiasa merasa malu untuk bertindak di luar batasan
Islam. Sama ada terang-terangan maupun tersembunyi. Malu terhadap Allah
mengatasi malu kepada manusia. Dengan itu akan mudah memelihara diri daripada
desakan nafsu dan bisikan syaitan.
Ulamak Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara
diri dari godaan syaitan dan nafsu, menggariskan 10 dasar muhasabah harian:
·
Qiyamullail
– membina kekuatan luar biasa.
·
Solat
subuh berjemaah – beroleh jaminan perlindungan dari Allah.
·
Tadabbur
dan berwirid dengan al-quran hingga berlinang air mata.
·
Pastikan
sumber makanan dan rezeki yang diperoleh dari sumber yang jelas dan halal.
Tujuan makan dan minum untuk mendapat tenaga beribadah.
·
Bersihkan
diri dari sifat malas, Islam tidak suka pengangguran. Bersihkan rezeki yang
diperoleh dengan infaq dan sedekah.
·
Sewaktu
berada di khalayak, kawallah pandangan supaya tidak tergoda atau menggoda. Juga
tidak terdorong kepada perkara syubhah.
·
Setiap
tingkah-laku mesti dikuasai akhlak Islam. Sebaiknya menjadi contoh yang membawa
kebaikan kepada manusia lain.
·
Setiap
saat dan sepanjang hayat digunakan untuk menuntut dan menambah ilmu bermanfaat.
·
Bulatkan
tekad untuk sentiasa menjalani kehidupan Islam serta sentiasa mengutamakan
kepentingan Islam.
·
Ingati
juga hak jasad: kesihatan dan ketangkasan fizikal mesti dijaga. Makan dan minum
secara sederhana, juga elakkan dari aktiviti dan kerja yang terlalu meletihkan.
Begitulah anak-anakku,
Hakikatnya, muhasabah diri mesti berlangsung setiap saat dalam denyutan nadi
kita. Tidak hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja. Dengannya jiwa kita
bebas dari belenggu yang mematikan semangat dan merosakkan qalbu. Nantinya
jelas terpancar dalam raut wajah dan tindakan tanda-tanda hati suci bersih.