UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

PAKAIAN YANG LENGKAP


Mari kita merenung jauh...
Suatu petang yang kian pantas bergerak ke hujung Ramadhan...

Seorang ibu separuh usia duduk menjahit pakaian bersama lima anak gadis remajanya. Mereka tekun membaca pelbagai judul buku mengikut pilihan masing-masing dan telah dipastikan bermanfaat oleh si ayah.
Gadis yang bongsu berumur sekitar 11 tahun bertanya, "Semua yang ibu jahit ini baju raya untuk kami kah ibu?"

"Yang warna biru muda ini, tentu untuk Kak Cik, ya ibu?" tangan lembut gadis manja berumur 12 tahun sambil menarik sehelai baju bercorak bunga-bunga kecil dari sisi ibunya.

"Angah punya tentu yang ungu ni,"gadis manis yang paling pendiam pun dengan pantas menunjukkan sehelai baju tergantung kepada gadis paling sulung.

Masing-masing berebut membelek baju yang sedang ibu mereka siapkan.

"Sabar dulu semua anak-anak ibu..., memang semua baju ini untuk kamu. Tapi dengan satu syarat!" Si ibu merenung kelima-lima anak gadisnya dengan lembut.

"Syarat apa pula ibu? Selalunya jika kami rajin berpuasa, ibu beri kami peluang untuk memilih baju mengikut corak yang kami sukai." Anak gadis ketiga memberanikan diri membela hak adik-beradiknya.

"Alhamdulillah, anak-anak ibu memang baik dan taat kepada Allah. Cuma ibu ingin pastikan kita semua menyempurnakan puasa seperti yang Allah kehendaki. Nanti di akhirat pun kita boleh peroleh ganjaran. Tidaklah hanya gembira di dunia saja." Si ibu menerangkan harapannya kepada anak-anak yang sangat dikasihinya.

"Oo begitu!" Kelima-lima gadis solehah manjawab serentak.

"Semalam ada ayah beritahu kami macam mana sepatutnya puasa yang sebaik-baiknya." Gadis ketiga cuba memulakan penjelasan.

"Boleh semua sama-sama jelaskan pada ibu, apa yang telah ayah beritahu?" Si ibu cuba menduga ketajaman fikiran dan ingatan anak-anak kesayangannya.

Setiap seorang daripada anak-anak gadis solehah tersebut menjelaskan semula apa yang ayah mereka terangkan...

Anak pertama: "Hati seorang mukmin mestilah puasa dari rasa sombong dan ujub. Juga berpuasa dari segi iri hati dan dengki. Semua amal kita musnah jika dalam hati terdapat sifat hasad dengki. Rasulullah pernah memberitahu perihal seorang sahabatnya yang tergolong menjadi penghuni syurga. Apabila ditanya tentang amalanya, dia menjawab, "Saya tidak tidur jika dalam hati ada rasa dengki, iri hati dan khianat. Iri hati dan dengki akan menghalang kita masuk syurga."

Anak kedua: "Lidah juga mesti berpuasa! Puasa lidah adalah dengan terdiamnya lidah dari berbohong, dusta, mencela, mengumpat, dan menyebar fitnah. Juga memperkatakan perkara-perkara yang tidak baik di dengar. Kita mesti ingat lidah boleh menghantar kita ke syurga jika digunakan untuk zikrullah. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk menyebut perkara yang dimurkai Allah, ia akan menjuruskan kita ke neraka. Nauzubillah!"

Anak ketiga: "Mata juga mesti berpuasa. Malahan mesti sentiasa tunduk dan dipalingkan dari melihat perkara yang dilarang Allah. Apabila pandangan tidak dijaga, hati akan gundah gulana. Pernah seorang alim berkata, "Aku pernah terlihat perkara yang dilarang, al-Quran yang telah aku hafaz selama 40 tahun hilang dari ingatan dalam sekelip mata! Ingatlah, jika mata dibiarkan sebebasnya ia akan membawa hati kepada kehancuran!"

Anak keempat: "Telinga orang mukmim juga ikut berpuasa. Telinga orang yang berpuasa mesti dijauhkan daripada mendengar perkataan-perkataan jahat dan keji. Telinga mesti digunakan untuk mendengar ucapan yang baik dan nasihat berguna."

Anak kelima: "Sememangnya sewaktu berpuasa perut menahan lapar hingga waktu berbuka. Apabila berbuka, perut hendaklah diisi secara sederhana dan tidak berlebihan. Makanan yang mengisi perut mestilah halal. Begitulah hakikatnya berpuasa yang Allah kehendaki. Tidak ada yang lebih mengetahui sama ada kita betul-betul berpuasa atau sebaliknya, melainkan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat."

"Alhamdulillah! Anak-anak ibu sudah memahami ciri-ciri puasa yang Allah tuntut. Itu lebih indah daripada baju cantik yang ibu jahit ini. Apabila ibadah puasa kita sempurnakan dengan sebaik-baiknya, takwa akan memenuhi hati kita. Takwa itulah sebenarnya pakaian cantik untuk orang beriman. Kejayaan sepanjang berpuasa itulah yang akan mengindahkan Syawal yang dinanti-nantikan." Si ibu mengakhiri sambil mengusap lembut kepala anak gadisnya yang bongsu dan memeluk kelima-lima puteri kesayangannya.

Begitulah yang mesti sebati dalam diri kita setelah siri ibadah sebulan Ramadhan berjaya kita sempurnakan. Mesti sentiasa mencegah sifat buruk yang menghalangi ketaatan kita kepada perintah Allah juga menahan nafsu yang ingin menguasai akal.

BAGAIMANA PERNIAGAAN KITA?


Rasulullah ada bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya setiap hamba berada di antara dua perkara yang ditakuti. Di antara ajal yang telah pergi; tiada sesiapa pun yang mengetahui apa yang Allah lakukan pada ajal itu. Ajal yang masih ada; juga tiada sesiapa yang tahu apakah Allah akan menghukumnya nanti? Maka setiap hamba mestilah mengambil perhatian tentang diri masing-masing. Perhatikan di dunia untuk akhiratnya. Dan di waktu muda sebelum tua. Maka demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya, selepas mati tiada ratapan lagi. Selepas dunia ini, tidak ada tempat lagi selain dari syurga atau neraka!”

Alangkah bernilainya masa, bukan sekadar untuk kepentingan hidup di dunia sahaja, malahan juga untuk memperolehi kebahagiaan di akhirat kelak. Sangat rugi kehidupan di dunia ini seandainya kita terpedaya dan lalai semata-mata dengan keindahan dunia sahaja, sehingga terhalang dari melakukan sebarang amal soleh. Justeru itu, kita sepatutnya bertindak segera menepati maksud sabda Rasulullah,
“Setiap hamba pada hari kiamat tidak dapat mengorak langkah ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal siasat tentang empat perkara:
• umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?
• masa remajanya bagaimana dia menghadapi ujian waktu itu?
• hartanya bagaimana dia memperolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
• ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?” (HR Muaz bin Jabal r.a)


Masa Modal Hidup

Detik-detik kehidupaman umpama saham modal sepanjang hayat. Elakkan membuang masa kerana ianya satu penganiayaan kepada diri sendiri. Masa remaja yang Allah kurniakan juga merupakan amanah kepada setiap diri kita. Ia merupakan peringkat kemampuan dan kekuatan yang teguh. Juga merupakan peringkat kesatriaan yang gigih menanggung beban dan ujian, tidak wajar mengabai dan membazirkannya begitu saja.

Merenungi jadual beribadah sepanjang hari dalam bulan Ramadhan akan memberi kefahaman yang jelas kepada kita, bahawa ajaran Islam membimbing kita merancang seluruh masa kehidupan dengan rapi dan teliti. Bermula dengan waktu bersahur, kita sudah mulai mendisiplinkan masa. Kemudian setiap ibadah yang khusus dilakukan sepanjang berpuasa Ramadhan juga ada masa yang telah ditetapkan untuk melaksanakannya. Seumpama solat tarawih dan mengeluarkan zakat fitrah dan berbuka puasa, telah ditetapkan waktunya. Jika ibadah-ibadah tersebut dilakukan di luar waktunya, ia dikira batal dan tidak diterima. Hal sedemikian mendidik setiap diri mukmin supaya bersegera menunaikan perintah Allah tepat pada waktunya.

Jika kita menyingkap bagaimana generasi para sahabat Rasulullah memanfaatkan masa kehidupan mereka, kita akan turut termotivasi. Mereka berpegang pada prinsip, ‘Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Hari esok mesti lebih baik dari hari ini.’ Seandainya prinsip ini kita bawa dalam ibadah berpuasa kita pada Ramadhan tahun ini, ia akan menjadi begini; ‘Ibadah Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Ibadah Ramadhan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini.’ Jika sedemikian yang sedang kita usahakan sekarang, seizin Allah kita akan sentiasa berusaha untuk tidak mensia-siakan peluang melaksanakan sebaik mungkin ibadah pada Ramadhan tahun ini. Kerana pada hakikatnya kita tidak tahu samaada kita akan bertemu Ramadhan di tahun hadapan.

Semoga usaha kita mendisiplinkan diri menjalani ibadah Ramadahan tahuni ni berjaya membina kesedaran dan tindakan yang meingimbangi antara perhatian terhadap dunia dan persiapan untuk akhirat. Sehubungan dengan hal ini, sewajarnya kita sentiasa bersegera merebut keutamaan dan keuntungan yang telah Rasulullah sebutkan,
“Rebutlah keuntungan dalam masa lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain:
• hidup sebelum mati
• sihat sebelum sakit
• lapang sebelum sibuk
• muda sebelum tua
• kaya sebelum miskin.”

Seorang ulamak, Syeikh Al-Minawi juga ada berkata,
“Seorang yang telah akil baligh boleh diumpamakan seperti seorang peniaga. Kesihatan dan kelapangan baginya, bagaikan modal yang membolehkannya untuk mendapat kejayaan dan keuntungan. Sesiapa yang bekerja di jaln Allah denagn mematuhi setiap suruhan-Nya, nescaya beruntung. Maka sesiapa yang bekerja ke jalan syaitan dengan mengikut bisikan syaitan, maka akan hilang permodalan hidupnya.”


Siapa Untung Siapa Rugi

Bertepatan dengan disiplin masa beribadah yang Allah tetapkan sepanjang bulan Ramadhan, sewajarrnya juga kita fahami tuntutan di dalam surah Al-Asr yang bermaksud;
“Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan ama soleh. Dan saling menasihati dalam mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dalam menepati kesabaran.” (QS Al-Asr:1-3)

Dengan meneliti maksud ayat tersebut, fahamlah kita manusia itu semuanya berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang menepati ciri-ciri yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Dengan saling memperingatkan dan menasihati, akan dapat mengelak diri dari terjerumus ke dalam jurang kehancuran!

Seiring dengan kita melaksanakan sebaik mungkin ibadah puasa kita pada Ramadhan tahun ini, mari kita tepati pembahagian waktu sepertimana yang telah Rasulullah tunjuki berdasarkan kitab Nabi Ibrahim;
“Sewajarnyalah setiap yang berakal selagi akal fikirannya tidak hilang, hendaklah dia membahagikan masanya kepada empat waktu:
• waktu untuk bermunajt/berzikir kepada Allah
• waktu untuk bermuhasabah sendiri
• waktu untuk berfikir berkaitan ciptaan dan kebesaran Allah
• waktu mencari rezeki dan nafkah hidup
Ingatlah pesanan Umar Al-Faruq,
“Hisablah dirimu sebelum Allah menghitungmu dan timbanglah dirimu sebelum Allah menimbang, serta bersiap-sedialah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar, iaitu hari kiamat.”

PUASA BERKUALITI


Wahai Pemuda-Pemudi Harapan!


Pertamanya, mari kita mengucapkan rasa syukur kepada Allah Yang Maha Esa. KepadaNya bergantung segala sesuatu. Segala apa jua nikmat yang kita perolehi adalah kurniaan Allah. Maka hanya bagi Allah segala puji dan syukur. Berlindunglah kepada Allah dari menyekutukanNya dengan sesuatu yang kita ketahui, maupun yang tidak diketahui. Sentiasalah menyedari hakikat diri kita sebagai hamba Allah. Oleh itu cukuplah Allah sebagai pelindung kita dan hanya kepadaNya kita patut bertawakkal.

Kini kita berada dalam dakapan Ramadhan Al-Mubarak. Bersamanya berarak lembayung rahmat dari Allah, seluas langit dan bumi. Sekiranya digambarkan kepada sesuatu yang indah, Ramadhan umpama taman untuk istirehat sebentar bagi musafir dunia yang dalam perjalanan menuju kampung akhirat. Sudah tentu masa istirehat sebentar itu sangat berharga untuk menambah bekalan guna menyambung perjalanan yang jauh.

Pada hakikat sebenarnya, ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan bekalan penting untuk menjalani kehidupan pada 11 bulan berikutnya. Dengannya nanti seluruh perjalanan hidup terjurus kepada matlamat mencari keredhaan Allah.

Puasa juga merupakan latihan yang dapat meluruskan disiplin diri. Kebiasaan buruk seumpama malas dan suka menangguhkan tanggungjawab juga akan dapat di ubah sekiranya puasa yang dijalani merupakan puasa yang berkualiti.

Perlu kita ingat, diwajibkan ibadah puasa bagi setiap mukmin adalah untuk tujuan besar;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 83)

Taqwa itu sesuatu yang besar peranannya dalam kehidupan setiap diri mukmin sepertimana maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq: 2-3); “Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan dan diberi rezeki dari arah yang tidak diduga.”

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ditanya; “Siapakah manusia yang paling mulia?”
Baginda menjawab; “Yang paling bertaqwa.”

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a , Nabi SAW mengajarkan doa: “Ya Allah aku mohon kepadaMu hidayah, jiwa yang bertaqwa, kesopanan dan kekayaan.”(HR Muslim)

Di bulan yang barakah ini, kejahatan berkurangan di muka bumi kerana seluruh kaum muslimin sedang sibuk menunaikan ibadah puasa yang mengekang hawa nafsu.
Syaitan yang sentiasa sibuk menggoda manusia pula telah dirantai sepanjang bulan mulia ini, seperti maksud sabda rasulullah SAW; “Pintu-pintu rahmat di buka, pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.”

Setiap diri mukmin yang berpuasa sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menyekat kemasukan syaitan melalui aliran darah manusia. Rasa haus dan lapar itu sendiri sebenarnya dapat menimbulkan kesabaran untuk menawan syahwat dalam diri. Sedangkan lazimnya di bulan-bulan lain di mana syaitan bebas berkeliaran, manusia sentiasa terperangkap antara bisikan syaitan dan dorongan syahwat.

Dalam suasana tenang dan penuh barakah di bulan mulia ini, apa jua usaah untuk mendipsiplinkan diri beribadah kepada Allah akan menjadi lebih mudah. Semestinya kesempatan sedemikian digunakan sebaik-baiknya untuk memperoleh puasa berkualiti.
Untuk tujuan itu, puasa mestilah dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi sudut-sudut berikut:

1. Sudut Jasmani
Puasa jasmani tidak hanya menahan rasa lapar dan dahaga, malahan menahan anggota tubuh kita dari sebarang perbuatan buruk dan tidak diredhai Allah. Perkara-perkara buruk yang dimaksudkan lazimnya menguasai lidah, mata dan telinga. Lidah dapat menjurus kita ke syurga sekiranya digunakan untuk zikrullah. Lidah juga boleh menjerumuskan kita ke neraka sekiranya digunakan untuk mengumpat, memfitnah serta menyakiti hati orang lain.

Dari itu sewaktu berpuasa lidah semestinya dicegah dari berbohong, mencela dan berkata kotor.
Pandangan mata pula akan mempengaruhi dan merosakkan hati jika tidak dikawal dan ditundukkan. Tatkala berpuasa, pandangan mata mesti sentiasa diarah melihat perkara-perkara baik. Elakkan dari melihat sebarang bentuk keburukan.

Orang yang berpuasa juga sepatutnya mengarahkan telinganya mendengar ayat-ayat Allah serta kata-kata peringatan dan kebaikan. Usah dibiarkan kata-kata keji dan nyayian yang diharamkan menyelinap masuk pendengaran yang sedang menjalani ibadah puasa.

2.Sudut Rohani
Ibadah puasa mampu menghaluskan perasaan dan memurnikan hati. Juga dapat menimbulkan rasa terikat dan pengharapan yang tinggi terhadap ganjaran dan pertolongan Allah. Setelah menjalani latihan mengekang nafsu secara intensif, iman mudah berfungsi secara amali. Tidak sekadar pengakuan semata-mata.

Di siang hari jiwa mukmin dilatih bersabar menanggung kesusahan dan kekurangan. Juga menghindarkan diri dan jiwa dari terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dusta.
Malamnya pula jiwa diteguhkan dengan megerjakan solat-solat sunat. Ditambah lagi dengan keistimewaan dan rahmat malam Lailatul Qadar. Semua ini memantapkan keyakinan dan ketaatan kepada Allah.

Meskipun demikian, hati orang yang berpuasa benar-benar diuji perihal kejujurannya.dalam terang-terangan, maupun sembunyi. Keikhlasan kerana Allah mesti diberi perhatian. Perasaan sombong dan angkuh mesti dihindari. Hal inilah yang sering digalakkan oleh syaitan.

Begitu juga dengan sifat iri-hati dan hasad-dengki, kedua-duanya menghancurkan segala amalan yang telah dilakukan. Dari itu setiap diri mukmin hendaklah membersihkan jiwanya dengan menunaikan ibadah puasa semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.

3. Sudut Akal
Ibadah puasa bukan sekadar mampu membersihkan jiwa mukmin malahan turut dapat menjernihkan akal fikiran mukmin. Dengan itu kita mampu untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Seterusnya mampu berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah.

Di samping mampu untuk berterusan berjuang melawan nafsu yang bertentangan dengan sifat sabar. Fikiran yang bersih sewaktu berpuasa dapat menerbitkan pandangan penuh belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan bantuan. Bersedekah akan menjadi mudah kerana fikiran yang sentiasa peka terhadap kesusahan orang lain.

Ketika berpuasa juga, fikiran mudah menghitung kebaikan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan. Sebagai mensyukuri segala anugerah Allah, mukmin yang taat akan mengisi masa siang dan malam di bulan Ramadhan dengan membanyakkan zikir dan membaca Al-Quran. Suasana begini berfungsi memelihara akal dari kecenderungan memikirkan perkara yang melalaikan.

Sebagai kesimpulan, semoga pada Ramadhan tahun ini kita mampu menyemak dengan teliti satu-persatu secara menyeluruh sudut-sudut yang berkaitan kesempurnaan ibadah puasa. Semuanya perlulah benar-benar berkualiti;

Bermula dengan sahur hinggalah kepada berbuka yang teratur dengan baik.
Memersihkan pancaindera dari pandangan terlarang,
Pendengaran kepada perkara tidak berguna,
Perkataan dan tindakan sia-sia.

Kemudian perbanyakkanlah;
Zikir dan doa,
Tingkatkan ibadah malam,
Bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan

Wallau'alam.

TAKWA SEBAIK-BAIK PAKAIAN



Wahai setiap remaja muslim yang bertakwa!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS Al-Hadiid: 28)

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.”(QS Ath-Thalaaq: 2-3)

Merenungi makna dua potong ayat di atas, dapatlah kita fahami betapa beruntungnya orang yang bertakwa;

1. Beroleh limpahan rahmat dan kebahagiaan dalam hidup.

2. Dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.

3. Sentiasa di jalan kebenaran sepanjang hayatnya dan mampu juga membimbing orang lain kepada kebaikan.

4. Mudah beroleh jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah-masalah berat.

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah berkaitan takwa, menggariskan beberapa kekuatan yang terbit dari takwa;

1. Takwa sebagai bekalan sepanjang hayat yang akan menggugah akal dan hati supaya sentiasa waspada dari terpesong kepada kebatilan.

2. Takwa menjadi sumber cahaya yang menyuluh jalan hidup mukmin supaya tidak meraba-raba dalam kejahilan.

3. Takwa menghapuskan dosa dan menerbitkan ketenteraman jiwa.

Takwa yang memenuhi jiwa akan menjadi furqan atau pembedza yang memudahkan usaha memisahkan yang benar dari yang salah. Dengan ini takwa boleh disifatkan sebagai pakaian yang melindungi hati, jiwa dan kalbu setiap mukmin. Takwa sebagai pakaian ruhaniyah akan mampu pula melindungi dari tipu-daya syaitan dan hawa nafsu. Boleh juga dikatakan takwa sebagai satu-satunya perisai yang mampu menyingkirkan desakan nafsu. Sewaktu menjalani ibadah puasa, nafsu akan mudah ditundukkan. Serentak dengan itu takwa terbina dalam kesempurnaannya yang teguh.

Menyedari hakikat takwa sedemikian rupa membuat saya bertekad untuk segera mematuhi tata cara menjalani ibadah puasa dengan sebaik-baiknya. Semoga nanti saya turut beroleh kemampuan mengingatkan rakan-rakan remaja yang lain untukbersungguh-sungguh membina takwa sewaktu berpuasa.

Kembali Kepada Fitrah

Suatu ketika, pernah saya termenung memikirkan perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang termasuk juga diri saya sering dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Kadang kala jiwa terasa sangat sepi dan hampir-hampir hilang keyakinan diri. Hidup terasa hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Beginilah lazimnya keadaan kita jika pakaian takwa yang membaluti jiwa tidak kita gunakan dengan sempurna.

Apabila saya pujuk hati untuk bertekad menjadi hamba Allah yang bertakwa, tergambarlah dalam fikiran saya kesan takwa yang menguasai hati;

1. Sudah tentu hamba-hamba Allah yang bertakwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa.

2. Mereka yang kuat takwanya akan sentiasa tenang ketika orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan.

3. Orang yang bertakwa mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain berkeluh-kesah dan buntu fikiran.

Dari sinilah saya mula menginsafi diri untuk mencari cara yang pratik bagi menjalani hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Saya sangat tergugah untuk berkongsi sesuatu yang sangat asas bersama-sama remaja yang lain. Supaya kita bersama-sama berusaha menanamkan kefahaman yang tepat dan tindakan yang berkesan. Sesungguhnya hakikat iman dan takwa perlu dilaksanakan secara praktik, tidak hanya diperbincangkan sahaja.

Mari kita renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Berpandukan maksud ayat tersebut, dapatlah difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) yang terbaik. Islam menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupannya. meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Ini juga bermakna kita mesti menyempurnakan tugas sebagai khalifah Allah. Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab selaku khalifah Allah di atas muka bumi mesti berterusan sepanjang hayat kita. Inilah fitrah kehidupann insan yang menjadi asas kepada pembentukan iman dan takwa.

Langkah Lengkap Menanam Iman dan Takwa

Perlulah sentiasa kita ingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti dan laksanakan bersungguh-sungguh keseluruhan langkah membina iman dan takwa seperti berikut;

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun dalam segala urusan-Nya.
  • Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad pula merupakan penutup para nabi dan rasul dan dianugerahkan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita yakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang yang engkar dan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang berhak disembah.
  • Manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan di atas apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Apabila langkah-langkah tersebut mampu kita laksanakan sepenuhnya, kemudian secar beransur-ansur akan kita rasai kesan yang sungguh mendalam di hati. Akan juga jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku kita. Merangsang tindakan dan amal perbuatan sehinggalah kita mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh kereda Ilahi.

Iman yang mendalam dan takwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan takwa saling mendorong kita kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Justru itu sewajarnyalah kita sematkan baik-baik dalam hati dan sejajarkan dalam tindakan menepati maksud firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 10-11;

“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”