UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BAGAIMANA PERNIAGAAN KITA?


Rasulullah ada bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya setiap hamba berada di antara dua perkara yang ditakuti. Di antara ajal yang telah pergi; tiada sesiapa pun yang mengetahui apa yang Allah lakukan pada ajal itu. Ajal yang masih ada; juga tiada sesiapa yang tahu apakah Allah akan menghukumnya nanti? Maka setiap hamba mestilah mengambil perhatian tentang diri masing-masing. Perhatikan di dunia untuk akhiratnya. Dan di waktu muda sebelum tua. Maka demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya, selepas mati tiada ratapan lagi. Selepas dunia ini, tidak ada tempat lagi selain dari syurga atau neraka!”

Alangkah bernilainya masa, bukan sekadar untuk kepentingan hidup di dunia sahaja, malahan juga untuk memperolehi kebahagiaan di akhirat kelak. Sangat rugi kehidupan di dunia ini seandainya kita terpedaya dan lalai semata-mata dengan keindahan dunia sahaja, sehingga terhalang dari melakukan sebarang amal soleh. Justeru itu, kita sepatutnya bertindak segera menepati maksud sabda Rasulullah,
“Setiap hamba pada hari kiamat tidak dapat mengorak langkah ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal siasat tentang empat perkara:
• umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?
• masa remajanya bagaimana dia menghadapi ujian waktu itu?
• hartanya bagaimana dia memperolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
• ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?” (HR Muaz bin Jabal r.a)


Masa Modal Hidup

Detik-detik kehidupaman umpama saham modal sepanjang hayat. Elakkan membuang masa kerana ianya satu penganiayaan kepada diri sendiri. Masa remaja yang Allah kurniakan juga merupakan amanah kepada setiap diri kita. Ia merupakan peringkat kemampuan dan kekuatan yang teguh. Juga merupakan peringkat kesatriaan yang gigih menanggung beban dan ujian, tidak wajar mengabai dan membazirkannya begitu saja.

Merenungi jadual beribadah sepanjang hari dalam bulan Ramadhan akan memberi kefahaman yang jelas kepada kita, bahawa ajaran Islam membimbing kita merancang seluruh masa kehidupan dengan rapi dan teliti. Bermula dengan waktu bersahur, kita sudah mulai mendisiplinkan masa. Kemudian setiap ibadah yang khusus dilakukan sepanjang berpuasa Ramadhan juga ada masa yang telah ditetapkan untuk melaksanakannya. Seumpama solat tarawih dan mengeluarkan zakat fitrah dan berbuka puasa, telah ditetapkan waktunya. Jika ibadah-ibadah tersebut dilakukan di luar waktunya, ia dikira batal dan tidak diterima. Hal sedemikian mendidik setiap diri mukmin supaya bersegera menunaikan perintah Allah tepat pada waktunya.

Jika kita menyingkap bagaimana generasi para sahabat Rasulullah memanfaatkan masa kehidupan mereka, kita akan turut termotivasi. Mereka berpegang pada prinsip, ‘Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Hari esok mesti lebih baik dari hari ini.’ Seandainya prinsip ini kita bawa dalam ibadah berpuasa kita pada Ramadhan tahun ini, ia akan menjadi begini; ‘Ibadah Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Ibadah Ramadhan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini.’ Jika sedemikian yang sedang kita usahakan sekarang, seizin Allah kita akan sentiasa berusaha untuk tidak mensia-siakan peluang melaksanakan sebaik mungkin ibadah pada Ramadhan tahun ini. Kerana pada hakikatnya kita tidak tahu samaada kita akan bertemu Ramadhan di tahun hadapan.

Semoga usaha kita mendisiplinkan diri menjalani ibadah Ramadahan tahuni ni berjaya membina kesedaran dan tindakan yang meingimbangi antara perhatian terhadap dunia dan persiapan untuk akhirat. Sehubungan dengan hal ini, sewajarnya kita sentiasa bersegera merebut keutamaan dan keuntungan yang telah Rasulullah sebutkan,
“Rebutlah keuntungan dalam masa lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain:
• hidup sebelum mati
• sihat sebelum sakit
• lapang sebelum sibuk
• muda sebelum tua
• kaya sebelum miskin.”

Seorang ulamak, Syeikh Al-Minawi juga ada berkata,
“Seorang yang telah akil baligh boleh diumpamakan seperti seorang peniaga. Kesihatan dan kelapangan baginya, bagaikan modal yang membolehkannya untuk mendapat kejayaan dan keuntungan. Sesiapa yang bekerja di jaln Allah denagn mematuhi setiap suruhan-Nya, nescaya beruntung. Maka sesiapa yang bekerja ke jalan syaitan dengan mengikut bisikan syaitan, maka akan hilang permodalan hidupnya.”


Siapa Untung Siapa Rugi

Bertepatan dengan disiplin masa beribadah yang Allah tetapkan sepanjang bulan Ramadhan, sewajarrnya juga kita fahami tuntutan di dalam surah Al-Asr yang bermaksud;
“Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan ama soleh. Dan saling menasihati dalam mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dalam menepati kesabaran.” (QS Al-Asr:1-3)

Dengan meneliti maksud ayat tersebut, fahamlah kita manusia itu semuanya berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang menepati ciri-ciri yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Dengan saling memperingatkan dan menasihati, akan dapat mengelak diri dari terjerumus ke dalam jurang kehancuran!

Seiring dengan kita melaksanakan sebaik mungkin ibadah puasa kita pada Ramadhan tahun ini, mari kita tepati pembahagian waktu sepertimana yang telah Rasulullah tunjuki berdasarkan kitab Nabi Ibrahim;
“Sewajarnyalah setiap yang berakal selagi akal fikirannya tidak hilang, hendaklah dia membahagikan masanya kepada empat waktu:
• waktu untuk bermunajt/berzikir kepada Allah
• waktu untuk bermuhasabah sendiri
• waktu untuk berfikir berkaitan ciptaan dan kebesaran Allah
• waktu mencari rezeki dan nafkah hidup
Ingatlah pesanan Umar Al-Faruq,
“Hisablah dirimu sebelum Allah menghitungmu dan timbanglah dirimu sebelum Allah menimbang, serta bersiap-sedialah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar, iaitu hari kiamat.”

0 ulasan: