Wahai setiap remaja muslim yang bertakwa!
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS Al-Hadiid: 28)
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.”(QS Ath-Thalaaq: 2-3)
Merenungi makna dua potong ayat di atas, dapatlah kita fahami betapa beruntungnya orang yang bertakwa;
1. Beroleh limpahan rahmat dan kebahagiaan dalam hidup.
2. Dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.
3. Sentiasa di jalan kebenaran sepanjang hayatnya dan mampu juga membimbing orang lain kepada kebaikan.
4. Mudah beroleh jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah-masalah berat.
Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah berkaitan takwa, menggariskan beberapa kekuatan yang terbit dari takwa;
1. Takwa sebagai bekalan sepanjang hayat yang akan menggugah akal dan hati supaya sentiasa waspada dari terpesong kepada kebatilan.
2. Takwa menjadi sumber cahaya yang menyuluh jalan hidup mukmin supaya tidak meraba-raba dalam kejahilan.
3. Takwa menghapuskan dosa dan menerbitkan ketenteraman jiwa.
Takwa yang memenuhi jiwa akan menjadi furqan atau pembedza yang memudahkan usaha memisahkan yang benar dari yang salah. Dengan ini takwa boleh disifatkan sebagai pakaian yang melindungi hati, jiwa dan kalbu setiap mukmin. Takwa sebagai pakaian ruhaniyah akan mampu pula melindungi dari tipu-daya syaitan dan hawa nafsu. Boleh juga dikatakan takwa sebagai satu-satunya perisai yang mampu menyingkirkan desakan nafsu. Sewaktu menjalani ibadah puasa, nafsu akan mudah ditundukkan. Serentak dengan itu takwa terbina dalam kesempurnaannya yang teguh.
Menyedari hakikat takwa sedemikian rupa membuat saya bertekad untuk segera mematuhi tata cara menjalani ibadah puasa dengan sebaik-baiknya. Semoga nanti saya turut beroleh kemampuan mengingatkan rakan-rakan remaja yang lain untukbersungguh-sungguh membina takwa sewaktu berpuasa.
Kembali Kepada Fitrah
Suatu ketika, pernah saya termenung memikirkan perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang termasuk juga diri saya sering dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Kadang kala jiwa terasa sangat sepi dan hampir-hampir hilang keyakinan diri. Hidup terasa hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Beginilah lazimnya keadaan kita jika pakaian takwa yang membaluti jiwa tidak kita gunakan dengan sempurna.
Apabila saya pujuk hati untuk bertekad menjadi hamba Allah yang bertakwa, tergambarlah dalam fikiran saya kesan takwa yang menguasai hati;
1. Sudah tentu hamba-hamba Allah yang bertakwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa.
2. Mereka yang kuat takwanya akan sentiasa tenang ketika orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan.
3. Orang yang bertakwa mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain berkeluh-kesah dan buntu fikiran.
Dari sinilah saya mula menginsafi diri untuk mencari cara yang pratik bagi menjalani hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Saya sangat tergugah untuk berkongsi sesuatu yang sangat asas bersama-sama remaja yang lain. Supaya kita bersama-sama berusaha menanamkan kefahaman yang tepat dan tindakan yang berkesan. Sesungguhnya hakikat iman dan takwa perlu dilaksanakan secara praktik, tidak hanya diperbincangkan sahaja.
Mari kita renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Berpandukan maksud ayat tersebut, dapatlah difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) yang terbaik. Islam menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupannya. meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Ini juga bermakna kita mesti menyempurnakan tugas sebagai khalifah Allah. Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab selaku khalifah Allah di atas muka bumi mesti berterusan sepanjang hayat kita. Inilah fitrah kehidupann insan yang menjadi asas kepada pembentukan iman dan takwa.
Langkah Lengkap Menanam Iman dan Takwa
Perlulah sentiasa kita ingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti dan laksanakan bersungguh-sungguh keseluruhan langkah membina iman dan takwa seperti berikut;
Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:
- Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun dalam segala urusan-Nya.
- Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
- Allah telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad pula merupakan penutup para nabi dan rasul dan dianugerahkan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
- Allah menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
- Mesti kita yakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang yang engkar dan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang berhak disembah.
- Manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
- Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
- Mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
- Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
- Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
- Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
- Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan di atas apa jua kesilapan dan dosa.
- Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
Apabila langkah-langkah tersebut mampu kita laksanakan sepenuhnya, kemudian secar beransur-ansur akan kita rasai kesan yang sungguh mendalam di hati. Akan juga jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku kita. Merangsang tindakan dan amal perbuatan sehinggalah kita mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh kereda Ilahi.
Iman yang mendalam dan takwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan takwa saling mendorong kita kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.
Justru itu sewajarnyalah kita sematkan baik-baik dalam hati dan sejajarkan dalam tindakan menepati maksud firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 10-11;
“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”
0 ulasan:
Catat Ulasan