“Menuntut ilmu itu adalah diwajibkan kepada setiap muslim, lelaki dan perempuan.”
(HR Ibnu Majah)
Anak-anakku,
Dalam memenuhi tuntutan hadis di atas, pemuda-pemudi Islam yang bijaksana pasti mampu menghimpun kesempurnaan ilmu dan iman. Sedaya upaya membina akhlak ahli ilmu serta memakai amalan ahli iman. Sentiasa teliti menjaga akalnya sebagaimana dia menjaga jasadnya. Juga menyedari seseorang itu dinilai dengan keelokan hati dan lidahnya. Iaitu akal fikiran dan kebijaksanaannya. Dari sini timbul kesungguhan merangsang akal dengan menambah pengetahuan dalam pelbagai jenis ilmu. Agar memberi kekuatan yang mantap dalam usaha memberi bimbingan ke jalan kebenaran.
Pemudi-pemudi Islam sejati, sedarlah!
Menjadi kewajipan setiap pemuda-pemudi Islam, menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Ada ilmu agama dan ada pula ilmu dunia. Ilmu agama memperbaki diri dan hati. Meluruskan tingkahlaku dan mendorong kepada kebaikan dengan berkasih sayang sesama manusia. Manakala ilmu dunia sebagai alat menyingkap rahsia alam dan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan kemunduran.
Pemuda-pemudi Islam yang bijaksana sentiasa mementingkan usaha melengkapkan diri dengan kesempurnaan ilmu dunia dan akhirat. Ini lantaran jiwanya bersungguh-sungguh memperoleh perkara yang membawakan manfaat kepada diri sendiri dan manusia lain.
Pintu-pintu ilmu sentiasa terbuka luas di hadapan kita. Kita boleh memilih dan memasuki yang mana di sukai dan bersesuaian dengan kebolehan diri sendiri. Namun perlu diingat supaya memilih bidang yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Bidang yang dipilih itu juga memberinya laluan tepat dalam melaksanakan tugas utama wanita.
Pemudi-pemudi Islam sejati,
Di sudut fizikal dan jiwa, wanita tidak sama dengan lelaki. Oleh itu adalah tepat, bijak dan mudah melakukan sesuatu seperti yang telah Islam gariskan. Kepada wanita Islam , telah Allah letakkan tanggungjawab besar untuk mendidik generasi, membina pahlawan dan membentuk cendekiawan.
Walau apapun pengkhususan ilmu yang dipilih oleh wanita Islam, hendaklah dia menguasainya dengan bersungguh-sungguh. Pencapaiannya mestilah sesempurna mungkin menepati maksud sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu melakukan suatu pekerjaan, dia bersungguh-sungguh melakukannya.” (HR al-Baihaqi)
Anak-anakku,
Pemuda dan pemudi Islam yang diharapkan membawa kebaikan kepada manusia lain, sewajarnya kini kalian jelas bagaimana mengatur kehidupan dalam batasan akhlak mulia dan menjaga prinsip Islam. Tidaklah wajar bagi setiap mukmin dan mukminah untuk menjalani kehidupan hanya dengan pertimbangan fikiran sendiri sedangkan Allah telah menetapkan yang terbaik. Saling membantulah untuk melaksanakan ketaatan. Sebaliknya janganlah sekali-kali saling membantu melakukan kemungkaran. Yakinlah segala apa jua yang telah Allah tetapkan dalam syariat Islam adalah untuk kesejahteraan insan. Mengingkarinya akan membawa kepada fitnah dan terhumban ke dalam maksiat dan kesesatan. Nauzubillah!
0 ulasan:
Catat Ulasan