UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MAMPUKAH KITA MECONTOHINYA?


**Sekali lagi saya siarkan kisah ini supaya dapat kita jadikan panduan; terutama bagi kalangan wanita muslimah masa kini yang sentiasa berhadapan dengan berbagai cabaran yang menguji keteguhan iman ...

Ummu Sulaim binti Milhan juga dikenali sebagai Ar-Rumaishaa’. Beliau merupakan wanita solehah yang telah banyak meninggalkan contoh ikutan kepada seluruh wanita Islam sehingga ke hari ini. Satu contoh unggul dalam kehidupan rumahtangga Muslim dan kegigihan menyertai perjuangan Rasulullah. Beliaulah ibu kepada Anas bin Malik.

Sebelum memeluk Islam, beliau telah berkahwin dengan Malik bin An Nadhr, bapa Anas bin Malik. Ummu Sulaim telah memeluk Islam bersama-sama kaumnya. Sedangkan suaminya Malik bin An Nadhr enggan memeluk Islam. Ketika itu Anas bin Malik masih kecil dan baru saja berlajar bertutur, namun telah boleh melafazkan kalimah syahadah.

Keengganan suaminya memeluk Islam dan mengambil keputusan meninggalkan Ummu Sulaim membesarkan Anas bin Malik sendirian tidak mematahkan semangatnya. Ummu Sulaim cekal membuktikan cinta kasihnya hanya untuk Islam. Beliau lebih mencintai kehidupan di jalan kebenaran Islam. Dia berazam tidak berkahwin lagi selagi anaknya belum dewasa dan menumpukan sepenuh masa mendidik Anas bin Malik menjadi seorang yang bertakwa dan berilmu. Juga bertekad hanya akan berkahwin jika dipersetujui oleh anaknya Anas.

Sewaktu Rasulullah berhijrah ke Madinah, Anas bin Malik sudah berusia sepuluh tahun. Ummu Sulaim berkata kepada Rasulullah:

“Kebanyakan kaum Ansar lelaki dan perempuan, menghadiahkan sesuatu kepada tuan. Saya tidak punya apa-apa selain anak lelaki ini. Ambillah dia sebagai budak suruhan, supaya dia berkhidmat dan belajar dari tuan.”

Ummu Sulaim sebenarnya sangat berhajat anaknya Anas bin Malik menjadi sebaik-baik manusia. Berkat kesungguhan ibunya dan doa-doa Rasulullah, Anas bin Malik menjadi seorang alim yang banyak meriwayatkan hadis dan memberi fatwa. Ketika Anas bin Malik telah menjangkau usia dewasa, datanglah Abu Talhah melamar ibunya. Abu Talhah menawarkan mas kahwin yang tinggi, untuk menarik perhatian Ummu Sulaim. Namun ketika itu Abu Talhah masih lagi kufur.

Ummu sulaim yang begitu teguh pendirian dan mendalam kecintaanya kepada Islam dengan tegas menjawab:

“Wahai Abu Talhah! Bagaimana boleh menjadi isterimu kerana engkau masih kufur. Kau masih nmenyembah batu dan kayu. Aku tidak mengharapkan mahar yang tinggi. Aku hanya menerimamu setelah engkau memeluk Islam. Memadai keIslamanmu menjadi mahar paling mahal.”

Sekali lagi terbukti cinta dan kasih Ummu Sulaim hanya untuk Islam. Permintaan Ummu Sulaim begitu rupa menjadi tamparan hebat buat Abu Talhah. Tetapi apabila difikirkan semula dengan mendalam, Abu Talhah telah rela memberi persetujuan terhadap syarat yang diminta Ummu Sulaim. Abu Thalhah segera menyatakan persetujuanya kepada permintan Ummu Sulaim dan berharapan besar Ummu Sulaim akan menerimanya dengan senang hati.

Bagi Ummu Sulaim sendiri, beliau masih berpegang kepada janjinya inginkan persetujuan dari Anas bin Malik terlebih dahulu. Setelah Anas bin Malik mepersetujui ibunya berkahwin dengan Abu Talhah, barulah Ummu Sulaim menyatakan kesanggupannya menjadi isteri Abu Talhah. Mas kahwinnya cukup dengan Abu Talhah mengucapkan dua kalimah syahadah. Itulah mas kahwin termahal bagi Ummu Sulaim sebagai bukti cinta dan kasihnya hanya untuk Islam. Bagaimana jika hal demikian dibawa ke dalam kehidupan kita pada hari ini?

Memang ramai yang akan merasa aneh; bagaimana seorang perempuan rela berkahwin dengan mas kahwin semudah itu? Tiada emas, permata dan wang hantaran beribu-ribu juga pelamin bertingkat-tingkat. Berbanding dengan kebiasaan hari ini setiap majlis perkahwinan diraikan dalam majlis gilang gemilang dan besar-besaran. Namun kebahgian dalam rumah tangga Ummu Sulaim dan Abu Talhah telah diasaskan dengan kecintaan sepenuhnya untuk Islam. Abu Talhah sendiri tealh mengorbankan kekufurannya semata-mata mengharapkan beroleh kehidupan yang diredai Allah.

Segala pengorbanan mereka seisi keluarga yang diikhlaskan untuk Islam, tidak Allah sia-siakan. Mereka telah dikurniakan anak-anak yang soleh. Salah seorang diantaranya, Abdullah bin Abu Talhah.Abdullah pula beroleh anak lelaki bernama Ishaq bin Abdullah bin Abu Talhah yang merupakan tokoh ilmu fiqh yang terkenal. Terbukti segala pengorbanan demi kecintaan kepada Islam tidak sia-sia. Kini terpulang pula kepada kita bertindak menyesuaikan langkah dalam kehidupan untuk menepati yang Allah reda.

Wallahu’alam.



KEMBALI KEPADA FITRAH

Anak-anakku yang gigih berusaha meraih redha Ilahi,

Terbentang di hadapan kalian perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30,

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Berpandukan ayat tersebut, dapat difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) ciptaan Allah SWT. Ianya menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Juga dengan lain perkataan pelaksanaan sempurna selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Semestinya kita berpegang teguh dengan prinsip ini sepanjang hayat kita. Fahami penjelasan Rasulullah SAW dalam sabdanya,

“Kamu mesti berpegang dengan sunnah hingga sekalipun sampai ke akhir zaman yang wujud dua golongan penyeru. Ada penyeru yang berada di ambang neraka dan ada segolongan lagi penyeru ke jalan kebaikan. Sahabat-sahabat Rasulullah bertanya: Bila terjadi yang demikian, apa yang mesti kami lakukan? Sabda baginda: Kamu mestilah berjalan dalam jemaah. Kalau tidak ada jemaah, kamu gigit sunnahku ini dengan geraham hingga kamu mati.”

Anak-anakku yang tekun beribadah,

Perlulah sentiasa diingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti berkaitan pegangan kita terhadap akidah Islam.

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
  • Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
  • Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Yakinlah anak-anakku,

Hakikat iman kepada Allah SWT, merupakan hakikat terbesar dalam kehidupan insan. Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi.

Iman mendalam dan taqwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan taqwa saling mendorong kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Anak-anakku,

Ingatlah firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.” (QS Az-Zumar: 10-11)

Akhirnya sentiasalah berdoa:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

KETAATAN MUTLAK

Mari Merenung...!


Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan betapa besar peranan setiap diri muslimah mukminah mujahidah yang saling memperteguhkan semangat juang para pondokong dan pencinta deen Allah. Justeru, perhatikan dengan teliti satu persatu peribadi muslimah contoh yang telah mengindahkan warna kegemilangan silam...

Sumaiyyah binti Khayyat merupakan syahidah muslimah yang pertama. Sumaiyah bersama suaminya Yasir dan anaknya Amar diheret ke tengah padang pasir yang gersang. Ketika sinar mentari begitu terik dan debu-debu sahara berterbangan, mereka dipakaikan baju besi yang tebal. Ditaburkan pasir yang panas dan ditindih dengan batu besar lagi pejal. Gambarkan betapa peritnya penyeksaan masa itu sehingga Amar dan Yasir melafazkan pengakuan palsu bertujuan melepaskan diri. Namun Sumaiyah terus berpegang dengan kesabaran. Beliau tetap teguh dengan pendirian untuk menegakkan kalimah – ‘Laila hailallah Muhammadur Rasulullah’. Lantas Abu Jahal menikamnya dengan tombak sehingga mengangkat roh Sumaiyyah menjadi wanita Islam pertama mendapat syahid. Semoga Allah meredhainya…

Selepas Sumaiyah, ramai lagi wanita Islam contoh yang telah sanggup menerima berbagai-bagai bentuk penyeksaan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah SWT penyeksaan dan penindasan tidak melemahkan iman mereka. Malah, mereka semakin sabar, redha dan menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya kebanggaan terhadap keunggulan Islam serta keyakinan terhadap kekuatan iman telah memampukan mereka menghadapi berbagai-bagai ancaman. Fenomena begini terjadi dalam setiap zaman selama muslimin dan muslimat melaksanakan tuntutan Islam secara menyeluruh. Kekuatan yang menyusulinya akan pula menyelamatkan muslim mukmin daripada terjatuh ke dalam lumpur keingkaran. Juga melindungi daripada menyeleweng ke dalam gelombang kebatilan.

Semua ini ditambah lagi dengan tidak meletakkan di hati sebarang idola selain Allah dan mengambil Rasulullah SAW sebagai “role model” (contoh ikutan). Hanya Allah yang layak disembah dan dipatuh. Hasilnya, wujud keadaan di dalam hati setiap wanita Islam sejati nyalaan bara iman yang tidak akan padam. Begitulah seperti yang dapat kita lihat pada keteguhan iman Asiyah isteri Firaun.

Meskipun Asiyah dihamparkan dengan berbagai-bagai kemewahan dan keindahan perhiasan dunia, namun hatinya tidak dapat diubah untuk mempertuhankan Firaun. Sehingga akhirnya Firaun mengancam untuk meragut nyawanya, dia tetap teguh dengan penyembahan kepada Allah yang Maha Esa. Azab dan penyeksaan pedih yang diberi suaminya dipandang ringan oleh Asiyah lantaran teguhnya kesetiaan kepada Maha Pencipta. Asiyah sentiasa mengulang-ulang doanya untuk menyuburkan pengharapannya kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga. Selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (QS At-Tahrim: 11)

Begitulah hasilnya, bila piala hati telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama kalian lakukan ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga perlu digembleng untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Perlu sentiasa disedari, kesejahteraan hidup umat sejagat mesti dimulai dengan meletakkan idola yang tepat pada tempat yang disyariatkan oleh Islam itu sendiri. Tersilap dalam konsep penyembahan dan pemujaan hanya akan mengganggu keharmonian alam.

Awas! Patuhi dan taati Allah dalam setiap langkah kita. Sedaya mungkin hati kita diarah mencontohi suara hati Rabiah Al-Adawiyah:

Ya Rabb! Aku mencintai-Mu kerana dua sebab;

Pertama cintaku kerana nikmat-Mu,

Kedua aku cintakan Engkau

Kerana memang patut Engkau dicintai.

Cinta pertama menyibukkan aku sentiasa mengenang-Mu

Cinta kedua membuat aku merasai

Engkau melihat dan menerima cintaku.

Kedua-dua cinta ini

Membuatku hanya memuja-Mu.

Hanya hak-Mu untuk disanjung dan dipuja.

SEMPURNAKAN AKHLAK

Pemuda-Pemudi Islam harapan!

Kalian harapan watan, selaku pewaris yang mencontohi setiap langkah anbia. Berilah perhatian serius kepada usaha memperelok akhlak. Justeru diri kalian menjadi contoh dalam usaha mengajak remaja lain kepada kebenaran.

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Sayidatina Aisyah r.a. apabila ditanya bagaimana tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah adalah al-quran.”

Sehubungan dengan itu juga, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”

Membangun Akhlak Al-Quran

Dalam catatan sejarah Islam, Rasulullah SAW dan para sahabatnya biasa disebut sebagai “al-quran yang berjalan.” Ini bermaksud daripada peribadi baginda dan para sahabatnya terserlah pengaruh dan kesan didikan al-quran. Rasulullah SAW dengan bimbingan wahyu Allah melalui mukjizat al-quran telah berjaya membentuk satu generasi yang bersih hati dan pemikirannya. Juga murni pegangan dan perjalanan hidupnya di atas landasan Ilahi dan bebas dari sebarang unsur yang menyimpang. Semuanya tertumpu kepada panduan al-quran dan hadis. Di situlah sumber kekuatan yang telah menghasilkan sejarah gemilang untuk seluruh umat.

Generasi tersebut yang diberi jolokan “generasi al-quran yang unik” berjaya memiliki akhlak unggul kerana mereka mengambil al-quran sebagai rujukan dengan sepenuh hati. Ikhlas menerima perintah Allah yang terkandung di dalam al-quran dan bersungguh-sungguh menzahirkannya dalam amal perbuatan. Juga benar-benar meyakini al-quran sebagai pemisah di antara hak dan batil.

Anak-anakku,

Dalam usaha kita mencontohi akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW, sewajarnya kita mengambil didikan al-quran sepertimana yang dilakukan oleh barisan sahabat baginda yang mengamalkan dasar “belajar untuk melaksanakan terus” bukan sekadar “belajar untuk mengetahui” sahaja.

Semoga dengan itu secara beransur-ansur kita mampu melatih diri untuk menerapkan akhlak mulia yang telah Rasulullah SAW laksanakan:

  • Jujur – berlaku benar dalam perbuatan dan tidak berdusta dalam perkataan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kejujuran itu akan menghantar kepada kebajikan, dan kebajikan itu akan menghantar ke syurga. Dan seseorang sentiasa berkata benar dan jujur hingga tercatat di sisi Allah sebagai orang yang benar dan jujur. Dan sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan, yang akhirnya akan menghantar ke dalam neraka. Dan seseorang sentiasa berdusta hingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (HR Bukhari dan Muslim)
  • Malu – yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah malu dalam melakukan sebarang bentuk keburukan. Di samping itu merasai Allah sentiasa memerhati dan mengetahui setiap perlakuan hamba-hamba-Nya. Apabila perasaan malu berada dalam sesuatu hal dan keadaan, ianya akan menambah baik semuanya.
  • Dermawan – berinfaq dan bersedekah di jalan Allah dengan hati yang ikhlas, Allah hitung sebagai pinjaman yang akan dibayar dengan ganjaran berlipat kali ganda. Sepertimana maksud firman Allah, “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.” (QS Al-Hadid: 11)
  • Adil dan Saksama – berlaku adil dalam semua keadaan dan terhadap semua manusia, merangkumi kawan dan lawan maupun orang-orang kafir. Ini bertepatan maksud firman Allah, “Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil meskipun ia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji Allah yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.” (QS Al-An’am:152)
  • Menepati Janji – “Hendaklah kamu menepati janji, sesungguhnya manusia itu akan dipertanggungjawabkan tentang janjinya.” (QS Al-Isra’: 34)
  • Sabar – bersabar dalam melakukan ketaatan, bersabar meninggalkan maksiat dan bersabar menghadapi takdir Allah. Dengan bersabar, seseorang akan menjadi orang yang baik dan sentiasa berbuat baik.
  • Saling Bantu-Membantu – dalam melakukan kebaikan dan taqwa. Sepertimana maksud firman Allah, “Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah.”
  • Bersifat Kasih-Sayang – Sabda Rasulullah SAW, “Perupamaan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang dan tolong-menolong adalah laksana satu tubuh. Apabila menderita salah satu anggota tubuh, maka seluruh tubuhnya turut berjaga dan merasakan sakitnya.”
  • Kuat dan Tabah – Mukmin yang kuat adalah lebih Allah sukai daripada mukmin yang lemah. Sedapatnya mesti sentiasa berusaha memperoleh kebaikan dan elakkan dari merasa lemah. Jangan menjadi “pak turut”, hanya mengikuti kebanyakan manusia. Sekiranya manusia lain dalam kebaikan, hendaklah dicontohi. Namun sekiranya wujud suasana kejahatan, hendaklah menjauhi kejahatan yang berlaku.

Perlu juga diketahui, sistem akhlak Islam bersifat syumul (menyeluruh) dan lengkap. Ini bermaksud akhlak Islam itu luas merangkumi tabiat individu, masyarakat dan negara. Setiap Muslim diwajibkan mematuhi dan memelihara akhlak Islam kerana ianya tertakluk kepada larangan dan perintah. Setiap pelanggaran terhadap perintah Allah diancam dengan seksa dan azab. Manakala bagi yang mematuhi sistem akhlak Islam akan beroleh ganjaran dan pahala. Semua ini untuk menjamin kesejahteraan hidup insan, kerana Islam juga bersifat universal.

SEBAIK-BAIK BEKALAN

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah taqwa telah mendapat pengiktirafan mutlak dan tinggi dari Allah s.w.t; “... Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (Al-Baqarah: 197)

Darjat manusia selaku hamba Allah turut tertingkat sekiranya taqwa memenuhi jiwa; “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa”. (Al-Hujuraat:13)

Dengan taqwa juga kalian akan beroleh perisai paling kebal dan petunjuk paling jelas bagi menangkis berbagai godaan dan bisikan syaitan bertepatan maksud firman Allah; “Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu apabila ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (Al-A’raaf:201)

Juga perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-Hadidayat 28; “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya supaya Dia memberi kepadamu dua kali ganda dari rahmatNya dan memberikan kepadamu cahaya yang kamu perlukan untuk berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Begitulah anak-anakkuku ,

Pada setiap perintah Allah ke atas kita pasti mengandungi hikmah yang sungguh besar dan sangat kita hajatkan di sepanjang hayat kita di dunia. Malahan akan menentukan pula tempat kembali kita di akhirat kelak. Begitu juga dengan taqwa yang sedang kita teliti, merupakan bekalan utama yang dapat memastikan kelancaran perjalanan hidup kita pada landasan kebenaran. Justru itu, marilah sama-sama kita dalami hakikat taqwa yang dijelaskan oleh para sahabat dan ulamak;

Taqwa adalah buah (natijah/hasil) dari keimanan yang kukuh/mendalam yang dipupuk dengan rasa pengawasan Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Taqwa menghindarkan setiap mukmin dari melakukan larangan Allah, juga mendorong terlaksananya segala perintah yang dituntut.

Taqwa dapat mencegah diri mukmin dari azab Allah dengan sentiasa berbuat amal soleh. Juga khuatir terhadap kemurkaan Allah, disamping sentiasa mengharap rahmat dan keredhaanNya.

Seterusnya yang lebih penting dalam persoalan taqwa adalah bagaimana dapat kita bina taqwa dalam diri secara praktik?

Bagi memastikan taqwa berjaya terbina di dalam diri setiap mukmin, perlulah diwujudkan beberapa keadaan berikut:

1. Mu’ahadah - mengingati perjanjian. (Q. S. 16:9)

Seseorang mukmin perlu selalu berkhalwat (menyendiri/hanya antara dia dan Allah,) untuk menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah. Ingatlah setiap hari paling minima kita berjanji sebanyak 17 kali dalam solat-solat fardhu sebanyak lima waktu; “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah”.

2. Muraqabatullah - merasakan pengawasan Allah. (Q. S. 26: 218-219)

Merasakan Allah sentiasa bersama, melihat dan mengawasi setiap pergerakan hamba-hambaNya dalam sembunyi maupun terang-terangan.Oleh itu, setiap kali seorang mukmin ingin melakukan apa jua perkara mestilah dipastikan samaada perlakuan itu semata-mata kerana Allah, atau sebaliknya kerana kepentingan pribadi dan memperoleh pujian manusia.

3. Muhasabah - koreksi diri. (Q. S. 59:18)

Setiap mukmin hendaklah menghisab/menghitung selepas selesai mengerjakan apa jua amal perbuatan, samada perlakuannya semata-mata untuk beroleh redha Allah atau dikuasai rasa riya’dan takabbur.

4. Mu’aqabah - menebus dan membersihkan kesalahan. (Q. S. 2:197)

Setiap kali diri mukmin tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah pula memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Usah dibiarkan bertompoknya kesalahan demi kesalahan hingga terperangkap dalam dosa yang menyukarkannya membersihkan maruah diri.

5. Mujahadah - bersungguh-sungguh berjihad untuk beroleh keredhaan Allah, terutama melawan hawa nafsu sendiri. (Q. S. 29:69)

Bilamana seseorang mukmin dikuasai kemalasan, suka istirehat, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab dan perintah Allah tepat pada waktunya, mestilah memaksa diri melakukan segala bentuk amalan lebih banyak dari sebelumnya.

Pemuda-pemudi yang gigih membina taqwa!

Yakinlah janji-janji Allah pasti benar. Hakikat taqwa sebagai sebaik-baik bekalan Allah tambahkan pula dengan ganjaran istimewa khusus bagi barisan muttaqin…

• Diberikan furqon (petunjuk yang membezakan antara yang hak dan bathil) dan diampuni dosa-dosa.

• Diberikan rahmat dan hidayah.

• Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

• Dimudahkan oleh Allah segala urusan.

• Ditutupi Allah segala kesalahannya dan dilipatgandakan pahala.

• Sentiasa beroleh barakah.

Anak-anakku,

Sebagai kesimpulan, sematkan di hati kalian kata-kata hikmah dari Khalifah Umar Abdul Aziz; “Bukanlah taqwa itu sekadar melakukan solat sunnat di malam hari dan berpuasa sepanjang siang hari. Atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi taqwa ialah melaksanakan segala yang difardhukan serentak dengan meninggalkan laranganNya. Jika diiringi amal-amal soleh yang lain..., maka ia akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.”