UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

NIKMAT TERBESAR

Pemuda-pemudi Islam yang dikasihi kerana Allah,

Iman dan Islam telah kita maklumi merupakan nikmat terbesar yang Allah kurniakan. Iman mampu menghindarkan setiap diri muslim daripada perbuatan jahat dan dosa. Sama ada yang jelas kelihatan maupun tersembunyi. Iman juga yang meletakkan hidup muslim terikat dengan pengawasan Allah. Menyedari diri tidak dapat lari daripada ketentuan dan perhitungan Allah di yaumil akhir kelak.

Iman juga berfungsi selaku pengawas dan piawaian kepada diri mukmin. Memberi panduan sebelum melakukan sebarang perbuatan. Menghisabnya setelah berlaku sesuatu perbuatan. Mencelanya setelah tersasar dari keimanan. Iman seperti inilah yang telah mengawal Nabi Yusuf a.s sehingga mampu melawan desakan nafsu dan bisikan syaitan.

Padahal ketika digoda dan dirayu oleh Zulaikha, isteri Perdana Menteri ketika itu, iman yang dimilikinya mampu menepis setiap godaan dan rayuan. Sedangkan Nabi Yusuf ketika itu dalam usia remaja yang sangat mudah terpedaya.

Setiap kali dirayu oleh Zulaikha, Nabi Yusuf sentiasa menghindarinya dengan lafaz kata-kata, “Aku berlindung kepada Allah”.

Setelah gagal merayu Yusuf a.s secara lembut, Zulaikha mula mengancam dengan kasar. Dinyatakan oleh Zulaikha kepada kalangan wanita istana, “Aku telah menggoda Yusuf agar tunduk kepada kehendakku. Tapi dia tetap menolak. Akan aku penjarakan dia supaya termasuk golongan yang hina.”

Iman yang teguh membuat Yusuf tidak berganjak daripada prinsipnya dan terus-terusan berdoa, “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan perempuan-perempuan itu. Jika tidak Engkau hindarkan aku daripada tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk memenuhi ajakan mereka, dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.”

Sehubungan dengan kekuatan iman mengawal tindakan, dapat juga kita jejaki pengajarannya melalui cebisan kisah yang menarik ini.

Seorang ulama sufi bernama Ibrahim Adham telah didatangi seorang lelaki yang terlalu lama melakukan berbagai-bagai maksiat yang berat.

Lelaki itu mengadu kepada Ibrahim Adham, “Aku seorang pendosa yang sukar dan tak mungkin dapat keluar dari lembah maksiat. Ajarlah aku sesuatu yang boleh menyelamatkan dan memberhentikan aku dari lembah maksiat.”

Ibrahim Adham menjawab,

“Kalau kamu boleh berpegang dengan lima perkara ini, nescaya kamu dijauhkan dari dosa dan maksiat:

  1. Jika akan melakukan maksiat, cari jalan Allah tidak melihatmu.
  2. Jika akan membuat dosa, jangan sesekali makan rezeki Allah.
  3. Jika masih berbuat dosa, jangan tinggal di bumi Allah lagi.
  4. Jika malaikat maut datang mencabut nyawa sebelum taubat,

tolaklah dia dan jangan biarkan nyawa kamu dicabut.

  1. Jika tiba-tiba malaikat maut mencabut nyawamu

ketika melakukan dosa dan kemudian malaikat Malik

akan memasukkan kamu ke neraka, mintalah hidup lagi

untuk bertaubat menampal dosa.”

Orang itu berubah wajah menjadi pucat, terlalu takut dan menginsafi dosa-dosanya.

Sejak hari itu, orang-orang yang mengenalinya, mendapati lelaki itu menjadi ahli ibadah yang terhindar dari perbuatan-perbuatan dosa.

Begitulah hakikat iman yang perlu sentiasa disuburkan. Ianya akan menjadi pengawal kuat dan umpama cahaya menerangi semua sudut hidup kita. Hinggalah terbit hubungan dan ikatan yang kuat dengan Allah. Ini juga merupakan ciri-ciri hero yang akan menambah kemakmuran hidup insan.

2 ulasan:

Qawiem Khairi berkata...

salam ummu..
terima kasih atas coretan ini..
kembali muhsabah..(",)

5 Januari 2011 pada 6:32 PTG  
Noraini Eslah berkata...

wa'alaikum salam MQ,

terima kasih ats sokongan. begitu saya makin sibuk menulis, rasa sepi hati andai tidak muhasabah hati yg mudah lusuh keyakinan...

6 Januari 2011 pada 9:22 PG