UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SUCIKAN HATI


Pemuda-pemudi Islam sejati!

Semoga sentiasa dalam limpah rahmat, keberkatan serta redha Ilahi. Ibu doakan agar kalian tetap dan terus saling ingat-mengingati untuk menetapi kebenaran. Juga saling memperingatkan kepada kesabaran. Dengan yang demikian, kalian akan tergolong sebagai manusia yang bahagia dan beruntung.

Anak-anakku yang mendamaikan hati dan menyejukkan pandangan,

Dalam kesibukan kalian memenuhi rutin hidup harian, peruntukkan sedikit masa untuk menilai bentuk hati kalian. Adakah ianya dalam keadaan suci bersih dan sihat sejahtera?

Hayati maksud sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pemuda-pemudi harapan!

Adakah hati kalian menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”

(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,

  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,

Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.

Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,

“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:

Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,

engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,

bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,

ia membawamu kepada keburukan yang haram!

Hawa nafsu itu musuh bagimu,

meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,

Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.

Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:

  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,

“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:

  • sentiasa mengingati Allah SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi larangan-Nya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.

Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.

Ikhlaskan Niat

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Sedikit demi sedikit telah tersingkap tatacara untuk kalian mulakan peranan selaku khalifah Allah dalam rangka berubudiyah sepanjang hayat. Pada hakikatnya, kita perlu teliti dan hati-hati dalam melaksanakan ubudiyah, disebabkan setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan segala amal perbuatan kerana Allah semata-mata.

Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabdanya,

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kerana-Nya dan ditujukan untuk-Nya.” (HR Abu Dawud dan An-Nasai)

Perhatikan pula firman Allah berikut:

  • “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama yang lurus.” (QS Al-Bayyinah:5)
  • “Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan seseorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (QS Al-Kahfi: 110)

Landasan ikhlas dalam beramal ialah dengan memurnikan dan mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Ikhlas itu berpusat di hati dan dipengaruhi oleh bentuk hati setiap orang. Dari itu muslim yang ikhlas memiliki hati yang mampu mengalahkan dorongan nafsu. Juga mampu mendahulukan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia. Dia mementingkan keredhaan Allah daripada keredhaan manusia. Dia menjadikan niat, perkataan dan perbuatannya semata-mata untuk Allah. (solat, ibadah, hidup dan matinya untuk allah, rabb sekalian alam). Inilah yang dikatakan ikhlas.

Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan ikhlas ialah:

  • Menghendaki keredhaan Allah dalam beramal.
  • Membersihkan diri dari segala dosa.
  • Melakukan amal kerana Allah dan untuk akhirat.
  • Tidak ada niat buruk mencampuri amal seperti;

Ø inginkan harta dan memuaskan nafsu

Ø supaya disanjung dan menghindar celaan

Ø menyimpan dan melayani rasa dengki

Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah,

Hanya keikhlasan yang dapat mengawal diri dari desakan nafsu dan bisikan syaitan yang bersembunyi di dalam hati. Keadaan ini sangat berbahaya kerana akan menjerumuskan manusia ke dalam syirik sama ada yang kecil maupun besar. Sentiasalah menyedari Allah hanya menerima amal yang ikhlas. Dia menolak pelaku yang tertipu dengan amal yang tidak ikhlas. Ikhlas semata-mata kerana Allah sangat penting bagi setiap amalan kerana,

  • merupakan asas utama iman dan Islam
  • menentukan sama ada setiap amalan diterima atau ditolak berdasarkan syarak
  • menentukan nilai dan kualiti amalan di sisi Allah
  • meraih barakah dan pahala dari Allah

Kita dituntut mengikhlaskan niat sepanjang masa beramal - ikhlas sebelum memulakan amal, ikhlas semasa melakukan amal dan ikhlas sesudah melaksanakan amal.

Contohnya ketika kita mula melangkah menuntut ilmu, kita niatkan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah. Ketika kita sedang belajar juga diniatkan kerana Allah. Begitu juga setelah selesai dan tamat menuntut ilmu, diharapkan terus ikhlas semoga beroleh keredhaan Allah.


Cuba semak dan perbetulkan setiap langkah serta tindakan supaya tidak tersasar seperti keadaan berikut:

  1. Menuntut ilmu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kerjaya atau dipandang hebat dan mulia oleh masyarakat.
  2. Mengajar atau membincangkan ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan dari kalangan ilmuan. Juga untuk mempertajam pemikiran dan kepetahan berbicara.
  3. Menziarahi pesakit dengan harapan akan juga diziarahi ketika dia sakit nanti.
  4. Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya dikenali sebagai orang baik, berhati mulia dan disegani serta dihormati.

Siapa Ikhlas?

Anak-anakku,

Menjelaskan lebih lanjut sifat ikhlas dalam setiap tindakan, cuba renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis tazkirah. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?” Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang keterlaluan bagi mereka.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang.

Cuma seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya.

Apakah yang hebat pada diri pemuda ini yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke

syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap redha Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian.

Ikhlas itu begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih daripada segala kepentingan peribadi. Juga dari riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Dapatlah digambarkan dengan jelas suasana subur yang memudahkan lahirnya keadaan-keadaan berikut,

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu amalan diterima Allah dan layak mendapat keredhaan Allah. Akhirnya nanti memastikan tempat kembali di akhirat kelak. Syurga ataupun neraka.

Kata Fudhail bin ‘Iyadh:

Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’,

beramal kerana manusia adalah syirik,

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.

Dari itu anak-anakku,

Ikhlaskan hati kalian dalam mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta. Ikhlaslah dalam menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat. Juga ikhlas menerima Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam menyampai risalah Islam. Ikhlaslah mengambil al-quran sebagai pedoman hidup.

Seterusnya ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Ikhlaslah berubudiyah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah. Mulakan setiap langkah menuju keredhaan Allah daripada diri kalian sendiri. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan seangkatan di atas landasan kebenaran Islam. Terus maju berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Kemenangan dalam peperangan ini bakal menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Anak-anakku yang akan menang!

Kita tangguhkan dulu dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jadikanlah kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Jadikanlah juga dari keturunan kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukilah kami cara beribadat dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.” Amin.




0 ulasan: